Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Belia pencorak warisan Melayu - apakah cabaran dan harapan?

Pada 13 November 2021 yang lalu, Hari Warisan anjuran Yayasan Warisan Melayu Singapura (MHF) dilancarkan buat julung-julung kalinya. Dirasmikan oleh Presiden Halimah Yacob, Hari Warisan memperkenalkan beberapa anugerah dan pengiktirafan seperti Hadiah Warisan, Tunas Warisan dan Teman Warisan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Belia pencorak warisan Melayu - apakah cabaran dan harapan?

Para belia menyertai sesi perbincangan di Taman Warisan. (Gambar: Facebook/Malay Heritage Foundation)

BERITAmediacorp: Pada 13 November 2021 yang lalu, Hari Warisan anjuran Yayasan Warisan Melayu Singapura (MHF) dilancarkan buat julung-julung kalinya. Dirasmikan oleh Presiden Halimah Yacob, Hari Warisan memperkenalkan beberapa anugerah dan pengiktirafan seperti Hadiah Warisan, Tunas Warisan dan Teman Warisan.

Majlis pelancaran Hari Warisan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF) pada 13 Nov. (Gambar: MCI)

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat warisan mapan yang telah lama menyumbang dan anak-anak muda yang baru sahaja mengorak langkah dalam kegiatan pelestarian warisan seni dan budaya Melayu di Singapura. Pada hari tersebut, sebuah buku terbitan MHF bertajuk 'Warisan, Budaya dan Masyarakat' yang mengetengahkan suara-suara kritis beberapa belia Singapura, Indonesia dan Malaysia juga dilancarkan.

Pada masa yang sama, Hari Warisan juga menjadi sebuah wadah untuk membincangkan hal-hal sekitar perkembangan warisan, budaya dan seni Melayu di Singapura.

Setelah penyampaian hadiah dan pelantikan Teman Warisan, sebuah forum bertajuk “Memacu ke arah Norma Baharu untuk Kumpulan Seni dan Budaya di Singapura” diadakan dan ia mengetengahkan penggiat-penggiat warisan seperti Cikgu Andi Zukepli, Dr Noramin Farid dan Cik Aidli Mosbit.

Mewakili pengkhususan masing-masing, ahli panel ini mengetengahkan isu-isu menarik dan yang harus difikirkan bersama.

Daripada sesi ini, apa yang jelas adalah penekanan kepada potensi belia Melayu Singapura untuk mencorak warisan di sini.

Walaupun ada cabaran-cabaran yang harus mereka berdepan, harapan untuk golongan muda kita adalah supaya mereka dapat menyumbang kepada perkembangan dan pemantapan warisan.

Sebagai salah seorang Teman Warisan yang dilantik tahun ini, saya juga berharap pelibatan belia kita akan memacu ke arah sebegitu.

CABARAN-CABARAN YANG MENDEPANI BELIA

Para belia di salah sebuah sesi perbincangan di Taman Warisan. (Gambar: Facebook/Malay Heritage Foundation)

Pertama, kondisi dunia baharu terutama sekali wabak COVID-19 yang memperkenalkan pelbagai sekatan merupakan salah satu cabaran untuk belia kita. Mereka harus menyesuaikan diri dan memikirkan cara-cara inovatif untuk terus berkarya.

Namun, seperti yang disentuh Aidli Mosbit dalam forum yang dijalankan, dunia baharu tidak seharusnya menyekat kreativiti seni dan budaya. Apa yang lebih penting adalah hubungan (connection) antara pencipta seni dan penerima seni yang terjalin di saat persembahan ataupun program itu dilakukan.

Selagi hubungan ini tercapai, bentuk persembahan seni itu, sama ada dilakukan secara fizikal ataupun digital, janganlah kita anggap sebagai satu halangan.

Pada pendapat saya juga, apa yang harus diprihatinkan adalah nilai murni dan universal di sebalik karya seni yang mahu disampaikan kepada penonton. Dalam dunia yang kian berubah hari ini, baik jikalau kita mempunyai sikap terbuka untuk memberi ruang kepada penciptaan seni dan budaya dengan menggunakan wadah dan cara baharu. Dan di sinilah buah fikiran belia amat diperlukan.

Di mana penggunaan teknologi digital menjadi kebiasaan dan keperluan hari ini, gabungan alat dan wadah baru harus dilakukan supaya karya dan kegiatan seni dan budaya dapat diteruskan. Malah, penggunaan teknologi boleh menjadi pemangkin kreativiti dalam penghasilan karya ataupun kegiatan seni.

Kedua, belia harus menambah nilai pelibatan dan aktivisme seni dan budaya mereka dengan wacana juga. Umumnya, kebanyakan belia Melayu Singapura masih berminat dan giat melibatkan diri mereka dalam kegiatan kebudayaan seperti dikir barat, tarian Melayu, silat, teater dan bermain alat muzik tradisional Melayu dan sebagainya. Ini patut dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana semangat untuk melestarikan budaya masih ada dan masih boleh tumbuh dan menjalar luas.

Namun, pelibatan belia harus dipertingkat daripada tahap persembahan dan hiburan ke tahap apresiasi budaya yang lebih tinggi dengan mengembangkan wacana budaya, yakni melalui perbincangan, penulisan, dokumentasi ataupun perungkaian falsafah dan sejarah di sebalik seni tersebut dan perubahan-perubahan yang seni tersebut alami.

Seni yang juga seharusnya berfungsi untuk mencerminkan kondisi dan menyoal masalah masyarakat juga harus kita beri perhatian.

Wacana budaya perlu dibangunkan dalam kalangan belia, menurut penulis. (Gambar: Facebook/Malay Heritage Foundation)

Jika wacana budaya tidak dibangunkan, cabaran ketiga yang mendepani belia akan menjadi lebih susah untuk ditangani iaitu unsur tradisionalisme dalam praktik dan pemahaman warisan. Ini berbalik kepada sifat seni, budaya dan warisan yang hidup dan tidak mati. Kurangnya perhatian yang diberikan kepada wacana budaya mengakibatkan pengekalan romantisme dan tradisionalisme budaya kerana sesetengah aspek ini dalam praktik seni dan budaya Melayu tidak disoal dan difikir ulang.

Di sinilah belia Melayu kita juga boleh menyumbangkan tenaga dan idea-idea mereka untuk mengembangkan wacana budaya Melayu. Tidak bermaksud semua yang terlibat dalam kegiatan seni dan budaya Melayu harus mendokumentasi dan mengkaji tapi jika dalam sebuah kumpulan penggiat seni, satu atau dua orang yang berminat untuk berwacana, ia sudah mencukupi.

Tentunya, praktik seni harus ditekuni dengan ilmu dan pemahaman yang boleh membebaskan kita daripada idea-idea dan nilai-nilai yang menyempit lantas membawa apresiasi seni dan budaya ke peringkat yang lebih tinggi. Kelopongan mendokumentasi, berbincang dan berwacana isu-isu seni dan budaya harus diisi dan para belia berperanan untuk ke depan membicarakan hal-hal ini.

Jika cabaran-cabaran ini dapat ditangani belia kita, pastinya ketukangan dan keilmuan mereka dalam berkarya dapat ditambah nilai dan lantas mencernakan corak warisan yang hidup, progresif dan beremansipasi.

KERENCAMAN WARISAN PERLU KITA AKUI

Persembahan tarian sempena pelancaran Bulan Bahasa 2021. (Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura/Facebook)

Warisan budaya merangkumi pelbagai aspek. (Gambar: Facebook/Majlis Bahasa Melayu Singapura)

Warisan budaya sesebuah masyarakat merangkumi pelbagai aspek termasuk bahasa, makanan, pakaian, agama dan seni.

Pendek kata, ia merangkumi aspek-aspek kehidupan seharian kita. Begitulah juga dengan warisan seni dan budaya Melayu yang juga rencam dengan bentuk persembahan, pertukangan dan juga pesuratan.

Kerencaman ini juga tercipta daripada aspek-aspek kehidupan masyarakat daripada pelbagai suku kaum dan daerah di Nusantara ini. Warisan seni dan budaya yang serba luas ini tentunya memberi kemasukan kepada warisan seni dan budaya kita di sini.

Kerencaman budaya ini kian bertambah dan menjadi lebih dinamik dalam dunia yang global dan kosmopolitan hari ini.

Lantas, apabila berbicara tentang budaya Melayu, ia bukan satu, ia rencam.

Kesedaran akan kerencaman ini mengingatkan kita bahawa tidak terdapat hanya satu formula atau definisi budaya Melayu dan tentu sekali ia bermakna budaya tidak statik. Ia kian berubah dan harus berubah mengikuti keperluan dan konteks zaman.

Dalam pada inilah warisan juga tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang lama dan tidak boleh berubah. Tanggapan ini bermakna warisan itu tidak lagi hidup dan sudah mati. Untuk kekal relevan dengan cabaran hari ini, cara kita memahami sejarah, seni dan budaya yakni warisan juga harus diperbaharui.

BELIA PENCORAK WARISAN, SENI DAN BUDAYA

Gambar: Facebook/NUS Political Science Society

Salah satu cara untuk belia mencorak warisan yang progresif dan bersesuaian dengan konteks hari ini ialah dengan mengambil nilai-nilai yang baik daripada tradisi dan mencedok idea-idea baharu daripada kemodenan.

Kemodenan di sini tidak semestinya merujuk kepada unsur-unsur Barat dan bukan antitesis kepada tradisi. Seperti yang diusul oleh Shaharuddin Maaruf, nilai-nilai tradisi sesebuah masyarakat penting untuk pemantapan proses modernisasinya.

Salah satu contoh baik di mana seni Melayu telah melalukan ini ialah pembentukan tarian Melayu kontemporari yang mengekalkan bentuk-bentuk asas tradisional Melayu tetapi tarian dan muziknya direncamkan dengan gerak dan rentak moden.

Kedua, rata-rata belia di Singapura hidup dan bergerak dengan dua bahasa.

Kebolehan untuk berdwibahasa ini semestinya menjadi aset untuk menggerakkan idea-idea baharu sekitar warisan seni dan budaya supaya perbincangan dan wacananya dapat dibangunkan dan disampaikan dengan lebih efektif.

Tentunya, penyampaian warisan seni dan budaya dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu juga boleh ditambah nilai dengan kosa kata atau pengertian-pengertian baharu.

Ketiga, konteks Singapura yang bermasyarakat majmuk ini juga menjadi satu kemungkinan di mana belia menjadi penghubung jalin antara kaum dan juga generasi di sini. Dibekalkan dengan kebolehan berdwibahasa, keilmuan dan ketukangan seni dan budaya, belia kita boleh meletakkan diri mereka sebagai golongan yang mengukuhkan perpaduan sosial di Singapura.

Diharapkan belia kita boleh terus menyumbangkan semangat dan idea-idea baru mereka supaya praktik, pengertian dan apresiasi terhadap seni, budaya dan warisan Melayu terus hidup, mekar dinamik.

Warisan bukanlah perkara-perkara yang lama ataupun hal-hal yang ditelan zaman.

Warisan hidup dalam kita semua. Sama ada melalui bahasa, makanan, pakaian dan sebagainya. Apa yang kita lakukan dan bincangkan hari ini juga akan menjadi warisan anak-anak generasi hadapan.

Lantas, tentunya menjadi kepedulian dan tanggungjawab besar belia kita untuk mendalami hal-hal sebegini, bukan sahaja melalui persembahan tapi perbincangan, penyelidikan dan memikirkan cara-cara baharu untuk menyampaikan karya-karya mereka.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan