Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bahaya pengaruh naratif radikalisme di media sosial

Anggaran Waktu Membaca:


BERITAmediacorp: Di balik setiap penangkapan individu yang terkait dengan aksi pengganasan seperti yang terjadi baru-baru ini di Singapura, ada satu hal yang cenderung terlepas dari perhatian kita, iaitu adanya peranan “naratif”. Lalu, apa itu naratif? Apa bezanya dengan cerita?

Tidak ada definisi tunggal yang diterima semua sarjana pengkaji naratif pengganasan. Dalam buku karya Ajit K. Maandan Paul L. Cobaugh, "Introduction to Narrative Warfare (2022)", cerita dibedakan dari naratif. Cerita didefinisikan sebagai sebuah peristiwa masa lalu yang terkait dengan banyak pelaku.

Sedangkan naratif dimaksudkan sebagai tafsir, interpretasi, atau cara baca yang digunakan oleh 'narator' atau penutur naratif terhadap peristiwa masa lalu.

Dengan erti kata lain, naratif adalah proses yang tidak bebas nilai dalam pemberian makna atas sebuah peristiwa.

Media yang dipakai narator bisa berbentuk verbal (lisan), seperti diskusi, bedah buku (ulasan), ceramah, kisah, cerita, kesaksian doa, dan lagu, atau 'non verbal' (bukan berbentuk lisan) seperti tulisan, poster, risalah, gambar dan video. Melalui media inilah proses radikalisasi menjadi lebih meluas, bahkan melewati batas negara bangsa.

Seperti halnya naratif, tidak ada definisi tunggal atas kata radikalisme. 

Namun, tulisan ini, mengamini (menyokong) definisi radikalisasi dalam 'Friction, How Radicalization Happens to Them and Us' (2011: 4) yang ditulis oleh McCauley dan Moskalendko. Melalui buku ini, dua sarjana psikologi sosial ini mengibaratkan radikalisme sebagai “sebuah proses perkembangan keyakinan, perasaan dan aksi dalam mendukung sebuah kelompok atau tujuan politik dalam sebuah konflik”.

Dengan kata lain, radikalisme tidak hanya terjadi pada “orang lain” nun jauh di sana, tetapi boleh terjadi pada sesiapa saja.

Hal ini kerana radikalisme adalah sebuah proses psikologi yang jika mendapatkan peralatan yang tepat akan terjadi pada semua orang, kelompok dan bahkan negara. Sebagai sebuah proses, radikalisme bukan “salah” atau “benar”. Tetapi boleh terjadi pada hal yang baik dan buruk.

Penyebaran Naratif Radikalisme

Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pengamat, masalah radikalisme dan pengganasan, penggunaan naratif sebegini berkembang dan tumbuh subur bersama meluasnya kepemilikan telefon bijak pada awal tahun 2000-an.

Terlebih pada 2007 ketika iPhone dilancarkan, yang disusuli dengan jenis Android dengan harga yang semakin murah dan terjangkau.

(Gambar: Unsplash)

Dari lima juta telefon bimbit yang dimiliki penduduk dunia, separuhnya berjenis telefon bijak, yang menjadi media penyebaran naratif di seluruh dunia. Asia Tenggara, termasuk Singapura, adalah syurga pasaran telefon bijak. Maka itu, boleh diandaikan jika hampir semua penduduk negeri ini yang menggunakan telefon bijak, tanpa meminta atau menghendakinya, mendapat naratif terutama yang muncul di media sosial tentang apa saja, termasuk naratif radikalisme.

Melalui media sosial yang digerakkan oleh sistem algoritma, naratif tegar yang disampaikan oleh penceramah dari luar negara seperti Zakir Naik dan Ahmad Deedat dengan mudah beredar nyaris tanpa sebarang penapisan dan diterima oleh sesiapa pun yang celik huruf; lelaki, perempuan, dan anak-anak, berideologi radikal ataupun tidak.

Selain teknologi media yang tak memerlukan modal dan biaya besar, modal bagi keberhasilan penceramah radikal ini adalah kemahiran dalam memilih, memilah, dan mengolah 'grand narrative' atau naratif induk yang tepat dalam berkomunikasi dengan penyokong dan pengikut mereka.

Naratif Induk dan Teknik ‘Reframing’

Naratif induk adalah naratif yang telah diyakini kebenarannya oleh orang kebanyakan dalam budaya tertentu. Dalam Islam, naratif induk biasanya diambil dari kisah-kisah dalam Al-Quran, hadis, ataupun sirah - sejarah perjuangan Islam, seperti Perang Badar, peristiwa hijrah, Israk Mikraj, dan masa kekhilafahan Islam menjelang era penjajahan “Barat”.

Disebabkan para naratornya, naratif induk dihubungkan dengan isu tertentu yang hendak diangkat pada masa kini dengan teknik 'reframing'.

'Reframing' adalah teknik membingkai ulang peristiwa sejarah tertentu tanpa menggunakan metodologi keilmuan yang rumit, dengan tujuan memancing emosi penerima naratif atau penyokong dan pengikut, dalam bentuk analogi atau metafora.

Contoh penggunaan metafora ini adalah kisah Firaun dalam Al-Quran. Sosok Firaun sering dipakai untuk menggambarkan penguasa yang zalim dan seorang diktator.

Kitab-kitab al-Quran dengan terjemahan dalam pelbgai bahasa. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

“Saya telah membunuh Firaun,” teriak Khalid al-Islambouli setelah berhasil menembak mati Presiden Mesir Anwar Sadat dalam perbarisan tentera pada 1981.

Kekuatan naratif yang mereka hasilkan itu memiliki dimensi dunia-akhirat dan segmentatif. Untuk golongan muda misalnya, naratif induknya dibangunkan dalam konteks keghairahan anak muda, seperti konsep ḥūrun ʻīnatau “bidadari bermata jelita” yang dipetik daripada Surah Al- Wāqiʻah ayat 22. Ayat ini dibingkai sedemikian rupa sebagai janji Tuhan kepada para pemuda berani yang bersedia mempertaruhkan nyawa untuk sebuah aksi jihad. Sedangkan untuk segmen perempuan atau keluarga, digunakan naratif “masuk syurga sekeluarga” dengan menukil Surah Al-Mu’min ayat 8, seperti dalam kes pengebom nekad sekeluarga di Surabaya.

Dalam konteks Asia Tenggara, melalui naratif pradikalisme, kumpulan pengganas mempengaruhi seseorang untuk menjadi relawan “jihad” di wilayah konflik, seperti di Syria, Iraq dan selatan Filipina, serta melakukan aksi nekad di tempat-tempat yang dianggap menjadi musuh Tuhan.

Ketika mati akibat serangan nekad, mereka disifatkan sebagai mati syahid atau syuhada oleh kedua kelompok itu. Mereka disifatkan sebagai mati syahid dengan bahagia kerana tidak harus melalui proses hisab atau pengadilan hari akhirat yang akan menimbang amal baik dan buruknya.

Sebaliknya, terhadap korban yang tewas akibat perbuatan jahat mereka, dihadirkan naratif bahwaa hal itu merupakan balasan atau hukuman dari Tuhan kerana para mangsa dianggap kafir dan musuh Tuhan.

Tergambar sudah, betapa naratif radikalisme kini menjelma menjadi senjata bagi mematikan sesiapa saja. Naratif itu sanggup meragut nyawa dan akal. Bahkan, setelah terjadi ledakan bom di tempat ibadat yang meragut nyawa orang-orang yang tidak bersalah, naratif mereka muncul dan mereka melakukan perang naratif radikalisme di tengah-tengah masyarakat. Ini menandakan tindakan mereka seolah-olah disokong ramai dan dibenarkan oleh sebahagian orang yang termakan dengan naratif radikal.

Bukan Hal Baru

Sesungguhnya, penggunaan naratif induk seperti hadis untuk mendukung agenda politik bukanlah fenomena baru dalam sejarah gerakan radikal Islam.

Mungkin hari ini orang lupa bahawa tempat paling suci bagi umat Islam, iaitu Masjidil Haram di Makkah, pernah diduduki sekelompok umat Islam ekstrem pimpinan Juhaiman al-Uteybi. Peristiwa berdarah itu terjadi pada 20 November 1979.

Mengusung naratif tentang kedatangan Imam Mahdi pilihan kelompok ini, Mohammad Abdullah, mereka ingin mengembalikan kegemilangan Islam dengan melakukan penyanderaan (menawan orang untuk dijadikan sebagai tebusan) terhadap umat Islam dari berbagai negara yang sedang mengerjakan haji.

<p>(Gambar: Saudi Gazette/Facebook)</p>

Dengan hampir 100,000 orang terperangkap di tapak suci itu, pengepungan berdarah Makkah berlangsung selama dua minggu.

Peristiwa itu kemudian mencetuskan bantahan: para penunjuk perasaan menyerbu dan membakar Kedutaan Amerika Syarikat di Pakistan dan Libya.

Orang-orang Saudi yang putus asa akhirnya meminta bantuan pasukan komando Perancis pimpinan Kapten Paul Barril. Dialah yang mempersiapkan serangan terakhir dan melepaskan gas beracun untuk melumpuhkan para pemberontak. Kisah dramatis dan sangat penting dalam sejarah gerakan Islam tegar ini ditulis Yaroslav Trofimov dengan terperinci dalam bukunya 'The Siege of Mecca (2007)'.

Oleh kerana itu, sangatlah penting untuk meningkatkan kesedaran pihak-pihak berkepentingan (stakeholder) bahawa manusia adalah 'homo narrans' atau makhluk yang gemar bercerita - apalagi dalam budaya dan tradisi lisan serta sangat kecilnya minat literasi seperti membaca buku.

Tak terhindarkan, proses komunikasi antara manusia selalu dibungkus melalui 'story' atau naratif.

Naratif sering sulit dibuktikan secara logik rasional kerana ia terkait dengan masa lampau yang tidak membutuhkan bukti, tapi hanya memerlukan ruang iman (kepercayaan). Meskipun kerap “tidak masuk akal”, naratif yang datang dari tradisi agama sering digunakan sebagai pengesahan yang mampu memberikan jawapan atas pertanyaan hidup dari penerima naratif radikalisme.

Dalam konteks inilah peranan 'credible voice' - suara bekas pelaku yang sudah bertaubat - yang terangkum dalam cerita yang bersandarkan perikemanusiaan dapat menjadi penting dalam usaha pencegahan agar masyarakat tidak terlibat aksi radikalisme.

MENGENAI PENULIS:

Dr Noor Huda Ismail adalah Zamil Pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Beliau pakar dalam kajian radikalisasi dan pengganasan.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan