KOMENTAR: Baju Melayu, Baju Budiman

(Gambar: AFP/Manan Vatsyayana)
Bapa saya seorang yang agak kacak dan dia memberi tumpuan amat tinggi kepada rupa dan gayanya. Apa juga acara, bapa saya pasti akan kelihatan segak dan tampan. Lebih-lebih lagi apabila dia memakai baju Melayu.
Menurut bapa saya, "kalau nak pakai baju apa pun, pakai betul-betul".
Maka itu, sejak dari kecil lagi saya juga sudah mula memberi tumpuan kepada keterampilan saya, terutama sekali semasa Hari Raya.

Seperti kebanyakan keluarga pada masa itu, baju raya kami dijahit sendiri oleh Mak. Setiap Ramadan, kami sekeluarga akan memilih warna baju kami untuk tahun itu. Kemudian kami akan pergi ke Geylang Serai atau Arab Street untuk memilih kain yang kami mahu dan Mak akan menjahit pakaian Raya untuk kami berlima; tiga baju melayu untuk lelaki dan dua baju kurung atau kebaya untuk perempuan. Samping, songkok dan kasut akan kami beli di Bazar Geylang pada malam raya.
Pagi Raya saya akan bergelut untuk mengikat samping saya dengan bunga di tepi. Walaupun ada cara lebih mudah untuk mengikat samping, saya berkeras mahu mengikatnya dengan berbunga di tepi. Masalahnya ialah saya ingin mengikatnya sendiri. Tiada sesiapa yang mengajar saya bagaimana untuk mengikat samping dengan betul. Contoh yang saya ada hanya dengan melihat bapa saya atau P Ramlee dalam filem Madu Tiga. Mereka berdua membuat mengikat samping seperti sesuatu yang amat mudah.
Lama-kelamaan saya semakin pandai mengikat samping. Malah, melalui aktiviti seni sejak di bangku sekolah lagi, saya menimba ilmu tentang busana Melayu yang semakin mendalami penghayatan saya terhadap baju Melayu.

Baju Melayu yang kita kenal sekarang mempunya sejarah yang amat panjang.
Jika kita mengkaji sejarahnya, apa yang dikenali sebagai baju Melayu sudah melalui pelbagai perubahan sejak zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15.
Baju Melayu tidak terhad kepada sumber tekstil dan gaya kepulauan Melayu sahaja, tetapi banyak mengambil tekstil dan pengaruh gaya luar seperti India, Cina, Turki, Parsi dan negara-negara Arab.
Seluar yang dipakai bersama dengan baju Melayu biasanya dikenali sebagai seluar Potong Cina atau Potong Aceh.
Bahan buatannya berbeza mengikut kemampuan pemakainya: dari kain kapas hingga ke sutera yang disongketkan dengan benang emas.

Kain samping atau pernah dikenali sebagai kain dagang juga berbeza dari segi penghasilan dan coraknya. Ada pelekat, tenun, songket, telepuk dan limar atau limar bersongket.
Corak juga berbagai-bagai mengikut daerah. Antara yang terkenal ialah pucuk rebung dan gigi yu. Cara mengikat samping pada masa lampau juga menunjukan darjat pemakainya.
Begitu juga dengan cara mengikat tanjak atau destar, di mana simpul kiri atau kanan, berlipat tiga, lima atau tujuh menunjukkan darjat pemakai, sama ada beliau berketurunan diraja, pembesar negeri atau rakyat jelata.
Pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar (1886-1895), Baju Melayu Telok Blangah, berserta tanjak, songkok dan samping, telah diiktiraf sebagai pakaian rasmi negeri Johor. Mengikut protokol, lelaki kerabat diraja dan bangsawan akan memakai samping mereka di bahagian luar baju. Gaya ini dipanggil “dagang luar”.
Orang biasa pula akan memakai samping di dalam baju, dalam gaya yang dipanggil “dagang dalam”. Panjang samping pula menentukan sama ada seseorang itu masih bujang atau sudah berkahwin: di atas lutut untuk bujang dan di bawah lutut untuk lelaki yang sudah berkahwin.
Protokol ini diubah pada zaman Sultan Ibrahim (1895-1959), di mana tidak ada bezanya cara memakai samping untuk kerabat diraja ataupun rakyat biasa, kecuali di dalam istana.
Cara memakai samping kian terpulang kepada gaya pilihan pemakai itu sendiri.
Abad ke-19 membawa pelbagai unsur-unsur kemodenan pada cara pemakaian masyarakat kepulauan Melayu. Tanjak yang pada suata masa dahulu adalah lambang mahkota kerajaan Melayu dan sifat kemelayuan itu sendiri diganti oleh songkok.

Tanjak masih dipakai untuk acara-acara rasmi di istana, majlis persandingan dan bagi konteks-konteks tertentu, tetapi buat pakaian harian, songkok menjadi hiasan kepala yang diutamakan.
Baju Melayu sejak zaman ini lebih ringkas dan mudah dipakai, tidak terlalu sulit mengikut protokol istana dan kelihatan amat moden.
Apabila Rejimen Askar Melayu ditubuhkan pada tahun 1932, pakaian rasmi mereka disertakan dengan songkok dan samping. Selepas Perang Dunia Kedua, raja-raja dan para ahli politik Melayu memakai baju Melayu dengan samping dan songkok ketika menghadiri perhimpunan atau misi diplomatik ke Eropah.
Terdapat banyak gambar pemimpin Melayu memakai baju Melayu dengan bangga ketika berdepan dengan kuasa kolonial Inggeris dan Belanda untuk mengadakan perbincangan kemerdekaan. Lihat saja gambar-gambar Perdana Menteri Malaya pertama Tunku Abdul Rahman atau Presiden pertama Singapura Yusof Ishak.
Kedua-dua pemimpin Melayu itu selalu kelihatan kemas dan tampan berpakaian Barat ataupun berbaju Melayu. Tapi lebih kacak berbaju Melayu.
Zaman sekarang, kita mempunyai banyak pilihan untuk bergaya di Hari Raya. Sama ada kita berbaju Melayu, berbaju Jawa, berjubah, berkurta atau berkemeja, itu terpulang kepada individu.
Bagi yang memakai baju Melayu, ada yang lebih condong kepada sesuatu yang lebih ringkas supaya tidak berasa panas.
Kadangkala songkok dan samping tidak dipakai sama sekali. Apa bezanya kita beraya dengan hari biasa jika kita tidak menghiaskan diri sendiri untuk acara istimewa ini?
Bagi saya, baju Melayu menunjukkan budaya masyarakat kita yang halus dan berbudi pekerti. Seorang lelaki Melayu bukan saja harus menunjukkan kegagahan dan keberanian tetapi juga kebijaksanaan dan keadaban yang baik. Bukan setiap hari kita berbaju Melayu, jadi apa salahnya jika setiap kali kita berbaju Melayu, kita memakainya dengan elok dan sempurna? Terutama sekali semasa kita berjalan Raya.

Ia telah mencetuskan banyak perbahasan mengenai apa itu kebaya dan siapa pula pemilik warisannya.
Terdapat perselisihan mengenai asal usulnya dan masyarakat generasi seterusnya perlu mengiktiraf kebaya sebagai sebahagian daripada budaya kita.
Penting untuk kita menuntut hak ke atas apa yang menjadi warisan kita sebelum ia hilang ditelan zaman. Adalah menjadi harapan saya agar baju Melayu suatu hari nanti juga akan diiktiraf sebagai sebahagian daripada Warisan Budaya Tidak Ternilai dunia tetapi terpulang kepada kita untuk memperjuangkan dan memartabatkannya.

Jamal Mohamad adalah seorang penggiat seni dan budaya serta penyelidik warisan. Beliau adalah penerima Biasiswa Erasmus Mundus pada 2008, penerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong dan Dermasiswa Luar Negara Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.