KOMENTAR: Berbelas Dalam Membantu Bekas Anggota ISIS Warga Indonesia
Indonesia menghadapi cabaran untuk membawa pulang dan menyepadukan semula warga negara itu yang merupakan bekas anggota ISIS, terutama sekali wanita dan kanak-kanak.
Ia memerlukan strategi yang dapat membawa mereka pulang ke pangkuan masyarakat yang prihatin dan menyokong proses pemulihan mereka.
Dengan pentadbiran baharu Amerika Syarikat bakal mengambil alih jawatan pada Januari 2025 di bawah kepimpinan Encik Donald Trump, yang dijangka akan lebih mengutamakan isu-isu domestik, perhatian terhadap tahanan asing seperti itu berkemungkinan besar akan berkurangan.
Lantaran itu, Indonesia perlu melakar rangka kerja yang menyeluruh untuk menyepadukan semula bekas anggota ISIS ini dengan masyarakat dan pada masa yang sama menangani isu-isu keselamatan yang menjadi keprihatinan bersama.
Sedang Indonesia bergelut menangani usaha yang rumit ini, ia mesti mengelakkan "bahaya" yang boleh wujud akibat stigma negatif itu dengan menyerlahkan pelbagai usaha yang dijalankan untuk membawa mereka pulang ke pangkuan masyarakat.
Daripada menyifatkan mereka semata-mata sebagai ancaman terhadap keselamatan negara, pendekatan yang seimbang boleh memupuk pemahaman dan mengundang simpati orang ramai.
Komunikasi krisis penting dalam usaha menangani pelbagai risiko berkaitan pengganasan, di samping mewujudkan
respons yang berupaya membawa kepada proses pemulihan yang berkesan.
Indonesia boleh menggunakan pendekatan tiga peringkat: kongsi kisah kejayaan bekas anggota kumpulan pengganas yang berjaya disepadukan semula dengan masyarakat untuk membina kepercayaan, menyebarkan protokol keselamatan yang jelas untuk meyakinkan orang ramai tentang usaha yang dijalankan, memupuk sikap tanggungjawab bersama dan menyerlahkan usaha bekas anggota kumpulan pengganas yang komited dan bertekad untuk pulang ke pangkal jalan.
Cabaran Terhadap Keselamatan Negara
Menyedari betapa pentingnya untuk melibatkan seluruh masyarakat dalam usaha menangani isu yang rumit ini, khususnya usaha membawa pulang warga Indonesia yang pernah mengikrarkan taat setia kepada ISIS dan kemudian menyepadukan mereka dengan masyarakat tempatan, Badan Nasional Penanggulangan Terorisme Indonesia (BNPT) bekerjasama dengan
penulis untuk mengadakan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) di Yogyakarta pada 12 November lalu.
Sesi FGD itu menyediakan platform yang kondusif untuk membincangkan dan meneliti peranan komunikasi yang strategik bagi ketiga-tiga peringkat tersebut.
Pada Ogos 2024, beberapa warga Indonesia yang ditahan di Malaysia atas dakwaan terlibat dalam insiden Marawi di Filipina pada 2017 sudahpun diekstradisi ke Indonesia. Seorang kanak-kanak yang ibu bapanya telah melancarkan serangan nekad di selatan Filipina juga telah diekstradisi. Dalam satu lagi kes, sekumpulan warga Indonesia, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, diekstradisi dari Turki pada September dan Oktober lalu.
Berdasarkan contoh-contoh ini, warga Indonesia yang terpengaruh dengan fahaman tegar ISIS memerlukan pendekatan yang memberikan sokongan yang sewajarnya kepada wanita dan kanak-kanak yang mungkin dipaksa untuk menjadi anggota ISIS.
Penting dalam usaha ini ialah musyawarah dan muafakat yang akan membolehkan masyarakat untuk membantu mereka menjalani integrasi semula secara terbuka.
Ini juga bagi memastikan mereka bukan sahaja dapat pulang ke pangkuan masyarakat tetapi juga dapat menyumbang semula dan memainkan peranan penting dalam masyarakat pada satu hari nanti.
Selain itu, contoh-contoh antarabangsa memberikan pengajaran yang amat berharga kepada Indonesia. Negara-negara seperti Australia dan Britain, misalnya, mengintegrasikan kaunseling psikologi, pendidikan, dan latihan kejuruan ke dalam program integrasi semula masing-masing, sekali gus membuka laluan untuk bekas anggota ISIS berhubung semula dengan masyarakat. Inisiatif ini menekankan empati dan sokongan masyarakat, yang merupakan komponen penting dalam proses penyepaduan atau integrasi semula.
Pelan Tindakan Nasional dan Strategi Indonesia
Rencana Aksi Nasional Pencegahan dan Penanggulangan Ekstremisme (RAN PE) menekankan keselamatan dan perlindungan yang kukuh bagi kumpulan-kumpulan yang mudah terdedah, terutama sekali kanak-kanak.
Pendekatan ini seiring dengan usaha melindungi kanak-kanak warga Indonesia, seperti yang dilihat dalam kejayaan
program ekstradisi 2017 yang dipaparkan dalam filem 'Road to Resilience'.
Filem tersebut memaparkan kisah Febri Ramdani, yang berada di Syria selama 300 hari sebelum dibawa pulang ke Indonesia, di mana dia diintegrasi semula, sehingga menjadi mahasiswa universiti dan "suara yang diyakini" untuk perubahan positif.
Filem tersebut turut menunjukkan kesan penyepaduan semula yang dijalankan dengan baik dan berkesan, sekali gus menyediakan Indonesia dengan rangka kerja yang kukuh untuk usaha sedemikian pada masa akan datang.
Seperti yang dilihat dalam kes pada 2017, pendekatan menyeluruh pemerintah Indonesia yang komited untuk menyepadukan semula bekas anggota ISIS dengan masyarakat tempatan dan menggabungkan sokongan pelbagai badan pemerintah, pertubuhan sivil, dan masyarakat tempatan telah mencatatkan hasil yang memberangsangkan.
Fasa baharu RAN PE dibina atas kekuatan gagasan ini dengan mengutamakan keselamatan rakyat dan mewujudkan laluan untuk bekas anggota kumpulan-kumpulan fahaman tegar disepadukan semula dengan masyarakat sebagai individu yang diperkasa dan bukan individu yang terpinggir atau disisihkan.
Kepimpinan Prabowo dan Pengaruh Serantau Indonesia
– yang disifatkan sebagai kunci utama kepada usaha penyepaduan semula yang lebih luas.
Ini memerlukan sokongan agensi-agensi pemerintah seperti Badan Nasional Penanggulangan Terorisme (BNPT)
dengan kepimpinan dan sumber yang kukuh untuk meningkatkan keberkesanan program sedia ada.
Dari perspektif pemantauan dan penilaian, strategi komunikasi Indonesia
memerlukan penambahbaikan bagi menangani kelemahan libat urus masyarakat yang tidak berstruktur, kapasiti pegawai yang terhad, respons tempatan yang tidak konsisten, dan stigma masyarakat.
Mekanisme pemantauan yang cekap penting untuk mengukuhkan tahap keselamatan awam. Penunjuk kejayaan yang jelas, seperti penyesuaian sosial individu, perubahan tingkah laku, sumbangan kepada masyarakat dan akses kepada pendidikan atau pekerjaan, juga diperlukan.
Konsisten dalam usaha membentangkan dan menyampaikan dasar dan strategi kepada seluruh rakyat – yang memberi tumpuan kepada kepercayaan awam, usaha mendampingi masyarakat yang dijalankan secara proaktif dan mengimbangi belas kasihan dengan keselamatan awam - juga penting.
Kejayaan berbuat demikian boleh meletakkan Indonesia sebagai peran contoh di peringkat global dari segi usaha memulihkan dan menguruskan bekas anggota ISIS.
Peranan Komunikasi Strategik
Komunikasi strategi yang berkesan penting untuk memupuk pemahaman masyarakat dan mengukuhkan daya tahan proses penyepaduan semula.
Naratif yang telus dan jelas tentang protokol keselamatan dan kesan positif masyarakat dapat membantu menghakis stigma dan mempertingkatkan empati orang ramai.
Bengkel-bengkel interaktif pula akan memupuk pemahaman dan perpaduan, manakala buku dan novel grafik memberikan perspektif bernuansa tentang proses penyepaduan semula. Strategi berbilang platform ini menggalakkan tanggungjawab secara kolektif.
Dengan melibatkan pemerintah, masyarakat dan keluarga bekas anggota kumpulan-kumpulan tegar, ia akan mengukuhkan perpaduan dan sokongan sosial terhadap keselamatan jangka panjang.
Kesimpulan: Mengutamakan Keselamatan dan Belas Ihsan
Pendekatan Indonesia untuk membawa pulang warganya yang pernah menganggotai ISIS menunjukkan bahawa keselamatan negara dan belas kasihan boleh wujud seiring.
Hala tuju komunikasi strategi yang jelas dan telus penting untuk menyampaikan mesej yang betul kepada seluruh rakyat Indonesia dan bekas anggota ISIS dan jika gagal berbuat demikian ia boleh mengorbankan lebih banyak nyawa.
*Rencana bertajuk "Indonesia’s Approach to Reintegration: A Compassionate Path to Security" diterbitkan oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) pada 25 Nov 2024.
MENGENAI PENULIS
Dr Noor Huda Ismail ialah Zamil Pelawat di RSIS dan perunding komunikasi strategik Asia Tenggara di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC). Beliau juga mengendalikan laman web masyarakat www.ruangobrol.id.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.