KOMENTAR: Batas Jelas dan Tegas Penting Untuk SG Cegah Politik Identiti
Orang ramai melintas jalan di Orchard Road di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Politik identiti kembali mendapat perhatian ramai dan sekali lagi menimbulkan persoalan tentang apakah batasannya terhadap tingkah laku dan wacana politik dalam masyarakat yang rencam dari segi etnik, agama, bahasa dan budaya seperti Singapura.
Perdebatan baru-baru ini yang menyentuh tentang keprihatinan masyarakat dan batas wacana awam mengingatkan kita bahawa identiti diri membentuk landskap politik dan kehidupan sosial kita.
Dalam Kenyataan Menteri mengenai kaum dan agama pada awal bulan ini, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menyentuh tentang "insiden-insiden yang membimbangkan" semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada bulan Mei lalu. Beliau menegaskan bagaimana politik identiti telah memecahbelahkan masyarakat di tempat-tempat lain dan memberi amaran supaya jangan membenarkan perpecahan serupa berakar umbi di Singapura.
Sejak awal lagi, generasi perintis Singapura telah meletakkan prinsip berbilang kaum, budaya dan agama sebagai kerangka penting dalam undang-undang negara untuk menetapkan tingkah laku dan wacana yang boleh diterima apabila ia menyentuh isu kaum dan agama.
Namun, dalam era globalisasi sekarang, Singapura tidak terlindung daripada perpecahan sosial, permusuhan etnik dan konflik agama yang mengganggu masyarakat lain di serata dunia. Ketegangan luaran ini mungkin mempengaruhi kehidupan kita di Singapura. Lantaran itu, kita mesti terus berwaspada terhadap pengaruh luar dan anasir-anasir asing ini.
BEBERAPA BENTUK POLITIK IDENTITI MUNGKIN BERMANFAAT SECARA SOSIAL
Politik identiti sebenarnya merupakan fenomena yang luas. Ia boleh merangkumi tindakan politik, sokongan untuk parti politik, pengundian calon politik, mahupun sokongan atau bantahan terhadap dasar berdasarkan identiti seseorang.
Memandangkan identiti kita saling terkait dengan pilihan sosial dan politik kita dan tidak selalunya boleh dipisahkan daripada kedua-dua perkara itu, pelbagai jenis tindakan politik boleh disifatkan dan ditakrif sebagai "politik identiti".
Malah, beberapa bentuk politik identiti boleh memberi manfaat secara sosial. Seseorang mungkin tertarik kepada tujuan amal atas kepercayaan agama mereka atau terlibat dalam kerja sukarela yang berakar umbi dalam simpati terhadap sesebuah masyarakat atau masyarakat kita sendiri.
Dalam masyarakat majmuk seperti Singapura, tidak semua tingkah laku dan pilihan yang timbul daripada identiti seseorang boleh menimbulkan masalah atau mencetuskan keadaan huru-hara.
Kepelbagaian Singapura adalah sebahagian daripada apa yang menjadikan masyarakatnya begitu dinamik dan bersemangat. Cara identiti kita mempengaruhi tindakan kita dapat memperkayakan kehidupan sivik dan mengukuhkan ikatan masyarakat. Oleh itu, adalah penting untuk kita menetapkan dengan jelas tentang di mana garis pemisah terletak antara politik identiti yang sesuai dan politik identiti yang memudaratkan.
Pertama, identiti kita pasti membentuk cara kita melihat isu-isu dasar; ini tidak sepatutnya menjadi masalah. Pandangan yang terbentuk melalui pengalaman kita sendiri tidak seharusnya mempengaruhi wacana awam dan kita perlu bersikap bertanggungjawab dan berhemah apabila membincangkan isu-isu yang menyentuh tentang kaum, budaya dan agama.
Wacana awam yang bersifat sekular, sebagai contoh, bukanlah platform untuk menyokong sesuatu agama atau menentang agama lain. Ia hanyalah satu wadah yang tidak memberi keutamaan kepada mana-mana pandangan agama atau kaum tertentu. Identiti kita sebagai sebahagian daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya tidak seharusnya menghalang kita daripada menyokong atau menentang dasar-dasar tertentu.
Kedua, perbincangan tentang kaum dan agama bukanlah politik identiti, walaupun ia berlaku di ruang awam dan melibatkan unsur-unsur politik.
Daripada mengelak soalan-soalan sukar tentang perbezaan, kita harus menggalakkan sikap ingin tahu yang saling menghormati dan menyediakan ruang untuk bertanya soalan tentang budaya, kepercayaan dan tradisi masing-masing, tanpa rasa takut bahawa sikap ingin tahu tersebut akan serta-merta dilabelkan sebagai menyinggung perasaan.
Kejahilan melahirkan syak wasangka, dan syak wasangka melahirkan ketakutan dan penghinaan.
BATAS YANG JELAS
Batasan yang jelas perlu ditetapkan agar identiti seseorang itu tidak dijadikan sebagai alat untuk memperlekehkan orang lain, termasuk mereka yang daripada masyarakat itu sendiri, semata-mata kerana mempunyai pandangan yang berbeza.
Seorang penganut Kristian, sebagai contoh, mungkin berpandangan bahawa tindakan menggugurkan kandungan adalah satu dosa mengikut kepercayaannya dan mungkin menyokongnya dengan sewajarnya, tetapi masih menghormati pandangan orang lain yang tidak bersetuju dengannya, termasuk rakannya yang beragama Kristian. Bentuk politik identiti ini menjadi bermasalah apabila seseorang cuba menghalang orang lain daripada menggunakan pertimbangan mereka sendiri, dengan menekan malah menindas sesiapa sahaja yang bertentangan pendapat dengannya. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, tetapi kita harus terus mencuba.
Batas yang jelas telah ditetapkan di Singapura apabila seseorang cuba menggunakan identiti untuk menekan atau memaksa orang lain membuat pilihan politik tertentu, khususnya tentang cara mengundi.
Bentuk identiti politik ini amat bermasalah kerana ia memesongkan pilihan politik dan menjejaskan integriti demokrasi. Oleh itu, seseorang boleh bersetuju dengan seruan Menteri Ehwal Dalam Negeri untuk menegur sesetengah golongan yang cuba menggunakan kaum atau agama untuk menyokong sesebuah parti politik atau parti politik yang lain. Ini bukan isu melibatkan parti politik; ia adalah isu Singapura.
Rusuhan kaum yang berlaku pada 1964 mungkin kelihatan agak abstrak bagi kita yang tidak mengalaminya, tetapi dinamik yang mendorongnya boleh dihidupkan semula dengan mudah. ​​Keamanan dan keharmonian sosial tidak boleh dipandang ringan. Ia bergantung kepada kesediaan kolektif kita untuk bertindak dengan bertanggungjawab dan berhemah.
Menetapkan batas politik identiti bukanlah tentang menghalang individu daripada membuat pilihan yang berdasarkan, dan memberi sokongan kepada, keyakinan mereka sebagai anggota masyarakat mereka. Ia adalah tentang menjelaskan bila tindakan sedemikian melampaui batas, bila identiti menjadi alat untuk mempengaruhi atau memaksa orang lain.
Maka itu, penting untuk kita terus berwaspada terhadap sebarang percubaan untuk menyebarkan mesj yang hanya menyentuh tentang "kita" atau "mereka". Sebaliknya, "Masyarakat diutamakan, bukan individu" yang seharusnya menjadi prinsip kita.
Kita mungkin tidak bersetuju dalam semua perkara, tetapi batas yang jelas dan tegas akan menentukan sama ada kepelbagaian kita kekal sebagai kekuatan kita atau ia akan memecahbelahkan kita.
*Komentar bertajuk "Commentary: Where Singapore draws the red line on identity politics" ini diterbitkan dalam laman CNA pada 24 Okt 2025.
MENGENAI PENULIS
Dr Jaclyn L Neo ialah Profesor Madya di Fakulti Undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Pengarah Pusat Pengajian Undang-Undang Asia. Karya beliau mengenai undang-undang perlembagaan, pluralisme dan agama telah diterbitkan dalam jurnal-jurnal terkemuka, termasuk Oxford Journal of Law and Religion.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.