Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bapa bukan setakat pencari nafkah tapi juga tunjang sosio-emosi bagi anak-anak

Bulan Kebapaan baru saja berlalu, namun peri pentingnya pelibatan aktif sang bapa yang tidak ternilai dalam pembangunan anak-anak dan keluarga adalah satu hakikat yang sudah terpahat sejak dari dahulu lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bapa bukan setakat pencari nafkah tapi juga tunjang sosio-emosi bagi anak-anak

(Gambar hiasan: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels)

BERITAmediacorp: Bulan Kebapaan baru saja berlalu, namun peri pentingnya pelibatan aktif sang bapa yang tidak ternilai dalam pembangunan anak-anak dan keluarga adalah satu hakikat yang sudah terpahat sejak dari dahulu lagi.

“Bapa saya adalah wira saya”, kongsi Jocelyne, 8 tahun, kepada saya sambil menunjuk jari ke arah bapanya semasa satu acara kemasyarakatan.

“Bapa saya akan sentiasa mengisi halaman istimewa dalam hati saya, tidak kira siapa beliau sebenarnya”, kata Anita, 23 tahun, sambil menitiskan air mata semasa satu acara keluarga di Kompleks Penjara Changi melalui Zoom.

“Sekalipun bapa saya mempengaruhi saya untuk mengambil dadah semasa saya muda dahulu, sekarang, kita saling prihatin terhadap kesejahteraan satu sama lain dalam perjalanan pemulihan kita bersama,” kata Ali, 46 tahun, yang berkongsi dengan saya tentang bagaimana dia dan bapanya saling menyokong satu sama lain untuk menghapuskan ketagihan dadah.

“Saya senang hati ketika bersama bapa saya, lebih-lebih lagi selepas mengharungi tempoh yang sukar di sekolah”, kata Kamala, 16 tahun, ketika melahirkan penghargaan kepada bapanya yang melakukan sedaya upaya untuk mewujudkan ruang selamat di rumah.

“Keadaan mula kucar-kacir apabila ibu bapa saya bercerai. Bapa saya terus menghilangkan diri selepas itu. Saya membesar tanpa sosok bergelar bapa. Saya amat merinduinya”, ujar Jamal, 23 tahun, yang berkongsi tentang perubahan pada hidupnya selepas ibu bapanya berpisah.

Itulah antara luahan anak-anak tentang bapa mereka yang mengisi ruang istimewa dalam hati mereka dan memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Saya yang membesar dengan kehadiran bapa, turut merasakan kesannya terhadap sesebuah keluarga. Beliaulah pencari nafkah utama bagi kami sekeluarga. Beliau jugalah orangnya yang memberikan semangat kepada kami menerusi setiap usaha ikhlasnya.

Selain itu, saya juga berpeluang untuk menyertai pelbagai wadah bagi lebih memahami peranan bapa dalam pembangunan anak-anak dan keluarga. Saya turut mendalami isu-isu berhubung pembangunan keluarga ketika saya berkhidmat di Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND). Pendedahan kepada konteks-konteks sedemikian meyakinkan saya tentang betapa pentingnya kaum bapa lebih aktif melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak dan pasangan masing-masing.

BAPA BUKAN SETAKAT PENCARI NAFKAH

Lazimnya, kita mungkin menganggap kaum bapa sebagai pencari nafkah utama yang mengeluarkan belanja atau yang menyara hidup keluarga. Kaum bapa juga dilihat sebagai pendisiplin dan pelindung keluarga. Bersama dengan pasangan mereka, ibu bapa memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak mereka.

Hari ini, kita melihat bapa sebagai pelengkap peranan ibu dengan memainkan peranan lebih aktif dalam urusan keluarga sehari-hari. Ini termasuk membahagikan tanggungjawab mengasuh anak semasa ibu keluar bekerja atau berehat seketika, atau membantu untuk menyiapkan makanan bagi keluarga.

Namun, saya fikir lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk merangsang dan mempertingkatkan pelibatan bapa. Sebaliknya, ada sesetengah keluarga yang seolah-olah tidak menerima kasih seorang bapa sama sekali. Sikap sesetengah bapa yang 'lepas tangan' sudah tentu akan menjejas pembangunan anak-anak jika tiada kasih sayang dan interaksi sosio-emosi dengan bapa, sedang mereka melangkah ke usia remaja.

Seorang lelaki berkelah bersama anaknya di sebuah pantai. (Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Saya dibesarkan oleh ibu dan bapa saya yang sama-sama mengasuh adik-beradik dan diri saya. Oleh kerana kami bukanlah sebuah keluarga berada, kedua-dua ibu bapa saya bertungkus lumus menyara kehidupan keluarga saya. Bapa saya adalah satu-satunya pencari nafkah sementara ibu saya pula keluar bekerja untuk menampung tambang dan perbelanjaan lain.

Bapa saya sangat menitikberatkan nilai-nilai kehidupan seperti sikap hormat-menghormati, kesantunan dan ketertiban ketika bertutur, lebih-lebih lagi di depan orang tua. Beliau membanting tulang siang dan malam. Namun beliau meluangkan sebahagian besar waktu rehatnya di rumah bersama keluarga. Meskipun kita merasakan kasih sayang mendalam ibu kami, kami meneladani nilai-nilai daripada bapa kami, seperti tekun bekerja dan bekerja keras untuk menabung bagi pendidikan anak-anak.

Ketika kami membesar dan kehidupan keluarga kami bertambah baik, berkat kerja keras ibu bapa kami, bapa saya mula lebih rapat dengan kami adik-beradik. Beliau gemar membeli buah-buahan dan memenuhi segala keperluan keluarga. Apabila adik-beradik saya dan saya berkahwin ketika kedua-dua ibu bapa saya melangkah ke usia senja, bapa saya menunjukkan kasih sayang yang diteladani kami dan disanjung oleh ramai anggota keluarga kami.

Para peserta di Perkhemahan Bapa Sepanjang Hayat yang diadakan julung-julung kali, anjuran Pusat Kebapaan (CFF). (Gambar: Jason Quah)

Sepanjang kehidupan saya dan pelibatan saya di pelbagai kementerian, saya dapat menyaksikan contoh-contoh di mana sang bapa memainkan peranan besar.

Meskipun sesetengah kanak-kanak meraih manfaat daripada peranan positif yang dimainkan oleh bapa mereka, terdapat juga kanak-kanak lain yang tidak mempunyai sosok bergelar bapa dalam kehidupan mereka.

BERI BAPA PELUANG LIBATKAN DIRI

Sungguhpun demikian, anak-anak dan isteri nampaknya tidak berputus asa dalam menyediakan peluang untuk para bapa memainkan peranan masing-masing, meskipun kadangkala ada juga sesetengah bapa yang tidak melibatkan diri dalam kehidupan anak-anak mereka. Namun sesetengah bapa sedar akan kekurangan mereka dan akhirnya memainkan peranan mereka. Ini membuka peluang kepada keluarga mereka untuk menikmati kebahagiaan atas pelibatan mereka.

Bagi saya, saya bersyukur kerana saya sedar akan hakikat itu menerusi interaksi saya dengan anak-anak saya sendiri sejak mereka kecil lagi. Sebenarnya, saya menemui kebahagiaan semasa membesarkan anak-anak dengan meneladani isteri saya.

Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, saya tetap akan mencari masa untuk berbual dengan anak-anak saya baik secara bertemu muka mahupun secara maya. Ini bukan saja mengajar saya untuk mendampingi mereka dan menggalak pembangunan sosio-emosi mereka, bahkan ia juga membantu saya untuk membentuk peranan saya dalam kehidupan mereka sambil terus menyumbang kepada pembangunan keluarga saya.

Gambar fail seorang ayah dan anak berbasikal di sebuah taman. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Saya berasa dihormati, dihargai dan diiktiraf sebagai seorang anggota keluarga, pasangan kepada isteri saya dan bapa kepada anak-anak saya. Saya sedar saya mengisi halaman istimewa dalam hati mereka yang tidak mungkin dapat diganti. Ketiadaan saya akan meninggalkan kekosongan dalam hati mereka dan ini mungkin akan menjejas pembangunan kehidupan mereka. Hakikat inilah yang mendorong saya untuk memainkan peranan saya sebaik mungkin agar saya dapat menambah kebahagiaan dalam kehidupan kami sekeluarga dan mendatangkan kesan-kesan positif kepada pembangunan anak-anak dan keluarga saya.

HARGAILAH BAPA, MEREKA TIDAK SEMPURNA

Sempena sambutan Bulan Kebapaan, saya ingin menggalak kaum bapa supaya melibatkan diri secara aktif dalam pembangunan dan kehidupan anak-anak serta keluarga mereka. Dalam mana-mana keluarga pun, tiada bapa yang sempurna.

Kaum bapa juga memerlukan sokongan dan dorongan untuk memainkan peranan mereka dengan baik dan berkesan. Saya berharap para isteri dan anak-anak juga akan terus menghargai suami dan bapa mereka dan mengalu-alukan sumbangan bapa kepada keluarga masing-masing.

Setiap sumbangan bapa adalah tanda ikhlas yang berlandaskan kasih sayang mereka kepada keluarga. Jika terdapat satu-satunya kenangan manis dengan bapa saya, ia adalah ketika beliau membawa pulang buah-buahan dan makanan. Suasana dalam rumah kami bertambah ceria dengan kehadirannya kerana saya dan adik-beradik saya begitu gembira dapat sama-sama menikmatinya bersamanya dan ibu.

Semoga anda juga diberkati dengan pengalaman serupa bersama bapa atau anak-anak anda. Jika anda terkenangkan mereka, saya berharap kenangan manis itu akan mendorong anda untuk lebih menyayangi keluarga anda dan merakamkan lebih banyak lagi detik-detik manis bersama mereka.

MENGENAI PENULIS:

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim. 
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan