Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Fatwa hartanah – amanah untuk masyarakat

Semakan fatwa MUIS minggu lalu mengenai hak milik rumah adalah antara pendekatan holistiknya untuk memudahkan umat Islam di Singapura membuat perancangan dalam pengurusan harta mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Semakan fatwa MUIS minggu lalu mengenai hak milik rumah adalah antara pendekatan holistiknya untuk memudahkan umat Islam di Singapura membuat perancangan dalam pengurusan harta mereka.

Semakan fatwa yang diumumkan Jawatankuasa Fatwa MUIS minggu lalu tentang hak milik rumah adalah semakan terhadap fatwa yang pernah dikeluarkannya pada tahun 2008 berkaitan pemilikan bersama (joint tenancy).

Dengan Fatwa 2019 ini, jika salah seorang pemilik bersama meninggal dunia, pemilik yang masih hidup akan mendapat hak penuh pemilikan hartanah tersebut.

Fatwa ini sekaligus mempermudahkan proses pemindahan hak milik, terutamanya bagi pihak keluarga yang masih tinggal di rumah itu dan mereka tidak perlu lagi untuk membuat nuzriah atau hibah untuk mengesahkan niat atau hasrat pembahagian hartanah mereka.

Semakan ini amat dialu-alukan dan sudah lama dinantikan.

Ia menyusul beberapa perkembangan dari segi kes-kes yang dihadapkan ke mahkamah dan fatwa-fatwa yang diumumkan beberapa tahun lalu.

PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG

Flat lima bilik di Bukit Merah dijual semula pada harga rekod S$1.2 juta. (Gambar: Google Maps)

Dahulunya, Fatwa 2008 mengisytiharkan bahawa pemilik bersama yang masih hidup hanya mendapat 50% hak rumah jika tiada persetujuan atau niat yang jelas oleh mendiang untuk memberikan hak milik sepenuhnya kepada pemilik bersama.

Ini bermaksud rumah itu mungkin dijual dan 50% hasil penjualan, iaitu hak mendiang, harus dibahagikan menurut faraid kepada para waris.

Situasi ini banyak menimbulkan pertikaian dan ketegangan antara ahli keluarga. Ada juga pemilik yang didesak oleh ahli waris untuk menjual rumah padahal pemilik tersebut (yang selalunya balu mendiang) serta anak-anaknya masih memerlukan tempat berteduh.

KEPUTUSAN MAHKAMAH

Inilah yang terjadi di kes mahkamah Shafeeg bin Salim Talib v Fatimah bte Abud bin Talib pada tahun 2010, yang melibatkan sebuah hartanah yang dimiliki bersama sepasang suami isteri. Mereka tidak mempunyai zuriat lelaki.

Apabila suaminya meninggal dunia, pertikaian tentang hartanah tersebut tercetus antara balunya dan Pentadbir Estet mendiang (yang terdiri oleh ahli waris lelakinya).

Setelah mendengar hujah-hujah semua pihak, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang menyebelahi balu serta anak-anak mendiang.

Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa pemilikan hartanah tersebut tertakluk kepada syarat yang ditetapkan pada Seksyen 114 Akta Hak Milik Tanah, yang menyatakan bahawa apabila seorang pemilik bersama itu meninggal dunia, pemilik bersama yang masih hidup akan mendapat hak penuh pemilikan hartanah tersebut (right of survivorship).

TIDAK BERCANGGAH

Gambar hiasan. (Gambar hiasan: Edric Sng)

Mahkamah Rayuan juga berpendapat bahawa konsep hak pemilikan bersama (joint tenancy) tidak bercanggah dari segi Islam.

Mahkamah Rayuan meneliti konsep hibah ar ruqba iaitu pemberian mematuhi syarat-syarat tertentu dan mendapati bahawa dengan mendaftarkan hartanah tersebut sebagai hak milik bersama, pasangan suami isteri sudahpun membuat keputusan tentang niat mereka untuk melakukan hibah antara satu sama lain.

Jika salah satu antara mereka meninggal dunia, yang hidup akan mendapat hak milik penuh hartanah itu. Oleh demikian, Mahkamah memutuskan bahawa konsep hak pemilikan bersama ada juga landasannya dalam syariat Islam.

Namun, pada masa itu, dengan adanya Fatwa 2008, masih ada kekeliruan jika masyarakat perlu melakukan hibah atau nuzriah untuk menjelaskan niat pemilik bersama.

Ini dirumitkan lagi dengan beberapa kes mengenai hibah dan nuzriah yang tidak dikuatkuasakan oleh mahkamah kerana sebab-sebab tertentu. Ini selalunya berlaku jika ada pihak yang mempertikaikan perjanjian hibah atau nuzriah tersebut.

KEDUDUKAN HAK MILIK

(Gambar hiasan: Jude Beck/Unsplash)

Di dalam kes Mohamed Ismail bin Ibrahim v Mohammad Taha bin Ibrahim pada 2004, Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa nuzriah yang dibuat oleh mendiang tidak sah kerana ia tidak jelas.

Di dalam kes Mahkamah Tinggi yang lain pula, Haja Maideen s/o Mohd Ali Maricar v Roshan Begum Md Ali M pada tahun 2017, penggunaan hibah untuk memberikan hak milik sebuah flat HDB kepada orang lain, tidak diterima mahkamah, kerana undang-undang HDB tidak membenarkan seseorang itu menghadiahkan hak miliknya kepada orang lain tanpa persetujuan HDB.

Oleh itu, hibah yang dibuat oleh mendiang dalam kes itu kepada kakaknya (yang bukan pemilik bersama flat itu), tidak sah. Ini mungkin berbeza jika mendiang dan kakaknya adalah hak pemilik bersama flat itu.

Justeru, Fatwa 2019 kini memperjelaskan kedudukan hak milik bersama dari segi Islam dan lantas, pemilik hartanah tidak perlu lagi membuat hibah atau nuzriah.

HAK MILIK BERSAMA

Hak pemilikan hartanah dari segi undang-undang ada 2 jenis. Pertama adalah hak milik bersama (joint tenancy) di mana kesemua pemilik bersama memiliki keseluruhan hartanah tersebut tanpa dibezakan bahagian antara keduanya.

Kedua adalah tenancy-in-common yang merupakan bentuk pemilikan di mana setiap pemilik mempunyai bahagiannya masing-masing yang jelas, serta terpisah daripada pemilikan yang lain.

Sebagai contoh, Siti dan Zaki, pasangan muda membeli rumah.

a) Senario 1: Mereka mendaftarkan hak milik sebagai hak milik bersama (joint tenancy):

Jika Zaki meninggal dunia, Siti akan secara langsung mendapat hak milik sepenuhnya dan tidak perlu menjual rumah itu untuk dibahagikan mengikut faraid. Siti akan terus tinggal di rumah itu bersama anak-anaknya.

b) Senario 2: Mereka mendaftarkan hak milik rumah itu sebagai tenancy-in-common dan menetapkan peratusan hak milik tersebut, umpamanya, 50%:50% atau 60% (Zaki) dan 40% (Siti):

Jika Zaki meninggal dunia, bahagian hak milik Zaki iaitu 50% atau 60% itu, harus dibahagikan mengikut faraid kepada ahli waris yang termasuk Siti dan anak-anaknya. Namun ini bermaksud rumah itu mungkin harus dijual supaya pembahagian itu boleh dilaksanakan.

Ini memberikan para pemilik hartanah pilihan yang jelas. Jika pemilik itu mahu pemilik bersamanya mendapat hak milik sepenuhnya setelah dia meninggal dunia, dia boleh mendaftarkan hartanah atas hak milik bersama (joint tenancy).

Jika dia mahu hak miliknya dibahagikan mengikut faraid, dia boleh memilih tenancy-in-common. Ini terpulang kepada individu.

PERKEMBANGAN FATWA

Fatwa 2019 mengenai hak milik bersama ini selaras dengan perkembangan fatwa-fatwa yang lain mengenai penamaan / nominasi (nomination) CPF dan insurans, yang memberikan lebih pilihan untuk masyarakat Islam dalam membuat perancangan harta setelah mereka meninggal dunia. Pada tahun 2010, Jawatankuasa Fatwa MUIS berpendapat bahawa nominasi CPF merupakan sebuah hibah dan tidak perlu dibahagikan mengikut faraid kepada waris. Ini memudahkan ahli keluarga yang terdekat jika nominasi sudah dibuat.

Jawatankuasa Fatwa MUIS juga telah memperjelaskan fatwa mengenai nominasi dalam polisi insurans yang mempunyai dua jenis:

a) Nominasi Revocable, di mana pemilik polisi masih mempunyai hak penuh untuk melakukan apa-apa perubahan atau pembatalan pada nominasi yang telah dilakukan. Segala pulangan sewaktu hayat (life benefits) akan diberikan kepadanya, dan hanya pulangan setelah kematian (death benefits) sahaja yang akan diberikan kepada para penama; dan

b) Nominasi Irrevocable, di mana pemegang polisi telah hilang pemilikan ke atas segala pulangan daripada polisi tersebut kerana ia telah diberikan kepada penama. Sekiranya pemegang polisi ingin melakukan pembatalan atau perubahan bagi nominasi ini, beliau perlu memerolehi keizinan daripada setiap penama mengikut Akta Insurans.

BEBERAPA KETERBATASAN

(Gambar: Ana Francisconi/Unsplash)

Pada tahun 2007, Jawatankuasa Fatwa MUIS membenarkan nominasi irrevocable sahaja kerana ia memenuhi pengertian dan syarat-syarat hibah.

Namun, setelah penelitian semenjak fatwa itu dikeluarkan, Jawatankuasa Fatwa MUIS mendapati bahawa nominasi irrevocable mempunyai beberapa keterbatasan yang boleh membawa kesukaran kepada pemegang polisi seperti:

a) syarat penamaan hanya boleh dilakukan untuk anak-anak dan antara pasangan suami dan isteri sahaja;

b) nominasi irrevocable juga tidak boleh dibatalkan walaupun pasangan itu sudah bercerai;

c) segala hasil dan pulangan daripada polisi insurans sewaktu hidup diberikan kepada penama. Ini bermakna sekiranya si pemegang polisi itu sendiri ditimpa kecelakaan, ia tidak dapat memanfaatkan simpanan mahupun pampasan daripada insuransnya itu; dan

d) sekiranya penama (nominee) meninggal dunia, hak ke atas polisi insurans berkenaan berpindah kepada warisnya sebagai sebahagian harta pusakanya, dan bukan kembali kepada si pemegang polisi.

Lantas, Jawatankuasa Fatwa MUIS mengemas kini fatwa nominasi insurans pada 2012 untuk membolehkan nominasi revocable sebagai sebuah hibah kontemporari dan ia berpendapat bahawa hukum nominasi insurans berbentuk revocable dan hukum nominasi CPF adalah sama dan kedua-dua jenis nominasi tersebut merupakan hibah yang sah.

Menyusuli fatwa tersebut, antara pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA) tahun lalu, adalah untuk menjelaskan bahawa tiada lagi sekatan bagi membuat nominasi revocable.

KEADILAN SOSIAL

Fatwa-fatwa MUIS ini merupakan pendekatan holistik yang memudahkan umat Islam di Singapura untuk membuat perancangan dalam pengurusan harta mereka.

Jika seseorang itu mahu membahagikan wang CPF atau hasil pulangan insurans mengikut faraid, dia boleh memilih untuk tidak membuat sebarang nominasi.

Jika dia mahu hak milik hartanahnya diberikan kepada pemilik bersamanya, dia boleh memilih hak milik bersama (joint tenancy).

Ini terpulang kepada individu. Namun, pilihannya itu tidak harus sengaja digunakan untuk mengetepikan hak waris yang lain secara tidak adil.

Lebih penting lagi, perundangan Islam di Singapura kini semakin berkembang positif dan menitikberatkan keadilan sosial sebagai amanah masyarakat, selaras dengan arus pemodenan yang memaparkan cabaran-cabaran baru bagi masyarakat Islam kita.

Maklum balas masyarakat yang membina dan amalan ilmu yang berlandaskan syariat, akan membolehkan kita sebagai masyarakat Islam untuk terus berkembang dengan cemerlang.

Tegak kayu kerana berpangkal,

Pangkalnya kukuh kerana berurat;

Tegak ilmu kerana beramal,

Tegak amal kerana syariat.

(Gambar: AMP)

Mengenai penulis:
Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan