Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bahaya apabila rasuah dicap budaya

Media di negara jiran, Malaysia, telah melaporkan kajian Universiti Malaya mengenai amalan rasuah di negara itu. Lebih separuh responden (51 peratus) mendapati suasana kleptokrasi iaitu pentadbiran para pemimpin rasuah sudah membudaya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Media di negara jiran, Malaysia, telah melaporkan kajian Universiti Malaya mengenai amalan rasuah di negara itu. Lebih separuh responden (51 peratus) mendapati suasana kleptokrasi iaitu pentadbiran para pemimpin rasuah sudah membudaya.

Baru-baru ini hasil kajian bertajuk Voices From The Ground: The Corruption Complex In Malaysia (Suara-Suara Dari Jelata: Kompleks Rasuah di Malaysia) oleh Universiti Malaya (UM) telah diuar-uarkan oleh media Malaysia.

Menurut kajian UM, antara punca berlakunya rasuah di Malaysia ialah kerana sistem kleptokrasi (amalan para pentadbir politik yang menggunakan wang kerajaan untuk kepentingan diri sendiri).

"Rasuah telah menjadi sebahagian daripada budaya dan rasuah menjejaskan sistem meritokrasi. Walau bagaimanapun, ini tidak bererti sistem meritokrasi boleh diamalkan sepenuhnya, tetapi harus melihat konteks dan situasi tertentu.

"Politik dilihat sebagai jalan menuju kekayaan dan rasuah sebagai jalan untuk berjaya. Bagaimanapun, usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak pada kerajaan tetapi harus menjadi usaha bersama rakyat," ulas kajian itu.

AGAMA, KELUARGA & SIKAP MASYARAKAT

Lebih 95 peratus responden tinjauan UM telah sepakat bahawa agama boleh memainkan peranan penting untuk membendung rasuah dan tokoh agama bertanggungjawab memastikan perkara itu.

Keluarga dianggap sebagai faktor yang lebih penting daripada organisasi agama untuk membendung amalan rasuah.

"Kira-kira 93 peratus responden bersetuju bahawa masyarakat memainkan peranan penting dalam mengekang rasuah, dengan menyatakan TIDAK kepada rasuah.

"Sementara itu, 82 peratus responden secara purata bersetuju bahawa pemberian hadiah secara rasmi adalah perbuatan rasuah. Menariknya, peratusan menunjukkan responden berumur 51 tahun ke atas yang bersetuju dengan perkara itu adalah lebih rendah berbanding purata umur lain.

"Malah, majoriti responden berumur 60 tahun ke atas tidak menganggap hadiah sebagai satu bentuk rasuah," jelas kajian itu.

Kajian UM mengutarakan sejumlah saranan dalam usaha mencegah rasuah, termasuk masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan amalan rasuah dapat didedahkan.

Majoriti daripada peserta yang terlibat dalam kajian ini adalah daripada agensi kerajaan iaitu sebanyak 37.4 peratus, institusi akademik (26.4 peratus), manakala selebihnya terdiri daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

(Gambar: AFP)

RASUAH SEDUNIA

Suasana rasuah di Malaysia bukanlah unik.

Rasuah ialah amalan untuk mendapatkan layanan istimewa menerusi jalan tidak diizinkan undang-undang dan tatasusila.

Amalan kesat ini dalam pelbagai bentuk – hadiah, pilih bulu (nepotisme) sehingga tuntutan serupa peras ugut berlaku di semua negara, termasuk yang dinilai ‘maju’ seperti Eropah dan Amerika Syarikat.

Demikian dapatan Transparency International (TI), sebuah badan bebas antarabangsa yang memantau trend rasuah sejagat. TI ditubuhkan pada 1995 dan laporannya menyerlah di internet.

Di Asia, Singapura merupakan satu-satunya negara yang tergolong dalam 10 negara terendah amalan rasuahnya. Lima negara lain yang terendah amalan rasuah ialah rantau Nordic (Denmark, Finland, Norway dan Sweden), New Zealand dan beberapa negara Eropah seperti Luxembourg.

Kebanyakan agama dan budaya mencegah amalan rasuah. Dalam Islam misalnya, terdapat ayat-ayat Quran dan Hadis yang tegas menegah rasuah dan menetapkan hukuman berat di dunia dan akhirat.

Namun, daripada 57 negara majoriti Muslim yang menjadi anggota Muktamar Islam (OIC), rekod terendah rasuah ialah Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada 2020, Malaysia merupakan negara ke-57 (bersama Namibia) dalam senarai indeks atau angka rujuk rasuah sejagat.

Indonesia pula berada di tempat ke-102 daripada 180 negara yang ditinjau.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) pernah diwawancara oleh CNA mengenai cabaran-cabaran peritnya untuk memajukan Indonesia. Mengenai rasuah, beliau berkata: “Ia suatu cabaran amat sukar sekali.” Pengakuan Encik Jokowi jelas menunjukkan betapa Indonesia, negara umat Islam terbesar dunia, mengalami kesulitan dalam mengikis rasuah yang sudah menjadi amalan sejak zaman penjajahan Belanda.

Bahkan pernah rasuah atau korupsi dianggap ‘membudaya’ di Indonesia tetapi hal ini dibantah oleh kalangan cendekiawan dan ulama, termasuk Buya Hamka (1908-1981).

(Gambar: sumber web)

BUDAYA NAN LUHUR

Para tokoh Indonesia berpendapat bahawa budaya (istilah daripada dua kekata, ‘budi’ + ‘daya’) merupakan sistem nilai dan amalan nan (yang) luhur.

Memandangkan ‘rasuah’ ialah kejahatan, maka mengubah maksud dan nilainya menjadi ‘luhur’ merupakan sesuatu yang tidak boleh sama sekali diterima.

Garapan tadi bukan saja pandangan Hamka. Polemik rasuah sebagai budaya pernah mencengkam Indonesia sejak zaman merdeka pimpinan Sukarno (1945-1967) sehingga orang kuat tentera, Suharto (1968-1998) dan bahkan kini dalam era Jokowi.

Ilmuwan yang lama mengkaji rasuah, Prof Syed Hussein Alatas (1928-2007) dalam buku klasiknya, Sociology of Corruption, telah menegaskan bahawa amalan buruk ini hanya dapat dikikis jika para ahli politik daripada kepimpinan tertinggi sehingga aktivis, gigih mengatasinya.

Prof Syed Hussein pernah menyifatkan tekad besar Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew untuk membanteras rasuah di Singapura sebagai antara tunggak yang memacu kemajuan negara ini.

Namun TI akur bahawa tiada negara yang 100 peratus bebas rasuah, hatta Denmark atau New Zealand sekalipun.

Singapura pernah menduduki tempat teratas sebagai negara paling bersih rasuah tetapi sejumlah kes besar yang dibawa ke mahkamah telah mendedahkan bahawa air sungai yang tenang, belum tentu tiada buayanya (bahaya).

Apapun, rasuah merupakan musuh kemanusiaan, menurut pengesahan pelbagai pertubuhan kewangan seperti Bank Dunia sehingga gerakan hak asasi.

Kleptokrasi yang disahkan kajian UM bak pembeliak mata di Malaysia. Apabila rasuah berlaku walaupun sekadar pemberian hadiah atau upah yang kecil demi meraih layanan khas, riaknya boleh berubah demi masa menjadi gelombang besar atau tsunami apabila tidak terkawal.

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)

MENGENAI PENULIS:

Penulis ialah mantan editor rencana Berita Harian (1984-2016), penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-84), dan kini pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan