KOMENTAR: Banyak cabaran besar terus menanti, biar kita berfikiran jauh untuk tanganinya
Apakah penglihatan dan pemikiran kita masih lagi samar-samar dalam membuat renungan mendalam terhadap cabaran-cabaran hari muka? Bagaimana ini boleh diatasi?
Belia Muslim dan bukan Muslim dalam satu kegiatan silang budaya dan agama (Gambar fail)
Sudah lebih setahun kita warga sejagat berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dicetuskan oleh sejenis virus kecil tapi cukup berbahaya dalam meruntuhkan kehidupan.
Sedang kita mula membuat kejayaan besar dalam mencari penawarnya, timbul pula laporan tentang peningkatan kes jangkitan yang lebih besar di beberapa negara.
Akibatnya sedang proses vaksinasi berlangsung, sekatan-sekatan baru, mungkin ada yang lebih ketat, terpaksa dikuatkuasan semula.
Pokok masalahnya adalah walaupun sudah setahun manusia sudah dibiasakan dengan pelbagai sekatan dan langkah berhati-hati untuk mengelakkan penularan jangkitan, kita masih enggan menerima perubahan yang perlu dilalui itu.
Bukan itu sahaja. Manusia juga amat memilih tentang apa yang disukai dan menolak apa yang tidak disukainya lebih-lebih lagi jika sesuatu perubahan yang dikuasakan ke atas dirinya menjejas kepentingan diri sendri – walaupun ia adalah untuk maslahat masyarakat umum.
TIDAK CENDERUNG
Justeru dalam ia merenung kembali apa yang berlaku setahun lalu itu, manusia akan bersifat memilih tentang apa yang harus diingati dan dijadikan iktibar, dan apa yang tidak mahu diterima dan dijadikan pelajaran.
Walaupun sudah setahun kita melalui pelbagai dugaan dan ketidakpastian: tentang bagaimana wabak covid ini boleh dihapuskan, bagaimana kehidupan ekonomi dan sosial boleh dipulihkan semula, dan bagaimana segala perubahan baru itu boleh diterapkan seberapa banyak mungkin dalam kehidupan harian kita - rata-rata kebanyakan kita mungkin tidak cenderung untuk sentiasa diingatkan tentang apa yang telah kita lalui itu.
Mungkin juga tidak ramai yang mahu melihat iktibar apa yang boleh dipelajari.
Jadi walaupun pandemik ini merupakan sejenis krisis yang genting yang tidak pernah dilalui oleh sebahagian besar generasi yang hidup hari ini, apabila semuanya sudah selesai dan terhurai kelak, kebanyakan kita mungkin dapat melupakannya begitu sahaja.
Ini lebih-lebih lagi sekiranya pandemik ini berjaya ditangani dengan begitu baik sehingga ia berjaya ditewas dan dihapuskan dengan berkesan, dan segala kehidupan dan kegiatan biasa dapat kembali sediakala.
CABARAN HARI MUKA
Inilah juga sebabnya mengapa agak sukar untuk kita membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan cabaran-cabaran hari muka.
Bukan sahaja tidak ramai daripada kita mahu mempelajari daripada apa yang dilalui, kebanyakan kita juga tidak gemar untuk diingatkan beberapa kali tentang apa yang kita bakal tempuh pada masa hapadan.
Namun apa pun, suka atau tidak suka, masyarakat umumnya harus sentiasa diperingatkan tentang cabaran-cabaran yang bakal mendatang – lebih-lebih lagi cabaran yang boleh merubah menjadi krisis besar sekiranya ia gagal ditangani dengan baik.
Cabaran-cabaran masa hadapan memang banyak terutamanya bagi kita yang hidup dalam dunia yang semakin terhubungkait hari ini: Cabaran kesihatan, ekonomi, politik, sosial, sekitaran, kepimpinan, etika dan fahaman serta kepercayaan.
CABARAN MAKRO
Kalau kita merangkumkan semua cabaran ini dalam bentuk dua cabaran makro, mungkin kita boleh menyebutkannya sebagai cabaran sistem atau corak ekonomi pada satu segi dan cabaran kepelbagaian pada satu sudut yang lain.
Cabaran corak ekonomi merujuk kepada sikap dan pemikiran kita tentang sistem dan dasar ekonomi bagaimana yang sebaiknya untuk kita hari ini, terutama dalam ekonomi global yang menggalakkan jurang ketidaksamarataan yang semakin meluas.
Pakar ekonomi Thomas Piketty (The Economics of Inequality), berkata ketidaksamarataan dengan sendirinya bukanlah satu masalah selagi ia memenuhi kepentingan kita bersama.
Tetapi ia menjadi masalah apabila ketidaksamarataan menjadi ekstrem sehingga menjadi keterlaluan.
Bagi kebanyakan ahli ekonomi dan juga para pemimpin politik, huraian mendasar bagi masalah ini adalah dengan mewujudkan sistem dan dasar ekonomi yang menyediakan pelbagai peluang untuk seseorang pekerja memajukan diri menerusi pendidikan dan peningkatan kemahiran.
Dari segi konsep ini tidak sukar difikirkan tetapi dari segi pelaksanaan dasar banyak negara, malah pakar-pakar ekonomi sendiri tidak sepakat.
KESENJANGAN EKONOMI DAN SOSIAL
Ambil contoh di Amerika Syarikat dan juga Eropah, dasar ekonomi yang bercorak ‘kapitalis-liberalisme baru’ yang sekian lama terlalu berat sebelah kepada kepada pemilikan serta peluasan modal dan pemegangan saham daripada kebajikan para pekerja.
Dengan penstrukturan ekonomi dan pendigitalan, semakin ramai pekerja terutama golongan yang bergaji dan berkemahiran rendah terus ke terbelakang dari masa ke semasa.
Perkembangan sebegini sejak dua tiga dekad lalu telah merumitkan sekitaran sosio-politik banyak negara termasuk juga negara-negara di Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Kesenjangan ekonomi sebegini ditambah pula dengan peningkatan kepelbagaian dalam masyarakat (baik dari segi kepercayaan, aliran fahaman, kecenderungan dan perbezaan gaya hidup), mencetuskan kemunculan semangat berpuak dan berkumpulan yang meluaskan lagi jurang perbezaan antara masyarakat.
Akibatnya masyarakat semakin berpecah belah bukan sahaja atas dasar perbezaan kaum, agama atau budaya, tetapi juga dari segi perbezaan kedudukan sosio-ekonomi, perbezaan aliran fahaman dan kecenderungan terhadap sesuatu gaya hidup.
FAHAMAN KERAS
Pembauran semua gejala ini – gejala tidak puas hati terhadap sesuatu sistem dan dasar ekonomi yang dianggap berat sebelah dan tidak adil, dengan gejala tidak senang terhadap perbezaan dan kelainan antara satu sama lain – boleh mendorong seseorang itu mencari huraiannya dalam fahaman-fahaman yang keras, tidak toleran dan kadang kala ekstrem dan radikal.
Memandangkan semua trend yang disebut ini besar kemungkinan menjadi landskap utama dalam masa depan terdekat, kita haruslah berhati-hati dengan kemunculan bibit-bibit pemikiran yang mengarahkan kita ke arus perpecahan dan pertelingkahan, baik sesama sendiri atau pun dengan kumpulan-kumpulan lain.
Inilah antara isu-isu besar yang akan terus menjadi tema utama kebanyakan masyarakat dan negara untuk beberapa tahun mendatang.
Malangnya bagi kebanyakan kita ini semua masih lagi samar-samar dalam penglihatan kita apabila kita diajak untuk membuat renungan yang bersifat jangka panjang.
Di sinilah terletaknya peranan mereka yang mampu berfikir dengan mendalam untuk sama-sama membantu kita semua membetulkan cara kita membuat renungan yang jauh ke hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.