Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bustanul Salatin dan Cakerawala Keilmuan Islam di Alam Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
 KOMENTAR: Bustanul Salatin dan Cakerawala Keilmuan Islam di Alam Melayu

Gambar: Sumber Web/ KK Dawood Book Store

BERITAmediacorp: Pengislaman di Alam Melayu berjalan secara bertahap dan sepanjang kurun kita saksikan pengembangan khazanah keilmuan Islam yang diperkenalkan dan dikembangkan di rantau ini.

Khazanah keilmuan Islam masuk dengan memperkenalkan akidah dan syariat serta hukum-hakam fiqh, berbaringan dengan ilmu tasawuf. Dari aspek akidah dan kerohanian, berdatang pula ilmu adab, yakni termasuk perihal moral-etika dan ketatanegaraan, sehinggalah kepada sastera yang kesemuanya bertujuan untuk memperteguh roh dan isi keislaman dalam kalangan penduduk Muslim di rantau sini.

Proses pengislaman jelasnya datang dengan penyampaian ajaran akidah dan muamalat, di samping proses pembudayaan yang memperkenalkan tradisi Islam yang beragam. Dengan masuknya Islam, begitulah masuknya para ulama, ilmuan Muslim dari jazirah Arab dan benua kecil India.

Malah terbentuk jaringan para ulama, yang bukan sahaja aktif dalam mempergiatkan dan memperkukuhkan dakwah tetapi juga dalam peredaran kitab, fatwa dan terjemahan teks-teks Arab ke bahasa Melayu. Dengan jaringan ini, alam Melayu terangkul sama dalam dunia Islam yang lebih besar, malah dunia Melayu diperkenalkan dengan kebudayaan dan keilmuan dari dunia Islam Arab, Parsi, Mughal dan Yunani.

Antara tokoh yang tampil dalam jaringan ini ialah Sheikh Nuruddin ar-Raniri. Beliau berasal dari Ranir, Gujerat India dan dipercayai ibunya seorang Melayu dan beliau pernah bermastautin di daerah ini sebelum berkhidmat dengan kerajaan Acheh pada 1637M. Beliau hadir dalam sejarah Acheh sewaktu kesultanan ini dalam tahap kegemilangan dengan hasil dari ekonomi perdagangan, memiliki sumber besar untuk menaungi kegiatan keilmuan.

Maka senada dengan pujangga istana, puji tabik beliau kepada sang raja berbunyi sedemikian perumpamaan

“Adalah pada ketika itu segala manusia umpama tumbuh-tumbuhan yang merasai panas yang amat sangat. Maka terdirilah payung daulatnya, maka beroleh naunglah sekalian mereka itu di bawahnya, dan beroleh rahmatlah mereka itu daripada limpah hujan kurnianya. Dan adalah sukacita hati segala manusia, umpama segala bunga-bungaan yang kena rintik hujan pada ketika dini hari, maka segala bunga-bungaan itu pun kembanglah dan semerbaklah baunya kepada segala pihak negeri.”

Penaung beliau ialah Sultan Iskandar Thani yang menggantikan Sultan Iskandar Muda, sehingga dikuntumkan rubai berbunyi:

“Tala perkasa terlalu berani,
Turun-temurun nasab sultani,
Ialah menyunjung inayat rahmani,
Bergelar Sultan Iskandar Thani.”


Dengan penaungan ini tidak terelakkan ar-Raniri terjebak dalam politik istana.

Sekiranya raja terdahulu menaungi Hamzah Fansuri, raja yang baru ini tidak serasi dengan ajaran tasawuf dari aliran Wahdatul Wujud yang dibawa Hamzah. Ar-Raniri dalam pelbagai tulisan menyerang ajaran ini, sehingga akhirnya fatwa dikeluarkan bagi membasmi ajaran tersebut secara rasmi, dengan pembakaran buku-buku ajaran ini di hadapan Masjid Baiturrahman.

Dalam suasana begini, turun naik sesuatu idea sangat bergantung kepada kekuasaan politik. Pada suatu ketika membawa manfaat, tetapi sering kali juga tidak berpanjangan setelah penaung bertukar ganti.

Maka inilah juga yang dapat menjelaskan mengapa tiada kesambungan dari upaya keilmuan, atau anak muridnya menyambung tradisi keilmuan yang telah beliau rintiskan di Acheh, walaupun ada yang menyebut bahawa Syeikh Yusuf al-Makasari adalah muridnya.

Gambar hiasan. (Gambar: Sumber Web)

Namun itu belum dapat dipastikan secara tuntas.

Apapun sumbangan besar ar-Raniri ialah kesungguhan menghasilkan dereten karya yang menjadi khazanah intelektual dan keagamaan di Alam Melayu. Paling gemilang ialah Bustanul Salatin atau Taman Raja-Raja, karya bersifat ensiklopedia yang merangkumi bab-bab berkenaan sejarah, dasar ajaran agama Islam, ilmu tasawuf, ketatanegaraan, hagiografi atau cerita orang solihin, sehinggalah perihal perubatan (ilmu tibb).

Pastinya dalam rangkuman ilmu ini, suatu perancangan menyusun ilmu diperlukan.

Antara yang paling ketara menyinggung masalah Wahadatul Wujud yang dianggap sudah tersimpang dari akidah Islam. Inilah yang membawa al-Raniri ke tengah persengketaan dengan kelompok yang berpegang dengan ajaran tersebut.

Malah bukan itu sahaja yang mahu dibersihkannya, tetapi beliau juga mengecam karya sastera di negeri-negeri Melayu yang dianggapnya tidak selari dengan ajaran Islam.

“Maka hikayat inilah dalam negeri di Tanah Melayu sangat masyhur kegemarannya dan perkataan yang semata-mata dusta dan mengada-ada yang mengadakan segala dosa itu seperti nyata yang tersebut itu pun tiada harus ditaruh di dalam rumahnya hikayat itu. Lagi kafir barang siapa membaca dia, seperti Hikayat Jawa dan Hikayat Inderaputera itu pun nyata dustanya daripada dungu dan kurang budi juga segala yang membawa dia dan membenarkan dia dustanya itu.”

Memang dari penulisannya, ar-Raniri memperlihatkan penguasaan bahasa yang elokuen betapa beliau bukan anak negeri yang asli. Ar-Raniri kepada penaung dirajanya, seperti beberapa pujangga istana yang lain, cenderung memuji dan menyanjungi tuan-tuan mereka, sehingga nada penulisan beliau sendiri terkadang tidak banyak beda dari pujangga istana yang lain itu seperti Tun Seri Lanang yang menyempurnakan Sulalatus Salatin dan Raja Chulan yang menulis Misa Melayu.

Jelasnya, Raniri menulis untuk memberi rasa senang kepada tuannya. Lihat sahaja bagaimana beliau memberikan seperti sebuah justifikasi bagaimana Sultan Iskandar Thani menangani para pembesar yang melawan sang raja itu dengan menjamu mereka pada majlis santapan dan kemudian merancuni mereka.

Barang siapa yang berbuat angkara pada raja, pasti dia akan menerima maut dari racun tersebut.

Namun Bustanul Salatin sebagai kitab ketatanegaraan banyak mengandungi panduan moral bagaimana para raja dan penguasa harus bertindak dalam menjalankan amanah mereka dalam pemerintahan. Diingatkan kepada raja yang berbuat aniaya dan merampas hak rakyatnya, kemudian itu akan diikuti pula oleh pegawai bawahannya. Bertambahlah penderitaan kepada rakyat. Sebegini diibaratkannya musibah ini:

"Tahukah kamu bahawa dahulu kala dalam dunia ini sedikit jua aniaya. Maka tiap-tiap sekali raja-raja yang jadi kerajaan ditambahinya jua aniayanya sedikit itu hingga jadi bertambah-tambah aniaya itu... Jikalau raja itu mengambil sebiji buah kayu nescaya dibantun segala hulubalangnya dan segala hamba sahayanya pohon kayu itu dengan segala akarnya. Dan jika raja itu mengambil dengan aniayanya sebiji telur nescaya diambil hulubalang dan laskar itu akan segala ayam dan unggas yang dalam negeri itu”

Menurut Jelani Harun, sarjana yang pakar tentang ketatanegaraan Melayu, bahawa dalam Bustanul Salatin “diolah dalam kerangka gabungan dua tradisi penulisan, iaitu tradisi penulisan Sejarah Dunia (Universal History) dan tradisi penulisan adab ketatanegaraan.”

Pada perihal ketatanegaraanlah Bustanul Salatin, seperti Tajussalatin menghurai pentingnya berdiri keadilan. Beginilah ia membedakan antara adil dan perkasa:

"Sekali peristiwa, pada suatu hari, ditanyai orang akan seorang hakim, "Mana terlebih afdal bagi segala raja, perkasakah atau adilkah?" Maka kata hakim, "Apabila adil segala raja itu, tiadalah berkehendak kepada perkasa, kerana dikehendaki daripada segala raja itu melainkan adil pada rakyatnya.”

Gambar hiasan. (Gambar: Sumber Web)

Terhimpun dalam Bustanul Salatin, anjuran kemuliaan, keadilan dan keilmuan. Beginilah terungkap dengan indah apabila dianjur penghormatan kepada akal, yakni lawanan kepada bebal:

“Kata hukama, jikalau dibanding akal itu dengan matahari nescaya padamlah cahaya matahari, dan jikalau dibandingkan bebal itu dengan malam yang gelap nescaya sangatlah kelamnya. Bahawa yang terlebih fana itu barang siapa ketiadaan akal. Bahawa tiap-tiap segala suatu itu apabila banyaklah suatu nescaya jadilah muram ia melainkan akal jua. Maka apabila sempurnalah akal pada seorang nescaya kuranglah kata-katanya. Dan barang siapa tiada berbicarakan dengan akalnya nescaya tiadalah dapat melawan seterunya dan ketakutanlah ia dengan bebalnya. Dan tiada berakal itu umpama orang yang mati, dan seperti orang yang puru katak tiada jua taulan yang menyebutkan dia melainkan bebalnya jua."

Banyak lagi anjuran seperti ini. Dinasihatkan ar-Raniri kepada para raja supaya “berjinak-jinak dengan segala ulama yang menunjuk jalan akhirat."

Malah diceritakan bagaimana Khalifah Umar menggunakan sumber dari baitulmal dengan sangat berhati-hati.

"Adakah Amirulmukminin Umar radiallahuanhu mengambil daripada harta segala Islam?"' Maka sahut yang memegang khazanah itu, "Adalah Amirulmukminin dari mula jadi khalifah, apabila tiada ada baginya suatu daripada (keperluannya)?' maka diambilnya sedikit daripada harta itu sekadar (keperluannya) jua. Apabila diperolehinya harta, maka dikembalikan harta yang diambilnya itu."

Keadilan itu adalah sifat asas kepada semua raja, baik yang Muslim ataupun bukan. Malah disertakan betapa Raja Nursyiwan dari Parsi, betapa ia kafir namun dia berdiri atas keadilan yang utuh kerana menolak penganiayaan. Inilah raja adil yang membuat amanat sedemikian:

“Dengarlah hal Raja Nusyirwan Adil lagi dalam agama kafirnya, betapa ia memeliharakan dirinya dan akan segala hamba sahayanya daripada berbuat aniaya. Dan dicelanya akan segala raja-raja yang mengadatkan aniaya itu."

Sayanganya manuskrip asal Bustanul Salatin tidak diketemukan sepenuhnya, walaupun terdapat beberapa salinan manuskrip tulis tangan, yang bertebaran dan tersimpan di perpustakaan di rantau ini dan Eropah.

Dewasa ini para sarjana seperti Teuku Iskandar, Syed Muhammad Naguib al-Attas, Russel Jones, dan Siti Hawa Haji Salleh sudah menyunting beberapa bahagian dari Bustanul Salatin.

Kesimpulan menyanjungi kerja ilmu bakti ar-Raniri wajar disebut sebagaimana yang dibuat oleh pengkaji dalam buku Intelektualisme Pesantren (2003), bahawa beliau: “berperan membawa tradisi besar Islam sembari mengeliminasi masuknya tradisi lokal ke dalam tradisi yang dibawanya tersebut. Tanpa mengabaikan peranan ulama lain yang lebih dahulu menyebarkan Islam di negeri ini, ar-Ranirilah yang menghubungkan satu mata rantai tradisi Islam di Timur Tengah dengan tradisi Islam Nusantara.”

Inilah contoh ulama yang menjadi 'intellectual broker' yang diperlukan setiap zaman.

Pastinya, khazanah keilmuan dari ulama, pujangga dan pemikir yang luas cakupan ilmunya adalah tiang seri sebuah peradaban. Inilah yang menjadi tantangan masyarakat Islam hari ini.

Pembangunan tradisi keilmuan harus mendapat tempat utama sekiranya kita benar-benar mahu hadir dalam sejarah secara bermakna. Inilah tuntutan zaman dan pertanggungjawaban kemanusiaan.

MENGENAI PENULIS:

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan