KOMENTAR: Buya Hamka 'ulama pejuang nasionalis'

Buya Hamka. (Gambar: Aminsyah Amin/Facebook)
BERITAmediacorp: Menonton filem sejarah sering mengundang banyak persoalan dan rasa tidak puas hati.
Pada satu sisi, ia satu kesan yang baik sebab sebuah karya seni harus dapat mencedok keghairahan kita untuk mengupas dan memikir akan pesan dan makna di sebalik pemaparan watak-watak dan jalan cerita. Kita juga mungkin tertanya apakah yang dilayar skrin sama dengan kejadian sebenar yang berlaku.
Filem sejarah tokoh Buya Hamka membawa kita kepada rentas waktu dari zaman kolonial, ke zaman Jepun dan era revolusi menentang penjajahan Belanda.
Watak Buya Hamka dilakonkan oleh Vino G Bastian dengan sungguh berkesan, sedangkan isteri Buya, Siti Raham, dimainkan oleh Laudya Cynthia Bella, dengan penampilan yang ayu dan tenang.
Dengan dialog filem yang beralun puitis bahasanya, tambah lagi dengan percakapan dialek Minang, ia menambah warna kepada filem ini. Filem ini yang dijangka dilayar sebanyak tiga siri, pastinya akan dinanti-nanti oleh para penonton. Filem ini sederhana dalam pembingkisan pesannya, tetapi dengan lakonan yang hidup dan bersemangat.
Menjadi Ulama Tersohor
Hamka atau nama kependekan dari Haji Abdul Malik Karim Amrullah, adalah putera kelahiran Maninjau di Tanah Minang pada 1908.

Beliau terkenal sebagai tokoh ulama yang telah menempah nama dalam sejarah keagamaan Islam dan persuratan Melayu-Indonesia di rantau ini. Beliau adalah putera kepada Haji Abdul Karim Amrullah, yang juga dikenali sebagai Haji Rasul, ulama besar Sumatera Barat.
Adegan pertama dalam filem siri pertama ini bermula dengan Hamka dalam tahanan penjara. Isteri dan anak-anak menjenguk beliau. Terlafaz kata-kata perangsang, namun terbayang penderitaan seseorang yang dipenjara terpisah dari orang-orang yang tersayang. Bagi mereka yang tidak mengetahui riwayat hidup sang ulama pujangga ini pasti akan tertanya-tanya akan sebab penahanan itu.
Namun jalan cerita filem ini terus mengimbas ke belakang dengan Hamka sebagai ustaz muda berkhidmat di cabang Muhammadiyah di Makassar.
Muhammadiyah adalah sebuah perserikatan Islam yang terasas pada 1912 oleh Kyai Ahmad Dahlan di Jogyakarta atas dasar pembaharuan Islam harus mengeluarkan umat Islam dari belenggu dan kejahilan.
Seperti tokoh besar lainnya, perjuangan Hamka penuh dengan cabaran. Pada zaman Belanda, kegiatan kewartawanan di Pedoman Masyarakat di Medan sempat disekat oleh penguasa Belanda yang tidak senang dengan suara-suara lantang dari majalah ini.
Selanjutnya cerita ini mengalir dengan deras, pendudukan Jepun di Indonesia, sehinggalah kembali tentera bersekutu untuk merebut kembali Indonesia. Hamka yang sudah bertekad mempertahankan maruah bangsanya tidak rela berkonfrontasi dengan penguasa Jepun atas pertimbangan untuk menjamin hal-ehwal keagamaan orang-orang Islam agar tidak diganggu Jepun.
Hamka menggesa Gabenor Jepun di Sumatera jangan sekali mengganggu agama umat Islam. Namun sejurus Jepun kalah dan berundur, Hamka dituduh bersekongkol dengan Jepun.
Hari ini Hamka dikenali sebagai pemikir bangsa yang memiliki keprihatinan intelektual, kesusasteraan dan kemasyarakatan yang luas dan mendalam. Beliau diterima meluas, baik di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam.
Beliau memiliki sosok kepimpinan yang karismatik, ilmuan yang tekun menulis dan membahas, menanggapi keperihalan teologis yang kompleks hinggalah ke persoalan kemusykilan hukum-hakam agama yang sering ditanya awam.
Penggerak Semangat Nasionalisme
Beliau juga adalah penggerak kesadaran nasional dalam ranah kewartawanan dan penulisan kreatif.
Abdurrahman Wahid yang menyebut Hamka sebagai komunikator yang berkesan, mengatakan bahawa beliau “tidak pernah peduli apakah pesan yang dibawanya akan diterima orang atau tidak. Tidak mencari muka dengan membawakan pesan yang terbungkus, tidak mengejar popularitas dengan melihat dahulu pihak lain akan menerima pendiriannya. Pokoknya telah ditentukannya sendiri titik tolak komunikasinya, selanjutnya dilakukan secara apa adanya.”
Dari Tanah Minang, beliau pernah berkelana dan merantau ke Jawa, Deli, Makasar, Singapura/Semenanjung, Tanah Arab dan Mesir, dan rajin pula mencatat pengalaman. Jelasnya di mana beliau berpijak, di situlah beliau bergiat aktif dalam lapangan masyarakat. Beliau banyak berkelana merata Nusantara dan Timur Tengah.

Ternyata kepopularan beliau sebagai ulama ulung, yang bergiat aktif dalam masyarakat baik di Indonesia dan British Malaya, termasuk Singapura, yang hadir baik dalam bidang keagamaan dan kesusasteraan adalah setakat ini belum tercapai oleh seseorang tokoh.
Sepanjang riwayat sebagai penulis sastera, Hamka adalah seorang tokoh yang telah mendapat pelbagai cemuhan dan pujian, yang semuanya diterima dengan tenang.
Karya beliau Tenggelamnya Kapal van der Wijck dikatakan sebagai ciplakan dari novel Majdulin oleh Musthafa Luthfi al-Manfaluthi yang telah menyadur karya Perancis oleh Alphonse Karr bertajuk Souls les Tilleuls. Yang penting diperakui adalah Hamka mendukung sastera yang berterlibat, bermuatan moral etika sebagai panduan dan cerminan.
Hamka menulis dalam susasana masyarakat yang masih konservatif sifatnya. Majalah Pedoman Masyarakat pernah dicemuh kerana tidak layak dibaca oleh kanak-kanak dan perempuan kerana dianggap mengajar kecabulan.
Dari majalah inilah telah bermula minat Hamka menulis secara kreatif. Dari majalah itu lahirlah Di Bawah Lindungan Kaabah (1936), Tenggelamnya Kapal van der Wijck (1938), Merantau ke Deli (1939), dan Tuan Direktor (1939). Watak dan pemerhatian khas tentang wanita diberikan dalam beberapa karyanya, sering kali dikaitkan dengan bungkaman adat.
Penulisan Hamka bernada semangat, terkadang berlirik romantik. Namun jelas beliau tidak seperti penulisan sesetengah agamawan yang sering melukiskan dunia dengan segala sisi kegelapan dan kemunafikan hidup di dunia. Tentu saja Hamka sering kali juga mengingatkan dunia “keberhalaan” yang akan terus mengheret manusia, tetapi jelas dia punya pengharapan akan kemampuan manusia untuk membangunkan kehidupan.
Hamka berkarya bersahaja tanpa terlalu menggurui; berpesan akan hal moral etika tanpa terasyik berkhutbah; melukiskan segi-segi kehidupan dengan realis, tanpa terlalu dibuat-buat, dan bahasanya yang jelas tetap sarat dengan idea, perspektif dan singgungan.
Hamka sebagai Reformis Berani
Pendedahan Hamka kepada pemikiran reformisme Mesir, menjadikan beliau antara yang terawal terdedah kepada gagasan pembaharuan yang dikedepankan oleh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida.
Fahaman pembaharuan ini berlawanan daripada Kaum Tua atau tradisionalis yang memandang kaum muda sebagai tersimpang.

Hamka meyakini kesolehan ulama itu bukan setakat peribadatannya, melainkan harus ada keberanian menegakkan kebenaran:
“Ulama yang berani mengatakan yang benar, walaupun dunia menjadi lawannya. Ulama yang berani menegakkan yang hak walaupun lehernya akan putus. Perangainya lain benar. Dia laksana orang yang sombong apabila berhadapan dengan penguasa dunia. Tetapi dia sangat merendahkan diri apabila berhadapan dengan orang yang lemah.”
Hamka menolak segala bentuk tahayul, kurafat dan bidaah. Jalan yang harus ditempuh ialah menegakkan amal maaruf nahi mungkar.
Adat yang lapuk dan merugikan dikritik beliau, selain kefahaman dan praktis agama yang banyak unsur bidaah. Dari penulisannya tentang warisan adat Minangkabau jelas tercermin penghargaan beliau kepada kearifan nenek moyang yang terdahulu.
Namun itu bukan bererti pemujaan mutlaknya kepada sistem adat itu. Seperti generasinya yang lantang menyinggung fikiran dan praktis adat yang kolot, Hamka tidak kalah dalam hal itu.
Tafsir al-Azhar-nya adalah karya yang besar beliau sehingga mendapat pengiktirafan dari Universiti Al-Azhar.
Menariknya ia dihasilkan beliau sewaktu dalam tahanan selama dua tahun lebih oleh rejim Sukarno. Yang menariknya, dalam filem ini, secarik peristiwa yang menggambarkan Hamka pernah mempunyai hubungan akrab dengan Sukarno.
Malah beliau menemui Sukarno sewaktu tokoh nasionalis ini dibuang ke Bengkulu.
Hamka melafazkan bahawa beliau akan bersama Sukarno dalam memperjuangkan nasib bangsa Indonesia. Inilah sisi nasionalisme Hamka yang jarang mendapat sorotan kepada awam dan pembaca dan filem ini menarik dalam menawarkan perspektif ini.
Hamka Juga Sang Nasionalis Unggul
Ternyata dalam dunia percaturan politik, Hamka tidak gentar untuk menolak kecelaruan dalam tindak dan pemikiran.
Malah beliau dengan berani mengatakan bahawa rejim Sukarno itu telah tersasar dari landasan asal. Akhirnya membuat beliau ditangkap dan dipenjara selama dua tahun. Peristiwa pahit itulah yang mula membuka tirai dalam filem Buya Hamka ini.

Sesungguhnya Hamka adalah tokoh pemikir yang menghasilkan renungan dan kupasan yang bernilai tinggi, konsisten pula. Renungan sosialnya bertolak dari konteks, kenyataan yang berlangsungan dan bertahan dalam masyarakat.
Beliau menulis untuk mendidik, membawa pesan, menyinggung masalah supaya diperhatikan.
Bukan juga menulis untuk kepuasan sastrawi, ataupun bukan pula menulis untuk dijadikan perlawanan semata, walaupun nada kritis terhadap idea dominan yang tidak adil disuarakan beliau dengan konsisten.
Juga beliau melakukan bukan kerana mahu dijulang kepopularan tetapi atas kepercayaan bahawa sesuatu yang baik bisa disusun dan diaju.
Khazanah karyanya yang ditinggalkan adalah sumbangan ilmu dan kebudayaan yang besar dan banyak yang masih relevan untuk dibaca dan dikupas semula.
Ahmad Syafii Maarif pernah menyebut tentang Hamka dengan sanjungan:
“Hamka telah meneroka kawasan kebudayaan yang sangat luas untuk diteruskan oleh anak-anak bangsa ini, demi peradaban Indonesia yang berkualitas tinggi di masa depan. Pilar-pilar moral dan kearifan yang telah dipancangkan Hamka tidak boleh dibiarkan melapuk, sebab itu merupakan pengkhianatan kultural yang tidak dapat dimaafkan, jika memang kita ingin melihat bangsa ini punya harga diri, sehingga dihormati bangsa-bangsa lain.”
Tentu dari filem sejarah dan tokoh seperti ini, dunia seni dan pemikiran Indonesia telah dapat merakam sumbangan dan mengiktiraf manusia unggul dalam sejarah dan pastinya wajar menyenaraikan Hamka salah satu daripadanya.
Hamka yang akur akan dirinya sebagai salah satu rumpun Melayu, melihat sejarah dari rantau ini sebagai sebahagian daripada pengalaman sejarah yang harus dapat dipelajari akan kekurangannya dan diteladani kekuatannya.
Zaman bahari yang silam, membuat kita “ingat Melayu kala jayanya.” Tetapi dalam sejarah juga, kepunahan berlaku kerana kelemahan dalaman sendiri. Dilukiskan beliau:
Bangunlah kekasih ku umat Melayu
belahan asal satu turunan
bercampur darah dari dahulu
persamaan nasib jadi kenangan
Semangat yang lemah buanglah jauh
jiwa yang kecil segera besarkan
yakin percaya iman pun teguh
zaman hadapan penuh harapan
Begitulah sekelumit tekad bagaikan doa dari seorang ulama, pujangga dan sekali gus nasionalis yang bernama Hamka.
Dengan tabik dan Alfateha, semoga sejarah akan terus mengenangnya.
MENGENAI PENULIS:
Dr Azhar Ibrahim Alwee adalah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.