KOMENTAR: Dua Dekad RRG Melawan Ideologi Radikal

(Gambar: Kementerian Perhubungan dan Penerangan/ Lim Sin Thai)
Dalam ucapannya kepada para menteri kabinet, anggota parlimen, pemimpin masyarakat dan asatizah yang menghadiri majlis tersebut, Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut berkongsi bahawa 90 peratus daripada 140 individu Singapura yang terjerumus ke dalam aktiviti pengganasan sejak 2002 telah mencapai kemajuan yang baik dalam pemulihan mereka dan berjaya disepadukan semula ke dalam masyarakat.
PM Lee juga menyampaikan penghargaan pemerintah kepada RRG yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menentang pengganasan selama dua dekad. Selain menentang ideologi radikal, RRG aktif memupuk kesefahaman dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum di sini.
RRG telah ditubuhkan secara rasmi pada 23 April 2003 oleh sekumpulan astizah yang diketuai Almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan. Penubuhan kumpulan sukarelawan ini merupakan reaksi kepada penangkapan anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) pada Disember 2001. Pada ketika itu, JI telah merancang beberapa serangan bom di negara ini.
Pada awal penubuhannya, RRG berkecimpung dalam memberikan kaunseling keagamaan kepada tahanan JI sahaja.
Namun, pada hari ini, skop kaunseling RRG telah diperluaskan kepada memberikan kaunseling kepada individu yang menjadi radikal serta tahanan wanita. Para sukarelawan wanita RRG pula berperanan memberikan kaunseling kepada tahanan wanita dan isteri para tahanan dan anggota keluarga mereka.

RRG mempunyai dua skop tanggungjawab yang utama. Pertama ialah kaunseling keagamaan kepada para tahanan ISA dan keluarga mereka. Satu lagi skop yang menjadi urusan penting RRG sejak 2005 ialah mendekati masyarakat melalui perkongsian pengalaman dan penyampaian ilmu.
Tanggungjawab mendekati masyarakat ini amat penting kerana ia bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya ideologi radikal sekali gus membentengi mereka daripada terjerumus ke kancah fahaman radikal dan tegar. Ini dilakukan melalui pelbagai wadah termasuk wadah dalam talian.
Contohnya, selain daripada mengadakan ceramah dan forum awam, RRG juga giat mendekati masyarakat melalui wadah online seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, lelaman web dan juga TikTok yang bakal digunakan RRG tidak lama lagi.
ERA BARU RRG
Setelah dua dekad, RRG kini memasuki era baru dalam usahanya menentang pengganasan dan fahaman radikal di Singapura. Era baru ini menyaksikan landskap pengganasan dan juga profil tahanan yang berubah. Era baru ini juga menyaksikan peralihan pucuk kepimpinan RRG.


Pada hari ini landskap ancaman pengganasan telah berubah. Ketika RRG memulakan tugasannya pada awal-awal tahun penubuhannya, pengganas atau individu yang ditahan ISA tergolong daripada sesebuah kumpulan yang berstruktur seperti JI, Al-Qaeda, Abu Sayyaf dan sebagainya.

Namun hari ini, individu-individu yang menjadi radikal dan ditahan di bawah ISA tidak lagi tergolong dari mana-mana kumpulan pengganas. Mereka menjadi radikal dengan sendiri akibat terpengaruh dengan fahaman dan ajaran kumpulan atau individu ekstrem yang mereka dapati dalam talian.
Begitu juga profil tahanan JI dan individu yang menjadi radikal hari ini sudah berubah. Contohnya, mereka yang menjadi radikal pada hari ini hampir kesemuanya tergolong dari anak muda dan remaja bawah usia 25 tahun. Ini berbeza sekali dengan usia anggota JI di Singapura yang berumur antara 30 hingga 60 tahun.
CABARAN MASA KINI RRG
Pada hari ini, fenomena individu menjadi radikal dengan sendiri (self radicalisation) ini telah melanda dunia, bukan hanya di Singapura. Ini disebabkan wadah yang digunakan dalam proses radikalisasi seseorang itu adalah internet dan media sosial.
Ramai daripada mereka yang menjadi radikal juga bukan hanya tertarik dengan fahaman dan diayah kumpulan pengganas seperti ISIS sahaja. Malah mereka terpengaruh dengan ajaran agama bersifat tegar yang telah disampaikan oleh penceramah luar yang mereka perolehi dari internet dan media sosial. Apa yang menjadi masalah di sini ialah ajaran agama yang disampaikan mereka kebanyakannya tidak sesuai dengan konteks kehidupan Singapura yang berbilang kaum dan agama.
Cabaran utama RRG masa kini bukan hanya meluruskan doktrin agama yang telah disalahgunakan oleh pengganas seperi Jihad, Hijrah, Al-Wala’ wal Bara’, Ummah dan sebagainya. Namun, RRG pada hari ini berdepan dengan cabaran menangani fahaman dan orientasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat dan membawa kepada pengganasan.
Antara fahaman dan orientasi ini termasuk fahaman tegar dan pelampauan, sikap eksklusif, sentimen antiagama, perkauman dan ideologi kebencian. Kesemua fahaman ini telah tersebar luas dalam media sosial yang telah disampaikan penceramah luar yang bersikap tegar dan ekstrem. Ini merupakan ancaman utama masa kini.

Masyarakat terutama sekali golongan anak muda harus diberikan kefahaman tentang bahaya ancaman ini agar mereka terselamat daripada perangkap radikalisasi.

KESIMPULAN
Usaha RRG dalam membanteras fahaman radikal dan mengembalikan mereka yang terjebak dalam kancah fahaman pelampau selama 20 tahun ini telah menghasilkan natijah yang diharapkan.
Seperti yang telah dikongsi oleh PM Lee dalam ucapannya di majlis pelancaran Galeri Majulah RRG, sebahagian besar tahanan ISA telah selamat dipulihkan dan mereka telah kembali ke pangkuan masyarakat dengan baik.
Ini satu petanda bahawa usaha RRG telah mencapai matlamatnya.
Bahkan pendekatan RRG dan juga Singapura dalam menangani ancaman pengganasan dan radikalisme telah menjadi satu contoh baik bagi dunia yang menghadapi ancaman serupa hari ini.
Namun, usaha menentang fahaman radikal tiada noktahnya. Ancaman radikal akan kekal buat masa yang lama. Begitu juga usaha RRG dan masyarakat dalam menangani cabaran hari ini dan juga ancaman yang menggugat kestabilan negara dan keharmonian kaum harus terus dipertingkatkan dengan lebih berkesan.
Dengan wujudnya kesatuan dan kerjasama erat antara pemerintah dan masyarakat dan juga antara pelbagai golongan masyarakat berbilang kaum dan agama di sini, kita mampu mengharungi cabaran ini dengan lebih baik lagi pada masa akan datang.

Dr Mohamed Bin Ali adalah Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Beliau juga adalah Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.