Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Falsafah Indah Di Sebalik Ketupat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam kehidupan rumpun Melayu, terdapat lambang dan falsafah pada rumah, pakaian sehingga makanannya. Antara yang paling menonjol ialah ketupat yang sering menyerikan dua hari raya, Aidilfitri dan Aidiladha.

Komentar ini menyusuri sepintas lalu evolusi ketupat dalam rangka sajian Nusantara untuk hari kebesaran.


Macam tidak lengkap atau sempurna pada hidangan pagi raya jika tanpa ketupat.

Sayangnya, bagi ramai orang Melayu, terutama generasi muda di Singapura hari ini, ketupat sering dikaitkan dengan sate. Padahal ikatan ertinya lebih luas lagi.

Mentelah kerana ‘sukar’ membuat ketupat, ia digantikan dengan ‘nasi tekan’ (asal beras bersalut plastik yang direbus tetapi disyaki boleh mendatangkan kesan kurang sihat).

Menyusuri sejarah, ketupat bukanlah suatu ‘ciptaan’ sembarangan. Para sejarawan yakin ia bermula di Jawa, menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016). Ia ‘dibudayakan’ sebagai jati diri insan keturunan Jawa. Namun, ketupat telah berkembang luas di seluruh Asia Tenggara sehingga timbul pelbagai rupa dan isinya.

SUNAN KALIJAGA

Ketupat erat dengan Pulau Jawa. Di sinilah dikatakan antara ‘kubu’ agama Hindu sejak 78M dan kemudian diikuti agama Buddha.

Apabila pedagang dan juga pendakwah sufi tiba di rantau ini, Jawa akhirnya dapat dilunakkan. Antara tokoh utamanya ialah Wali Songo (bahasa Jawa, songo = sembilan; walau terdapat kajian yang menyatakan ada lagi tambahan lima atau enam orang wali) khususnya Sunan Kalijaga (Raden Sahid atau Said, 1450-1513 Masihi).

Menurut kitab, Babad Tanah Jawi, Raden Sahid daripada jurai paman Rasulullah saw iaitu Abbas bin Abdul Muttalib. Meskipun dari keluarga bangsawan di Tuban, namun beliau membesar sebagai pemuda yang kecewa dan marah akan keadaan miskin melata. Beliau bertindak bak ‘Robin Hood’ – menyamun si kaya atau gudang kerajaan untuk diagihkan kepada rakyat miskin.

Ketika gagal hendak merompak Sunan Bonang (antara Wali Songo), barulah beliau tersedar akan kesilapannya. Ini berlaku selepas beliau bertafakur (berjaga) di tebing sungai, maka terlekatlah gelaran padanya – Kalijogo atau Kalijaga (kali ialah sungai).

Dalam kalangan Wali Songo, Sunan Kalijaga amat berpengaruh kerana kreatif dan berjiwa seni. Untuk berdakwah, beliau merombak hikayat Hindu-Buddha dalam bentuk lakon (drama) sehingga persembahan wayang kulit dengan gantian unsur Islam. Qasidah Jawa gubahannya seperti Tombo Ati (Ubat Hati) masih malar segar. Beliau menghasilkan permainan gamelan khas untuk menyambut Maulid (kelahiran Rasulullah) atau dipanggil Sekaten (dari istilah Arab, Syahadatain atau dua kalimah syahadah).

FALSAFAH

Sambutan Syawal dibudayakan dalam masyarakat Muslim Jawa pada dua hari iaitu Lebaran Aidilfitri (1 Syawal) dan Lebaran Ketupat (mulai 8 Syawal iaitu seminggu selepas berpuasa enam setelah Aidilfitri).

Sambutan Lebaran Ketupat lebih meriah berbanding Aidilfitri.

Sebabnya?

Masyarakat Jawa menafsirkan pesan (hadis) Nabi Muhammad saw agar menyempurnakan puasa Ramadan dengan puasa sunah enam hari dimulai setelah 1 Syawal kerana pahalanya dapat menghapus dosa selama setahun kedepan.

Beliau telah menyemaikan istilah ba’da (setelah) kepada masyarakat Jawa iaitu ba’da Lebaran dan ba’da Kupat. Yang pertama berlaku selepas solat Aidilfitri dan dilanjutkan dengan tradisi muhibah iaitu saling berkunjung dan memaafkan kepada sesama Muslim.

Ketupat dihidangkan dengan lauk-pauk berempah bersantan yang mengandungi ikan, telur dan daging. Lazimnya, ia dibahagi-bahagikan kepada tetangga, kerabat keluarga terdekat serta orang yang lebih tua sebagai lambang kasih sayang dan mempererat persaudaraan Islam.

PENSUCIAN

Sunan Kalijaga memaknai anyaman janur (singkatan bagi ‘ja’a (datang) dan ‘nur’ iaitu datang cahaya) berbentuk bawang dan sebagainya yang diisi dengan beras iaitu dua bahan asas tempatan, yang kemudian direbus sehingga tanak. Maka terhasillah ketupat.

Beliau mengadun makna ketupat dari kekata Jawa kupat yang memiliki erti ganda yakni ngaku lepat (mengakui kesalahan) dan laku papat (empat tindakan) – lebaran, luberan, leburan dan laburan.

Proses ngaku lepat dilaksanakan dengan seorang anak bersimpuh memohon ampun di hadapan orang tuanya. Ia juga dipanggil sungkeman. Selain memberi maaf dan keredaan, yang tua akan mengasihi dan membimbing yang lebih muda.

Sungkeman dilambangkan pada ketupat. Ketika ziarah raya di rumah kerabat, sajian raya termasuk ketupat disajikan atau disuguhkan. Sesudah bermaafan dan apabila diminta untuk makan ketupat, maka secara langsung pintu maaf telah dibuka dan segala kesalahan serta kekhilafan yang pernah terjadi antara kedua-duanya akan terhapus.

- Lebaran bermakna tamat atau selesai bulan puasa Ramadan dan bersiap menyambut hari kemenangan Aidilfitri (kembali suci).

- Luberan bermakna melebur atau melimpah seperti air yang tumpah kerana sudah terisi penuh. Pengajarannya ialah hasrat berbahagi kepada orang yang tidak mampu dengan membayar zakat agar harta kita juga menjadi suci.

- Leburan bererti habis atau menyatu. Dengan gigih beramal mulia sepanjang Ramadan, maka matlamatnya ialah melebur dosa sendiri dan sesama insan dengan cara bermaaf-maafan agar kembali suci – kosong/kosong atau nol/nol (sebutan Jawa).

- Laburan dari kata labur atau kapur. Kapur merupakan zat berona putih yang dapat menjernihkan benda cair. Ia melambangkan kembali fitrah atau suci batin seseorang.

TAMADUN MELAYU

Ketupat ibarat ‘hati insan’ seperti dalam hadis terkenal bahawa dalam tubuh manusia ada seketul daging – jika baik, maka baiklah insan itu dan begitu juga sebaliknya. Maka dengan ketupat, hati didatangi nur atau cahaya iman.

Maka pada hari Lebaran, dialog berikut diungkapkan:
Monggo dipun silep ingkang rapet (mari kita kubur/tutup yang rapat).

Ertinya sesudah mengakui kesalahan (lepat), kemudian meminta maaf, maka kesalahan yang sudah dimaafkan itu jangan sengaja diulang lagi, agar persaudaraan semakin erat.

Cukup santun sekali kerana itulah teras cara Islam yang disampaikan dengan akhlak karimah (akhlak sempurna lagi tinggi) menurut amalan tasauf.

Begitulah kehebatan Wali Songo dalam merubah suasana beragama di Jawa yang kemudian tersebar ke seluruh Nusantara.

Memang terdapat pelbagai cerita lain mengenai ketupat yang kononnya telah tercipta di bahagian lain Nusantara lama sebelum ‘disempurnakan’ oleh Sunan Kalijogo untuk mengisi misi dakwahnya.

Dalam buku Kampungku Siglap iaitu memoir Cikgu Mohd Anis Tairan, ketupat dikatakan makanan penakatan putera Minang, Tok Lasam dan para pengikutnya yang merantau dari Sumatera ke Singapura untuk membuka Kampung Siglap. Apapun yang pasti, ketupat merupakan antara lambang tamadun rumpun Melayu.

MENGENAI PENULIS:

raman
(Gambar: Mohd Raman Daud)

Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan