Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Budaya berwawasan akan menyuburkan pemikiran dan minda masyarakat

Filem sebagai wadah seni dan pendidikan budaya sangat berpengaruh dalam membentuk pandangan dan kefahaman kita hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Budaya berwawasan akan menyuburkan pemikiran dan minda masyarakat

Projek Ujong Tanjong membuat persembahan pembukaan Pesta Buday Melayu 2019 di Taman Warisan Melayu pada 11 Okt 2019. (Gambar: Taman Warisan Melayu)

BERITAmediacorp: Filem sebagai wadah seni dan pendidikan budaya sangat berpengaruh dalam membentuk pandangan dan kefahaman kita hari ini.

Begitulah kuasa media popular yang hadir dalam setiap sudut kehidupan kita dan perlu kita maklum pembikin dan pemodal di belakangnya yang pada hujungnya mengkondisi cara kita berfikir.

Filem boleh dianggap sebagai sebuah dokumen kebudayaan – yang berupaya mengungkapkan suasana politik dan budaya yang berdenyut oleh keresahan, kebimbangan dan wawasan yang mahu dicapai.

Ia juga boleh mengungkapkan citra murni, harapan dan keberpihakan. Maka itu lapisan ungkapan dalam filem harus dibaca dengan teliti kerana filem bukanlah semata-mata sebagai alat hiburan.

Apabila menafsir dan menilai sesebuah filem, pastikan kita tidak saja menimbangkan jalan cerita dan lakonan yang baik, tetapi juga sejauh mana distorsi sejarah dan realiti dibikin begitu begini sehingga banyak yang tidak nampak fakta yang disembunyi atau dibelok-belokkan.

Filem sebagai karya seni dan hiburan, sekali gus boleh menjadi bahan pendidikan yang konkrit, spontan dan berterlibat. Hari ini dalam dunia pendidikan, filem semakin digunakan sebagai salah satu bahan pembelajaran.

Secara idealnya filem yang baik itu boleh menjadi bahan pedagogi yang berguna bagi anak-anak muda mengupas persoalan-persoalan yang tertayang dalam filem. Boleh saja bersangkutan hal pemalsuan sejarah, patriaki, keganasan mahupun hal-hal positif seperti keberanian moral, solidariti dan penghormatan kepada hak-hak dan martabat manusia.

Ini ditambahi dengan memperkaitkan filem kepada latar semasa yang dipengaruhi oleh pusaran kekuasaan, politik, kelompok berkepentingan dan kadar kesedaran sosial dan sejarah dalam kalangan awam.

(Gambar: Petikan skrin sedutan filem Seniman Bujang Lapok)

Maksudnya, filem menjadi bahan untuk kita mempertimbangkan dan menilai aliran-aliran pemikiran yang berdenyut dalam masyarakat sebagaimana yang terungkap dalam filem.

Contohnya dengan gelombang politik kanan semakin gemencar, tidak hairan filem-filem yang bernada etno-agama yang eksklusif tampil sehingga mendapat sambutan ramai. Itulah yang kita dapat lihat dari kuatnya pusaran politik kanan yang melahirkan filem-filem “kebangsaan” yang terhasil di banyak negara dunia ketiga seperti India dan Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan “kebangsaan” kanan itu yang boleh menjelma dalam produk kebudayaan seperti sastera dan filem.

Lima ciri utamanya adalah seperti berikut:

Pertama, rasa kebangsaan itu hanya terwakil kepada satu kelompok dan agama.

Kedua, sentimen politik yang ditanggapi sebagai “patriotik” tetapi pada dasarnya sarat dengan sikap perkauman.

Ketiga, faham sejarah yang dipilih-pilih, sehingga ada kelompok yang mudah dikambinghitamkan, sedangkan wira/kelompok yang dipilih itu dianggap sebagai pejuang bangsa, mangsa kezaliman mahupun syuhadah.

Keempat, sikap prejudis terhadap kelompok lain sehingga boleh menimbulkan sikap benci dan curiga terhadap golongan tersebut.

Kelima, agendanya budaya/politik digerakkan oleh kelompok tertentu dengan harapan mendapat modal politik.

Keupayaan mengekal dan mempertahankan kuasa kelompok berkepentingan ini digubal menjadi suara dan maruah bangsa sehingga ramai nanti sukar membezakan antara menjaga kepentingan kelompok tertentu dengan membela nasib bangsa dan negara yang lebih besar.

Maksudnya, filem menjadi bahan untuk kita mempertimbangkan dan menilai aliran-aliran pemikiran yang berdenyut dalam masyarakat sebagaimana yang terungkap dalam filem.

Contohnya dengan gelombang politik kanan semakin gemencar, tidak hairan filem-filem yang bernada etno-agama yang eksklusif tampil sehingga mendapat sambutan ramai. Itulah yang kita dapat lihat dari kuatnya pusaran politik kanan yang melahirkan filem-filem “kebangsaan” yang terhasil di banyak negara dunia ketiga seperti India dan Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan “kebangsaan” kanan itu yang boleh menjelma dalam produk kebudayaan seperti sastera dan filem.

Lima ciri utamanya adalah seperti berikut:

Pertama, rasa kebangsaan itu hanya terwakil kepada satu kelompok dan agama.

Kedua, sentimen politik yang ditanggapi sebagai “patriotik” tetapi pada dasarnya sarat dengan sikap perkauman.

Ketiga, faham sejarah yang dipilih-pilih, sehingga ada kelompok yang mudah dikambinghitamkan, sedangkan wira/kelompok yang dipilih itu dianggap sebagai pejuang bangsa, mangsa kezaliman mahupun syuhadah.

Keempat, sikap prejudis terhadap kelompok lain sehingga boleh menimbulkan sikap benci dan curiga terhadap golongan tersebut.

Kelima, agendanya budaya/politik digerakkan oleh kelompok tertentu dengan harapan mendapat modal politik.

Keupayaan mengekal dan mempertahankan kuasa kelompok berkepentingan ini digubal menjadi suara dan maruah bangsa sehingga ramai nanti sukar membezakan antara menjaga kepentingan kelompok tertentu dengan membela nasib bangsa dan negara yang lebih besar.

Kecenderungan Politik Kanan

Lain perkataan, harus dapat kita membezakan antara 'defensive nationalism' daripada 'triumphalist nationalism' sebagaimana dihuraikan oleh Edward Said.

Jenis yang pertama itu adalah nasionalisme yang menuntut hak daripada penjajah/penguasa, yakni suatu tuntutan wajar saat mereka dinafi, ditindas dan diperas.

Jenis yang kedua pula adalah nasionalisme bergaya angkuh mendabik ketuanan bahawa kelompok mereka saja yang berhak dan termulia. Inilah jenis nasionalisme kanan yang melumpuhkan banyak masyarakat di pelbagai belahan dunia.

Selain itu kecenderungan kanan yang bergentayangan dapat kita kesan masuk ke dalam pelbagai ranah kebudayaan.

Ideologi kanan yang bernada supremasis dan xenofobia telah melarat sehingga sentimen perkauman dan prejudis terhadap golongan minoriti dan pendatang asing semakin disosialisasi menjadi “normal”. Inilah perkembangan yang membimbangkan.

Apa yang mahu dipertegaskan di sini adalah kita tidak boleh melihat filem sebagai karya seni-hiburan semata-mata.

Babak dalam filem Si Tanggang. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)
Sangat naif untuk mengatakan bahawa sesebuah filem itu “sekadar hiburan dan ciptaan seni”. Sebaliknya harus disedari bahawa filem walaupun sebagai produksi komersial, juga tidak dapat lari dari latar ideologi berkepentingan yang melatari dan mendukung penerbitannya.

Adakalanya, pemodal memberi dana tetapi tidak banyak mempengaruhi jalan dan matlamat cerita. Sedangkan pasti juga ada pemodal dan penerbit di belakang yang mendiktat kerana digerak oleh kepentingan politik dan kekuasaan.

Kemuncak Perfileman Melayu

Perfileman Melayu melalui fasa kemuncaknya sekitar tahun 1950-an dan 1960-an.

Semuanya berpusat di Singapura yang sudahpun dianggap New York Malaya.

Kota pelabuhan ini menjadi tempat tarikan cerdik pandai, tukang dan pemodal, seniman dan budayawan.

Dengan tenaga yang berpendidikan dan terlatih, serta penduduk yang padat sebagai pasaran, industri perfilemen Melayu mempunyai prasarana yang cukup untuk berkembang.

Di era selepas Perang Dunia Kedua, semangat kebangsaan berkobar, dengan dunia pendidikan dan penerbitan rancak terbangun.

Dengan wujudnya sekumpulan penulis, dan penggiat seni, selain pelakon dan pembikin filem, maka perfileman Melayu dapat berlangsung dengan baik. Dari senarai judul filem yang terhasil dapat kita tarik kesimpulan wujudnya bahan budaya dan kedekatan sosial yang menjadi penggerak dalam produksi filem-filem yang bercorak sejarah, memori dan permasalahan semasa dalam masyarakat.

Paling jelas filem-filem bertema sejarah memperlihatkan upaya menggunakan bahan sejarah silam untuk diceritakan kerakusan kuasa, khasnya kepimpinan yang rakus dan zalim.
Babak dalam filem Lela Manja, menampilkan Habibah Haron. (Gambar-gambar: Shaw Organisation)
Sering kali raja yang memerintah digambarkan sebagai tidak adil ataupun lemah. Filem sejarah sebegini memperlihatkan satu anjakan besar dari apa yang terdapat dalam karya-karya Melayu lama yang rata-rata “senyap” untuk mengkritik raja yang memerintah.

Sebaliknya kritikan dalam filem Melayu agak berani mempersoal kezaliman raja memerintah, sesuatu yang berpantang dalam teks-teks Melayu lama.

Dalam hal ini filem Melayu menjadi bahan literasi politik secara tidak langsung. Ini semua dapat berlangsung kerana wujudnya suasana politik selepas perang di mana inteligensia Melayu kian bersuara lantang terhadap feudalisme Melayu dan himpitan kolonial.

Pasca Perang menyaksikan beberapa perkembangan menarik. Pada 1950, ASAS’50 terasas dan Jabatan Pengajian Melayu di kampus Bukit Timah dibuka pada 1957.

Penerbitan akhbar, buku dan majalah Melayu berkembang merata.

Perkembangan politik dan kebudayaan di Indonesia juga terkesan kepada para penulis dan penggiat budaya setempat.

Di saat para penulis semakin lantang mempersoalkan feudalisme Melayu dalam penulisan mereka, begitu juga dapat kita saksikan kesejajarannya dalam filem-filem Melayu yang terbit sekitar 1950-an hingga 1960-an seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Dang Anum, Tun Fatimah, Singapura Dilanggar Todak dan beberapa yang lain.

Keris Mas, tokoh disegani yang sedang menempah nama waktu itu, menulis makalah dengan kritik tajam terhadap budaya feudal dalam "Pengaruh-Pengaruh Atas Aliran Kebudayaan Melayu,” dalam Mastika, keluaran Mac 1950.

Menariknya filem-filem “sejarah” ini telah diimaginasikan dari ilham dan kesedaran para inteligensia Melayu yang lahir dari golongan rakyat biasa.

Perhatikanlah nama-nama penulis skrip seperti Buyong Adil, Asraf, Hamzah Hussein, Jamil Sulong. Umumnya penulis dan pembikin filem mempunyai keakraban budaya dan saling menyumbang dalam penghasilan produk kebudayaan. Inilah keistimewaan generasi tersebut yang saling mengisi kepandaian dan kemahiran antara satu sama lain.

Jelas boleh disimpulkan apabila ada pembauran organik dalam kalangan para sasterawan, budayawan, seniman, yakni dalam kalangan kelompok yang kreatif, maka akan lahir produk kebudayaan yang ampuh dan tangguh.

Bukan saja pada zamannya mereka meneroka bentuk kebudayaan yang baru tetapi dapat menghasilkan karya budaya yang boleh dibanggakan, terlihat dari tema cerita yang relevan untuk pembangunan masyarakat, dialog yang hidup, serta memberi ruang kepada imaginasi sejarah dan budaya kepada khalayak.

Dari filem-filem dekad tersebut, kita lihat suatu pemaparan yang walaupun tidak sempurna secara keseluruhannya, tetapi menampakkan kemampuan kritis terhadap sikap yang pandang derajat antara kelas sosial, keruntuhan moral manusia, kepimpinan yang tidak berguna, nasib wanita yang tidak terbela, selain kesedaran hidup dalam masyarakat majmuk.

Juga di saat pelbagai filem “sejarah” dipertayangkan, sisi meromantiskan sejarah feudal tidak pula tergendang sama, sekali gus memperlihat kemampuan para pembikin filem yang sedar menggunakan unsur sejarah dan bukan pula mencari zaman bahari di masa silam. Sebaliknya digunakan unsur sejarah untuk dipertentangkan dengan keadaan kita masa kini.

Begitulah zaman yang hidup untuk perfileman Melayu.

Pembikinnya adalah anak zaman yang telah membekali kita sedikit hikmah fikiran. Penghasilan kebudayaan ertinya perlukan ramuan kreatif dan kritis, dengan lintas usaha antara seniman, budayawan dan ilmuan harus terganding baik.
Warisan majlis perkahwinan Melayu antara yang disenarai sebagai warisan budaya tidak ketara. (Gambar: CNA)

Barulah hasil budaya itu akan menjadi sesuatu yang boleh berfungsi sebagai bahan pedagogi dan literasi politik, kebudayaan dan pemikiran.

Inilah juga harapan yang harus kita letakkan pada filem-filem Melayu kontemporari.

Wajar kita pertanyakan gagasan kebudayaan apakah yang mahu ia tawarkan kepada kita. Adakah yang bersifat inklusif, yang merangkul kemajmukan yang nyata dan bukan pula terjebak dengan sikap angkuh bahawa hanya budaya kita saja yang luhur dan benar?

Apakah ada visi moral yang tempang di saat berdabik hanya kelompok kita saja yang betul dan berhak, sedangkan dituding yang lain sebagai pengacau dan perampas.

Adakah di saat kita mahu menepis ideologi penjajahan tetapi kita sendiri belum terlepas dari cengkaman pemikiran yang mudah membenarkan karikatur, mitos dan prejudis rasis apabila melihat kelompok lain, termasuk diri sendiri?

Karya budaya yang bagus pastinya yang berseri dan hidup. Sekiranya kekata “hidup” diertikan sebagai biophilia, ia bermaksud cinta kepada yang hidup dan menghidupi, bernadi adil dan akli, merangkul kepelbagaian dan perbezaan dan bukan terbawa ke arah yang melemah, mematikan atau menewaskan segi-segi kehidupan.

Sebaliknya potensi filem menggerakkan semangat, menyuntik imaginasi sejarah yang inklusif dapat kita perhatikan dalam beberapa filem sejarah yang muncul di Indonesia, dari Sang Pemula, Sang Kiai, Sang Pencerah, sehinggalah Kartini.

Ia membawa tema-tema kebangsaan yang progresif, keterbukaan dan pembaharuan.

Itulah sejarah diperpanjangkan dalam bentuk elektronik/digital dan ini kelak menjadi bahan literasi kebudayaan yang berguna.

Pendek kata, filem yang hidup digerakkan oleh tema-tema yang membangun pemikiran dan visi kebudayaan kita dan bukan menjadikan kita bersikap parokial, kesukuan dan ketaksuban.

Pastinya filem yang bagus memiliki dialog yang hidup, elokuen dengan ungkapan segar bukan khutbah yang ditampal-tampal.

Juga lakonannya mantap, dengan set penggambaran yang meyakinkan serta teknik penggambaran yang berkualiti.

Itulah juga yang wajar kita harapkan dari perfileman Melayu. Pernah P Ramlee sendiri mengatakan bahawa masyarakat sayugia mengikuti perkembangan filem dan dalam kalangan penerbit filem pula ada sekelompok yang kreatif, mampu mendidik masyarakat kerana apa yang dihasilkan akan ditiru malah diyakini oleh khalayak.

Sekiranya yang negatif dipaparkan, maka itulah kesannya terbawa kepada mereka.

Sebaliknya kalau dipertayangkan hal positif dan progresif, akan lama- kelamaan dapat diterima dalam masyarakat.

Itulah harapan agar perfileman Melayu kita akan terus hidup dan bukan hanya kuat bergempita dengan sikap narsisme budaya, ditambah pula visi moral dan kemanusiaan yang gelap-gelita.

Itulah jalan mati filem sebagai wadah kebudayaan, kesenian dan pemikiran.

Pastinya dengan perancangan kebudayaan yang bervisi dan manusiawi harus dapat memastikan kita tidak menempuh jalan budaya yang mati.

MENGENAI PENULIS:

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan