Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Belia SG perlu bimbingan masyarakat untuk lakar kejayaan seterusnya

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Permulaan tahun merupakan salah satu peluang terbaik untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Dalam konteks ini, saya menulis daripada perspektif seorang belia yang baru sahaja menamatkan pengajian universiti dan memulakan perjalanan sebagai seorang dewasa yang bakal memasuki alam pekerjaan.
 
Komentar ini juga ditulis sempena kempen Melakar Hala Tuju Singapura (ForwardSG) yang menggalak masyarakat untuk mengkaji isu-isu tempatan dan aspirasi kita untuk masa depan Singapura.

Tiga bulan yang lepas, saya rasa bertuah diberikan peluang oleh rancangan Detik untuk berkongsi tentang pengalaman dan isu-isu ketara yang telah menjejas belia Singapura dewasa ini.

Apabila diajukan soalan ini, perkataan “burn out” dengan serta-merta terlintas di minda.

Setiap individu mempunyai fahaman yang berbeza tentang maksud perkataan ini. Dari segi istilahnya, ‘burn out’ sering difahami sebagai keletihan fizikal, mental dan emosi yang berpunca daripada tekanan yang berpanjangan disebabkan oleh beban kerja yang berat dan tekanan berlebihan.

'Burn out' sering juga dikaitkan dengan simptom kemurungan, kerunsingan, serta simptom fisiologi seperti keletihan, kurang tidur, dan sakit kepala. Keadaan ini sekali gus boleh membuat seseorang hilang semangat dan minat terhadap kegiatan harian mereka.
 
(Gambar fail: Grace Yeoh)
Walaupun pemahaman ramai mengenai burnout tidak boleh dinafikan, namun punca mengapa remaja menghadapi isu ini masih kurang dibincangkan.

Punca masalah yang dimaksudkan ini adalah tabiat perbandingan diri. Baik sengaja mahupun tidak, perbandingan diri sudah menjadi lumrah manusia untuk membandingkan perjalanan hidup masing-masing dengan kehidupan orang lain.

Tabiat ini menjadi lebih ketara dengan adanya media sosial. Dengan beberapa klik saja, kita boleh melihat apa saja yang sedang berlaku dalam kehidupan rakan-rakan kita. Hal ini juga sering berlaku apabila belia menilai jikalau mereka telah berjaya atau gagal untuk mencapai matlamat hidup masing-masing.
Sesungguhnya masalah perbandingan diri dalam kalangan remaja bukan sahaja isu pemikiran golongan muda.

Sebaliknya, ia merupakan masalah budaya masyarakat secara am yang perlu kita bincangkan dengan lebih lanjut.

Tabiat sebegini ini tidak semestinya salah. Menurut American Pyshological Association, istilah psikologi tabiat membandingkan diri dengan individu lain, atau boleh difahami sebagai “social comparison”, sering berlaku atas dasar keinginan seseorang untuk mencapai prestasi peribadi yang lebih baik.

Sering kali ramai yang mempunyai tabiat ini mencari kepastian dan keyakinan diri bahawa situasi mereka pada saat tersebut lebih baik daripada orang lain.

Walau bagaimanapun, ramai yang masih melakukan perkara sebegitu walaupun mereka sedar bahawa perbandingan yang sering dibuat itu tidak adil dan agak cetek.

Ini boleh menimbulkan perasaan keraguan diri yang boleh menjejas keyakinan diri untuk menghadapi masa hadapan. Belia Singapura juga tidak terpisah daripada masalah sosial ini.

Hakikatnya, perilaku ini tidak sihat dan realistik jika tidak dikawal, terutama sekali dalam era masa kini yang penuh dengan ketidakpastian dan pancaroba.

Mangsa Ketidakpastian

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar dan orang dewasa muda yang bekerja telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong mengenai cabaran-cabaran yang sering dihadapi oleh golongan belia.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong bercakap di Forum Belia CNA. (Gambar: Jeremy Long/CNA)
Masalah-masalah yang telah diketengahkan dalam dialog CNA itu merangkumi isu-isu seperti kos sara hidup, kesihatan mental, jurang sosial dan sebagainya.

Banyak masalah yang dikongsikan itu merupakan kesan-kesan yang dihadapi oleh belia akibat ekonomi yang tidak stabil serta persaingan sengit.

Menurut Menteri Tenaga Manusia, terdapat peningkatan pada jumlah pemberhentian pekerja dalam sektor teknologi. Seramai 1,270 pekerja tempatan diberhentikan dari Julai hingga pertengahan November 2022.

Syarikat teknologi besar seperti Shopee, Twitter dan Facebook Meta telah menamatkan pekerjaan-pekerjaan ini demi menyelamatkan keuntungan masing-masing. Malangnya, ramai belia yang terjejas oleh ketidakpastian ekonomi merupakan golongan yang telah bekerja keras untuk membuktikan kecekapan mereka dalam tugasan mereka.

Ketidakpastian ekonomi juga boleh dilihat apabila masih terdapat kalangan belia yang masih tertekan akibat kegagalan mereka untuk mendapatkan pekerjaan enam bulan selepas tamat pengajian.

Fenomena ini masih berlaku walaupun kebanyakan belia ini telah memperoleh prestasi gred yang cemerlang mahupun mempunyai pengalaman industri yang relevan. Segelintir belia juga terpaksa mengambil sebarang peluang pekerjaan akibat terdesak sehingga mereka melaporkan perasaan tidak puas hati dan keletihan.

Akibat isu-isu ini, rancangan belia untuk mencapai matlamat-matlamat lain seperti membeli rumah dan berkahwin di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup tergendala dan bertambah sulit.

Era COVID-19 ini juga telah menjadi bukti bahawa generasi belia tidak akan terlepas daripada menghadapi pelbagai masalah yang tidak berhenti silih berganti.

Walau bagaimanapun, apabila kita mendalami isu-isu yang diketengahkan ini, banyak masalah yang dikemukakan ini adalah berdasarkan perbandingan dengan rakan-rakan sebaya yang telah mencapai kemajuan yang lebih baik.

Hal ini juga boleh memburukkan lagi masalah 'burn out' yang menjejas belia Singapura. Ini adalah masalah sosial yang tidak patut diambil ringan.

Perubahan Dalam Cara Pemikiran Demi Kemajuan

Dalam usaha kita untuk melangkah ke hadapan pada tahun 2023, belia perlu mengubah cara pemikiran mereka dalam mengharungi masa depan yang sukar.

Dengan melakukandemikian, belia boleh mengurangkan perilaku membandingkan diri dengan orang lain. Sebaliknya, ada dua cara yang boleh membantu belia untuk menghargai nilai peribadi mereka dan membuat mereka lebih berdaya tahan terhadap 'burn out' mahupun sebarang cabaran pada masa hadapan.

Pertama, semua hal yang berlaku dalam hidup harus dilihat sebagai satu proses pembelajaran.

Pemikiran seperti ini lebih sihat berbanding tanggapan bahawa setiap perkara yang berlaku itu adalah sekadar kejayaan atau kegagalan.

Hakikatnya, pelbagai perkara boleh dipelajari daripada setiap fasa kehidupun, tidak kira baik mahupun buruk.
(Gambar: East Youths)

Walau bagaimanapun, untuk berbuat demikian, seseorang belia itu mesti mempunyai keinginan untuk bermuhasabah diri dan memperbaiki diri.

Ia merupakan perkara biasa bagi seseorang yang dibelenggu masalah untuk berasa hilang arah sehingga mereka berasa pasrah. Hal yang sama sering berlaku pada belia yang sedang beralih ke alam dewasa. Mungkin kita juga tidak mampu mencapai matlamat secepat orang-orang di sekeliling kita walaupun kita sudah berusaha.

Tidak dinafikan bahawa proses menjadi seorang dewasa ini sangat meletihkan. Namun, belia perlu sentiasa bersedia untuk meminta nasihat, menerima bimbingan daripada orang-orang yang lebih berpengalaman serta menerima kritikan.

Kedua, cara belia melihat kehidupan sememangnya dibentuk oleh diri kita sendiri. Jenis soalan yang kita ajukan kepada diri sendiri sebagai cara muhasabah diri juga sangat mustahak.

Persoalan yang sering dikemukakan ketika bermuhasabah diri adalah “apa tujuan hidup saya?” Walaupun persoalan ini penting namun belia tidak mempunyai kebebasan untuk mendalami kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Soalan yang patut belia renungkan ialah "kehidupan bagaimanakah yang saya mahukan?".

Persoalan ini memberi ruang kepada belia untuk mempertimbangkan keinginan, aspirasi dan personaliti masing-masing. Soalan ini juga membolehkan kami meneroka secara aktif apa hala tujuan hidup kita berdasarkan pengalaman dan minat mereka.

Yang paling penting, ia menggalakkan kita fokus kepada pencapaian kita sendiri tanpa terlalu menghiraukan faktor-faktor di luar kawalan kita.

Prinsip-prinsip ini turut ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong. Kebolehan dan kejayaan beliau untuk memegang jawatan setinggi itu di Parlimen bukanlah sesuatu proses yang mudah dan boleh dijangka olehnya ketika beliau masih seorang belia.

Malah, Encik Wong berkongsi tentang bagaimana beliau tidak dapat peluang bekerja di Kementerian Ehwal Dalam Negeri pada kali pertama. Meskipun beliau tidak dapat merealisasikan impiannya untuk bekerja di tempat yang diinginkan, Encik Wong cuba mengamalkan sikap keterbukaan minda dan mendapat peluang bekerja di jabatan kementerian lain.

Perjalanan Encik Wong menjadi lebih rumit beberapa tahun kemudian apabila beliau menyedari perkembangan kerjayanya tidak selancar rakan-rakan kerjanya sehingga hampir berhenti kerja dalam sektor pemerintah.

Dengan sistem sokongan yang kukuh serta pemikiran yang matang, Encik Wong berjaya menumpukan lebih perhatian kepada pencapaian beliau daripada terlalu merisaukan tentang hal-hal yang tidak boleh dikawalnya.

Encik Wong memberi lebih tumpuan kepada pembangunan peribadi dan melanjutkan perkhidmatannya yang cemerlang dalam sektor pemerintah sehingga ke hari ini.

Kejayaannya sudah tentu tidak boleh dicapai tanpa prinsip-prinsip yang diketengahkan dalam komentar ini.

Kesimpulannya, perbandingan sosial dan isu 'burn out' ini bukan sekadar masalah golongan belia.

Cara generasi muda berfikir dan membawa diri dalam keadaan ketidakpastian sememangnya dibentuk oleh kepercayaan masyarakat kita secara am.

Kecemerlangan ilmu dan kemahiran tidak cukup bagi remaja untuk hidup pada era ini. Sebaliknya, kesediaan dari pelbagai aspek, baik mental, emosi mahupun sosial amat diperlukan bagi menghadapi alam baru yang cabarannya memang sukar dijangkakan. Realitinya, nasihat-nasihat yang diajukan ini lebih susah untuk diamalkan, terutama sekali apabila suasana bertambah terdesak bagi golongan belia.

Golongan belia masih memerlukan bimbingan daripada masyarakat keseluruhan dalam usaha mereka untuk beralih ke alam dewasa. Sebagai satu masyarakat, kita perlu berganding bahu untuk membantu golongan belia yang merupakan wakil yang akan membimbing masyarakat kita ke arah kebaikan dan kesejahteraan pada masa hadapan.

MENGENAI PENULIS:

Norazim Azami adalah lulusan jurusan Sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau kini sedang melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana di Jabatan Sosiologi dan Antropologi NUS. Minat penyelidikannya termasuk kajian kualitatif, etnografi dan realiti masyarakat yang kurang bernasib baik pasca COVID-19 di Singapura. Beliau juga bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan amal seperti Free Food For All, Beyond Social Services dan Stroke Support Station dalam usaha membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan