Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Di sebalik kemenangan Taliban, muncul pula ancaman baru dari ISIS-K di Afghanistan

Para penganalisis keselamatan juga percaya bahawa dalam kalangan lebih 5,000 tahanan yang dibebaskan oleh Taliban pada minggu lalu, terdapat beberapa warga Asia Tenggara yang menganggotai kumpulan pengganas ISIS-K.  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Di sebalik kemenangan Taliban, muncul pula ancaman baru dari ISIS-K di Afghanistan

Anggota Taliban berkawal di luar lapangan terbang di Kabul, Afghanistan pada 31 Ogos 2021 (Gambar: Reuters)

BERITAmediacorp: Seramai 13 askar Amerika Syarikat dan 90 warga Afghanistan sendiri tewas kepada serangan nekad yang dilancarkan di luar lapangan terbang Kabul pada Khamis (26 Ogos). Serangan nekad itu dilancarkan beberapa hari selepas Taliban memasuki Kabul.

Kepulan asap kelihatan berlegar di udara susuli letupan di luar lapangan terbang di Kabul, Afghanistan, pada 26 Ogos 2021. (Gambar: Wali Sabawoon/AP)

Serangan nekad itu mengingatkan kita supaya jangan terlalu pantas mengharapkan pengganasan akan lenyap begitu saja di Afghanistan apabila Taliban kembali berkuasa. Taliban juga tidak mungkin akan melepaskan hubungannya dengan Al-Qaeda begitu saja.

DEJA VU DI AFGHANISTAN

Meskipun selepas Taliban digulingkan pada tahun 2001, Al-Qaeda masih di Afghanistan bersama Taliban. Hubungan antara kedua-dua kumpulan tegar ini malah bertambah rapat dan kukuh.

Cabang ISIS yang beroperasi di Afghanistan dan Pakistan, yang dikenali sebagai IS Khorasan, mengaku bertanggungjawab atas serangan nekad itu yang sekali gus mengesahkan jaringan pengganas silang negara yang aktif di negara yang sudah berkonflik selama lebih 40 tahun itu.

Bahkan serangan nekad di Kabul itu boleh membuka satu babak baru dalam “perang terhadap pengganasan (war on terror) yang sudah diperjuangkan oleh Amerika Syarikat sejak 20 tahun belakangan ini.

Dalam konteks keamanan serantau, keadaan di Afghanistan pada saat ini ibarat seperti ‘déjà vu’ iaitu istilah dari Perancis yang bermakna “peristiwa masa lalu yang seolah-olah berulang kembali”.

Pada 2001, Amerika menemui dokumen rahsia Al-Qaeda yang disembunyikan di Afghanistan. Dokumen tersebut memperincikan beberapa serangan pengganas yang dirancangkan di Asia Tenggara termasuk di Singapura.

Lebih mengejutkan lagi ialah serangan-serangan tersebut akan dilancarkan oleh sel aktif Al-Qaeda di Asia Tenggara iaitu Jemaah Islamiyah (JI).

JI adalah rangkaian pengganas yang mempunyai beribu-ribu anggota di Indonesia, Malaysia, Singapura, selatan Filipina dan Australia.

Bagaimanakah kemampuan kumpulan pengganas itu di Asia Tenggara sekarang?

DINAMIK JEMAAH ISLAMIYAH

Hampir kesemua anggota JI di Singapura dan Malaysia sudah diberkas oleh pihak berkuasa dan dipenjarakan. Sepanjang tempoh mereka ditahan di penjara, mereka turut menjalani proses pemulihan. Bagi yang dianggap sudah tidak lagi mengancam keselamatan masyarakat, mereka akan dibebaskan.

Namun ada juga yang sampai ke hari ini masih berpegang teguh kepada ideologi lama mereka seperti pemimpin-pemimpin JI Singapura, Ibrahim Maidin dan Mas Selamat Kastari.

Di Indonesia, beratus-ratus anggota JI sudah ditangkap dan menjalani program pemulihan yang dikendalikan oleh pihak berkuasa. Bahkan beberapa bekas banduan kini terlibat secara aktif dalam usaha mencegah dan membanteras pengganasan.

Anggota Taliban berkawal di luar lapangan terbang di Kabul, Afghanistan pada 31 Ogos 2021 (Gambar: Reuters)

Salah satu contohnya ialah Khairul Gazali. Dia adalah 'alumni' Afghanistan yang terlibat dalam serangan-serangan pengganas, termasuk merompak bank dan menyerang balai polis di Hamparan Perak, Deli Serdang di Sumatera Utara, Indonesia.

Setelah menjalani hukuman penjara selama enam tahun, dia kemudian membangunkan sebuah pesantren yang diberi nama Al Hidayah yang sebenarnya melatih kanak-kanak sebagai pelaku pengganasan.

“Agar tidak ada lagi lingkaran balas dendam” jelas Gazali dalam satu wawancara. “Cara pandang jihad yang salah akan memakan banyak korban,” tambahnya.

Beberapa bekas anggota JI dalam senyap-senyap cuba menegakkan agenda politik mereka dan mengubah sistem politik Indonesia menjadi sebuah negara Islam.

JI masih aktif hingga ke hari ini.

Pemberkasan 58 anggota JI pada bulan Ogos lalu menjadi bukti kumpulan tegar itu masih aktif dan berleluasa.

Menurut Argo Yuwono, jurucakap polis Indonesia, mereka yang diberkas cuba melancarkan serangan pengganas pada cuti Hari Kemerdekaan Indonesia dan mereka juga terlibat dalam pelbagai kegiatan dakwah JI, termasuk mengumpul dana melalui ribuan kotak amal yang disebarkan di Sumatera dan Jawa.

Selain menggunakan kotak-kotak derma untuk mengumpul dana daripada masyarakat, JI juga bergerak seolah-olah ia adalah sebuah perusahaan sosial (social enterprise). JI memiliki perusahaan ladang, pertanian, perniagaan barang terpakai dan menghasilkan fabrik yang diperbuat daripada kulit.

Mereka juga memperjuangkan isu-isu hak asasi manusia seperti konflik di Syria dan nasib pelarian Rohingya untuk mengumpul dana.

Disebabkan pihak berkuasa Indonesia gagal mematahkan perjuangan mereka, JI juga cuba menembusi sistem pendidikan negara itu dan mendapatkan sokongan daripada pihak pesantren. Ini menunjukkan betapa JI cuba melebarkan pengaruhnya.

Dengan kemenangan Taliban di Afghanistan, para penyokong JI sangat berbangga dengan pencapaian itu. Mereka semakin yakin bahawa perjuangan untuk merebut kuasa adalah satu perjuangan jangka panjang dan bersifat 'transendental' atau pemikiran yang berdasarkan logik.

Yakin bahawa kemenangan itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, JI mungkin akan mengambil pendekatan yang berbeza

(1) memperhalusi gerakannya
(2) mengurangkan pelibatannya dengan pengganasan
(3) menahan diri daripada melancarkan serangan pengganas kerana mereka belum kuat

Namun ini tidak bermakna JI adalah sebuah pertubuhan yang moderat. JI sebaliknya akan terus mempertahankan sifat utamanya, iaitu sebagai sebuah gerakan jihad. Oleh itu, latihan bersenjata bagi para anggotanya akan terus dijalankan.

TANGGAPAN PRO-ISIS DI ASIA TENGGARA

Seperti yang berlaku di Afghanistan, kumpulan-kumpulan pro-ISIS di Indonesia tidak senang melihat kemenangan Taliban. Bagi mereka, Taliban masih mahu mengadakan rundingan dengan musuh Islam, iaitu Amerika Syarikat. Bahkan, di media sosial, mereka bergembira dan menyokong serangan pengganas yang dilancarkan di Kabul.

Dapatan tinjauan menunjukkan bahawa media sosial berupaya membuka peluang kepada para individu yang bukan anggota kumpulan pengganas untuk melakukan “penghijrahan” ke Afghanistan.

Kisah pemuda asal Aceh, Riki Darmawan Zakaria, 24 tahun, yang sekarang berada di penjara Kedung Pane, Semarang, Jawa Tengah adalah salah satu contohnya.

Pada 2017, Riki kerap membaca rencana-rencana dari internet dan dia juga sering mendapatkan pelbagai berita tentang ISIS di Syria. Riki tertanya-tanya mengapa ISIS sering dimusuhi dan diperangi. Riki kerap melungsuri Internet untuk mencari artikel tentang ISIS di laman web milik kumpulan-kumpulan yang pro-ISIS dan melalui YouTube tentang perjuangan ISIS menegakkan syiah Islam.

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Ironinya, sistem algoritma di internet menyebabkan dia terus masuk ke lelaman kumpulan penyokong ISIS. Lama-kelamaan, dia terpengaruh dengan ISIS dan mahu membantu perjuangan ISIS. Atas saranan teman onlinenya, Riki bertemu muka dengan seorang pendakwah pro-ISIS di Aceh yang juga merancang untuk berhijrah ke Syria.

Pada Januari 2019, Riki membuat permohonan untuk mendapatkan pasport daripada penguasa imigresen Aceh. Pendakwah pro-ISIS itu memberitahunya bahawa ISIS semakin terdesak di Syria. Ramai ‘ansor daulah’ - iaitu istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kumpulan-kumpulan yang pro-ISIS - sudah berhijrah ke Khorasan Afghanistan.

Dengan menjual motosikalnya dan menggunakan simpanannya, Riki bertekad untuk berhijrah ke Khorasan bersama 10 orang lain, termasuk pendakwah pro-ISIS itu yang juga merancang untuk membawa adik, ibu, isteri dan anaknya.

“Nanti kita akan dijemput di Iran oleh kontak lama saya,” menurut pendakwah itu.

Setelah berlepas dari Medan, mereka melakukan penerbangan ke Bangkok. Mereka bagaimanapun ditangkap oleh pihak berkuasa di lapangan terbang dan dihantar pulang ke Indonesia.

ORANG TENGAH ANTARA ASIA TENGGARA DENGAN ISIS-K

Kisah Riki ini menunjukkan bahawa warga Indonesia sudah menjadi orang tengah atau “contact person” di Afghanistan.

Polis Indonesia mengesyaki orang tengah yang dimaksudkan itu ialah Saefullah alias Daniel alias Chaniago yang pernah bekerja sebagai seorang pustakawan di pesantren Ibn Masud, Bogor, Jawa Barat, yang sudah ditutup pada 2017. Dari pesantren itulah wujud rangkaian dengan Syria, Marawi dan Afghanistan.

Nampaknya Saefullah bukanlah satu-satunya militan dari Asia Tenggara yang bergabung dengan IS Khorasan. Menurut laporan media pada 28 Ogos, dua warga Malaysia dipercayai bergabung dengan IS Khorasan dan ditangkap oleh Taliban di Kabul.

Para penganalisis keselamatan juga percaya bahawa dalam kalangan lebih 5,000 tahanan yang dibebaskan oleh Taliban pada minggu lalu, terdapat beberapa warga Asia Tenggara yang menganggotai IS Khorasan (ISIS-K).

Jika benar, adakah ini bermakna terdapat sel pengganas yang aktif di Asia Tenggara seperti 20 tahun yang lalu?

LANGKAH SETERUSNYA

Maka itu, berhati-hatilah semasa mencari maklumat dan mengeluarkan komen di media sosial tentang isu sensitif itu. Pada awalnya kita mungkin serupa dengan kes Riki tetapi akibat sistem algoritma di Internet, kita boleh terjebak dalam “kancah radikalisme”. Bak pepatah Inggeris, “curiosity kills the cat”.

Bagi pandangan saya, adalah kurang tepat untuk mendapatkan perkembangan di Afghanistan pada saat ini hanya melalui radikalisme agama. Kita tidak boleh mengabaikan faktor-faktor geopolitik dan ekonomi antara negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, India dan Pakistan yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Memandang ke hadapan, kita mungkin akan menyaksikan satu fenomena baru di mana Amerika Syarikat mungkin akan bekerjasama dengan seteru lamanya, Taliban untuk membanteras ISIS-K.

Ini sedang China dan Rusia bekerjasama dengan Taliban melalui bidang ekonomi untuk membangunkan infrastruktur utama di Afghanistan seperti rumah sakit, sekolah dan jalan raya sebagai prasarana penting dalam pembangunan negara atau “nation building”.

Pembangunan negara yang inklusif di Afghanistan sangat penting. Jika Taliban gagal dalam proses ini, maka wilayah-wilayah yang tidak dikuasai oleh Kabul akan dijadikan sebagai tapak semaian untuk melatih para anggota militan daripada rangkaian pengganas rentas sempadan seperti Al-Qaeda, ISIS dan juga JI.

Kemungkinan ini menjadi keprihatinan utama masyarakat antarabangsa, termasuk di rantau Asia Tenggara.

MENGENAI PENULIS:

(Gambar: Laman Universiti Monash)
Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan