Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dunia perlu terus cekal sedang gelombang pandemik meliar lagi

Lebih setahun kita melalui berbagai usaha melawan pandemik koronavirus termasuk pelaksanaan besar-besaran vaksinasi di merata dunia,  nampaknya virus COVID-19 jelas tidak mudah ditundukkan.    

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Dunia perlu terus cekal sedang gelombang pandemik meliar lagi

Gerakan vaksinasi besar-besaran di merata dunia bermula dengan golongan usia senja (Gambar: Victoria Jones/Pool via Reuters)

Ada yang terpaksa mengongsi katil hospital untuk mendapatkan bantuan pernafasan, sementara ada juga yang langsung tidak dapat di bawa ke hospital kerana kekurangan katil-katil.

Liputan dan gambaran terbaru mengenai keadaan kesihatan yang mencemaskan di India itu mengingatkan kita keadaan di negara-negara Eropah seperti Itali dan Britain semasa bermulanya pandemik COVID-19 setahun lalu.

Setahun kemudian, walaupun selepas vaksin sudah ditemui dan mula diberikan kepada jutaan manusia, dunia nampaknya bakal berhadapan dengan peningkatan semula gelombang baru jangkitan.

Beberapa hari lalu dunia baru sahaja mencatatkan kematian 3 juta orang akibat pandemik ini, dengan jumlah jangkitan pula berada di paras sekitar 140 juta orang.

(Gambar: REUTERS/Amit Dave)

Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan,  dunia mengambil masa hampir 8 bulan untuk mencatatkan kematian sejuta orang. Tetapi angka itu berlipat ganda kepada dua dan tiga juta orang dengan mengambil masa hanya tiga bulan sahaja setiap fasa.

Begitu juga dari segi jumlah kes jangkitan – selepas lapan bulan pandemik berlaku ia meningkat kepada 30 juta di merata dunia. Tetapi dalam masa tiga bulan seterusnya jumlah kes meledak tiga kali ganda kepada 90 juta orang pada awal Januari tahun ini dan bertambah lagi sebanyak 50 juta kes pada April ini.

KEBIMBANGAN BARU

Walaupun hampir setiap hari kita mungkin tidak terlepas daripada membaca berita-berita tentang kes jangkitan, apa yang berlaku beberapa hari lalu seharusnya menimbulkan kebimbangan baru kepada kita sebagai masyarakat dunia.

India dengan jumlah kes jangkitan harian meningkat kepada lebih 230,000 dengan setiap hari mencatatkan angka tertinggi sejak lebih seminggu lalu.

Dengan jumlah kesnya melebih 14 juta, ia kini hanya di belakang Amerika Syarikat sebagai negara kedua terbesar dengan kes covid.

Dikhuatiri bahawa angka kematian di India dijangka berlipat ganda pada bulan Jun,  daripada jumlahnya sekarang sebanyak lebih seribu orang sehari.

PENINGKATAN SEMULA

Bagi negara-negara Asia lain, kita juga tidak terlepas daripada peningkatan semula gelombang pandemik ini.

Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa kes jangkitannya melebihi paras 2,000 sehari, kali pertama ini berlaku semula dalam sebulan (dengan rekod kes tertinggi sebanyak lebih 5,200 dilaporkan pada akhir Januari lalu).

Ada berpendapat bahawa kenaikan ini berkait dengan peningkatan kegiatan dan pergerakan manusia sejak bermulanya Ramadan minggu lepas, seperti pembukaan gerai-gerai berbuka puasa.

Dengan kes jangkitan meningkat semula kepada kadar 1.14 (berbanding dengan 0.89 pada Februari), ia bermakna langkah-langkah ketat termasuk pengharaman pergerakan rentas sempadan sempena Aidilfitri besar kemungkinan perlu dikuatkuasakan buat tahun kedua berturut-turut.

(Gambar: AP)

Jepun pula yang menjadi tuan rumah sukan Olimpik 2020 menghadapi keadaan tidak pasti sama ada sukan itu perlu diteruskan tahun ini selepas ditangguhkan tahun lalu.   

Terdapat kebimbangan bahawa sekiranya Jepun gagal menurunkan kadar jangkitan di negara itu (kini mencatatkan lebih 4,000 kes sehari), sukan tersebut boleh menjadi acara ‘pembiakan besar-besaran’.

CABARAN BESAR

Tiga cabaran besar yang dihadapi kebanyakan negara dalam melawan pandemik covid adalah lambatnya proses vaksinasi untuk mencapai paras imuniti kelompok, kemunculan varian baru seperti varian British dan Afrika Selatan yang lebih mudah dijangkiti dan masalah keletihan (dan kelekaan) untuk membuat pematuhan terhadap langkah-langkah mencegah jangkitan.

Dalam ketiga-tiga cabaran ini, ramai pemerhati melihat adanya faktor kepimpinan dalam menentukan bagaimana semua cabaran tersebut seharusnya dapat ditangani dengan baik.

Berdasarkan kajian perangkaan yang dikumpulkan sejauh ini, sekiranya proses vaksinasi berjalan pada kadar sekarang, dunia akan hanya boleh melihat tercapai situasi imuniti kelompok (dengan 70% penduduk divaksinasi) seawal-awalnya pada lewat tahun hadapan.

Namun memandangkan vaksinasi tidak berjalan seperti yang telah dijangkakan maka situasi imuniti meluas itu mungkin tergendala untuk tempoh yang lebih lama lagi.

Gambar fail vaksin COVID-19 yang sedang dihasilkan di Institut Beijing bagi Produk Biological pada 26 Feb 2021. (Gambar: REUTERS/Tingshu Wang)

Antara sebab utama adalah masalah pengeluaran vaksin yang tidak mencukupi dan ada juga kerana beberapa masalah ketidaktentuan dalam membuat keputusan tentang pembelian dan pengagihan vaksin.

KADAR VAKSINASI

Singapura adalah antara sebilangan kecil negara di dunia yang cepat membuat keputusan tentang vaksin apa yang hendak didapatkan dan kemudian cepat juga ia melaksanakan vaksinasi ke serata masyarakat.

Berdasarkan kadar vaksinasi yang telah dijalankan (dengan setengah juga orang sudahpun mendapat dua dos suntikan) keadaan imuniti kelompok boleh dicapai pada akhir tahun ini.

Bagi kalangan negara-negara maju seperti Kesatuan Eropah pula ia  berhadapan dengan pelbagai masalah tunggakan, antaranya kerana proses membuat keputusan yang kompleks melibatkan negara-negara anggotanya.

Ia menjadi bertambah rumit pula dengan adanya masalah kesulitan kesan sampingan vaksin AstraZeneca, yang suatu ketika merupakan vaksin tunggak program vaksinasi Kesatuan Eropah.

Dengan vaksin AstraZeneca dan juga Johnson & Johnson – yang kedua-duanya melaporkan kes pembekuan darah pada setiap sejuta penerima – ini semua bakal melambatkan proses vaksinasi keseluruhannya.

TIADA PILIHAN LAIN

Kelengahan ini, ditambah pula dengan masalah kemunculan varian baru yang lebih berbahaya dan mungkin kalis vaksin, menyebabkan dunia tidak mempunyai pilihan lain kecuali terus berwaspada dan meningkatkan persediaan menghadapi ancaman yang lebih serius.

Sememangnya suatu keputusan yang bijak bagi setiap negara untuk terus berhati-hati dalam ‘membuka semula’ ekonomi dan masyarakat untuk beberapa ketika lagi.

Dalam keadaan yang terus tidak menentu, dengan proses vaksinasi bakal tertunggak di sana sini, sementara kes-kes jangkitan pula menunjukkan trend gelombang peningkatan baru, kepimpinan yang bijak dan cekal memang amat penting sekali.

Kemampuan mereka mengambil keputusan yang tepat dan bersesuaian disamping mendapat penerimaan meluas daripada masyarakat, membolehkan  negara dan rakyat bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan