KOMENTAR: Bahasa Melayu dalam strategi penakatan jangka panjang SG

(Gambar: Facebook/Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)
SINGAPURA: Baru-baru ini sempena Majlis Keharmonian Kaum anjuran tiga dewan niaga setempat, mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam menegaskan lagi peri pentingnya warga Singapura dapat berbahasa Melayu dan Mandarin demi memperteguh penakatan Singapura.
Komentar Mohd Raman Daud kali ini meninjau peranan bahasa Melayu dalam menyerlahkan pembangunan rantau ini.

Dalam apa jua urusan, bahasa memainkan peranan penting sebagai wadah komunikasi termasuk menjalin urus niaga sehingga pembangunan watan.
Begitulah tampaknya hasrat dan vizi Encik Tharman Shanmugaratnam ketika mengajukan gagasan agar warga Singapura dapat menguasai dua bahasa utama, sekurang-kurangnya di tahap ‘pertuturan’ atau sembang (conversational) iaitu Mandarin dan Melayu demi memperkukuh penakatan nusa ini.
Gagasannya itu dilontarkan kepada tiga dewan niaga – Cina, Melayu dan India – selaku penganjur Hari Keharmonian Kaum, baru-baru ini.
Dan ini bukan pertama kali beliau mengutarakan hal ini. Antara lain, hujahnya, para peniaga Singapura telah memanfaatkan khidmat para peniaga Cina dari Malaysia yang fasih berbahasa Melayu untuk urus niaga di rantau ini.

BERMULA DI SEKOLAH
Sewaktu menyandang jawatan Menteri Pendidikan (2003-2008), Encik Tharman pernah melancarkan kegiatan luar darjah iaitu bahasa sembang Melayu dan Mandarin. Beliau mendapati sambutannya baik pada awalnya tetapi ia kemudian merosot.
Baginya, perlu ada Ruang Ketiga (Third Space) iaitu selain berbahasa Inggeris sebagai bahasa kerja dan bahasa ibunda sebagai pemantap budaya, untuk warga Singapura berdialog dan menjalin hubungan antara rantau.
Mengapa Encik Tharman, antara calon bagi Presiden Dipilih Singapura yang kesembilan, mengajukan saranan ini?
Adakah generasi muda Singapura kini belum dapat menilai peranan Bahasa Melayu (BM) sebagai salah satu keupayaan strategik yang harus dimiliki rakyat Singapura dalam pembangunan negara – lebih sekadar melestarikan budaya sahaja?
Hakikatnya, Bahasa Melayu (BM) bukan saja merupakan salah satu bahasa rasmi di Singapura, tetapi sebagai Bahasa Kebangsaan (BK).
Sewaktu Singapura hendak bersama dalam Persekutuan Malaysia, BM luas digunakan sehingga para kakitangan Perkhidmatan Awam perlu lulus BM demi terus bertugas, kenaikan gaji dan pangkat.
Namun dek Perpisahan yang membawa Kemerdekaan Singapura pada 9 Ogos 1965, peranan BM sebagai bahasa penyatu rakyat telah digantikan dengan Bahasa Inggeris.
Kini tiba masanya menilai semula arus dan jalur penakatan kita, termasuk bahasa.

Selain Encik Tharman, mantan Dekan Pengasas Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Prof Kishore Mahbubani pernah menghimbau agar BM sebagai BK diserlahkan kembali untuk memperteguh ikatan rakyat.
Dengan cara ini juga Singapura dapat terjalin dalam lautan berbahasa Melayu rantau ini.
STRATEGI JANGKA PANJANG
Dalam urutan bahasa dunia, Bahasa Inggeris (1.4 bilion penutur) menduduki tangga pertama dan diikuti Bahasa Mandarin (1.14 bilion). BM (termasuk Bahasa Indonesia) dijulang khususnya di rantau ini dengan 300 juta penutur dan disahkan sebagai antara 10 bahasa terbesar dunia.

Dengan menguasai tiga bahasa iaitu Inggeris, Mandarin dan Melayu, warga Singapura berada dalam kedudukan penting sebagai mewakili hab dan gerbang peradaban dunia.
Visi ini bukanlah baharu. Misalnya, pada 1980-an Singapura pernah cuba mencontohi kejayaan Switzerland, antara negara terkaya dunia dan berperanan neutral di benua Eropah.
Negara yang terkepung di darat Eropah ini mempunyai ramai warganya yang boleh bertutur dwibahasa sehingga empat bahasa, termasuk Perancis, Jerman, Itali dan Inggeris.
Strategi Ruang Ketiga Encik Tharman merupakan suatu gagasan yang perlu diperhalusi oleh pemerintah demi penakatan jangka panjang Singapura.
Ia membawa satu tahap dalam menyusun strategi Singapura yang boleh memanfaatkan pengalaman Switzerland sebagai negara ‘pengantara’ dalam ehwal urusan politik dan ekonomi antarabangsa.
Sebagai ‘gerbang’ kepada rantau Asia Tenggara dan titik penting kepada laluan Timur-Barat, Singapura berkedudukan teguh sebagai ‘pemudah cara’ (fasilitator). Hal ini diakui sejak zaman bahari pada peranan para pedagang/pelaut rumpun Melayu sehingga kedatangan penjajah Barat.

Sejak abad ke-15M, BM telah diangkat oleh Kesultanan Melayu Melaka sebagai bahasa perantara atau lingua franca di Alam Melayu.
Ini merupakan penerusan daripada dasar Empayar Sriwijaya dan diikuti dengan Kerajaan Singapura, menurut Sejarah Melayu.
Penggunaan BM yang luas ini bukan sahaja kerana kejayaan Melaka sebagai pelabuhan entrepot terpenting di rantau ini tetapi juga ciri-ciri bahasa Melayu yang sederhana, lentur (fleksibel), bersistem nahu yang teguh dan istimewa.
Menurut sarjana Belanda, Francois Valentijn, kepentingan bahasa Melayu pada abad ke-16M adalah setara dengan bahasa Latin dan bahasa Perancis di benua Eropah sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.
BM bukan saja sebagai bahasa penghantar, bahkan sebagai bahasa sarjana dan bahasa para cendekiawan yang ternama sehingga tersebar ke China pada zaman pemerintahan Dinasti Ming oleh Maharaja Cheng Zhu (1403-1425M) yang mengarahkan ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas Da Tong Shi yang bertugas menguruskan jurubahasa untuk maharaja.
Menurut buku sejarah Deng Tan Bi Jiu (Catatan Sejarah Ehwal Kerajaan), Da Tong Shi mengandungi 18 jawatankuasa kecil dengan jumlah jurubahasa seramai 60 orang dan antaranya terdapat seorang jurubahasa untuk Melaka dan seorang lagi untuk Sumatera.
Jabatan Bahasa Melayu yang dinamakan Hui Hui Guan (Jabatan Islam) merangkumi Jabatan Parsi, Arab, Jawa dan lain-lain.
Hal ini menunjukkan betapa pentingnya Bahasa Melayu sehingga mendapat tempat yang istimewa dalam kerajaan gagah seperti Dinasti Ming. China hari ini membangun sebagai kuasa besar dunia seolah-olah menurut prinsip dalam zaman Dinasti Ming yang membuka laluan dagang seantero dunia.
Hari ini China bangkit dengan pesat sehingga mencabar dominasi Amerika Syarikat sebagai kuasa terpenting dunia.
Kebangkitan ini sudah dijangka oleh para sejarawan seperti Arnold Toynbee sehingga Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Sekaligus ini bermakna Menyingsing Zaman Asia Timur-Pasifik sebagai pusat peradaban ampuh dan penjana ekonomi jagat.

LANGKAH SELANJUTNYA
Gagasan Encik Tharman sealiran dengan fakta sejarah silam dan potensi perkembangan rantau ini, yang antara lain, gigih dijana Indonesia dan Malaysia, dua buah negara berbahasa Melayu.
Sikap warga Singapura, terutama masyarakat Melayu, perlu sealiran dengan zaman, termasuk menunjangi kepentingan BM.

Maka wajarlah kelas Bahasa Melayu secara zahir atau maya diperluaskan di Singapura untuk menggalakkan ramai rakyatnya sekurang-kurangnya dapat bertutur BM.
Dalam hal ini wajar sekali Majlis Bahasa Melayu Singapura menyusun strategi dalam mempertingkatkan bidang peranannya, apatah lagi andainya pemerintah menyokong gagasan Encik Tharman.
Dengan adanya teknologi canggih, pembelajaran dan pengajaran BM dapat dipertingkatkan dengan lancar lagi berkesan apatah lagi dinyalakan oleh kesedaran tinggi mengenai peranan dan potensi BM itu sendiri.
MENGENAI PENULIS:
Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.