Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Dasar luar negara Arab kini lebih utamakan kerjasama ekonomi; bukan setakat basmi fahaman tegar

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Dasar luar negara Arab kini lebih utamakan kerjasama ekonomi; bukan setakat basmi fahaman tegar

Gambar dipetik dari laut Dubai pada 3 Mac 2021 menunjukkan pencakar langit amiriah Teluk dengan menara Burj Khalif di tengah-tengah. (Gambar: GIUSEPPE CACACE / AFP)

BERITAmediacorp: Langkah sebilangan negara Arab termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain untuk menjalin semula hubungan diplomatik dengan Israel adalah hasil peralihan tumpuan dasar luar dari perjuangan menentang ideologi pelampau dan percaturan geopolitik semata-mata kepada kepentingan nasional seperti pembangunan ekonomi dan keupayaan saintifik, menurut Penolong Menteri Kebudayaan (UAE) Omar Saif Ghobash semasa menyampaikan Ceramah S R Nathan anjuran Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 27 Oktober 2021.

Saya sudah bertugas di Kementerian Ehwal Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE) dari semasa ke semasa sejak saya berusia 22 tahun lagi. Ini bermakna saya dapat menyaksikan pelbagai perubahan ketara pada dasar luar negara kami sejak awal 1990-an. Ia juga memberikan saya masa untuk merenungkan matlamat yang ingin dicapai melalui dasar-dasar luar tersebut dan matlamat yang ingin dicapai menerusi perubahan terbaru pada dasar luar negara kami.

Maka itu, terdapat kecenderungan untuk mengimbas kembali dua peristiwa penting secara khususnya: serangan 9/11 dan apa yang disebut-sebut sebagai Kebangkitan Dunia Arab (Arab Spring) sebagai titik permulaan bagi perbincangan dasar luar negara meskipun kedua-dua peristiwa itu dipisahkan oleh tempoh selama sepuluh tahun.


Namun pada hakikatnya, saya fikir anda perlu memahami kedudukan kami pada awal 1990-an apabila saya baru menjejakkan kaki saya ke dalam pejabat Kementerian Ehwal Luar UAE buat pertama kalinya.

Pada ketika itu, Iraq baru saja menyerang Kuwait dan peristiwa itu mencetuskan perubahan pada pemahaman negara-negara Teluk terhadap hubungan antara sistem pemerintahan beraja dengan republik-republik dalam dunia Arab. Sikap kepercayaan yang berwaspada itu dibayangi oleh perasaan terkejut kerana negara-negara republik dalam dunia Arab mengambil pendirian menentang Kuwait dan secara tidak langsung, turut menentang negara-negara Teluk yang lain.

Sungguhpun pemahaman itu tidak segera menyebabkan perubahan dasar luar, ia kekal sebagai satu perkara yang sentiasa bermain di benak fikiran saya dan mungkin merupakan salah satu faktor yang mencorak pandangan negara-negara Teluk terhadap negara-negara lain dalam dunia Arab.

iraq konflik
Gambar fail sebuah konflik di Iraq (Gambar: AFP)


Kesedaran bahawa sebahagian lapisan penduduk Arab mengalu-alukan serangan Iraq ke atas Kuwait mengingatkan kami bahawa perpaduan dunia Arab mungkin bukan satu perkara yang begitu mudah boleh dipertahankan, contohnya dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan umum menerusi Liga Negara-Negara Arab. Lantaran itu, saya menganggap serangan Iraq ke atas Kuwait sebagai salah satu peristiwa yang mencetuskan anjakan kepada sikap lebih menitikberatkan kepentingan, kuasa dan kedaulatan negara masing-masing.

Jika dahulunya kami akan menghubungkaitkan negara-negara kami dengan gerakan-gerakan yang memperjuangkan kepentingan Palestin, Arab dan Islam, kami mula menyuarakan keprihatinan tentang tuntutan pengorbanan oleh negara kami demi memperjuangkan gerakan-gerakan sedemikian. Rakyat dan para penggubal dasar mula menitikberatkan kepentingan kami sendiri dalam wilayah kami sendiri.

PERUBAHAN SELEPAS SERANGAN 9/11

Kemudian berlaku pula serangan 11 September dan tiba-tiba kami digolongkan kembali dalam rumpun Arab. Orang Arab dipandang dengan tanggapan seolah-olah mereka semua bersalah. Negara-negara Barat mula menuntut perubahan sistem pendidikan dan kewangan di rantau itu untuk mencegah pendanaan bagi pengganasan dan penyebaran fahaman tegar. Negara-negara Arab semakin tertekan untuk mengubah sistem masing-masing.

Kami mula memikirkan sama ada masalahnya terkait dengan imej kami, imej sebagai kaum Arab yang beragama Islam, atau sama ada terdapat masalah lebih mendalam yang menjangkaui isu masalah imej. Di UAE, kami mula mengorak langkah untuk mengambil pendirian selaras dengan nilai-nilai yang menjadi pegangan kami dan dalam diam kami menyertai perikatan tentera bersekutu di Afghanistan.

Pada mulanya kami tidak mahu menguar-uarkan penyertaan kami tetapi kami ingin menyampaikan dengan jelas bahawa kami menentang pelampau, sama ada yang berhubung kait dengan Islam atau tidak, berhubung dengan kaum Arab ataupun tidak, dan kami akan mengambil langkah-langkah konkrit, nyata dan jelas dalam perkara ini, mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menegakkan pendirian tersebut.

kabul taliban
Anggota Taliban berkawal di Kabul, Afghanistan pada 20 Okt 2021 (Gambar: WAKIL KOHSAR/AFP)


Selaras dengan pelibatan kami di Afghanistan, Perdana Menteri kami, iaitu Amir Dubai pada ketika itu, mengeluarkan kenyataan pada lewat 2000-an yang seolah-olah membayangkan peristiwa-peristiwa yang bakal menyusul. Beliau berkata para pemimpin Arab perlu bermuhasabah tentang bagaimana cita-cita penduduk belia di negara-negara mereka akan dapat dipenuhi. Dan beliau kemudian menjalin kerjasama dengan Amir-Amir UAE yang lain untuk membangunkan sektor kerajaan yang kukuh dan cekap untuk berkhidmat kepada para penduduk tempatan dan asing serta para pelabur.

Ramai antara anda semua sedia maklum tentang pelbagai projek yang dilancarkan oleh UAE, dari perubahan undang-undang hartanah kepada projek-projek pendigitalan dan meningkatkan kecekapan khidmat-khidmat kerajaan. Peluasan pelabuhan, lapangan terbang dan syarikat-syarikat penerbangan serta penubuhan pusat-pusat kewangan bertujuan untuk menawarkan khidmat kepada pengguna seantero dunia, menjangkaui pasaran serantau.

LANCAR PELBAGAI INISIATIF BARU

Pelancaran inisiatif-inisiatif baru itu bertepatan dengan apa yang disebut sebagai Kebangkitan Dunia Arab apabila para belia dalam dunia Arab menggulingkan pemimpin sebilangan negara.

al-qaeda
Logo Al Qaeda di papan tanda tepi jalan di bandar Jaar di wilayah Abyan selatan Yemen pada tahun 2012. (Gambar: Hani Mohammed/AP)


Peristiwa itu disusuli dengan kebangkitan Al-Qaeda di Iraq dan kemudian ISIS di Syria. Pengaruh politik Islam dan fahaman tegar yang mengusulkan keganasan dahsyat mengancam minda anak-anak kita. Dan di sinilah saya melibatkan diri saya, seperti yang anda mungkin ketahui. Saya begitu bimbang tentang isu ini sehinggakan saya mengarang buku tentangnya yang menyasarkan pembaca belia Muslim.

Menyusuli peristiwa-peristiwa dan gerakan-gerakan tersebut, UAE mula mengambil pendekatan langsung dalam membanteras ideologi sedemikian yang berleluasa di rantau kami. Fahaman-fahaman buruk boleh disebarkan dengan mudah merentasi sempadan. Kami mesti bertindak sebelum pihak-pihak luar menentukan masa depan kami.

Kami memerhatikan bagaimana sebilangan kuasa besar di rantau kami dan di merata dunia mula bersikap acuh tak acuh terhadap perkembangan semasa dan lantaran itu kami perlu bersikap lebih proaktif dalam pendekatan kami. Kami sedia maklum tentang negara-negara jiran kami serta pemain-pemain utamanya dan kami juga memahami muslihat sebenar para pelampau dan mereka yang memperjuangkan politik tegar.

Kami mula menangani isu-isu luas itu menerusi kaedah-kaedah praktikal untuk mencegah keruntuhan dunia Arab ke tangan pihak-pihak yang berpegang teguh kepada ideologi tegar, eksklusif dan tanpa toleransi. Dan kami ingin memastikan agar mereka tidak mampu menggembleng sumber-sumber semula jadi dan tenaga manusia negara-negara Arab. Ini memerlukan usaha luas untuk melobi negara-negara Barat dan bukan Barat di samping menyelaraskan usaha dengan negara-negara rakan serantau.

bendera arab
Seorang pengawal memegang bendera Arab Saudi pada 29 Ogos 2019 di Washington, D.C. (Gambar: Brendan Smialowski / AFP)


Kami menunjukkan kepada negara-negara kuasa serantau bahawa kami tidak akan sekadar berpeluk tubuh. Kami percaya bahawa pendirian kami itu sudah jelas disampaikan dan kami menanti-nantikan era baru dalam hubungan kami dengan negara-negara sedemikian. Daya tarikan politik Islam kian melemah sedang para penduduk menilai kerugian akibat eksperimen dengan fahaman sedemikian. Hakikatnya, politik tegar tidak boleh disanjung sebagai satu-satunya model pemerintahan yang baik mula diterima ramai pihak. Malah keadaan sebaliknya membentuk kenyataan sebenar jika kita meneliti negara-negara lain seperti Tunisia.

KERJASAMA BARU SEMASA PANDEMIK

Kemudian, pandemik COVID-19 melanda dan tidak seperti kebanyakan negara lain, kami di UAE akur bahawa terdapat masalah-masalah yang memerlukan kerjasama dan hubungan muhibah berbilang hala, tetapi kami juga perlu menjaga sempadan negara kami. Kami tidak sepatutnya diminta untuk menyelesaikan masalah COVID-19 di peringkat serantau tetapi kami menunjukkan prestasi cemerlang dalam menghuraikan masalah itu di peringkat domestik.

covid arab
Para penumpang Arab Saudi tiba di Lapangan Terbang Raja Khaled di ibu kota Riyadh pada 17 Mei 2021. (Gambar: Fayez Nureldine / AFP


Dan meskipun kami memegang kepercayaan kuat pada institusi-institusi berbilang hala dan peri pentingnya sistem global, kami juga sedar bahawa sistem-sistem dan kelangsungan ekonomi dalam negara kami sangat tertekan. Ini mencetuskan anjakan paradigma pada dasar luar kami.

Mujur kami berhasil menangani COVID-19.

Kami mula sedar bahawa keperluan dalam negara kami adalah rumit dan lebih memerlukan campur tangan tetapi pada masa yang sama kami juga sedar bahawa ekonomi kami sangat luas, rumit, kaya dengan sumber dan sesuai bagi pembangunan selanjutnya. Kemampuan saintifik dan teknologi menjadi salah satu pemacu untuk menjalin hubungan dengan pihak-pihak luar negara.

Lantaran itu, bagaimanakah ia mempengaruhi tugas para diplomat kami?

Kami menampilkan imej UAE yang luas menjangkaui geopolitik, sumber minyak dan perjuangan menentang fahaman tegar, iaitu topik-topik yang lazim dihubungkaitkan dengan UAE sejak sekian lama dan kini, kami lebih tertumpu kepada usaha memikat pelaburan asing secara langsung.

USAHA HURAIKAN SENGKETA SERANTAU

Kami juga menumpukan lebih banyak perhatian kepada usaha memulihkan hubungan-hubungan yang rapuh sebelum ini dengan sebilangan negara serantau dengan mencapai kata sepakat dalam isu-isu yang menjadi kepentingan bersama, meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang berkenaan dan mengadakan dialog berhubung isu-isu yang dipertikaikan.

uae russia politics
Menteri Luar UAE Abdullah bin Zayed Al Nahyan (tiga dari kiri) bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Sergei Lavrov (tiga dari kanan) dan rombongannya di Abu Dhabi. (Gambar: Kementerian Ehwal Presiden UAE/AFP)


Saya fikir contoh yang paling ketara pada perubahan dasar luar negara kami adalah pemeteraian perjanjian damai dengan Israel. Ia mengisyaratkan beberapa perkara utama yang saya percaya perlu diberi perhatian oleh entiti-entiti dan kumpulan-kumpulan serantau.

Pertama, UAE adalah sebuah negara berdaulat dan kami mempunyai kuasa sepenuhnya untuk bertindak mengikut kepentingan kami. Kedua, kami percaya dengan komunikasi, bukan untuk menyekat. Keengganan untuk berbincang dengan pihak-pihak yang mempunyai perbezaan dengan kami mendatangkan hasil yang kurang memuaskan bagi kami dan kebanyakan negara dalam dunia Arab. Kami menggalak pihak-pihak lain serantau untuk meneliti contoh yang kami sediakan.

bendera palestin

Ketiga, kami mampu merungkaikan satu persatu isu-isu yang dipertikaikan dengan negara-negara lain. Ya, kami berbeza pendapat tentang isu Palestin, tetapi pada masa yang sama, kita juga boleh bekerjasama dalam bidang-bidang ekonomi dan teknologi. Bahkan, kerjasama membolehkan kita untuk saling memahami antara satu sama lain dan membuka pintu kepada lebih banyak perbincangan bermanfaat dalam bidang-bidang yang dipertikaikan.

Keempat, kami bersikap pragmatik dan tanggungjawab terutama kami adalah kepada UAE. Kami akan bekerjasama dengan sesiapa saja yang mampu membantu merancakkan kemajuan kami sebagai sebuah negara dari segi kemasyarakatan, kebudayaan, ekonomi dan politik. UAE mengisyaratkan kepada negara-negara serantau dan seantero dunia bahawa tumpuan dasar luar kami sudah beralih.

Contohnya, apabila kami menyambut lawatan Pope Francis ke Abu Dhabi, ia merupakan satu langkah penting yang memberi isyarat bahawa kami sangat berpegang teguh kepada prinsip keterbukaan dan toleransi serta menerima kepercayaan orang-orang yang berlainan agama.

pope francis abu dhabi
Pope Francis bertemu orang ramai di Stadium Bandar Sukan Zayed di Abu Dhabi pada 5 Februari 2019 sebelum memimpin satu upacara untuk 170,000 penganut Katolik di sana. (Gambar: AFP)


Jelasnya, kerjasama dan penyelarasan rapat di peringkat antarabangsa perlu diusahakan untuk melaksanakan dasar luar negara secara berkesan dan kami giat memperluaskan kerjasama dalam sektor-sektor relevan serta mengusahakan inisiatif-inisiatif untuk terus memartabatkan pendirian kami sebagai anggota masyarakat antarabangsa.

Akhir sekali, saya berharap saya berjaya menjelaskan bagaimana UAE mencarta haluan dasar luar negaranya sepanjang kira-kira sepuluh tahun yang lalu, yang mengalihkan tumpuan dari perjuangan menentang fahaman tegar dan keprihatinan geopolitik kepada dasar luar yang mengutamakan pendampingan berbilang hala yang lebih mendalam serta menggembleng sumber-sumber kami untuk menjayakan agenda pertumbuhan ekonomi yang bertambah kompleks dan berdaya bingkas.

MENGENAI PENULIS:
Omar Saif Ghobash adalah Penolong Menteri bagi Ehwal Kebudayaan UAE.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan