Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bijak menangani perbezaan dan membuat jangkaan; jangan sampai berpecah belah

Dengan kebanyakan negara kini semakin berhadapan dengan pelbagai bahaya perpecahan dan polarisasi, dapatkah kita menjamin budaya politik yang matang dan sederhana di kalangan masyarakat?  

Anggaran Waktu Membaca:

Musim pilihan raya umum sudahpun berakhir dan tentunya ada pihak yang gembira dan ada pula yang kurang berpuas hati dengan hasil keputusannya.

Bagi kebanyakan rakyat Singapura kita tentunya berasa lega bahawa keputusan yang dicapai itu sedikit sebanyak menggambarkan kematangan yang meluas di kalangan rakyat.

Seperti yang juga disuarakan oleh ramai pemerhati dan juga para pemimpin negara – kebanyakan mereka   menerima keputusan rakyat dengan perasaan terbuka dan tidak sekalipun menunjukkan sikap memperlekeh keputusan pilihan raya tersebut.

Respons yang diberikan mengakui adanya keinginan rakyat terhadap “lebih banyak kepelbagaian pandangan” dan “kepelbagaian suara di parlimen”.

Turut diakui juga bahawa sebahagian besar rakyat juga inginkan kesinambungan corak kepimpinan yang sedia ada.

Seperti kata pengamat politik Chan Heng Chee, para pengundi telah memilih “keselamatan, ketenteraman dan huraian dengan memilih PAP” tetapi pada masa yang sama juga mahu “menguatkan suara pembangkang dan semak dan imbang di parlimen.”

BUDAYA POLITIK BARU

Dengan sikap terbuka yang ditunjukkan oleh semua pihak ini untuk menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat, mendorong para pemerhati politik seperti Prof Chan untuk menyimpulkan bahawa “budaya politik baru” sudah mula berputik di Singapura.

Tentunya apa yang dimaksudkan adalah budaya politik yang lebih matang yang sedia menerima keputusan pemilihan rakyat yang dibuat berdasarkan pertimbangan yang wajar dan saksama.

Kematangan begini adalah sesuatu yang harus terus dipupuk dan boleh menjadi antara daya tahan penting dalam negara berhadapan dengan keadaan-keadaan mencabar pada masa hadapan.

Bayangkan sekiranya kempen pilihan raya itu tidak dikendalikan secara matang oleh semua pihak – sesuatu yang sudahpun berlaku di negara-negara lain – dengan taktik berkempen tidak bersih dan pelbagai penyelewengan dan pembelitan fakta termasuk penggunaan isu-isu sensitif kaum dan agama.

Natijahnya tentulah keadaan yang tidak mantap dan tenteram kerana ia mengakibatkan adanya perasaan tidak puas hati antara satu pihak dengan pihak lain.

Malah juga menimbulkan perasaan berbalas dendam yang boleh menyebabkan lebih banyak ketegangan dan ketidakmantapan yang berpanjangan.

MATANG DAN SEDERHANA

Dengan kebanyakan negara, terutama di Eropah dan Amerika Syarikat, kini semakin berhadapan dengan pelbagai bahaya perpecahan dan polarisasi (akibat ideologi politik, kepercayaan agama, perbezaan kaum, perbezaan pegangan atau perbezaan gaya hidup sekalipun), amalan politik matang dan sederhana amat sekali penting.

Lebih-lebih lagi bagi negara-negara berbilang kaum dan berbilang kepercayaan yang belum mempunyai budaya, etika dan sejarah politik di mana kesederhanaan, sikap bertolak ansur sudah lama berputik, malah cukup berakar dalam setiap lapisan masyarakat.

Para penunjuk perasaan berarak di luar Gereja St. John's, berhampiran Rumah Putih di Washington, DC, dalam perhimpunan terhadap kematian George Floyd. (Gambar fail: REUTERS)

Ia adalah satu trend yang sudah menjadi dinamika dan hakikat kehidupan di mana-mana sahaja ala ‘zaman ekstreme’ (Age of Extreme) yang disebut sejarawan Eric Hobsbawn - merujuk kepada pelbagai jurang perbezaan meluas dari segi ideologi dan fahaman dalam separuh abad pertama kurun ke-20.

Kalau era tersebut mengakibatkan perpecahan dan polarisasi kerana pergeseran ideologi (kapitalisme lawan komunisme; sosialisme lawan liberalisme lawan nasionalisme dan sebagainya), kini perpecahan kita kurang  rumitnya.  

TEGAS DAN LANTANG

Bukan sahaja kebanyakan kita berbeza pandangan dan ideologi, baik ideologi sekular mahupun agama, kita juga semakin tegas dan lantang dalam menyuarakan perbezaan dari segi identiti masing-masing.

Inilah yang membentuk ‘budaya politik baru’ di sesetengah negara demokrasi Barat di mana semakin kerasnya apa yang dipanggil oleh Francis Fukuyama sebagai ‘politik pengiktirafan’ (Politics of Recognition).

Dinamika ini semakin bertambah ligat lagi tamparannya ke atas kehidupan semasa terutama di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi, kerana adanya pelbagai tekanan dan jangkaan ke atas pemerintah untuk melakukan sesuatu yang jauh daripada kemampuannya.

Dengan globalisasi yang menyebabkan berbagai tekanan dan gangguan (tekanan penstrukturan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan pendapatan, tekanan dan pergeseran antara kaum dan kelas), kemampuan sesebuah pemerintah untuk melakukan sesuatu yang dapat memuaskan semua pihak pada satu-satu masa, semakin  terbatas dan kurang berkesan.

BERTAMBAH TERTEKAN

Kegagalan memenuhi pelbagai kehendak dan tuntutan yang bukan sahaja berbeza-beza, malah bertentangan antara satu sama lain inilah yang menjadikan sistem demokrasi di negara-negara Eropah dan juga Amerika Syarikat bertambah tertekan.

Ia mewujudkan keadaan yang semakin tidak stabil dengan pemerintah kerap bertukar ganti dan masyarakat pula umumnya semakin berpecah belah menjadi kumpulan-kumpulan berkepentingan yang lebih kecil.

Sesebuah pemerintah yang muncul dalam keadaan sebegini pula biasanya adalah daripada kalangan mereka berfahaman populis yang pandai memainkan isu-isu populis kaum, agama, kelas dan perbezaan kepercayaan, demi melaga-lagakan antara satu pihak dengan pihak lain.

Tanpa kepakaran dan kecekapan urus tadbir negara yang berkesan, kebanyakan kepimpinan sedemikian akhirnya membawa lebih banyak ketidakstabilan dan huru-hara.

Di negara-negara demokrasi Eropah dan Amerika Syarikat,  gejala ‘kepimpinan terganggu’  ini mendorong sesetengah pemerhati untuk membuat kesimpulan bahawa keadaan mungkin sudah sampai ke peringkat kritikal sehingga memerlukan satu lagi bentuk ‘revolusi’.

Dua penulis, John Micklethwait dan Adrian Wooldridge, dalam buku mereka “The Fourth Revoultion – The Global Race to reinvent the state”  menganggap ‘revolusi’ sedemikian diperlukan untuk kita memikirkan semula tentang apa sebenarnya yang kita mahukan dari pemerintah.

Mereka melihat jangkaan, tekanan dan kebergantungan yang keterlaluan tentang pemerintah untuk menghuraikan segala-gala rmasalah kita, adalah tidak lagi realistik.

Malah jangkaan dan desakan keterlaluan ini malah boleh menimbulkan pelbagai masalah polarisasi yang dihadapi banyak negara hari ini.

Mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara lain, kita juga haruslah berhati-hati dalam membuat jangkaan dan tekanan masing-masing supaya budaya politik kita sentiasa berciri sederhana, bertolak ansur dan lebih mengutamakan kepentingan bersama yang lebih besar.

Dengan sentiasa berfikiran realistik dan berpandangan jauh sebegini, kita bolehlah menjangkakan sistem demokrasi kita dapat bertahan lebih lama lagi untuk berperanan dan berfungsi bagi menjaga kepentingan semua warga negaranya.

 


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan