Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Benarkah masyarakat Melayu sudah 'cukup manis'?

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Ramai yang mungkin tidak tahu tentang sejarah Penyakit Kencing Manis atau yang kerap dipanggil Diabetes Mellitus.

Pada mulanya, penyakit kencing manis dinamakan sebagai keadaan “Madhumeha” yang bermaksud air kencing madu.

Semasa abad ketiga B.C.E., Apollonius dari Memphis menyebut istilah
“diabetes” yang mungkin merupakan rujukannya yang paling awal.


Perkataan “Diabetes Mellitus” diambil daripada bahasa Yunani di mana “Diabetes” bermaksud siphon atau melalui dan bahasa Latin “Mellitus” yang bermakna manis.

Pada abad 1500 AD, orang Hindu menulis bahawa semut tertarik dengan air kencing manis orang yang menderita daripada penyakit misteri.

Pada abad 600 AD, buat pertama kalinya, air kencing digambarkan mempunyai rasa madu.

Pada abad 1000S, Polymath Farsi Avicenna menerangkan diabetes dengan terperinci. Dia menyebut dua komplikasi, gangren dan disfungsi erektil (erectile dysfunction atau mati pucuk) dan mengesyorkan rawatan dengan campuran bunga/benih lupin dan benih lain yang mempunyai kesan penurunan glukos di dalam darah yang sederhana.

Pada abad 1500S, pakar perubatan Switzerland, Paracelsus melaporkan kehadiran bahan tidak normal dalam air kencing penghidap penyakit diabetes yang kekal sebagai sisa selepas penyejatan. Dia mengenal pasti bahan itu sebagai garam dan mengaitkan perkembangan diabetes dengan pemendapan garam ini dalam buah pinggang.

Pada abad 1700S, pakar perubatan dan ahli falsafah Inggeris, Matthew Dobson mengenal pasti bahan dalam darah penghidap diabetes yang memberikan rasa manis sebagai gula glukos dan menunjukkan buat kali pertama bahawa diabetes adalah penyakit sistemik dan bukan penyakit yang berasal dari buah pinggang.
Hari Diabetes Sedunia diperingati setiap tahun pada 14 November. Ia merupakan hari lahir Sir Frederick Banting, yang menemui insulin pada tahun 1922.

Pada 11 Januari 1921, Leonard Thompson yang berusia 14 tahun diberikan suntikan ekstrak pankreas yang dibangunkan oleh Banting, Best dan Collip. Ekstrak itu kemudiannya dipanggil
insulin.

Perkembangan insulin terapeutik pada tahun 1921 merupakan satu kejayaan penting dalam sejarah perubatan. Satu abad selepas penemuan insulin dan penggunaannya sebagai terapeutik pertama, insulin dan komponen asas penjagaan diabetes yang lain masih lagi di luar jangkauan ramai yang memerlukannya.

Ini Mesti Berubah

Setiap tahun, Hari Diabetes Sedunia mempunyai pelbagai tema. Tema Hari Diabetes Sedunia 2022 ialah "Pendidikan Untuk Melindungi Hari Esok".

Pendidikan dan pengetahuan tentang pesakit diabetes yang lebih baik akan dapat mengawal dan merawat
diabetes pada masa yang tepat dan boleh mengurangkan faktor risiko dan meminimumkan risiko mengalami komplikasi diabetes dan dengan itu mengurangkan morbiditi dan mortaliti
pesakit diabetes.

Di seluruh dunia, hampir setengah bilion orang hidup dengan diabetes. Tanpa tindakan penting untuk menangani kesan global itu, kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada lebih 700 juta dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Diabetes adalah penyakit tidak berjangkit yang serius dan berpotensi melemahkan dan mengancam nyawa yang boleh memberi kesan berat kepada individu dan keluarga mereka serta sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.
Kira-kira separuh daripada orang yang dianggarkan menghidap diabetes kekal tidak didiagnosis. Jika tidak dirawat dengan insulin, diabetes Jenis 1 boleh membawa maut.

Apabila penghidap diabetes Jenis 2 tidak dirawat atau tidak mendapat sokongan yang mencukupi, mereka berisiko mengalami komplikasi yang serius dan mengancam nyawa seperti serangan jantung, angin ahmar atau strok, kegagalan buah pinggang, buta dan amputasi kaki.

Ramai yang akan didiagnosis dengan diabetes Jenis 2 kerana mereka mempunyai gejala dan simptom komplikasi diabetes. Ini bererti pesakit sudahpun memasuki persekitaran klinikal dengan masalah sedia ada yang ketara, tanpa menyedari bahawa masalah itu berpunca daripada diabetes. Ada yang akan tersalah diagnosis. Secara tragis dan boleh dielakkan, sesetengahnya hanya didiagnosis selepas maut ketika autopsi atau dibedah siasat.

Dalam kebanyakan kes, jika diabetes dikesan awal, pesakit yang terjejas mungkin dapat mencegah atau sekurang-kurangnya menangguhkan sebarang masalah komplikasi serius yang mungkin timbul.

Lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk mencegah diabetes Jenis 2 pada orang yang berisiko tinggi menghidapi keadaan tersebut. Usaha yang lebih besar juga mesti dibuat untuk mendiagnosis semua bentuk diabetes lebih awal dan mencegah komplikasinya.

Tindakan untuk menangani diabetes harus termasuk akses kepada penjagaan yang berpatutan dan tanpa gangguan untuk setiap orang yang menghidap diabetes, tidak kira di mana mereka tinggal atau keadaan ekonomi mereka.

Usaha Perangi Kencing Manis

Kita sedang melalui masa yang sukar di mana penghidap diabetes menghadapi ancaman kesihatan. Kita telah melihat penghidap diabetes lebih terdedah kepada komplikasi buruk jangkitan COVID-19.

Bukti menunjukkan kematian lebih tinggi dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit seperti diabetes.

Kadangkala perhatian terhadap penyakit berjangkit boleh menjejas perhatian dan tumpuan terhadap penyakit-penyakit lain.

Ini berlaku apabila sumber dan perhatian yang lebih banyak tertumpu kepada penyakit berjangkit daripada penyakit-penyakit lain seperti diabetes atau dikenali sebagai penyakit kencing manis.

Dalam iklim semasa, komuniti diabetes global perlu bersatu dan melantangkan suara untuk memastikan diabetes, penyebab utama ketidakupayaan dan kematian global, menerima perhatian yang diperlukan.

Bersatu, komuniti diabetes global mempunyai bilangan yang ramai, pengaruh yang kuat dan keazaman untuk membawa perubahan yang bermakna.

Kita perlu menyahut cabaran itu kerana kita terhutang budi kepada berjuta-juta keluarga yang terjejas oleh diabetes.

Diabetes mellitus Jenis 2, iaitu jenis diabetes yang lebih biasa, semakin meningkat di Singapura.
Gambar fail seorang warga emas berkerusi roda (Gambar: Calvin Oh)
Dianggarkan 1 daripada 10 rakyat Singapura menghidap diabetes. Bagi warga Singapura yang berusia 60 tahun ke atas, peratusan itu meningkat kepada 1 daripada setiap 3 orang.

Diabetes & Berat Badan Berlebihan

Kira-kira 13 peratus daripada penduduk negara ini menghidap diabetes, dengan dua pertiga daripada pesakit diabetes berlebihan berat badan.

Bukti menunjukkan bahawa jika pesakit berjaya menurunkan antara 10 hingga 15 peratus berat badan berlebihan mereka dalam masa beberapa tahun pertama selepas diagnosis, diabetes boleh dikawal dengan lebih baik.

Kelaziman GDM sukar dibandingkan dengan perangkaan di negara lain kerana perbezaaan ukur tara mengikut negara/rantau dan juga disebabkan oleh perbezaan etnik, gaya hidup dan kriteria diagnostik.

Penyelidik GUSTO (Growing Up In Singapore) mendapati bahawa 1:5 ibu yang hamil menghidap kencing manis semasa mengandung tetapi mereka tidak menyedari hakikat ini.
Penyakit kencing manis semasa kehamilan menjejas sekitar 15 hingga 20 peratus wanita yang hamil di Singapura.
Diabetes mellitus gestational (GDM) telah dikaitkan dengan hasil kesihatan yang buruk untuk ibu dan anak. Ini boleh menyebabkan penyakit kencing manis untuk kedua-dua ibu dan juga anak mereka pada masa akan datang.

Sekitar 20 peratus wanita yang mengikuti kajian yang dijalankan GUSTO didapati menghidap penyakit kencing manis semasa hamil dan jumlah itu adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding 9.2 peratus di Amerika Syarikat.

Daripada jumlah tersebut, lebih 45 peratus yang menghidap kencing manis semasa hamil kini didapati menghidapi kondisi prakencing manis atau kencing manis 'Type 2' dalam masa lima tahun selepas hamil.

Semasa mengandung, paras glukosa ibu yang lebih tinggi, walaupun tanpa diabetes mellitus semasa mengandung, mempunyai hubungan berperingkat dengan adipositas bayi yang lahir.

Apakah perbezaan yang ketara pada pesakit Melayu jika dibandingkan dengan pesakit daripada masyarakat lain?

Perbandingan antara pesakit Melayu dengan pesakit kaum lain
Gambar fail pemeriksaan kesihatan percuma. (Gambar: Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Tampines)
Jika dibandingkan dengan pesakit lain, lebih ramai pesakit Melayu yang terpaksa menjalani dialisis selepas ginjal mereka rosak akibat kencing manis.

Yang lebih membimbangkan ialah terdapat juga pesakit yang penyakit kencing manis hanya diketahui selepas penyakit itu menjadi lebih serius.

Banyak teknologi baru terus berkembang dalam dunia diabetes.Teknologi diabetes kini termasuk pam insulin dan pen insulin bijak.

Pen insulin bijak adalah pen penyuntik yang boleh diguna semula dengan aplikasi telefon bijak intuitif yang boleh membantu penghidap diabetes mengurus penghantaran insulin dengan lebih baik.

Sistem bijak ini mengira dan memantau dos serta menyediakan peringatan, makluman dan laporan yang berguna.

Selain pemantau gula darah dengan tusukan jari, Continuous Glucose Monitoring (CGM) bukan invasif boleh mengukur glukosa di dalam darah.
Bergantung kepada jenis meter yang dipilih, sekarang kita tidak perlu mengambil darah dengan tusukan jari tetapi kia boleh memakai penderia pada bahagian badan seperti di bahagian lengan.

Pemantauan glukosa berterusan secara automatik boleh memantau paras glukos darah, juga dipanggil gula dalam darah, sepanjang hari dan malam.

Tahap glukosa boleh dilihat pada bila-bila masa. Penyemakan boleh dilakukan untuk melihat bagaimana glukosa berubah selama beberapa jam atau hari untuk melihat arah aliran.

Melihat tahap glukosa dalam masa nyata boleh membantu membuat keputusan yang lebih termaklum sepanjang hari tentang cara mengimbangi makanan, aktiviti fizikal dan ubat-ubatan.

Continuous Glucose Monitoring (CGM) berfungsi melalui penderia kecil yang diletakkan di bawah kulit, biasanya pada perut atau lengan anda. Sensor mengukur tahap glukosa yang terdapat dalam cecair antara sel.

Pemancar menghantar maklumat secara tanpa wayar ke monitor.

Monitor mungkin sebahagian daripada pam insulin berasingan, yang boleh dibawa di dalam saku atau beg tangan.

Sesetengah CGM menghantar maklumat terus ke telefon bijak atau
tablet. Sistem pankreas buatan telah diluluskan oleh Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Selain daripada itu, antara perubahan baru yang dilihat sejak terciptanya insulin, kita sekarang mempunyai pelbagai jenis ubat untuk menangani kencing manis.

Walaupun terapi sel tunjang masih belum menyembuhkan diabetes Jenis 1 (Type 1 Diabetes), terdapat kes yang didokumenkan di mana pesakit bertahun-tahun tidak lagi memerlukan suntikan insulin.

Sesetengah ujian klinikal menggunakan sel tunjang darah tali pusat khusus untuk merawat diabetes. Buat masa ini, kaedah tersebut masih di peringkat penyelidikan.

Insulin sekali seminggu berkemungkinan besar akan menjadi tambahan seterusnya kepada persenjataan insulin.

Kajian klinikal pertama menunjukkan turun naik paras kemuncak ke tahap paling rendah (peak to trough) dengan insulin menunjukkan potensi untuk mencapai kawalan gula glisemik yang lebih baik berbanding insulin basal yang tersedia buat masa ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan mendapatkan pandangan dan makum balas orang ramai berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan warga Singapura dan juga bagaimana kita boleh menerapkan gaya hidup yang suka bersenam agar kita
senang mengawal berat badan kita.
Senaman rutin di "Health Fiesta: Let's Be Healthy - Say No to Diabetes", 25 Sep 2016. (Gambar: PA)
Walau apapun usulan yang disarankan, yang paling penting adalah untuk kita memerangi penyakit kencing manis secara bersama-sama.

Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan
kepercayaan di dalam lubuk hati kita bahawa kita boleh bersatu hati menjadi masyarakat Singapura yang lebih sihat.

MENGENAI PENULIS:
(Gambar: Dr Nurhidayati Mohamed Suphan)
Dr Nurhidayati Mohamed Suphan adalah doktor perbidanan & sakit puan, Pacific Healthcare Specialist Centre.
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan