Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Gotong-Royong Dalam Zaman AI

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Badan Melayu sering disebut-sebut sebagai antara faktor untuk membangunkan masyarakat Melayu.

Teras badan Melayu adalah amalan gotong-royong. Tetapi apakah ia masih utuh dalam zaman Kecerdasan Buatan (AI)?

Komentar Mohd Raman Daud ini menelusuri kisah bangun jatuh badan Melayu dan rumus penakatannya dalam jangka panjang.


Istilah ‘gotong-royong’ (GR) memang tidak asing bagi orang Melayu dan kalangan warga Singapura, terutama Generasi Perintis dan Merdeka tetapi kurang disebut-sebut hari ini.

Menyorot foto-foto lama Arkib Negara, GR sering dihimbau dalam zaman peralihan Singapura daripada pemerintahan British ke awal pemerintahan merdeka.

Dalam suasana serba kekurangan untuk menakat dalam tempoh itu, amalan tersebut menjadi ikatan yang mendorong penduduk kampung atau kejiranan yang dibantu para siswa dan pimpinan akar umbi untuk membersihkan parit/longkang sehinggalah membina jalan kampung.
Related article image
Gambar hiasan: iStock
TERAS IKATAN

Pada zaman silam, apa jua usaha kolektif di peringkat kejiranan atau kampung lazimnya dilakukan secara bergotong-royong.

Tetapi apabila ia dilakukan secara besar-besaran di peringkat negeri sewaktu darurat, maka ia dinamakan ‘kerahan’.

Namun ada para pandai (pekerja yang ahli) diupah dalam menyempurnakan kerahan.

Kerahan dilaksanakan selepas perintah pembesar, terutama raja, untuk membina istana, jalan raya, terusan atau tindakan gawat.

Buku Sejarah Melayu menceritakan kebodohan raja Singapura keempat, Sri Maharaja (1375-1389M) mengerahkan rakyatnya berkubukan betis demi menghadapi serangan todak sehingga ramai yang mati sesia.
Related article image
Gambar hiasan: iStock
Mujurlah Nadim, kanak-kanak cerdik berusia 9 tahun, menyarankan pantai dipagari batang pisang!

Apabila penjajah Barat menguasai Asia Tenggara, penduduk peribumi dikerah menjadi ‘buruh paksa’ dalam perladangan tanaman kontan (cash crops) seperti menanam pokok getah dan kopi di Hindia Timur (Indonesia).

Hari ini ‘kerahan’ berubah ‘maknanya’ iaitu lebih sering digunakan untuk menggerakkan anggota beruniform seperti askar untuk latihan atau seruan penting sewaktu suasana gawat.

Dari bahasa Jawa: gotong bererti ‘pikul’ atau ‘galas’ dan royong bermakna ‘bersama’. Cakap mudahnya, bekerjasama atau bertindak selepas muafakat. Untuk gotong-royong berlaku, maka perlu ada kesedaran dan kerelaan bersifat kolektif.

Ia bermula apabila ketua kejiranan atau kampung (penghulu) dan para penolongnya (ahli sidang) berhimpun untuk meyakinkan dan mendorong penduduk sama-sama membantu dalam kerja penting seperti membina rumah, parit dan sebagainya.

Antara lain, ini terpapar dalam banyak peribahasa khusus atau disebut ‘perbilangan’, seperti berikut:

Bulat air kerana pembentung,
Bulat kata kerana muafakat.

Yang ringan sama dijinjing,
Yang berat sama dipikul.


PERUNDANGAN

Masyarakat Melayu di Singapura mungkin antara yang awal dalam rumpun Melayu mengangkat erti gotong-royong menjadi gerakan berpersatuan.

Antara lain, ini dituntut oleh penjajah British yang mensyaratkan setiap usaha kolektif yang melibatkan wang didaftarkan. Demikian hemat Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (1924-2016) atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ariff.
Related article image
Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Raman Daud)
“Dengan adanya persatuan, maka ada peningkatan mutu secara teratur dan juga keberkatan menurut ajaran Islam dan adat Melayu,” hujahnya. Yang awal terdaftar ialah gerakan khairat kematian yang menyantuni kebajikan untuk penghijrah menurut asal usul kampung atau suku kaum telah didaftarkan seperti Persatuan Jawalul Masakin (untuk penghijrah dari Jawa) pada 1908 dan badan sukan.

Menurut buku 'Khairat Kita: A History of Malay/Muslim Mutual Aid in Singapore' (2022) kini tersisa 20 badan khairat di Singapura.

Gerakan ke arah memajukan ‘bangsa Melayu’ telah mencetuskan semacam revolusi sosial. Ini bermula dengan penubuhan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) di Istana Kampung Gelam pada 1926 dalam rangka membasmi kemiskinan, buta huruf, perceraian dan pelbagai masalah sosial.

Dipimpin Mohd Eunos Abdullah (1876-1933, seorang keturunan Minang), KMS dianggap gerakan separa politik (quasi politics) Melayu perintis Dunia Melayu, ungkap sarjana William R. Roff dalam bukunya, The Origins of Malay Nationalism (1967).

Eunos pernah menjawat syahbandar Muar, pengarang akhbar Utusan Melayu (1908-1914) dan Lembaga Melayu serta ahli Dewan Perundangan Singapura selama sembilan tahun. Beliau telah mewarnai pemikiran kalangan orang Melayu lewat banyak makalah akhbarnya dan meyakinkan para tokoh dari suku kaum lain seperti Daeng Ambok Sooloh (ketua suku kaum Bugis) dan Tengku Abdul Kadir (mewakili kerabat diraja Singapura) sehingga doktor perubatan Melayu pertama, Abdul Samad Pagak, untuk menjayakan KMS sebagai gerakan kebangsaan (nasionalis).

Dua tahun sebelum KMS ditubuhkan, iaitu pada 1924, Eunos telah merintis skim kelas bimbingan dan kemahiran yang dipanggil Muslim Institute untuk memajukan pendidikan anak Melayu.

Sesudah Perang Dunia Kedua, muncul Anglo Malay Evening School (kelas bimbingan pada waktu malam) yang didukung KMS.

KMS juga berperanan besar dalam pembentukan petempatan Melayu iaitu di Kaki Bukit dan dikatakan juga di Tanjung Irau. Malah wujudnya akhbar Utusan Melayu (yang kedua) pada 1939 yang dipimpin oleh Yusof Ishak (Yang di-Pertuan Negara dan Presiden Pertama Singapura) juga dipengaruhi oleh KMS.

TAK JEMU BERHIMPUN

Menginsafi keterbelakangan atau kemunduran orang Melayu dalam pelbagai aspek sosioekonomi sehingga politik, pelbagai badan Melayu mercup bertali arus mengadakan pelbagai perhimpunan yang dinamai kongres, seminar dan konvensyen. Tujuannya tidak lain adalah untuk mencari ketetapan atau huraian membangun masyarakat. Cuma sayangnya, sering para tokoh yang sama sahaja terlibat – mencerminkan betapa kecilnya bilangan elit Melayu yang peduli ketika itu.

Gerakan memajukan wanita Melayu juga mekar di Singapura lewat kegigihan Che Zahara Noor Mohamed (1907-1962) yang memperjuangkan hak wanita Melayu dari segi usia perkahwinan, hak perceraian, pendidikan dan pekerjaan.
 
Related article image
Gambar: Singapore's Hall of Fame
Berbondong-bondong wanita Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu datang belajar membuat kek sehingga menjahit dengan kumpulan wanita progresif, Tenaga Murni, di Onan Road.

Menurut Cikgu Ariff, ketika Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu digagaskan sebagai pertubuhan induk pada 1968-1969, sehingga 200 buah badan Melayu (dengan sekitar 40,000 ahli atau relawan) mohon menjadi kerabatnya.

Namun sekitar 40 yang diterima kerana sudah lama berdaftar dan mempunyai rekod sah.

PENCAPAIAN

Menurut Mohd Yatim Dohon (1924-2016), antara pengasas Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi Melayu (4PM, 1948) dan Majlis Pusat:

“Demi bergotong-royong, sering para peneraju atau pengendali kegiatan perlu ikhlas tanggung biaya sendiri jika pungutan derma tidak mencukupi. Selagi ada keinsafan bahawa orang Melayu masih belum maju atau terbelakang, selagi itulah gotong-royong atau kerja sukarela secara beramai-ramai amat utama untuk kita teruskan demi mencapai imej atau citra jaya.”

Kini gerakan gotong-royong memasuki zaman baru dengan wujud M³ atau M Kuasa Tiga (https://www.m3.gov.sg/focus-areas/all/) yang meliputi tiga institusi iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS, ditubuhkan pada 1968), Yayasan MENDAKI (sejak 1981) dan MESRA (jawatankuasa budaya Melayu di balai rakyat atau kelab masyarakat).
Related article image
Gambar: Yayasan MENDAKI
Berdasarkan laman webnya, gerakan ini tidak melibatkan secara langsung pertubuhan Melayu bebas yang berdaftar.

Yang jelas, jumlah badan Melayu bebas yang berdaftar kian susut oleh dwimasalah utama – kepimpinan dan kekurangan dana.

Lazimnya pertubuhan mapan sukar mencari ‘darah muda’ sebagai proses patah tumbuh, hilang berganti.

Namun rintangan ini berjaya diatasi oleh sebilangan kecil pertubuhan Melayu seperti Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi Melayu (4PM), Jamiyah Singapura, Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Muhammadiyah Singapura dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) telah berjaya merubah suasana dengan pengambilan pemimpin muda dan menyesuaikan struktur pertubuhan berdasarkan amalan korporat.

Sering masalah kurang dana pula menyekat kegiatan pertubuhan. Ia cuba diatasi dengan pertubuhan mengadakan operasi mencari dana secara dalam talian, panggilan telefon dan sebagainya.

Sesetengahnya pula didaftarkan juga sebagai badan amal atau usaha sosial (social enterprise) untuk meraih subsidi pemerintah.

Jelaslah dalam suasana pasca moden di Singapura yang bertaraf negara maju, gotong-royong masih relevan.

Mentelah masalah dihadapi oleh masyarakat Melayu memang masih liat seperti penagihan dadah sehingga jenayah.

Walaupun semboyan agar bangkit cemerlang sudah lama dilaungkan, masalah-masalah ini terus mencengkam.

Ini menuntut gotong-royong yang lebih ampuh, barangkali dengan menerapkan teknologi canggih.

MENGENAI PENULIS:
Related article image
Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita