Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Belanjawan Negara bagi perkukuh asas masyarakat dalam hadapi perubahan

Belanjawan yang cukup arif tentang cabaran ekonomi dan kesan sosial ke atas masyarakat, boleh membantu meletakkan asas yang betul untuk mencipta sebuah masyarakat yang utuh dan kuat daya tahannya.  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Belanjawan Negara bagi perkukuh asas masyarakat dalam hadapi perubahan

Gambar fail latar langit Singapura. (Gambar: Reuters)

Sebagai alat pelaksanaan dasar-dasar fiskal pemerintah,  Belanjawan Negara kini bukan lagi untuk kepentingan ekonomi semata-mata, seperti menjana pertumbuhan ekonomi setinggi mungkin.

Apa yang menjadi keutamaannya adalah mencapai keseimbangan dalam perbelanjaan pemerintah untuk memenuhi keperluan-keperluan penting negara.

Ini termasuklah keseimbangan antara keperluan pembangunan dan  pertahanan dengan keperluan sosio-ekonomi termasuk pendidikan dan latihan, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara umumnya.

Sejak kemunculan pandemik virus korona tahun lalu, banyak negara berhadapan dengan pelbagai cabaran genting dalam membuat keseimbangan ini.

Pandemik COVID-19, seperti yang dapat kita lihat di kebanyakan negara, jelas bukan sahaja satu krisis kesihatan, mahu pun krisis ekonomi semata-mata.

Selain kesihatan dan ekonomi, ia banyak juga mencetuskan pelbagai cabaran lain,  baik dalam bidang sosial dan juga politik.

PELBAGAI CABARAN

Related article image
Gambar fail para penyokong Donald Trump menyerbu Capitol AS pada 6 Jan 21 (Gambar: REUTERS/Stephanie Keith)

Di Amerika Syarikat krisis COVID telah memburukkan juga krisis politiknya yang berakhir dengan keadaan kacau bilau yang membawa kepada peralihan kuasa yang tidak menentu buat seketika.

Begitu juga di Malaysia, pandemik korona itu telah menyebabkan keadaan serba rumit yang antara lain telah mencetuskan krisis kepimpinan yang agak serius.

Kelemahan kepimpinan untuk mengemudi negara keluar daripada pandemik tersebut serta menentukan arah yang tepat dalam menggiatkan ekonomi, banyak mengikis keyakinan rakyat dan pelabur asing terhadap masa depan negara umumnya.

Singapura juga tidak terlepas daripada kesan-kesan penularan COVID, terutama dari segi kesihatan dan ekonominya.

Namun hasil daripada jenis kepimpinannya yang sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan sebarang krisis, pandemik tersebut masih dapat ditangani dengan baik.

Hasil kesiapsiagaan yang terancang dengan baik termasuk dari segi sistem kesihatannya yang responsif dan juga sistem ekonomi dan kewangannya yang cukup kalis terhadap sebarang kesenjangan, banyak kesan sampingan COVID berjaya diatasi dengan berkesan.

BELANJA BESAR

Tetapi untuk membolehkan negara mewujudkan daya tahan yang begitu tinggi sehingga ia dapat menangkis satu demi satu cabaran yang diwujudkan oleh COVID, memang melibatkan belanja yang begitu besar sekali.

Related article image
(Gambar fail: Hani Amin) 

Keseluruhannya sebanyak 100 bilion dolar Singapura telah diluluskan Parlimen tahun lalu untuk pelbagai pakej menangani COVID, separuh daripadanya merupakan simpanan negara.

Memandangkan ekonomi negara tidak dijangka pulih seperti sedia kala tahun ini, ramai pengamat menjangkakan semua pakej bantuan yang disediakan itu bakal diteruskan dalam belanjawan tahun ini.

Kebanyakan bantuan untuk mereka yang teruk terjejas – seperti golongan pekerja yang hilang pekerjaan dan mereka yang berpendapatan rendah – mungkin terus disediakan.

Besar kemungkinan juga belanjawan tahun ini akan lebih tertumpu kepada golongan rakyat dan sektor ekonomi Singapura yang mudah terjejas dengan keadaan tidak menentu sekarang ini.

Bagi golongan sedemikian bantuan berupa tunai dan juga sokongan tokokan gaji seperti Skim Sokongan Gaji JSS, boleh memastikan para pekerja terus dapat bekerja.

PERUBAHAN MENDADAK

Lebih penting lagi, selain memberikan mereka bantuan untuk mengatasi sebarang kesempitan kewangan, skim-skim bagi menyokong latihan dan latihan semula pekerja boleh membantu mereka mengharungi perubahan ekonomi yang mendadak.  

Dalam memberikan gambaran beliau mengenai belanjawan tahun ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menggariskan bahawa tumpuan belanjawan adalah untuk membantu golongan pekerja dan syarikat dalam menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah.

Pandemik COVID telah mempercepat beberapa perubahan penting dalam ekonomi termasuk penghakisan sesetengah jenis pekerjaan (seperti dalam sektor pelancongan, penerbangan, hospitaliti, runcit dan membeli belah).

Ia juga telah menggiatkan pendigitalan dan inovasi dan sekali gus meningkatkan permintaan terhadap para pekerja yang terlatih dalam bidang-bidang tersebut.

Related article image
(Gambar: Mediacorp)

KESAN YANG BERBEZA

Di sinilah terletaknya pelbagai peluang yang tersedia ada bagi para pekerja dan majikan yang mahu menghadapi ekonomi yang jauh berbezadaripada masa-masa lalu.

Bagi para pekerja,  mereka perlu bersedia menjalani latihan semula dan meningkatkan kemahiran; sementara majikan pula, mereka haruslah bersedia meningkatkan pelaburan dalam teknologi dan keupayaan baru.

Antara kesan paling ketara akibat perubahan ekonomi sekarang, lebih-lebih lagi hasil daripada pandemik COVID, adalah meningkatnya ketidaksamarataan dalam masyarakat.

Memandangkan golongan pekerja bergaji dan berkemahiran rendah kerap kurang bersedia untuk memanfaatkan teknologi digital, mereka agak ketinggalan dalam meraih sebarang pertumbuhan dalam bidang tersebut.

Related article image
(Gambar: AFP)

Akibatnya jurang pendapatan antara golongan bergaji/berkemahiran rendah dengan golongan berpendapatan tinggi, juga bertambah meluas, lebih-lebih lagi semasa pandemik.

Walaupun kita semua terjejas dengan penularan COVID,  tetapi pandemik tersebut menimbulkan kesan yang berbeza-beza terhadap golongan yang berlainan.

MERAPATKAN JURANG

Jurang pendapatan yang meluas sering mencerminkan keadaan masyarakat yang lebih tegang pada masa depan, terutama sekali apabila ada yang melihat kurangnya peluang untuk mereka melakukan sesuatu bagi membaiki diri.

Untuk mengelakkan keadaan sedemikian, maka perlulah Belanjawan Negara mengambil kira dalam memperkenalkan langkah-langkah yang boleh merapatkan jurang tersebut, termasuklah skim-skim bantuan dan latihan meningkatkan kemahiran.

Pada masa yang sama, haruslah ada juga langkah-langkah memperkukuh perpaduan sosial dan skim-skim yang boleh menguatkan lagi ciri-ciri masyarakat inklusif.

Belanjawan yang cukup arif tentang cabaran ekonomi dan kesan sosial ke atas masyarakat, boleh membantu negara meletakkan asas yang betul untuk mencipta sebuah masyarakat yang utuh dan kuat daya tahannya dalam berhadapan dengan sebarang perubahan.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita