Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: #BreakTheBias hakis stereotaip wanita setakat ‘orang rumah’ atau ‘orang dapur’

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pelantikan Cik Shirin Hamid sebagai Ketua Pegawai Maklumat di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) diraikan ramai bukan saja kerana ia merupakan kejayaan cemerlang seorang anak watan tetapi ia juga adalah inspirasi untuk kaum wanita melangkah ke puncak kerjaya langsung membuktikan bahawa mereka boleh #BreakTheBias, tema bagi Hari Wanita Sedunia 2022.

#BreakTheBias atau “Hapuskan Sikap Berat Sebelah”merupakan satu usaha untuk memastikan kesaksamaan dalam rumah tangga, pekerjaan dan masyarakat serta di peringkat nasional umumnya.

Hakikatnya, perjalanan bagi hak dan peluang yang saksama bagi kaum wanita masih jauh walaupun Hari Wanita Sedunia telah diraikan 100 tahun yang lalu secara tidak rasmi di negara-negara Eropah dan 8 Mac diiktiraf sebagai tarikh rasmi pada 1975 oleh Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB).

event
Gambar: PPIS

Kempen #BreakTheBias mengajak setiap individu untuk merealisasikan sebuah kehidupan dan dunia yang bebas daripada bias, stereotaip dan diskriminasi. Dunia yang penuh dengan kepelbagaian dan inklusif dan setiap individu, tidak kira jantina menikmati hak yang saksama.

Biarpun secara amnya kaum wanita telah maju dan lebih ramai kini yang memegang peranan kepimpinan serta jawatan tinggi dan diwakili di lembaga-lembaga pengarah, namun ia masih tersekat ekoran daripada beberapa faktor, antaranya diskriminasi serta stereotaip yang menjejas usaha mereka untuk mencapai kejayaan.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, kaum Hawa tidak terkecuali dalam hal ini. Stereotaip bahasa dan budaya, diskriminasi serta sindrom ‘impostor’ atau peniru yang merupakan kurang yakin diri kaum wanita terhadap usahanya yang telah membawa kejayaan menjadi hambatan untuk maju setara dengan kaum lelaki, sedangkan dalam Al-Quran tertera, wanita diciptakan sebagai pasangan bagi kaum lelaki untuk berdiri sama tinggi.

Sering kali ketika menghadapi bias jantina dan ketidaksetaraan, kaum wanita sukar untuk membuat penilaian tentang diri mereka yang tepat. Sindrom peniru ini sering menjejas kemampuan mereka untuk yakin tentang keupayaan dan kemahiran diri.

break
Gambar: Sumber Web/Family App

Menghakis Stereotaip

Adakalanya secara tidak sengaja dan tidak disedari, masyarakat Melayu menggunakan kiasan yang dikaitkan dengn kaum wanita.

Contohnya, ‘orang rumah’ dan ‘orang dapur’, seolah-olah memberi pengesahan bahawa hanya kaum wanita sahaja yang layak menjadi suri rumahtangga dan tukang masak di rumah.

Kerana itu kita jarang dengar (malah ia kedengaran janggal) bagi seorang isteri untuk berkata kepada tetamunya, “Silakan nikmati hidangan yang disiapkan oleh orang rumah (suami) saya.” Tetapi bagi seorang suami untuk menyatakan demikian ia perkara lumrah. Ia seolah-olah menekankan nilai patriarkal dalam masyarakat itu sendiri.

Adakalanya kaum wanita sendiri yang menyebabkan hal sedemikian apabila mereka membezakan tugasan rumah yang diberikan kepada anak lelaki dengan anak perempuan. Lebih membimbangkan ialah apabila si anak melihat keadaan di rumah di mana si ibu sahaja yang memasak dan melakukan kerja rumah sedangkan si ayah hanya keluar bekerja dan pulang pada rumah yang siap bersih dan makanan tersedia di atas meja.

Anak-anak ini akan mengharapkan keadaan yang sama apabila mereka mempunyai keluarga sendiri. Ini sesuatu yang harus diubah pada peringkat awal lagi.

Keadaan pandemik menimbulkan satu lagi cabaran bagi kaum wanita yang perlu bekerja di rumah di mana sempadan antara tanggungjawab sebagai suri rumah dan individu professional adakalanya kurang jelas. Tanpa sokongan padu suami atau anggota keluarga yang lain, mereka menghadapi kesukaran untuk melakukannya.

Menghakis stereotaip dan bias bermula di rumah. Amalan dan tingkah laku ibu dan bapa menjadi contoh kepada anak-anak. Malah cara kita bertutur dan pemilihan kata-kata yang digunakan penting untuk memastikan pengaruh positif kepada diri anak-anak.

girl power
Gambar: Sumber Web/sparkworksblog

Memberi peluang yang sama tanpa membezakan antara jantina akan memastikan si anak membesar dengan sikap inklusif dan saling hormat-menghormati tidak kira kaum dan agama adalah antara pendekatan penting.

Anak yang membesar dalam persekitaran di mana tiada perbezaan sikap, peluang dan tingkah laku akan membawa nilai-nilai tersebut apabila mereka melangkah ke alam persekolahan, pekerjaan dan interaksinya dengan masyarakat.

Amalan Adil

Biarpun terdapat badan-badan seperti TAFEP atau Tripartite Alliance for Fair Employment Practice yang memastikan amalan adil terhadap pekerja, namun masih ada majikan yang kurang menghargai keupayaan kaum wanita dan tidak membayar gaji yang setimpal.

Bagi kaum wanita yang meninggalkan kerjaya untuk menumpukan masa kepada penjagaan dan pengembangan anak-anak atau menjaga orang tua yang uzur, mereka sering kali menghadapi rintangan daripada majikan untuk kembali bekerja atau mereka dibayar gaji yang lebih rendah kerana kurang pengalaman bekerja sedangkan mereka mempunyai kelayakan yang wajar.

Pihak majikan perlu mengubah tanggapan dan melihat wanita dan ibu-ibu yang ingin kembali bertugas sebagai sumber tenaga yang penting untuk merancakkan ekonomi negara.

work
Gambar: Sumber Web

Selain pihak majikan, golongan suami juga perlu melihat sumbangan isteri kepada ekonomi keluarga sebagai usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Amalan adil ialah apabila si suami memberi sokongan kepada si isteri untuk meneruskan kerjayanya dan pada masanya memastikan tugasan di rumah dibahagikan sama rata.

Bagi ramai pasangan ini situasi yang ideal, namun hakikatnya ialah kaum wanita memegang tanggungjawab yang lebih berat di rumah biarpun mereka keluar bekerja. Merekalah isteri. Merekalah ibu dan adakalanya merekalah anak perempuan yang perlu menjaga ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia.

Ramai yang tidak bersuara kerana tidak mahu nilai diri mereka sebagai seorang wanita soleha dipertikaikan.

Namun yang nyata ialah, terdapat batasan sejauh mana mereka perlu berdiam diri sedangkan keadaan mental mereka terjejas kerana terlalu memikirkan pelbagai tanggungjawab yang mereka pikul.

Mungkin dengan bersuara dan bermusyawarah demi mencapai muafakat, terdapat huraian yang dapat memastikan mereka mendapat sokongan untuk menjadi ibu, isteri dan anak yang bertanggungjawab tanpa menjejas impian mereka dalam membina kerjaya. Jelas, kaum wanita harus yakin dengan suara mereka sendiri.

support
Gambar: Sumber Web

Namun, bagi suami yang lebih selesa dengan isteri tidak bekerja dan menumpukan perhatian kepada keperluan keluarga, pastikan pengorbanan si isteri untuk keluarga diiktiraf dan anggap ia sebagai “kerjaya penting” yang wajar mendapat ganjaran seperti elaun bukan untuk keperluan rumah tetapi untuk keperluan peribadi si isteri.

Sedikit sebanyak, elaun ini jika ditabung akan menjadi “dana persaraan” si isteri yang tidak menikmati simpanan CPF dan sebagainya.

Wanita Untuk Wanita

Sebagai pertubuhan yang visinya ialah Inspiring Women, Strengthening Families (Memberi inspirasi kepada wanita, mengukuhkan keluarga), PPIS atau Persatuan Pemudi Islam Singapura sentiasa peka dan prihatin terhadap cabaran dan keperluan wanita.

Satu kajian menyeluruh tentang Aspirasi Wanita Muslim Singapura, yang bakal dilancarkan Sabtu depan (19 Mac) sempena meraikan Hari Wanita Sedunia 2022 mengupas tentang aspirasi wanita dalam keluarga dan kerjaya serta keperluan peribadi mereka. Butirannya akan diberi selepas pelancaran kajian itu nanti.

Sejak ditubuhkan 70 tahun lalu pada 1952, tumpuan PPIS adalah memperjuangkan hak wanita bagi memastikan mereka dapat merealisasikan impian mereka untuk ke puncak jaya dan hidup sejahtera dan sempurna.

woman
Gambar: Sumber Web

Dengan 17 pusat PPIS di serata Singapura, kami yakin khidmat yang kami sediakan dapat memenuhi keperluan wanita yang memegang tanggungjawab sebagai anak, ibu, isteri dan saudara perempuan.

Kami inginkan setiap wanita mempunyai suri teladan atau role model serta mentor yang dapat menjadi contoh kepada diri mereka untuk berjaya. Mentor yang dapat berkongsi pengalaman serta memberi keyakinan kepada kaum wanita untuk memperkasakan diri mereka.

Antara inisiatif terbaru PPIS ialah untuk menubuhkan Women SpACE atau ruang untuk wanita bukan untuk mengadu nasib tetapi untuk berkongsi aspirasi, pengetahuan, pengalaman yang dapat membina kehidupan mereka. Ruang yang sama akan memberi panduan dan nasihat guaman bukan untuk menangangi isu keluarga (kerana ini ditawarkan oleh agensi lain) tetapi untuk isu pekerjaan serta perniagaan.

Sudah tiba masanya untuk setiap daripada kita tidak kira wanita atau lelaki untuk menulis semula naratif tentang hak saksama di rumah, di tempat kerja dan di ruang awam. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu diambil menerusi dasar yang membina sikap inklusif dan kepelbagaian.

Pemerintah boleh mengubah dasar, tetapi majikan, pemimpin masyarakat dan orang ramai perlu yakin pada dasar tersebut untuk merealisasikannya.

#BreakTheBias hari ini kerana setiap usaha untuk membasmi diskriminasi dan stereotaip akan membantu generasi wanita akan datang, sama ada mereka adalah seorang ibu, anak, isteri dan saudara perempuan kita untuk menikmati kehidupan yang mereka impikan.

MENGENAI PENULIS:

PENULIS
Tuminah Sapawi adalah Ketua Pegawai Eksekutif PPIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan