Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Gandingan masyarakat dengan Pemerintah diperlukan dalam tangani keganasan rumah tangga

Nampak mudah tetapi keganasan rumah tangga merupakan isu kompleks yang memerlukan usaha menyeluruh melibatkan Pemerintah dan masyarakat. Bagaimana masyarakat boleh mainkan peranannya dalam menangani masalah ini?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Gandingan masyarakat dengan Pemerintah diperlukan dalam tangani keganasan rumah tangga

Gambar hiasan (Gambar: Try Sutrisno Foo)

BERITAmediacorp: Nampak mudah tetapi keganasan rumah tangga merupakan isu kompleks yang memerlukan usaha menyeluruh melibatkan Pemerintah dan masyarakat. Bagaimana masyarakat boleh mainkan peranannya dalam menangani masalah ini?

Keganasan rumah tangga, yang lazimnya berlaku di sebalik pintu tertutup, adalah isu yang kompleks.

Pada 2013, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati bahawa sepertiga wanita di merata dunia pernah menjadi mangsa keganasan fizikal dan/atau seksual oleh pasangan mereka dalam hayat mereka.

Di Singapura, lebih 2,400 individu membuat permohonan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadap anggota keluarga mereka setiap tahun.

Salah satu tanggapan salah mengenai keganasan rumah tangga adalah ia hanya berkisar dengan penganiayaan fizikal. Ini adalah tidak benar. Secara keseluruhannya, keganasan rumah tangga turut membabitkan penganiayaan emosi dan psikologi, penganiayaan seksual dan pengabaian.

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Setiap anggota keluarga, termasuk pasangan, anak-anak dan orang-orang dewasa yang mudah terdedah kepada penganiayaan, boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Hasil kajian dikendalikan bersama oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dengan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2020 mendapati bahawa keganasan rumah tangga lebih berkemungkinan berlaku seiring dengan pengalaman hidup negatif yang lain dan kesan pengalaman hidup negatif sedemikian boleh berlarutan.

Sebagai contoh, kajian tersebut mendapati individu-individu yang pernah terdedah kepada penganiayaan dan isu kebajikan pada usia kecil, 75 peratus lebih berkemungkinan memfailkan permohonan PPO.

Semasa pandemik COVID-19, sesetengah rakyat Singapura kehilangan pekerjaan atau hasil pendapatan; mereka bimbang terhadap masa depan atau sedang mencuba untuk mengharungi ketidaktentuan situasi masa sekarang.

Jika penyebab-penyebab stres sedemikian tidak ditangani, risiko penganiayaan bertambah buruk.

Lantaran itu, seperti mana diperhatikan di negara-negara lain, Singapura turut menyaksikan peningkatan aduan tentang keganasan rumah tangga semasa tempoh pandemik COVID-19.

Purata bulanan bilangan aduan polis berkenaan keganasan rumah tangga semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan melonjak 19 peratus.

MEMPERKASA RESPONS

Bagi menangani lonjakan aduan berhubung keganasan rumah tangga semasa tempoh itu, kami memperkasa respons Pasukan Polis Singapura (SPF) terhadap kes-kes keganasan rumah tangga, misalnya dengan merujuk mangsa-mangsa yang lebih berisiko dianiaya kepada Pusat Pakar Keganasan Rumah Tangga dan menentukan sama ada mereka memerlukan bantuan lanjut dalam jangka seminggu selepas aduan dibuat.

Gambar hiasan.

Khidmat Perlindungan Dewasa (APS) dan Khidmat Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) di bawah MSF menyaksikan purata bulanan pertanyaan melonjak 40 peratus antara Januari hingga Oktober 2020 berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Peningkatan itu besar kemungkinan akibat kesedaran rakyat Singapura yang lebih tinggi mengenai risiko keganasan rumah tangga, lebih-lebih lagi semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, di mana MSF dan rakan-rakan kerjasamanya menggiatkan usaha pendampingan.

Namun, jika mengambil kira purata bulanan kes baru yang disiasat antara Januari hingga Oktober 2020, bilangannya kekal stabil pada purata 120 kes sebulan.

GIATKAN USAHA BERSAMA

Meskipun terdapat penekanan tentang kesan COVID-19 terhadap tugas kami, kita perlu memahami bahawa isu keganasan rumah tangga menjangkaui pandemik COVID-19.

Memandangkan ia merupakan masalah yang kompleks, Pemerintah melaksanakan pelbagai langkah untuk memperkasa bantuan dan perlindungan bagi mangsa-mangsa keganasan rumah tangga.

(Gambar hiasan: Marcus Mark Ramos)

Sistem Rangkaian Bantuan Mangsa Keganasan Keluarga Kebangsaan (NFVNS) ditubuhkan pada 1996 supaya mangsa-mangsa keganasan rumah tangga boleh menerima bantuan menerusi pelbagai saluran seperti SPF, mahkamah, Perkhidmatan Penjara Singapura, MSF, hospital, sekolah dan agensi-agensi khidmat sosial.

Kami juga meningkatkan kesedaran awam tentang keganasan rumah tangga melalui kempen ‘Break the Silence’ atau Memecah Kesunyian untuk menggalak mangsa-mangsa dan masyarakat umum agar tampil ke depan untuk membuat aduan sekiranya berlaku keganasan rumah tangga.

Kebelakangan ini pada 2019, kami meminda undang-undang seperti Kanun Prosedur Jenayah, Akta Bukti, Kanun Jenayah dan Akta Perlindungan Daripada Gangguan bagi menghalang penggunaan keganasan dan meningkatkan perlindungan para mangsa di sisi undang-undang, termasuk mangsa yang dianiaya pasangan dan mereka yang mudah terdedah kepada keganasan.

PASUKAN BERTINDAK

Pasukan Bertindak bagi Keganasan Rumah Tangga ditubuhkan tahun ini untuk meluaskan usaha menangani keganasan rumah tangga dan meningkatkan bantuan kepada para mangsa.

Dipengerusikan bersama oleh Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Sun Xueling dan diri saya sendiri, Pasukan Bertindak itu bermatlamat:

(a) membangunkan pemahaman menyeluruh tentang landskap keganasan rumah tangga di Singapura;

(b) mengamati landskap bantuan dan khidmat bagi mangsa-mangsa dan mereka yang menggunakan keganasan dan mengenal pasti perkara-perkara utama yang perlu diperbaiki dan

(c) mengusulkan bersama saranan-saranan dan melaksanakan bersama huraian-huraian dengan pihak-pihak berkepentingan untuk menangani perkara-perkara yang perlu diperbaiki

Sejak penubuhannya, Pasukan Bertindak tersebut bekerjasama dengan agensi-agensi Pemerintah, mahkamah dan rakan-rakan masyarakat untuk meneliti dan lebih memahami isu-isu yang berpelbagai berhubung keganasan rumah tangga.

Sebagai contoh, lebih 40 rakan masyarakat yang bekerjasama dengan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga menyertai perbincangan kumpulan fokus secara maya pada Ogos 2020 untuk mengongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai cara-cara untuk mendekati isu kompleks ini dalam masa mendatang.

Kami merancang untuk menganjurkan sebuah lagi sesi pendampingan pada Januari 2021.

Pasukan Bertindak itu sedang meneliti perangkaan sedia ada berhubung keganasan rumah tangga dan cadangan-cadangan oleh rakan-rakan masyarakat untuk menghasilkan saranan-saranannya.

Saranan-saranan itu akan dikemukakan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga pada April tahun depan.

PERANAN MASYARAKAT

Sedang Pemerintah mengambil pendekatan menyeluruh dan inklusif dalam menangani keganasan rumah tangga, masyarakat umum juga memainkan peranan penting dalam membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga agar tidak terus berdiam diri.

(Gambar: Unsplash)

(Gambar: Unsplash)

Misalnya, rakan-rakan masyarakat boleh menerajui inisiatif-inisiatif akar umbi dan berpadu tenaga dengan Pemerintah untuk menangani keganasan rumah tangga, atau campur tangan dengan membuat aduan tentang kes-kes yang disyaki berlaku penganiayaan.

Campur tangan yang tepat pada waktunya oleh masyarakat umum boleh mengubah keadaan dan menyelamatkan nyawa.

Sebagai contoh, Pemerintah bekerjasama dengan MUIS menerusi Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) untuk melatih para asatizah tentang kesedaran dan pengesanan keganasan rumah tangga.

MENGORAK LANGKAH

Rakan-rakan utama masyarakat, seperti Casa Raudha, juga mengorak langkah terdahulu untuk menerajui inisiatif-inisiatif anti-keganasan rumah tangga seperti acara berjalan kaki atau ‘walkathon’ bagi membanteras keganasan rumah tangga atau ‘End Domestic Violence’ pada November 2020.

Demikianlah mengapa kesedaran tentang keganasan keluarga dan sumber-sumber bantuan dalam kalangan anggota masyarakat perlu ditingkatkan agar mereka boleh membantu dengan memberi perhatian kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan meyakinkan mereka untuk meminta bantuan.

Tiada huraian mudah kepada masalah keganasan rumah tangga.

Namun, saya berharap dengan kerjasama padu dan terselaras antara agensi-agensi Pemerintah dengan rakan-rakan masyarakat, kita boleh berusaha sehingga keganasan rumah tangga dibanteras.

MENGENAI PENULIS:

Menteri Negara MHA merangkap MND Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan