Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Belia dan kepimpinan serantau boleh mencorak masa depan yang lebih mampan

Sejauh mana penduduk ASEAN terutama golongan muda sudah membuat persiapan secukupnya untuk memanfaatkan peluang-peluang masa depan di rantau ini?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Belia dan kepimpinan serantau boleh mencorak masa depan yang lebih mampan

Bendera ASEAN (kanan) dan negara-negara anggotanya (Gambar: AFP/Tang Chhin Sothy)

BERITAmediacorp: Sejauh mana penduduk ASEAN terutama golongan muda sudah membuat persiapan secukupnya untuk memanfaatkan peluang-peluang masa depan di rantau ini?

Saya berjaya peroleh satu pengajaran besar menerusi penyertaan saya dalam Program Belia ASEAN baru-baru ini.

Pengajarannya adalah tenaga belia berserta kepimpinan negara yang baik boleh mencorak perbezaan di tengah-tengah dunia yang pesat berubah ditelan arus teknologi dan pemodenan.

Turut dikongsi bersama selepas 50 tahun ASEAN diasaskan, apakah pengajaran yang boleh diperolehi mengenai pertumbuhan serantau yang lebih mampan bagi rantau ini.

ASEAN buat masa ini mempunyai kuasa, sumber tenaga dan ekonomi membangun yang akan berkembang pesat pada tahun-tahun akan datang walaupun masih terdapat beberapa cabaran.

Ia juga dalam kedudukan yang baik sedang perhatian dunia beralih ke sini, dengan ASEAN sendiri dilengkapi dengan kepakaran tenaga kerja dan kekayaaan alam semula jadi untuk menangani cabaran masa depan.

Encik Zaqy Mohamad di sesi pendampingan penuntut IHL anjuran Mendaki pada 28 Sep (Gambar: MENDAKI)

Gambar fail para belia semasa satu sesi pendampingan (Gambar: MENDAKI)

Rantau ini juga semakin menunjukkan kejayaan disebabkan semangat bekerjasama dan berbilang pihak yang tinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN, di samping adanya tenaga belia yang progresif dan kuat.

PUCUK KEPIMPINAN KUAT

Kepimpinan yang mantap berserta “wawasan bersama” (shared vision) menjadi teras kepada pembangunan pelbagai program yang diselaraskan oleh pemimpin-pemimpin politik di rantau ini.

ASEAN telah mengenali keperluan perubahan dan mengambil langkah-langkah bekerjasama ke arah pembangunan yang mampan dan berdaya tahan, yang dapat dicontohi oleh negara-negara lain.

ASEAN sebagai sebuah persatuan sangat cekap dalam memajukan semangat berbilang budaya dan tradisi wawasan bersama yang boleh dikongsi dengan masyarakat global.

PERTUMBUHAN LEBIH MAMPAN

Ekonomi Asia Tenggara dijangka berkembang sekurang-kurangnya 5% setahun sehingga 2020, melebihi pertumbuhan global sebanyak 3.5%.

Tambahan pula, penduduk bandar-bandar Asia Tenggara berkembang pesat dengan hampir 2.5% setahun dan penduduk berpendapatan pertengahan dianggarkan meningkat sebanyak 70 juta kepada 194 juta pada tahun 2020.

Trend demografi sedemikian, ditambah dengan peningkatan pada modal teknologi, akan berfungsi sebagai pengganda dalam memanfaatkan Revolusi Perindustrian Keempat di Asia Tenggara.

Gambar hiasan seorang penunggang motosikal Go-Jek di Jakarta, Indonesia. (Gambar: REUTERS/Beawiharta)

Penunggang motosikal Go-Jek di Jakarta, Indonesia. (Gambar: REUTERS/Beawiharta)

Kini juga, anjakan digital berlaku di negara-negara ASEAN dengan jenama-jenama besar seperti GRAB, GoJek, Lazada dan My Republic mengambil tempat dalam ASEAN.

Mereka kini berjaya membuahkan hasil dan ini memberikan harapan kepada generasi akan datang untuk mencapai aspirasi dan impian mereka.

Melalui penggunaan amalan Industri 4.0 yang meluas, rantau ini sebenarnya antara yang paling dinamik di dunia.

ASEAN sebenarnya berpotensi untuk melompat di hadapan rantau-rantau yang sedang membangun seperti Timur Tengah dan Afrika.

Bukan hanya dalam penggunaan teknologi, tetapi ASEAN turut menyumbang kepada teknologi baru yang dapat merubah cara kita bekerja, menjalani kehidupan harian dan berkomunikasi antara satu sama lain.

MEMUPUK INOVASI

Perkongsian serta integrasi menegak (vertical integration) akan memainkan peranan yang lebih penting, memandangkan syarikat-syarikat akan berusaha untuk kekal relevan dan berdaya saing, dengan memenuhi jangkaan pengguna dengan cara yang menguntungkan, lagi mampan.

Dalam industri pengilangan misalnya, pembuat automotif yang ingin berjaya di rantau ini dijangka dapat meningkatkan dasar ‘lokalisasi’ yang lebih holistik – dari segi sumber, pembuatan, kajian dan pengembangan (R&D).

Ini akan menawarkan daya saing yang lebih besar di samping penghasilan lebih banyak produk tempatan.Rintangan seperti kekurangan skala disebabkan oleh permintaan yang rendah - boleh ditangani dengan menceburi rantau ini menerusi perkongsian dalam pembuatan dengan firma-frma lain.

MEMBINA KEUPAYAAN

Dalam sektor kewangan pula, cabaran utama termasuk akses kewangan yang terhad, masyarakat yang masih berasaskan wang tunai dan rendahnya penggunaan perkhidmatan nilai tambah.

Dalam hal ini, bank-bank boleh merapatkan jurang dengan membina keupayaan dalam perkhidmatan kewangan digital.

Sebuah kod QR NETS di Pusat Penjaja Tanjong Pagar (Gambar: Lee Li Ying)

Gambar fail kod QR yang digunakan untuk buat pembayaran (Gambar: Mediacorp)

Antara usaha itu termasuklah memperkenalkan keupayaan pengimbasan QR untuk mengurangkan jurang infrastruktur peniaga, membangunkan aplikasi nasihat kewangan automatik untuk meluaskan pengurusan harta ke arah kelas pertengahan.

Mereka juga boleh menimbangkan perkongsian dengan industri lain untuk bekerjasama dalam merapatkan akses kewangan dan menangani soal penggunaan (consumption) yang rendah di rantau ini.

Syarikat-syarikat barangan pengguna pula mempunyai peluang besar untuk berkembang di seluruh ASEAN dengan memanfaatkan keupayaan digital.

Mereka boleh menggunakan kecekapan yang lebih besar dalam rantai bekalan mereka dan dengan bekerjasama dengan firma-firma e-dagang dan e-pembayaran.

AKHIR KATA

ASEAN boleh berbangga dengan apa yang telah dicapainya selama 50 tahun yang lalu. Para pemimpin ASEAN telah membina suatu keadaan yang sangat berfaedah untuk pertumbuhan selanjutnya dalam pelbagai sector – untuk 50 tahun akan datang.

Pasaran peniaga dan pengguna global sedang pesat berkembang. ASEAN dan negara-negara anggotanya perlu mengiktiraf perkembangan ini dengan memanfaatkan segala peluang.

Ini boleh dilakukan dengan membangunkan persekitaran perniagaan secara proaktif yang kondusif untuk pengeluaran tempatan, menggalak perdagangan antara ASEAN dan melayani pelanggan tempatan dengan cara yang mampan.

Ini semua akan mengambil masa dan syarikat-syarikat yang ingin berkembang di rantau ini perlu bersikap proaktif dan inovatif dalam membangun dan melaksanakan strategi yang akan memenuhi potensi ASEAN.

Pertumbuhan global memerlukan ASEAN untuk bertindak sekarang dan berkerjasama secara efektif dan sinergistik bersandarkan kekuatan rantau ini sebagai suatu rantau yang penuh kepelbagaian.

MENGENAI PENULIS:

Hamidah Aidillah, yang menyertai Program Belia ASEAN bagi 2019, adalah pengasas sebuah firma analitik data yang memupuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mendalami trend media sosial dan menjangka trend-trend masa hadapan. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan