Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Cabaran keharmonian kaum pada masa akan datang dan kesannya terhadap peranan asatizah

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Cabaran keharmonian kaum pada masa akan datang dan kesannya terhadap peranan asatizah

Para pelajar kembali menghadiri kelas madrasah aLIVE di masjid. (Gambar: MUIS/Facebook)

BERITAmediacorp: Kita baru sahaja menyambut Hari Keharmonian Kaum pada tanggal 21 Julai. Banyak telah diperbincangkan mengenai sambutan tersebut. Tidak kurang pula yang mempertikaikan adakah cukup untuk setakat sambutan selama sehari untuk menunjukkan penghargaan manakala sesetengah suara merasakan kita masih jauh lagi untuk mengecapi keharmonian yang sebenar kerana kejadian perkauman masih kerap berlaku.

Namun apa yang menarik bagi saya adalah untuk melihat perkembangan keharmonian kaum di Singapura dan bagaimana masyarakat yang semakin rencam ini memberi kesan terhadap pendekatan asatizah dalam menangani isu-isu masyarakat di masa hadapan.

Definisi Identiti Pada Masa Akan Datang

Beberapa institusi termasuk Institut Pengajian Dasar (IPS) telah menganjurkan dialog tentang masa depan Singapura dan melakarkan senario-senario yang mungkin berlaku pada masa akan datang. 

Salah satu senario yang dibincangkan adalah berkenaan identiti warga Singapura,  apakah dasar CMIO (Chinese, Malay, Indian, Others) masih lagi relevan atau kemungkinan kategori kaum ditambah kerana bilangan rakyat Singapura yang berbangsa selain CMI (Chinese, Malay, Indian) akan meningkat atau mereka yang berbangsa selain CMI memilih untuk menjadi salah satu CMI untuk memudahkan proses pengenalan identiti mereka.

Para murid memakai pelitup dalam bilik darjah. (Gambar: Facebook/MOE)

Dengan kepelbagaian yang lebih ketara di masa hadapan, apakah jenis senario yang akan dihadapi oleh para asatizah? 

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengecapi keterangkuman sosial yang lebih baik? 

(1) Perkahwinan Campur

Mengikut Jabatan Statistik Singapura (DOS), perkahwinan campur dari etnik yang berbeza meningkat 6% sejak 2018. 1 daripada 5 pasangan yang berkahwin merupakan pasangan yang berlainan etnik. 

Dengan kesan globalisasi , ia membuka ruang untuk individu berlainan bangsa dan budaya untuk datang menetap, bekerja dan berdagang di Singapura, maka kita lagi terdedah kepada kepelbagaian. Ini juga termasuk keterbukaan golongan muda untuk mempunyai pasangan yang berlainan budaya di luar CMIO.

Kita boleh menjangkakan trend sedemikian akan meningkat, justeru persoalannya ialah bagaimana asatizah boleh mempersiapkan diri untuk menangani soalan-soalan rumah tangga yang bukan sahaja terhad dengan isu hukum nikah, nafkah dan cerai tetapi isu menangani masalah perbezaan fahaman budaya dan juga agama dari pihak keluarga. 

(Gambar ihsan: Zulkifli Ismail)

Asatizah berperanan untuk perlu peka terhadap budaya dan agama yang berbeza untuk memberikan panduan yang bersesuaian dengan konteks.

Contohnya, bagaimana asatizah boleh memberi panduan silaturahim untuk keluarga Islam supaya boleh berhubungan dengan baik terhadap besan berbangsa Filipino dan beragama katolik yang kurang faham dengan budaya dan masyarakat Islam di Singapura?
 
(2) Identiti yang rencam

Media sosial mendedahkan kita kepada pelbagai kandungan yang menarik. 

Salah satu wadah yang hangat dalam kalangan anak muda seperti TikTok telah memuatnaikkan banyak kandungan daripada generasi muda yang berdarah campur, termasuk anak muda yang beragama Islam. 

Identiti mereka yang rencam juga membuatkan mereka berdepan dengan pelbagai cabaran kerana dilihat sebagai ‘celup’ dalam kalangan masyarakat dan status agama dan pegangan mereka selalu dipersoalkan. “Tak macam Melayu, tak macam orang  beragama Islam” adalah ayat yang kerap didengar. Lantas mereka memilih untuk bergaul dengan kumpulan yang dapat menerima mereka seadanya.

Persoalannya, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh asatizah untuk memahami psikologi dan cabaran golongan muda yang beridentiti rencam? 

Mereka yang perlu menghadapi  ahli keluarga dan saudara-mara yang mempunyai prinsip berbeza tentang hidup beragama, bermasyarakat dan pandangan dunia. Mereka juga berdepan dengan ahli keluarga yang berbangsa campur dan berbilang agama. Kemudian mereka perlu membentuk identiti sendiri. 

Bagaimanakah asatizah boleh membuat ruang yang selamat dan selesa untuk golongan sedemikian berbincang tanpa merasakan diri mereka dilabel semata-mata kerana perbezaan mereka?

Aktiviti pengenalan, peserta berbilang bangsa dan agama perlu mencari teman baru untuk berdialog

(3) Pendidikan Islam

Isu kontemporari yang semakin mencabar, masyarakat yang semakin rencam juga bermakna pendidikan Islam di sini seperti ADIL, aLIVE dan kelas-kelas agama di pusat Islam perlu bersikap terbuka dan bersedia menangani isu masyarakat yang lebih kompleks. Di luar isu halal dan haram, bagaimanakah pendidikan Islam hari ini dapat menghidupkan budaya pemikiran kritis yang belajar menilai dari setiap sudut dan situasi sebelum membuat keputusan. 

Pendedahan kepada dunia luar juga membuatkan kita lebih banyak terdedah kepada yang beragama Islam yang berlainan mazhab. 

Contohnya, pasangan yang berbeza mazhab dan budaya datang untuk mendapatkan nasihat asatizah tentang cara terbaik untuk mendidik anak-anak mereka.

Apakah pendekatan yang boleh kita ambil untuk membantu pasangan sedemikian? 

Bagaimanakah asatizah dapat mendidik masyarakat untuk lebih menghargai perbezaan?

Pusat Harmoni: Membudayakan Perbincangan Yang Inklusif

Saya menukil pengamatan Mufti Negara kita dalam akhbar “Cabaran Asatizah bimbing Muslim harungi masa depan” bertarikh 31 Mei 2022 iaitu “antara cabaran yang mungkin dihadapi asatizah termasuk menilai perkara yang tiada contohnya dalam teks-teks agama, tiada kesamaan dengan pengalaman masyarakat Islam negara lain.” 

Walaupun konteks di atas adalah berkenaan perbezaan penentuan tarikh Islam, pengamatan yang sama digunakan untuk menjangka cabaran-cabaran yang akan kita menghadapi termasuk dalam menangani  isu kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Islam.  

Justeru sebagai persiapan adalah baik untuk mengadakan lebih banyak sesi perbincangan dan wadah untuk bertukar-tukar pendapat bagi memahami faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan masyarakat dan isu-isu baru yang timbul. 

Melihat keperluan ini, baru-baru ini Pusat Harmoni menganjurkan program perbincangan untuk mengupas cabaran berkaitan memahami agama dan identiti. 

Aktiviti utama ialah membincangkan isu sensitif berkaitan isu agama dan identiti di ruang yang selamat

Adab Perbezaan

Para peserta mendengar objektif program dari pihak penganjur di Pusat Harmoni
Gambar hiasan (Gambar: Duy Hoang/Unsplash)

Bagaimana kita dapat berbincang secara berhemah tanpa melabel dan mengundang pertelingkahan. Dengan mendengar secara baik (good listening) dan memberi perhatian kepada satu kebaikan individu tersebut supaya kita dapat menghargai perbincangan tadi walaupun kita berbeza.

Saya teringat dengan kata-kata Encik Eboo Patel, seorang yang beragama Islam dan pengasas pertubuhan silang agama di Amerika Syarikat yang mengatakan: “Kepelbagaian tidak terhad kepada perbezaan yang kita selesa dengannya.” 

Menangani perbezaan yang kita selesa dengannya agak mudah tetapi menghadapi perbezaan yang kita tidak suka merupakan satu perkara yang mencabar dan perlu masa untuk memahami dan mencari jalan untuk berunding secara baik.

Masa Depan: Mengharungi Isu-Isu Kontemporari Yang Kompleks

Dengan membudayakan perbincangan yang inklusif dalam ruang yang selamat, ia memberi peluang kepada suara-suara yang kurang didengar untuk turut serta,  meningkatkan rasa kepercayaan dan kita dapat mendengar dari pihak yang berbeza  termasuk para pakar dan aktivis dalam isu silang budaya, agama, pembangunan keluarga dan sebagainya.

Budaya perbincangan juga membantu kita untuk membincangkan dengan terperinci isu-isu yang kompleks dan memperbaiki sikap prejudis kerana ia memberi peluang kepada setiap individu untuk menjelaskan pandangan mereka. 

Ia juga bermanfaat untuk bertukar-tukar saranan. Ini sedikit sebanyak membantu para asatizah lebih yakin dan dapat membuat penilaian yang terbaik dalam menangani soalan-soalan kompleks melibatkan keharmonian kaum, agama dan pandangan dunia.

MENGENAI PENULIS:

Ustazah Liyana Rosli Asmara adalah ketua Pusat Harmoni, MUIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan