Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Erti mendalam tetamu Tanah Suci

Tahun ini, selepas dua tahun, barulah dapat jemaah haji Singapura menunaikan Rukun Islam kelima sejak dibuka semula sempadan antarabangsa ekoran ancaman wabak COVID-19. Senario ini membawa erti mendalam dalam rangka menghayati ibadah ini.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Erti mendalam tetamu Tanah Suci

Gambar fail para jemaah di Makkah di tengah COVID-19 (Gambar: STR/AFP)

BERITAmediacorp: Tahun ini, selepas dua tahun, barulah dapat jemaah haji Singapura menunaikan Rukun Islam kelima sejak dibuka semula sempadan antarabangsa ekoran ancaman wabak COVID-19. Senario ini membawa erti mendalam dalam rangka menghayati ibadah ini.

Selepas penantian selama dua tahun, maka pada awal Julai tahun ini, dapatlah sekitar sejuta jemaah dari hampir seluruh dunia menunaikan haji di Tanah Suci Makkah dan berkunjung ke Madinah.

Antara mereka termasuklah sekitar 900 orang jemaah yang berusia bawah 65 tahun dari Singapura, yang akhirnya dapat meraih impian mereka selepas lama menanti dengan debar dan penuh sabar.

Hakikatnya, ini bukanlah pertama kali ibadah haji ‘digantung’ atau dibatalkan.

Seyogia, syarat haji ialah seseorang bakal jemaah hendaklah mampu dari segi zahir (kesihatan dan kewangan) dan rohani (kesediaan jiwa) serta selamat laluan perjalanannya.
 
(Gambar: Christina Assi/AFP)

Menurut data sejarah, sudah 40 kali atau lebih ibadah ini dibatalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Lazimnya tindakan ini diambil kerana keadaan ‘tidak selamat’ seperti wabak, sengketa politik, serangan dan peperangan.

ANCAMAN DI LALUAN DAN TANAH SUCI

Antara peristiwa besar yang mengakibatkan ibadah haji dilarang kerana tidak selamat adalah seperti berikut:

SENGKETA:
Pada 629M iaitu tiga tahun sebelum wafat Rasulullah, ibadah haji telah dibatalkan buat kali pertama. Sebabnya adalah pembunuhan beramai-ramai di Gunung Arafah.

Sekta Qarmatian pimpinan Abu Taher Al-Janabi mendakwa haji adalah upacara pagan dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Makkah dan laluan hajinya.

Kaumnya mencuri Hajar Aswad (batu hitam suci) dan ibadah Haji ditangguhkan sekitar 10 tahun. Hajar Aswad hanya ditemui pada tahun 952M selepas wang tebusan dibayar oleh Kerajaan Abbasiyah. Beberapa sejarawan melaporkan bahawa lebih daripada 30,000 jiwa punah akibat peperangan itu.

WABAK:
Wabak maut melanda Makkah pada 967M yang mengakibatkan ribuan terkorban dan mendorong ibadah haji dibatalkan.

Pada tahun 1831, wabak yang mengerikan dari India menuju ke Makkah. Tiga perempat daripada jemaah haji maut akibat wabak dan haji terpaksa digantung serta-merta untuk membendung angka korban.

Pada tahun 1837-1840, 1846 dan 1858, Makkah dilanda suatu wabak sehingga ibadah haji dibatalkan.

Keadaan di dalam Masjidil Haram di Makkah pada 5 Mac 2020. (Gambar: Abdel Ghani Bashir/AFP)
Wabak COVID-19 menyebabkan kerajaan Saudi menutup Masjidil Haram di Makkah dan menghalang jemaah daripada mengerjakan umrah.

Pada Mac 2020, selepas mengambil langkah berjaga-jaga, Masjidil Haram dibuka secara terhad untuk sejumlah kecil penduduk tempatan sahaja.

DARI KAPAL KE PESAWAT UDARA

Dalam Al-Quran (Surah Haj, 27:22), seruan haji dibuat oleh Nabi Ibrahim yang hidup dalam awal alaf kedua sebelum Masihi di lembah Bekka yang gersang dan sepi.

Jemaah diseru datang dengan berjalan sehingga mengendarai unta kurus. Jelaslah, haji merupakan ibadah yang tua dan dilanjutkan dalam zaman Nabi Muhammad sehingga kini.

Perjalanan haji pada zaman silam memanglah mencabar sehingga timbul tanggapan bahawa ia mungkin fasa terakhir bagi seseorang, terutama yang berusia lanjut. Namun kemajuan teknologi pengangkutan telah ‘meringankan’ cabaran tadi.

Sesudah zaman perjalanan lama dalam kapal layar, muncul kapal wap (steam ship) yang memendekkan perjalanan dari beberapa bulan sehingga sebulan atau beberapa minggu. Khidmat kapal wap terhenti pada 1976. Ia digantikan dengan pesawat udara yang memendekkan perjalanan dari Singapura ke Jeddah sehingga sekitar 9 jam.
Kapal Kuala Lumpur antara kapal yang membawa jemaah haji ke Makkah siap sedia untuk berlepas dari Pelabuhan Pulau Pinang (Swettenham Pier). (Gambar: BERNAMA)
Menurut buku ‘Kapal Haji - Singapore And The Hajj Journey By Sea,’(2019), sejak 1830, para jemaah Singapura dan dari rantau ini berpeluang menunaikan haji dari Singapura. Namun dalam suasana tidak aman Perang Dunia, iaitu antara 1939 sehingga 1946, terdapat kesukaran untuk menaiki kapal haji.

PERALIHAN CARA URUSAN

Kos naik haji memang besar dan terus meningkat.

Buku ‘Kapal Haji’ mendapati sesetengah jemaah silam seperti dari pulau Jawa yang rela bergolok-bergadai dan malah ada yang terkandas di Singapura kerana kehabisan biaya.
Jemaah haji beratur untuk pemeriksaan sebelum menaiki kapal laut ke Makkah dari Pelabuhan Pulau Pinang (Swettenham Pier). (Gambar: BERNAMA) 
Masuk dua abad, urusan haji di Singapura masih berpusat di Kawasan Kampung Gelam. Model bisnes atau urus niaganya sehingga kini boleh dikatakan tidak berubah iaitu jemaah menempah syeh haji/umrah untuk ke Tanah Suci.

Tetapi apakah model ini akan berubah seiring kemajuan teknologi perhubungan yang pesat?

Arab Saudi mempunyai Visi 2030 yang antara lain hendak menampung sehingga 5 juta jemaah haji dan 30 juta jemaah umrah.

Kegigihan tekad kerajaan Saudi memang ketara bersandarkan perubahan luar biasa prasarana di Makkah dan Madinah.

Kini saja urusan tempahan kereta api laju sehingga memasuki Masjidil Haram dan Masjid Nabawi perlu menggunakan aplikasi telefon bijak atau komputer. Jadi, ada kemungkinan besar kelak, jemaah dapat memilih tempahan langsung ke Tanah Suci iaitu sesudah mendapat ‘izin kuota’ dari pihak berkuasa setempat (Majlis Ugama Islam Singapura) dan visa haji. Sekali gus ini boleh ‘meluputkan’ khidmat ejen haji setempat.

Kuota haji dilaksanakan kerajaan Saudi, dengan sokongan banyak negara majoriti Muslim, sekitar tiga dekad lalu memandangkan terhadnya tampungan Tanah Suci – kota Makkah, Padang Arafah dan Mina – hanyalah seluas 335km persegi atau separuh Singapura.

Sejak 1927, para jemaah haji terus meningkat dari 100,000 sehingga pernah mencecah 3.5 juta jemaah dalam dekad lalu.

IKTIBAR SILAM UNTUK MASA DEPAN

Memanglah haji dinilai sebagai suatu tahap pelengkap ‘laluan usia’ (rite de passage) dari segi amalan agama. Imej seseorang yang bergelar ‘haji’ atau ‘hajah’ cukup mulia di mata saudara Muslim. Namun gelar tadi kian sukar dicapai disebabkan oleh pelbagai cabaran.

Kini umat Islam berjumlah 1.7 bilion (23 peratus penduduk sejagat) dan dijangka menjadi umat majoriti pada 2050.
<p>(Gambar: Saudi Gazette/Facebook)</p>

Jika Tanah Suci hanya dapat menampung sehingga had optimum 5 juta, bermakna seseorang Muslim perlu menanti puluhan atau lebih 100 tahun untuk dapat menunaikannya. Keadaan permintaan jauh mengatasi penawaran ini, antara lain, telah mendorong kos naik haji melambung.

Oleh itu, elok sekali Muslim yang berkemampuan merasa reda sekadar naik haji dan umrah sekali saja dalam hayatnya bak dilakukan Rasulullah SAW. Maka, berikanlah peluang tadi kepada saudara seagama yang lain.

Lebihan rezeki mereka pula dihulurkan sebagai sedekah, wakaf dan kebajikan ummah. Demi toleransi dan perpaduan ummah.

MENGENAI PENULIS:

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)
Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan