Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Beralih ke pembelajaran di rumah dialu-alukan namun perlu atasi keterbatasannya

Langkah-langkah sewajarnya sudah diambil oleh MOE untuk meningkatkan tahap persediaan bagi pembelajaran di rumah (HBL) termasuk usaha untuk mengatasi keterbatasannya.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Beralih ke pembelajaran di rumah dialu-alukan namun perlu atasi keterbatasannya

Gambar fail sebuah laptop digunakan untuk pembelajaran secara online (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 23 May 2021 09:34AM Dikemas Kini : 23 May 2021 09:47AM

BERITAmediacorp: Berbekalkan pengalaman semasa mengharungi pusingan pertama pembelajaran di rumah (HBL) sepenuhnya pada April 2020, guru-guru, para pelajar dan ibu bapa setidak-tidaknya sudah terdedah kepada cabaran-cabaran pembelajaran secara maya apabila HBL ‘penuh’ diumumkan baru-baru ini bagi dua minggu terakhir Mei 2021.

Related article image

(Gambar fail: Mediacorp)

Walaupun masih terdapat pelbagai kesulitan yang dihadapi oleh para pelajar, ibu bapa dan guru, usaha untuk memperbaiki dan memperhalusi HBL akan terus dipergiatkan.

Meskipun ramai ibu bapa bimbang terhadap pengumuman bahawa kesemua sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Milenia serta sekolah pendidikan khas akan beralih sepenuhnya ke pembelajaran di rumah (HBL) antara 16 Mei hingga 28 Mei, ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan sama sekali.

Tanda-tanda sedemikian mula muncul pada dua minggu pertama bulan Mei, dengan pengumuman HBL dilaksanakan sepenuhnya di Sekolah Menengah Edgefield, Maktab Rendah Victoria dan beberapa sekolah lain yang dilaporkan mempunyai sebilangan pelajar yang dikesan positif COVID-19.

Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan peralihan sepenuhnya ke HBL bagi semua sekolah sehari selepas ia mengarahkan tujuh sekolah rendah berbuat demikian antara 17 Mei hingga 28 Mei.

Berdepan sekali lagi dengan gangguan pada kelas-kelas dan kegiatan di sekolah, besar kemungkinan kebanyakan guru, ibu bapa dan pelajar kini lebih bersedia membuat peralihan dalam jangka masa lebih singkat berbanding pelaksanaan langkah serupa pada April tahun lalu.

Pada tahun lalu, para pendidik, pelajar dan ibu bapa mungkin lebih tertekan untuk membuat penyesuaian bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara maya dan menangani kesannya terhadap kegiatan luar darjah.

Namun kali ini, setidak-tidaknya mereka sudah dibiasakan dengan rutin dan protokol kelas-kelas online serta cabaran menggunakan wadah-wadah online untuk mengajar dan belajar.

PERSEDIAAN HBL DIPERTINGKAT

Sepanjang tahun lalu, MOE mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan persediaan bagi HBL.

Pada Disember 2020, MOE mengumumkan rancangan untuk HBL meliputi sekitar 10 peratus waktu kurikulum di sekolah menengah dan antara 10 hingga 20 peratus di maktab rendah dan Institut Millenia.

MOE juga menubuhkan sebuah program pembangunan profesional untuk mempertingkatkan keupayaan para guru dalam melaksanakan pembelajaran teradun ataupun model hibrid di mana pembelajaran di rumah dijadualkan secara tetap untuk melengkapi kelas-kelas yang diadakan secara fizikal di sekolah.

Related article image
Bangunan Kementerian Pendidikan di Singapura. (Gambar: Alvin Chong)

Pada masa yang sama, MOE sedang mempercepatkan usahanya untuk menyediakan setiap pelajar sekolah menengah dengan peranti pembelajaran peribadi (PLD) pada tahun ini – berbanding sasaran awal 2028 – sebagai sebahagian daripada Program Celik Digital Nasional.

Program itu akan dilaksanakan dalam dua peringkat. Sebanyak 86 sekolah akan menerima peranti itu menjelang Penggal 2, manakala lagi 66 sekolah akan menerimanya menjelang Penggal 3 tahun ini.

Langkah-langkah yang diambil itu adalah untuk memperkasa prasarana IT pelajar dan melatih guru-guru dalam mengendalikan kelas secara online supaya mereka mampu meningkatkan persediaan untuk menjalani HBL sekiranya tempoh HBL melebihi beberapa hari yang dirancang pada bulan Mei.

HBL & KETERBATASANNYA

Berdasarkan pengalaman lalu, lima pengajaran dari pengalaman HBL penuh pada 2020 boleh dicerakinkan untuk memperhalusi pendekatan kita bagi pusingan kedua ini dan dijadikan sebagai sandaran kepada para pendidik.

Pertama, MOE mengakui secara terbuka bahawa HBL tidak dapat menggantikan sepenuhnya manfaat pengalaman pembelajaran para pejalar ketika menghadiri kelas-kelas di sekolah.

Hakikatnya, tidak semua pelajar berupaya mendorong diri sendiri untuk menelaah pelajaran. Sesetengah pelajar mungkin memerlukan bimbingan yang lebih khusus dan bimbingan teliti seperti ini mungkin tidak terdapat di rumah mereka.

Ada juga pelajar yang tidak mempunyai hubungan Wi-Fi di rumah sementara ada pula yang mempunyai keperluan pendidikan khas yang paling sesuai ditangani di sekolah.

Sekolah-sekolah juga menyediakan persekitaran yang selamat dan membina setidak-tidaknya pada siang hari bagi para pelajar yang menghadapi keadaan yang mencabar di rumah.

Atas sebab-sebab sedemikian, pengumuman mengenai sekolah-sekolah akan kekal dibuka bagi para pelajar yang memerlukan sokongan tambahan, seperti mana yang dilakukan pada tahun lalu, amat dialu-alukan.

Kedua, adalah tidak praktikal untuk melakukan kegiatan-kegiatan amali seperti eksperimen sains menerusi wadah online sepenuhnya bagi tempoh yang panjang.

Ini meskipun tidak dinafikan bahawa para pendidik boleh menghasilkan eksperimen yang mudah dilakukan sendiri oleh pelajar di rumah menggunakan bahan-bahan yang lazim terdapat di rumah, atau melakarkan simulasi online.

Namun masih terdapat keterbatasan dalam pelaksanaan kegiatan sedemikian secara online, misalnya untuk menggunakan kimia atau perkakas sains tertentu, lebih-lebih lagi bagi para pelajar sekolah menengah atau maktab rendah yang menduduki peperiksaan di makmal bagi mata pelajaran tertentu dalam peperiksaan nasional.

Related article image

(Gambar fail kegiatan CCA bola sepak di sekolah)

Ketiga, penggantungan kegiatan ko-kurikular dan pertandingan antara sekolah mendatangkan kesan kepada pertumbuhan dan pembangunan keperibadian para pelajar.

Kegiatan sedemikian bukan hanya menggalak para pelajar mencungkil bakat dan minat masing-masing, bahkan turut membantu dalam pembangunan keupayaan sosio-emosi seperti sikap bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan mengurus diri sendiri. Para pelajar juga mungkin menjalin persahabatan dan mempelajari nilai-nilai seperti saling hormat-menghormati dan sikap bertanggungjawab.

Menggalak interaksi dan kerjasama antara pelajar dalam ruang-ruang maya lebih kecil yang boleh dipantau oleh para guru, penyelaras CCA dan jurulatih, merupakan sesuatu yang boleh dibangunkan sebagai ciri standard HBL. Para pendidik juga boleh saling berkongsi amalan terbaik berdasarkan pengalaman masing-masing.

Keempat, para pelajar yang bakal tamat sekolah serta guru-guru dan ibu bapa mereka, tentunya berasa bimbang tentang tahap persiapan bagi menduduki peperiksaan nasional. Persiapan bagi kaedah-kaedah penilaian lain seperti uji bakat dan temu bual bagi Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) menerusi HBL, dijalankan sama seperti kohort-kohort tahun lalu.

Ini mungkin sebabnya mengapa MOE membenarkan pelajar-pelajar berkenaan untuk kembali ke sekolah semasa cuti sekolah pertengahan tahun pada tahun lalu dan akan membenarkan mereka untuk berbuat demikian pada tahun ini juga.

Related article image
(Petikan skrin video ihsan: Nurul Huda Zulkifli)

(Petikan video fail ihsan: Nurul Huda Zulkifli)

Kelima, menguruskan jangkaan ibu bapa dan pendidik turut memainkan peranan yang penting semasa beralih ke HBL bagi tempoh yang lebih panjang.

Penutupan sekolah secara bertahap-tahap sebelum pengumuman HBL sepenuhnya mungkin mencetuskan keprihatinan sesetengah ibu bapa yang bertanggapan bahawa keselamatan pelajar perlu diutamakan lebih-lebih lagi setelah bilangan kes harian COVID-19 dalam masyarakat semakin meningkat.

Tidak dapat dinafikan bahawa ia memang sukar untuk menyedapkan hati semua pihak dan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Ahad (16 Mei) menegaskan bahawa keputusan untuk beralih ke HBL sepenuhnya dibuat setelah mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan para pelajar.

PERJALANAN MASIH JAUH UNTUK PERTINGKAT HBL

Usaha kita untuk meningkatkan pengalaman HBL belum selesai dan kita mesti memastikan pelajar-pelajar kita tidak ketinggalan dan berputus asa dalam peralihan kepada pembelajaran online.

Dengan pandemik ini belum menunjukkan tanda-tanda akan mereda dalam masa terdekat ini, MOE perlu terus bekerjasama bukan saja dengan sekolah-sekolah, ibu bapa dan pelajar-pelajar, tetapi juga dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan pihak-pihak lain untuk mengurangkan kebingungan, kekeliruan dan kekecewaan yang malangnya menjejas landskap persekolahan sepanjang 16 bulan yang lalu.

Dalam erti kata lain, tugas utamanya adalah untuk sedikit sebanyak mengembalikan keadaan normal dan stabil dalam masa yang tidak menentu sekarang ini.

MENGENAI PENULIS:
Jason Tan adalah seorang profesor madya di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita