KOMENTAR: Barah pangkal rahim mudah dicegah tapi mengapa kita tidak ambil peduli

(Gambar: Sumber web)
Kanser serviks yang juga dikenali sebagai barah pangkal rahim berlaku akibat jangkitan virus Human Papillomavirus (HPV) yang disebarkan menerusi hubungan kelamin.
Setiap wanita yang pernah mengadakan hubungan kelamin tanpa mengira status perkahwinan berisiko menghidap penyakit ini.
RISIKO BARAH PANGKAL RAHIM
Tubuh individu sebenarnya boleh melawan jangkitan virus HPV secara semula jadi sekiranya mereka mempunyai sistem pertahanan imun yang kuat.
Jika jangkitan virus HPV berlaku berulang kali, kebarangkalian untuk bermutasi menjadi kanser serviks menjadi lebih tinggi.
Barah pangkal rahim atau kanser serviks adalah kanser yang boleh disaring dengan menggunakan kaedah saringan yang mudah dan ia dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan wanita.
Kaedah saringan kanser itu adalah mudah, murah, selamat, berkesan dan menjimatkan kos jika dapat mencegahnya dari awal. Malangnya tahap untuk saringan di Singapura buat masa kini masih rendah.
Mereka yang mengadakan hubungan seks pada usia remaja, kurang dari umur 18 tahun dan mereka yang mempunyai ramai pasangan berisiko tinggi mendapat kanser ini.
Kaitan anggaran penggunaan hormon pil perancang dan kanser serviks adalah lemah. Mungkin juga disebabkan oleh sikap pengguna itu sendiri yang mengadakan hubungan seksual secara rambang dan sebagainya, yang boleh menyebabkan peningkatan risiko kanser serviks dalam kalangan mereka yang menggunakan pil perancang.
MEROKOK TINGKATKAN RISIKO BARAH PANGKAL RAHIM
Merokok bukan hanya menyebabkan pelbagai kanser seperti kanser paru-paru, tetapi juga meningkatkan risiko untuk mendapat kanser serviks lebih dari dua kali ganda.

Selain kanser serviks, kuman virus HPV juga turut menyebabkan kanser-kanser lain seperti kanser faraj, kanser penis (lelaki), kanser dubur, kanser oropharyngeal pada bahagian mulut, terutamanya bagi mereka yang mengamalkan aktiviti seksual yang berlainan dan juga ketuat-ketuat yang berlaku pada bahagian kelamin.
Bagi mereka yang mempunyai lebih daripada seorang isteri, sekiranya salah seorang daripadanya menghidap kanser pangkal rahim, isteri yang lain juga boleh menghidapnya kerana si suami bertindak sebagai pembawa virus HPV tersebut.
KAUM LELAKI PEMBAWA HPV
Kita terlupa orang lelaki boleh menjadi pembawa virus HPV. Kaum lelaki juga dinasihatkan supaya mendapatkan vaksinasi bagi melawan jangkitan virus HPV.

Beberapa negara maju seperti Australia mewajibkan vaksinasi HPV bagi pelajar lelaki dan perempuan dalam usaha mengawal risiko kanser yang berpunca daripada HPV.
Pada peringkat awal, wanita yang menghidap kanser ini tidak menunjukkan apa-apa tanda sehinggalah ia menjadi lebih teruk ataupun merebak ke organ-organ lain.
SIMPTOM-SIMPTOM AWAL
Antara simptom yang mungkin dialami oleh penghidapnya termasuklah
- Keputihan yang banyak, berubah warna dan konsisten dari biasa atau bau yang busuk
- Pendarahan daripada kemaluan selepas mengadakan hubungan seks
- Berlaku pendarahan dari vagina secara tidak normal
- Haid yang berpanjangan dan banyak
- Pucat kerana kehilangan darah, yang boleh menyebabkan rasa letih dan lemah
Berikut merupakan langkah-langkah pencegahan kanser serviks:
1. Pengambilan Vaksin
Oleh kerana punca utama kanser ini disebabkan oleh jangkitan HPV, maka pengambilan suntikan vaksin HPV dapat mencegah penyakit ini sehingga 90% jika mengambil suntikan vaksin Gardasil 9.
Ia berfungsi dengan merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus tersebut. Sekiranya dijangkiti oleh virus itu, sistem pertahanan badan sudah bersedia untuk menghalang virus tersebut.

Kesan optimum daripada vaksin ini akan diperoleh oleh wanita yang belum menghidap jangkitan virus HPV dan mereka yang belum terdedah kepada hubungan seks.
Vaksin HPV pada asalnya diluluskan untuk perempuan dan wanita berumur 9 hingga 26 tahun. Kini, lelaki dan wanita sehingga umur 45 tahun boleh mendapatkan vaksin Gardasil 9 dan ini memperluaskan perlindungannya dengan ketara.
2. Ujian Lumuran Pap (Pap Smear)
Kaedah ini digunakan untuk melihat kehadiran sel-sel yang tidak normal dan berpotensi bertukar menjadi kanser. Garis panduan mencadangkan kepada semua wanita yang terdedah dengan hubungan intim mula menjalani ujian ini pada umur 21 hingga 65 tahun.
Wanita boleh berhenti melakukan ujian ini jika mereka berumur lebih daripada 65 tahun dan ujian lumuran pap mereka negatif sepanjang tiga tahun berturut-turut sebelum ini.
Mereka yang telah melakukan pembedahan pembuangan rahim yang bukan disebabkan oleh ketumbuhan barah juga tidak lagi perlu meneruskan ujian lumuran pap smear.
3. HPV Ujian DNA
Kaedah ini seperti ujian pap smear dan digunakan untuk mengesan kehadiran virus HPV.
Sampel diambil seperti mana sampel lumuran pap diambil. Oleh kerana kaedah ini lebih spesifik, sekiranya keputusan menunjukkan negatif, ujian ulangan boleh dibuat setiap 5 tahun.
4. Kolposkopi
Kaedah ini menggunakan asid acetik yang disapu pada pangkal rahim. Sekiranya sel di bahagian tersebut bertukar berwarna putih, ia menunjukkan bahawa sel di bahagian tersebut tidak normal. Pangkal rahim yang tidak normal boleh dibedah untuk mengurangkan risiko kanser pangkal rahim.
Bergantung kepada tahap kanser ketika ia dikesan serta tahap kesihatan individu tersebut, kanser serviks boleh sembuh atau dengan kata lain dibuang sepenuhnya. Bagi mengetahui tahap kanser dengan lebih tepat, pemeriksaan lanjut seperti ujian X-ray, imbasan CT, imbasan MR dan imbasan PET mungkin dilakukan.

Bergantung kepada peringkat barah pangkal rahim, rawatan yang ditawarkan bagi kanser serviks termasuklah pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.
Pembedahan merupakan rawatan sesuai untuk kanser serviks di peringkat awal. Jika barah pangkal rahim sudah lanjut, doktor akan menyarankan rawatan kemoterapi dan radioterapi.
Dibandingkan dengan barah yang lain, barah pangkal rahim merupakan barah yang mudah dicegah. Sempena bulan Mei yang merupakan bulan kesedaran bagi barah pangkal rahim, ingin saya menggalak kaum wanita untuk mendapatkan suntikan vaksin Gardasil 9 dan juga membuat saringan ujian pap smear dan ujian HPV.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.