Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Cita rasa umat Islam Indonesia semakin rencam pada Ramadan kali ini

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Cita rasa umat Islam Indonesia semakin rencam pada Ramadan kali ini

Para pelanggan menunggu giliran di luar restoran Pepper Lunch di Margocity Mall, Depok pada 29 Mac 2023. (Gambar: A’an Suryana)

BERITAmediacorp: Sepanjang bulan Ramadan, umat Islam di Indonesia biasanya berbuka puasa di masjid-masjid tempatan. Kini semakin ramai memilih untuk berbuka puasa di pusat-pusat beli-belah. Pilihan tempat untuk berbuka puasa menggambarkan jurang sosial yang semakin melebar dan cita rasa yang bertambah rencam dalam kalangan pelbagai lapisan umat Islam di Indonesia.

Pada hari ketujuh Ramadan di Indonesia, lobi MargoCity Mall kelihatan lengang, dengan hanya beberapa orang pelanggan berlegar-legar di kedai-kedai yang menjual pakaian, aksesori, produk kecantikan dan kelengkapan dandanan diri. MargoCity Mall adalah pusat beli-belah terbesar di Depok, yang terletak di pinggir Jakarta. Ramai pemilik kedai kelihatan sedang bermain dengan telefon bimbit mereka, berinteraksi dengan kenalan di media sosial atau memantau perkembangan berita terkini. Kawasan makanan dan minuman, yang terletak di tingkat bawah pusat beli-belah itu bagaimanapun, riuh-rendah dengan pelbagai kegiatan.

Restoran-restoran seperti Marugame Udon & Tempura dan Ichiban Sushi serta Dapur Solo menyaksikan ramai pelanggan di restoran masing-masing. Bagi sesetengah restoran pula, para pelanggan terpaksa beratur panjang sebelum dibenarkan masuk untuk menjamu selera. Ini bermakna sesetengah pelanggan mungkin lambat berbuka puasa. Ada yang ditemani oleh ahli keluarga dan rakan-rakan, walaupun majoritinya adalah anak muda. Berdasarkan pakaian mereka, ia memberikan gambaran bahawa mereka datang daripada latar belakang kelas pertengahan dan atasan.

Ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan suasana majlis iftar pada hari yang sama di sebuah masjid di Banjarmasin, yang terletak sekitar dua jam dari Jakarta melalui penerbangan. Sekitar 130 jemaah berbuka puasa di Masjid Nurul Iman yang masih dianggap baru berbanding lima masjid lain yang terletak berdekatan. Banyak motosikal diletakkan di kawasan letak kenderaan masjid tersebut. Hanya sepertiga jemaah pada hari itu menunggang motosikal untuk pergi ke masjid tersebut, manakala jemaah lain datang dengan berjalan kaki - petanda jelas bahawa mereka tinggal berdekatan dan tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Di dalam masjid tersebut, para jemaah dilihat beratur panjang, dengan ada yang sedang mendirikan solat atau membaca al-Quran. Jemaah wanita membentuk sekitar 20 peratus daripada keseluruhan jemaah di masjid tersebut ketika itu.
Kiri: Para jemaah di Masjid Nurul Iman berdoa sebelum berbuka puasa. Kanan: Soto Lamongan, sup Jawa yang dihidangkan sewaktu majlis berbuka puasa di Masjid Nurul Iman pada 29 Mac 2023. (Gambar: Ahmad Muhajir)

Udara di pekarangan masjid dipenuhi dengan aroma Soto Lamongan, sedang para relawan masjid menghidangkan soto tersebut kepada para jemaah. Imam Masjid Nurul Iman memberitahu saya bahawa dengan derma yang dikumpul setakat ini, pihak masjid cuba menyediakan hidangan iftar yang berbeza setiap hari. Menurut beliau, "sayang sekali jika para jemaah terpaksa makan bubur setiap hari sepanjang bulan Ramadan".

MASJID & PUSAT BELI-BELAH LOKASI POPULAR UNTUK BERBUKA PUASA

Di Indonesia, masjid dan pusat beli-belah adalah lokasi popular untuk berbuka puasa. Sungguhpun demikian, cara berbuka puasa yang berbeza di kedua-dua lokasi tersebut menggambarkan jurang ideologi, amalan dan cita rasa dalam kalangan umat Islam di Indonesia.

Majlis iftar secara beramai-ramai boleh diadakan di tempat-tempat awam ataupun kediaman peribadi dan ia menjadi satu tradisi di Indonesia sebelum tercetusnya penularan wabak COVID-19.

(Gambar: AFP/Ariandi)
Sepanjang bulan Ramadan pada 2020 dan 2021, pemerintah Indonesia tidak membenarkan majlis iftar diadakan disebabkan oleh COVID-19.

Larangan itu bagaimanapun dilonggarkan pada 2022, meskipun sesetengah sekatan masih dikuatkuasakan bagi mengawal penularan koronavirus.

Pihak berkuasa Indonesia menarik balik dan memansuhkan kesemua sekatan pada tahun ini.
(Gambar: AFP/Chaideer Mahyuddin)

MENGAPA UMAT ISLAM INDONESIA LEBIH SUKA BERBUKA PUASA BERSAMA DI TEMPAT AWAM?

Mengapa umat Islam di Indonesia lebih suka berbuka puasa di tempat-tempat awam? Dari sudut agama, amalan sedemikian menggalak dan mengukuhkan silaturrahmi (silaturahim) sesama umat Islam.

Selain itu, rakyat Indonesia sememangnya gemar meluangkan masa bersama sambil menjamu selera, iaitu satu tradisi yang dipegang teguh dalam budaya orang Timur.

Ramai juga yang menyifatkan penganjuran majlis iftar sebagai satu cara untuk berkongsi rezeki dengan orang lain, dengan amalan sedemikian dilihat akan membawa pahala berlipat ganda dari Allah SWT.

Menariknya, pusat beli-belah adalah ruang awam yang kedua paling popular bagi mengadakan majlis iftar atau berbuka puasa selain di masjid.

Bagi golongan pertengahan di Indonesia, pusat beli-belah menonjol sebagai tempat awam di mana mereka boleh 'dilihat dan didengar' dengan lebih ketara. Ramai rakyat daripada golongan pertengahan Indonesia, khususnya golongan belia, gemar melepak di pusat beli-belah, yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, kebersihan, keselesaan berhawa dingin dan keselamatan. Pintu masuk gedung beli-belah biasanya dijaga oleh para pengawal keselamatan dan para pembeli-belah dikehendaki menjalani pemeriksaan keselamatan.

 

KUKUHKAN UKHWAH, GALAK PEMAHAMAN SILANG AGAMA

Berbuka puasa bersama-sama di pusat beli-belah membolehkan penduduk bandar untuk mengikat semula ukhwah dengan kawan-kawan lama dan mengukuhkan persahabatan dengan rakan-rakan kerja.

Mengadakan majlis iftar di pusat beli-belah juga lebih mudah jika sesetengah daripada mereka bukan beragama Islam kerana mereka mungkin berasa tidak selesa untuk memasuki masjid.

Syarikat-syarikat swasta dan pertubuhan-pertubuhan yang menggajikan kakitangan Muslim dan bukan Muslim turut menganjurkan majlis iftar untuk mengukuhkan pemahaman silang agama dan kepercayaan.

(Gambar: AFP/Chaideer Mahyuddin)

Sejak sekatan-sekatan COVID-19 ditarik balik tahun ini, para pengendali pusat beli-belah meramalkan kadar penghunian akan meningkat dengan ketara semasa Ramadan dan Aidilfitri. Setidak-tidaknya, jumlah pengunjung dan pembeli-belah akan mencapai paras sebelum pandemik. Majlis iftar akan menjadi penyumbang penting dan ketara kepada peningkatan ini.

Sekalipun masjid-masjid terus menjadi tempat perhimpunan utama bagi umat Islam untuk berbuka puasa di luar rumah masing-masing, pusat beli-belah pula memikat kumpulan-kumpulan dengan profil tertentu.

Hakikatnya, pusat beli-belah dan masjid memenuhi keperluan iftar yang berbeza. Mengadakan majlis iftar di pusat beli-belah memerlukan golongan jemaah yang mempunyai kuasa beli yang kukuh. Oleh demikian, para jemaah seumpama itu biasanya daripada golongan pertengahan dan atasan.

Para jemaah yang menghadiri majlis iftar di masjid datang daripada latar belakang sosioekonomi yang bercampur aduk.

PERBEZAAN ANTARA IFTAR DI MASJID & PUSAT BELI-BELAH

Sekali pandang, majlis iftar yang diadakan di pusat beli-belah dan masjid menggambarkan ketidaksamaan sosial di Indonesia, yang seolah-olah menghalang pergaulan antara kumpulan-kumpulan sosioekonomi yang berbeza. Ini bercanggah dengan semangat Ramadan yang menggalak perpaduan sosial.

Memandangkan ibadah berpuasa adalah selama sebulan, maka tidak mungkin orang yang sama akan berbuka puasa di pusat beli-belah setiap hari. Mungkin ada yang akan berbuka di masjid pada hari-hari lain. Dan ini akan mengukuhkan perpaduan sosial.

Walaupun pusat beli-belah sudah menjadi antara tempat paling popular untuk berbuka puasa di Indonesia, masjid-masjid masih menjadi pilihan atas nilai-nilai keagamaan dan kerohanian. Ini juga kerana jumlah masjid jauh melebihi jumlah pusat beli-belah di Indonesia.

(Gambar: AFP/Ariandi)
Masjid-masjid memenuhi keperluan kerohanian dan keagamaan masyarakat Islam di Indonesia.

Di Banjarmasin misalnya, cuma terdapat satu pusat beli-belah berbanding 207 masjid di sana.

Masjid-masjid di Indonesia terus mengadakan majlis iftar dan mengagihkan makanan percuma setiap hari.

Bagi menguatkan lagi peranan masjid dalam Islam, umat Islam dijanjikan pahala yang lebih besar jika mereka berbuat kebaikan semasa Ramadan dan kerap beribadah di masjid. Umat Islam juga digalak untuk menderma bagi membiayai kos majlis iftar dan program-program keagamaan yang lain.

Satu lagi perkara, masjid-masjid boleh menawarkan sesuatu yang tidak boleh dilakukan di pusat-pusat beli-belah iaitu peluang untuk mendirikan solat dan beribadah. Sebelum majlis iftar, para jemaah masjid biasanya akan mengaji, membaca al-Quran dan mendirikan solat berjemaah.

Suasana majlis iftar di pusat beli-belah juga berbeza. Para pelanggan mungkin akan berbual-bual atau berbincang dengan ahli keluarga atau rakan-rakan mereka selepas berbuka puasa, dengan latar belakangnya berupa iringan muzik.

Tidak seperti di masjid, berbuka puasa di pusat beli-belah tidak mengasingkan pelanggan mengikut jantina.

Sekalipun berbeza, pusat beli-belah dan masjid adalah tempat paling popular di Indonesia untuk menyaksikan nikmat berbuka puasa secara bersama-sama.

Hakikatnya, berbuka puasa baik di masjid mahupun pusat beli-belah mencerminkan kerencaman dan kepelbagaian umat Islam di Indonesia.

Jurang ideologi antara Nahdlatul Ulama dengan Muhammadiyah atau antara Salafi dengan liberalisme memang sudah diketahui dalam kalangan ramai pemerhati. Namun, iftar di pusat beli-belah dan masjid mencerminkan satu lagi jurang: jurang sosial dan cita rasa dalam kalangan umat Islam di Indonesia.

MENGENAI PENULIS:
A'an Suryana adalah Zamil Pelawat ISEAS – Yusof Ishak Institute dan pensyarah Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universitas Islam Internasional Indonesia.

Ahmad Muhajir adalah Zamil Pelawat ISEAS – Yusof Ishak Institute dan pensyarah Fakulti Syariah, UIN Antasari Banjarmasin.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan