KOMENTAR: Digendong Adat, Kehidupan Bermanfaat
Kesempurnaan hidup berkeluarga dan bermasyarakat digandingkan maknanya dengan sejauh mana adat itu dijunjung dan dilaksanakan.
Peribadi yang tidak memperlihat tindakan yang sepatutnya, akan disebut sebagai “tidak beradat.” Dalam kalangan keluarga, apabila sudah terujar oleh emak dan ayah, anak mereka yang “tidak beradat” itu adalah teguran paling serius, dan ia sangat memalukan bagi anak tersebut. Itulah yang kita takut apabila kita disebut orang sebagai “tidak beradat”.
Manifestasi adat dalam kehidupan masyarakat Melayu menjelma dalam pelbagai segi. Sering kali, banyak kegiatan dan amalan seharian yang diatur dengan adat. Contohnya, apabila ada tetamu yang datang, adatnya mestilah mereka dihidangkan setidak-tidaknya secawan kopi atau teh.
Tetapi dalam menghidangkan minuman itu, ia mestilah dituangkan ke dalam cawan yang ada alasnya, termasuk diletakkan di atas dulang sebelum kita meletakkannya di meja tamu. Itulah adatnya, termasuk menjamu dengan sedikit kuih dan juadah yang ada di dapur. Itulah adat menerima tetamu.
Adat juga sering kali dikaitkan dengan bagaimana kita menjadi tertib di depan orang tua, atau orang yang lebih berpangkat dan berwewenang daripada kita. Pastinya itu betul, tetapi cakupan adat lebih dari itu sebenarnya.
Adat bukan sahaja merangkumi bagaimana kita menampilkan diri di depan masyarakat tetapi juga bagaimana kita berhubungan dengan orang lain, dengan sapaan dan “pangkat menyapa”; bagaimana kita melakukan atau menjalankan pelbagai kegiatan seharian.
TIGA JENIS ADAT
Sesungguhnya takrif adat itu sangat luas. Ada makna spesifik dan ada pula yang umum. Adat terbahagi kepada tiga jenis utama.
Pertama, adat yang sebenar adat. Inilah adat yang azali dan abadi, sudah ditentukan Tuhan dan ia kekal sepanjang masa.
Kedua, adat yang diadatkan, yakni adat yang digubal dan diperkasakan dengan kesepakatan antara raja dan rakyat. Adat jenis ini boleh berubah dengan terlerainya kesepakatan.
Ketiga, adat yang teradat, yang lebih bersifat musiman dan sementara kerana ia boleh berubah dengan peredaran masa dan keperluan.
Adat sebagai peraturan yang dianjur pastinya sarat dengan dimensi moral etika. Adat asasnya mesti bersendi pada adil, akal dan keseimbangan. Adat meletakkan setiap satu anak Melayu dengan peranan dan tugas masing-masing. Seperti disebut:
“Laut seperintah raja
Rantau seperintah datuk
Luhak seperintah penghulu
Ulayat seperintah batin.”
Ungkapan adat itu bukanlah suatu kod hukuman tetapi ketertiban dan keberpatutan yang diidamkan. Ia juga bukan untuk menggugah seseorang. Apa lagi menggertak atau menggugat dengan hukuman yang keras, tetapi ia berbentuk nasihat berhemah untuk menyedarkan pendengarnya.
Beradat adalah hikmah yang diturunkan oleh nenek moyang bangsa Melayu. Ia terungkap dalam perbilangan yang bermadah, kerana ia diturunkan secara lisan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Di mana ada masyarakat Melayu, di situlah adanya adat yang terpakai dan dianjurkan. Penerimaan adat ini juga berdasarkan perbezaan tempat tinggal, kelas sosial dan pendedahan kepada tradisi nilai, sama ada dari budaya tempatan mahupun dari tradisi Islam. Ditegaskan sedemikian:
“Adat yang diikat oleh syarak
Adat bertalikan Kitabullah.”
Malah Adat dan Islam itu tidak pernah dipisahkan dalam pemahaman nenek moyang kita. Dalam wacana kolonial, adat sebaliknya dipaparkan sebagai lawanan kepada Islam.
Walhal, nilai-nilai yang dianjurkan dalam adat sangat selaras dengan pesan-pesan agama Islam yang universal. Sifat berbudi, bersikap adil, berilmu, berbahagi sesama, bersopan santun, mengamalkan rukun tetangga, berbahasa, berpekerti mulia, bersemangat gotong-royong, dan rendah hati adalah antara anjuran yang sering dilantun.
Adat rata-rata tidak boleh “diajar” semata-mata dalam bentuk mata kuliah melainkan diperlukan sosialisasi, atau pemasyarakatan. Dari orang tua kita, dapat kita belajar bagaimana mengendali kenduri atau majlis yang istimewa. Dari pergaulan dalam rumah, kita diajar dengan cara sapaan dan bagaimana berurusan dengan orang tua atau yang muda.
Pertimbangan besar yang harus diambil kira ialah yang beradat itu mestinya “manis”, “molek”, “berpatut-patut”, “berimbang”dan sepertinya. Orang yang tahu menempatkan adat, maka itulah orang yang berbudi, tanpa kira dia miskin atau kaya, berderajat atau tidak berpangkat.
Adat dari nenek moyang kita ini yang sarat dengan anjuran, teladan, tegasan, malah juga peringatan. Apabila ungkapan adat itu dilantun, ia akan bergema seiring dalam lirikan, sehingga yang mendengar akan mudah faham, tersentuh dan tertarik. Ini kerana ia bukan berbentuk paksaan, gertakan dan cemuhan.
Itulah Adat yang intinya menasihati dan meneladani. Contohnya bila kita berkumpul dan beramah-tamah dengan kawan dan taulan, harus diperhatikan sebegini:
“Berseloroh sama sebaya
Berunding sama setara
Bergelut di halaman
Berunding di rumah
Berbuat baik berpada-pada
Berbuat jahat jangan sekali
Yang patut dipatutkan
Yang tua dituakan
Yang berbangsa dibangsakan
Yang berbahasa dibahasakan.”
Menjaga adat dalam pergaulan dan perhubungan ertinya juga menjaga adab, maruah diri dan nama baik seseorang. Tercela pula bagi yang tidak beradat kerana gagal melaksanakan dan meneladani adat yang terpakai dalam masyarakat.
Menjaga “malu” adalah penting agar tidak disebut “tidak beradat”. Membawa malu kepada diri sendiri, kepada keluarga, sehingga memberi malu kepada bangsa, sering diingatkan:
“Adat hidup orang Melayu
Sama merasa aib dan malu”
Menjadi manusia beradat, itulah yang dicitrakan dalam cakerawala kebudayaan Melayu. Pastinya adat ini bukan bermaksud amalan-amalan yang sarat dengan kekolotan dan tahyul yang sering pula diseiraskan dengan “adat.”
Sebaliknya, daripada bidalan dan ungkapan adat, kita akan menemui gagasan, panduan, teladan dan penilaian yang kalau diakrabkan dalam kehidupan kita, akan menjadikan kita benar-benar apa yang disebut oleh orang Melayu sebagai “orang berbudi.”
Pendidikan untuk menyalurkan bidalan adat ini harus mendapat tempat dalam pedagogi budaya dan bahasa kita. Susunan kurikulum juga harus peka dan dapat memanfaatkan bidalan adat ini agar ia akan melekat dalam hati, meresap dalam fikiran, mewangi dalam sebutan, melengkap dalam tindakan, serta berakar dalam keperibadian.
Atas kesedaran menyumbang kepada usaha menggalak pengenalan dan pemahaman mendalam kepada bidalan dan ungkapan adat Melayu, maka sebuah bengkel “Bidalan Adat, Budaya Dimartabat: Menelusuri Ungkapan Tradisional dan Cakerawala Adat” akan diadakan di Perpustakaan Negara pada Sabtu ini, tanggal 14 September 2024.
Bengkel ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Pengajian Melayu, NUS, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) di bawah kelolaan Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Pak Tenah Effendy pernah melantun sedemikian: “Tegak Menjaga Tuah, Duduk Memelihara Maruah.” Itulah semangat yang dapat kita tukil daripada bidalan dan ungkapan adat kita.
Menjejaki khazanah adat kita harus mendapat tempat dalam telaah budaya kita, khususnya kepada para pendidik dan pemimpin. Bidalan adat sebegini “tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” adalah sebahagian daripada 'perennial wisdom' leluhur kita, yang pastinya ada yang wajar diturunkan dan dikembangkan.
Membawa gagasan dan tindakan yang bermanfaat dalam masyarakat memerlukan tekad, keyakinan dan usaha. Begitulah disebut “Tegak tak berganjak, duduk tak beralih,” yakni mampu meneruskan usaha betapa arusnya kuat menentang. Ini wajar pula disambut dengan “mahu dengan selamat, tahu dengan berilmu.” Menjayakan perubahan dalam masyarakat mestilah dengan kandil ilmu berserta dengan semangat yang terus menyala. Izinkan saya mengubah madah:
Digendong Adat, kehidupan bermanfaat
Kalau budi bertempat, ikhtiar jalan akan selamat
Kalau ada yang tercicir, harus kita bantu sekuat kudrat
Kalau banyak tersungkup alpa, kita bergendang jadi peringat
Kalau segelintir ragu dan kaku, kita lantunkan kekata hikmat
Adat digendong membawa manfaat, jadikanlah itu nadi semangat.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.