Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Benarkah kaum bapa kurang faham erti sebenar meluangkan masa bersama anak? Mungkinkah petanda masalah lebih rumit?

Baru-baru ini satu kajian telah dijalankan oleh beberapa pihak mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bapa Melayu/Islam di sini. Kajian itu menonjolkan “Kaum bapa Melayu/Islam di Singapura didapati kurang faham erti sebenar meluangkan masa secara bermakna dengan anak-anak mereka walaupun mereka sendiri akur bahawa ia adalah sesuatu yang sangat penting demi pembangunan anak-anak mereka".

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Benarkah kaum bapa kurang faham erti sebenar meluangkan masa bersama anak? Mungkinkah petanda masalah lebih rumit?

Gambar fail seorang bapa dan anak-anak. (Gambar: Hanidah Amin)

BERITAmediacorp: Baru-baru ini satu kajian telah dijalankan oleh beberapa pihak mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bapa Melayu/Islam di sini. Kajian itu menonjolkan “Kaum bapa Melayu/Islam di Singapura didapati kurang faham erti sebenar meluangkan masa secara bermakna dengan anak-anak mereka walaupun mereka sendiri akur bahawa ia adalah sesuatu yang sangat penting demi pembangunan anak-anak mereka".

Memang tidak menghairankan apabila kaum bapa yang terlibat dalam kajian tersebut memberitahu para penyelidik bahawa mereka duduk bersama keluarga menonton TV atau duduk bersebelahan dengan anak mereka tetapi mereka menumpukan perhatian kepada hal masing-masing.

Ini kerana kaum bapa sering berasa jangkal untuk berbual dan berinteraksi dengan anak-anak mereka terutama sekali bagi kaum bapa yang sejak sekian lama mengamalkan pendekatan kebapaan tradisional dan konservatif.

BUKAN MASALAH UNIK BAGI KAUM BAPA DI SINI

Sebenarnya masalah kaum bapa berasa kekok untuk berinteraksi dengan anak mereka, kebuntuan idea yang dialami oleh bapa untuk melakukan aktiviti yang bermakna dengan anak dan sebagainya bukanlah satu perkara yang unik buat kaum bapa di Singapura. Ia sebaliknya adalah satu cabaran sejagat yang dihadapi oleh kaum bapa di merata dunia termasuk di Barat juga. Pendek kata, ia adalah satu masalah sistemik.

(Gambar hiasan: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels)

Masalah sistemik ini yang sudah berzaman lamanya telah membentuk satu budaya 'cauvinisme lelaki' dan telah mempengaruhi pandangan kita terhadap keibubapaan.

Disebabkan oleh perspektif berat sebelah ini, tugas mengasuh anak dianggap sebagai tanggungjawab kaum ibu. Kaum bapa pula dianggap sebagai pencari nafkah dan sebagai pendisiplin dalam keluarga. Disebabkan oleh kepercayaan yang dipegang teguh inilah, maka hubungan antara anak dan bapa sentiasa renggang dan tidak mesra.

SATU ISU YANG RUMIT

Jika kita merenungkannya dengan lebih teliti, isu kurang faham erti sebenar meluangkan masa secara bermakna dengan anak tidak boleh ditangani dengan program-program yang cetek. Ini kerana ia bukan hanya suatu isu kurang faham yang boleh diatasi dengan kursus-kursus “bagaimana untuk” atau “how to” yang memberi tumpuan kepada cara-cara meluangkan masa berkualiti sahaja.

Isu ini adalah masalah teras yang berpunca daripada kelaziman yang sudah bertahun-tahun lamanya berdasarkan kepercayaan tradisional yang semakin lapuk.

Keberkesanan program-program untuk menangani masalah sosial ini bergantung kepada sedalam mana kita bersedia untuk merombak kembali budaya kebapaan kita di sini dari segi falsafah, anjakan minda, dan gaya.

Ia akan mencabar kita semua, termasuk kaum ibu juga; cara kita mendekati konsep kekeluargaan dan pasti akan berdepan dengan rintangan dari pihak-pihak yang masih berpegang kepada budaya tradisional.

Usaha “social reengineering” ini jika dilancarkan akan memerlukan kesungguhan dan ketahanan yang luar biasa; ibarat cogan kata Inggeris “go big or go home”.

STRATEGI BERBILANG SERAMPANG

Setiap usaha untuk memperbaiki keadaan ini memerlukan pendekatan pelbagai serampang. Kerjasama dari pihak-pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang menyokong kebapaan aktif dan progresif memerlukan perancangan yang mendalam dan menyeluruh.

(Gambar: Unsplash)

Ini kerana naratif baru ini akan dengan secara langsung mencabar norma-norma sosial dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di sini dan akan dipandang sebagai satu perkara yang bercanggah dengan sistem kepercayaan yang sudah mantap dan lama wujud.

Mujur kita dikurniakan dengan banyak sumber yang boleh digunakan dalam usaha ini. Misalnya, masyarakat seni boleh menyumbang melalui pameran-pameran lukisan atau fotografi yang bertemakan ayah dan anak, ayah dan keluarga dan sebagainya.

Mereka juga boleh menganjurkan pertunjukan seni yang lain seperti lukisan grafiti yang memaparkan aktiviti-aktiviti bapa dan anak di mana lukisan grafiti ini boleh diadakan di kawasan-kawasan kejiranan perumahan awam merata Singapura.

Industri hiburan kita juga boleh memainkan peranan yang aktif dalam inisiatif ini. Dari siri drama di TV dan radio ke filem-filem bertemakan keluarga di pawagam dan rancangan-rancangan komedi di pentas dan juga pelbagai rancangan hiburan di platform-platform sosial seperti YouTube, TikTok dan sebagainya; semua saluran ini boleh mempengaruhi anjakan minda yang kita perlukan secara halus.

Seperti yang dikatakan oleh Anthony Robbins iaitu “Success leaves clues” atau 'kejayaan meninggalkan petunjuk', kita boleh mengikut jejak pemerintah yang telah berjaya menjalankan beberapa kempen nasional.

Seperti kempen menggalak penggunaan bahasa ibunda dan kempen berbudi bahasa, konsep kebapaan aktif dan progresif boleh diterapkan pada kanak-kanak semasa mereka di bangku sekolah lagi melalui kisah-kisah sedemikian rupa dalam buku teks mata pelajaran sivik dan bahan baca untuk kefahaman dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu supaya apabila mereka besar kelak, mereka akan dapat menghayati falsafah ini dan mempraktikkannya.

Gambar fail keluarga. (Gambar: staticnak1983/iStock)

Walaupun kursus-kursus berunsur keibubapaan dan kekeluargaan yang dianjurkan oleh pelbagai penyedia khidmat boleh menyelitkan naratif membina ini dalam kurikulum mereka, malangnya usaha ini kurang berkesan sekali kerana ia tidak tepat pada sasarannya.

Sudah menjadi pengetahuan am sebahagian besar yang hadir di acara-acara atau ceramah-ceramah kebapaan adalah mereka yang memang sudah arif dan mahir dalam isu kekeluargaan. Peranan yang mereka boleh secara aktif melibatkan diri adalah dari segi melatih pelatih dan kaunseling.

Mungkin kursus rumah tangga yang diadakan untuk memberi pendedahan kepada bakal pengantin boleh mencorak program keibubapaan dan kebapaan aktif dan progresif dengan lebih mendalam lagi.

Mereka perlu dilengkapi dengan pengetahuan di peringkat ini kerana kebanyakan daripada mereka akan menjadi ibu dan bapa kelak. Gaya keibubapaan yang betul adalah satu penguasaan yang mereka perlu terapkan sebelum mereka sendiri menjadi 'orang tua' kelak.

KESIMPULANNYA

Walaupun ini adalah satu usaha yang besar dan mencabar dari setiap aspek, yang menggalakkan adalah setiap sumber yang kita ada mempunyai kekuatan strategik yang boleh digembleng dan diselaraskan bagi mencapai matlamat yang kita inginkan.

Ini amat penting sekali kerana isu yang kita hadapi bukan sekadar isu kurang faham tetapi lebih dalam dari itu.

Ia melibatkan usaha untuk mempengaruhi perubahan minda dan ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Rintangan yang akan kita hadapi tidak kurang hebatnya kerana ia adalah mencabar pada peringkat asas masyarakat kita. Ia boleh melemahkan semangat kita jika kita tidak bersedia untuk berjuang mati-matian.

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa