Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Cipta Harmoni Mula Dari Diri

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Cipta Harmoni Mula Dari Diri

Perdana Menteri Lawrence Wong (barisan hadapan, tengah) dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam (barisan hadapan, tiga dari kiri) bergambar bersama para pemimpin agama sempena ulang tahun ke-20 Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah pada 14 Oktober 2026. (Gambar: Facebook/Lawrence Wong)

Diterbitkan : 16 Oct 2026 09:13PM Dikemas Kini : 16 Oct 2026 09:19PM
COMMENTARY: Building harmony starts with ourselves
  • This article highlighted Prime Minister Lawrence Wong’s Oct 14 speech on young people becoming increasingly exposed to self-radicalisation through loneliness and online spaces.
  • The author stressed that laws such as the Maintenance of Racial Harmony Act are important, but only human relationships can build genuine trust before a crisis.
  • Over the past 20 years, Harmony Centre and Masjid An-Nahdhah have fostered interfaith ties, welcomed more than 78,000 visitors and contributed to the Singapore model.
  • Through ICCS, RSIS studies and the JIRAN Kit, the article urged society to build neighbourhoods, friendships and daily support to close off space for hatred.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kepercayaan tidak dibina ketika krisis melanda. Ia disemai ketika aman sentosa, satu persahabatan demi satu persahabatan. Ketika aman, kita menyemai. Ketika krisis, kita menuai.

Seorang anak muda duduk sendirian di biliknya. Skrin telefonnya sentiasa menyala. Ada ratusan “kenalan” dalam talian. Namun tiada seorang pun yang benar-benar mengenalinya.

Gambaran ini bukan rekaan. Dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-20 Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah pada 14 Oktober lalu, Perdana Menteri Lawrence Wong menyentuh corak yang membimbangkan ini.
Related article image
PM Lawrence Wong berucap di majlis makan malam sempena ulang tahun ke-20 Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah pada 14 Oktober 2026. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Semakin ramai individu terpengaruh dengan fahaman pelampau dan radikal secara sendiri.

Bilangan anak muda yang ditahan kerana fahaman ini semakin meningkat. Ada yang sukar menyesuaikan diri di sekolah. Ada yang bermasalah dalam keluarga. Ada yang dibuli. Mereka banyak menghabiskan masa dalam talian.

Fahaman yang mempengaruhi mereka juga semakin pelbagai. Bukan sahaja fahaman pelampau atau radikal yang menyalahgunakan nama agama, malah fahaman pelampau kanan dan neo-Nazi.

Saya tidak terkejut.

Kesunyian Datang Dahulu

Bertahun-tahun saya mengunjungi tempat yang sering dilupakan. Penjara. Asrama pekerja asing yang sesak, jauh daripada keluarga. Keluarga tercabar. Tempat anak muda duduk di pinggir masyarakat.

Pelajarannya sama setiap kali.

Seseorang jarang terasing kerana kefahaman. Dia terasing dahulu kerana ketiadaan hubungan yang tulen. Ketiadaan seorang sahabat.

Ke dalam ruang kosong itulah fahaman radikal menyusup. Ia menawarkan rasa kekitaan dan kepunyaan. Rasa itu kelihatan nyata. Tetapi ia palsu.
Related article image
Ruang kosong yang terbentuk apabila seseorang berasa terasing boleh memudahkan penyusupan fahaman radikal. (Gambar hiasan: Canva)
Dalam talian, keadaan ini lebih ketara. Seorang anak muda boleh berasa amat sunyi di tengah suapan media sosial yang sesak.

Sebab itu, jawapan kita tidak boleh hanya dalam bentuk maklumat, undang-undang atau dasar. Ia mesti bermula dengan manusia.

Undang-Undang Ada Hadnya

Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum mula berkuat kuasa pada September 2026. Ia memperkukuh rangka kerja undang-undang kita dan melindungi kita daripada pengaruh asing. Langkah ini perlu.

Namun PM Wong berterus terang. Undang-undang hanya menetapkan sempadan. Ia tidak dapat mencipta persahabatan dan kepercayaan antara manusia.
Related article image
Undang-undang memainkan peranan dalam mengekalkan keharmonian kaum, namun ia tidak dapat mencipta persahabatan dan kepercayaan antara manusia, kata PM Lawrence Wong. (Gambar: Mediacorp)
Saya bersetuju sepenuhnya. Kita tidak boleh menggubal undang-undang atau dasar-dasar untuk memaksa dua orang asing saling mempercayai. Kita hanya boleh memberi mereka peluang untuk menjadi sahabat. Apabila itu berlaku, tiada ideologi yang mampu meyakinkan mereka bahawa yang seorang lagi itu musuh.

Hubungan Muslim-Yahudi adalah antara bidang kajian saya. Saya menghabiskan masa bertahun-tahun mengkaji kepustakaan Islam dan Yahudi dan sejarah ratusan tahun hubungan Muslim-Yahudi.

Memahami hubungan ini tidak boleh hanya melalui teks-teks hukum dan undang-undang. Atau sejarah politik dan pergelutan kuasa. Tetapi melalui sejarah sosial kehidupan mereka. Sebagai jiran. Sebagai sahabat. Sebagai ahli keluarga.

Melabur Pada Waktu Aman

Kepercayaan ibarat simpanan. Ia tidak boleh dibuka buat kali pertama ketika krisis melanda. Ia mesti dikumpul lebih awal, sedikit demi sedikit, dan secara berterusan.

Inilah yang dilakukan Pusat Harmoni selama 20 tahun yang lalu. Bahkan, telah dilakukan oleh generasi sebelum itu.
Related article image
PM Lawrence Wong menulis mesej sempena Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-20 Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah yang diadakan di Hotel Ritz-Carlton pada 14 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Related article image
PM Lawrence Wong (tengah) dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad (tengah kanan) meninjau-ninjau reruai yang didirikan sebelum Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-20 Pusat Harmoni dan Masjid An-Nahdhah di Hotel Ritz-Carlton pada 14 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Yang tidak diketahui ramai ialah bagaimana kepercayaan dan hubungan baik kepimpinan agama telah membantu meleraikan pertikaian secara aman dan baik. Jauh dari perhatian media dan pekikan awam.

Apabila ketegangan timbul, hubungan itu sudah sedia ada untuk menyatukan masyarakat.

Pada waktu aman, kita melabur pada kepercayaan. Pada waktu krisis, kita menggembleng kepercayaan itu.

Saya mempunyai sahabat-sahabat baik yang sudah saya anggap sebagai ahli keluarga saya. Rabai atau pendeta Yahudi, paderi Kristian, sami Buddha dan berbagai lagi.

Saya pernah menjadi anggota Forum Abrahamik Antarabangsa yang berpusat di Jerman. Ia dianggotai kepimpinan agama dan akademik Yahudi, Kristian dan Islam. Anggota Islam termasuk pemimpin Syiah.

Bertahun-tahun kami bersama. Bukan sebagai perunding atau interlokutor (anggota berdebat dan berbincang). Tetapi sebagai sahabat. Kemudian seperti satu keluarga.
Related article image
Mesyuarat Antarabangsa Pemimpin Agama dan Pegawai Awam, di Berlin, Jerman, pada 2018. (Gambar: Dr Mohammad Hannan Hassan)
Saya akur krisis Gaza adalah satu isu rumit dan menyakitkan. Sebelum itu juga isu keresahan di Iran. Bukan isu mudah. Namun, kami saling merasakan keperitan ini. Kami bincangkan dengan terbuka. Ia tidak sama sekali meretakkan hubungan tautan hati kami. Kerana kami telah lama melabur pada pertalian hubungan dan persahabatan.

Pulau Kecil, Hati Besar

Sepanjang dua dekad, Pusat Harmoni telah menerima lebih 78,000 pengunjung. Ada murid sekolah rendah yang datang dengan penuh tanda tanya. Ada pemimpin akar umbi, pegawai awam dan keselamatan negara. Ada juga tetamu dari luar negara.

Setiap kunjungan mengajar kami sesuatu yang baharu. Tentang diri kita. Tentang orang lain. Perbezaan bukan penghalang. Ia pintu ke arah kemanusiaan bersama yang lebih mendalam.
Related article image
Pusat Harmoni memainkan peranan penting dalam memupuk kepercayaan dan kepimpinan antara agama. (Gambar: Laman web Masjid An-Nahdhah)
Related article image
Pusat Harmoni sudah menerima lebih 78,000 pengunjung sepanjang dua dekad penubuhannya. (Gambar: Laman web Masjid An-Nahdhah)
Tetamu dari luar datang untuk mempelajari model Singapura. Mereka menyangka akan menemui formula. Yang mereka temui ialah persahabatan. Pemimpin pelbagai agama yang saling mengenali nama, keluarga, serta suka duka masing-masing.

Usaha ini turut dibawa ke peringkat antarabangsa. Pusat Harmoni turut terlibat dalam berbagai program di peringkat antarabangsa. Pengalaman Singapura menjadi inspirasi kepada banyak negara lain.

Sejak 2019, Singapura menganjurkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Padu (ICCS). Pemimpin agama dan masyarakat, pembuat dasar dan belia dari lebih 50 negara berhimpun. Tujuannya bukan untuk merundingkan perjanjian, tetapi untuk saling mengenali.

Kajian di RSIS di bawah Program Penyelidikan Perpaduan Sosial (SCRP) juga mendapati kepaduan sosial lebih banyak tumbuh daripada kepercayaan biasa antara jiran, berbanding perjanjian besar antara pemerintah.

Singapura bukan sekadar pulau kecil, titik merah di peta dunia. Kita masyarakat yang berhati besar, dengan wawasan yang jelas untuk menyumbang kepada kemanusiaan.

Dari Harmoni Kepada Kejiranan

Tema sambutan ulang tahun Pusat Harmoni, “Dari Keharmonian Kepada Kejiranan”, amat tepat. Harmoni bermakna hidup aman bersebelahan. Kejiranan menuntut lebih. Mengenali orang di sekeliling kita. Membina persahabatan merentasi perbezaan. Saling menjaga ketika susah.

Kit JIRAN, singkatan bagi Joining In, Respecting All Neighbours, dilancarkan untuk membawa usaha ini ke dalam kehidupan seharian. Melangkaui dialog dan ucapan rasmi, kenyataan-kenyataan dan majlis tahunan.
Related article image
Kit JIRAN. (Gambar: MUIS)
Bagaimana kita boleh bermula? Dengan perkara kecil. Sapalah jiran di lif. Kongsi juadah perayaan. Ajak rakan sekerja berlainan latar makan tengah hari.

Apabila isu sukar timbul, jangan terus diam. Berbincanglah, dengan hormat.
Ibu bapa pula boleh memastikan anak-anak berpaut pada dunia nyata. Keluarga. Rakan. Guru. Pemimpin masyarakat. Insan yang mereka percayai dan boleh dirujuk.

Seorang Demi Seorang

Dua puluh tahun lalu, Pusat Harmoni ditubuhkan ketika dunia dilanda curiga. Hari ini, cabarannya berbeza. Namun tugas asasnya tetap sama. Membina kepercayaan, seorang demi seorang, satu hubungan demi satu hubungan.

Kesunyian membuka pintu kepada kebencian. Persahabatan menutupnya.

Mungkin anak muda di dalam bilik itu tidak memerlukan hujah yang lebih bijak. Dia hanya memerlukan seseorang yang mengetuk pintunya dan berkata: Jom, makan bersama kami.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Penulis ialah Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau ialah mantan Timbalan Mufti, bertanggungjawab dalam hubungan antara agama, dan pernah menyelia Pusat Harmoni.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita