Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bahasa Melayu Dalam Sebaran Agama

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kajian mengenai perkembangan Bahasa Melayu (BM) membuktikan dengan jelas akan pelbagai peranannya termasuk penyebaran agama sejak sebelum zaman Sriwijaya (650-1300M).

Sebagai bahasa pengantar dunia, kedudukan Bahasa Melayu serupa bahasa besar seperti Bahasa Inggeris.

Tahukah anda bahawa selain sebagai bahasa untuk terjemahan Al-Quran, Bahasa Melayu (BM) juga menampung kitab agama lain seperti Hindu, Buddha dan Kristian?

Misalnya terjemahan Bibel (Injil) dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu pernah berlaku di Singapura dalam zaman awal penjajahan British. Antara lain, ia merupakan antara kegiatan Mission Press kendalian sekumpulan paderi yang pernah meminta khidmat Munsyi Abdullah bin Abdul Kader (1796-1854).

Sekitar 500 tahun sebelum itu sekitar abad ke-13M, menurut kajian sarjana Aceh, Dr Teuku Iskandar (1929-2014), Singapura diperintah sebuah kerajaan kecil yang bervisi besar, termasuk menjayakan terjemahan kitab-kitab agama Hindu-Buddha meliputi Ramayana dan Mahabharata yang dikenali sebagai Hikayat Sri Rama dan Hikayat Pendawa Lima.

(Gambar: iStock)


DINAMIKA BM

Sejak zaman silam, BM telah memiliki ramai penggunanya di kawasan Selat Melaka dan pesisir pulau-pulau Asia Tenggara. Antara lain, ini disebabkan nahunya yang mudah lagi mantap. Ia amat lentur atau luwes dalam menerima kosa kata asing (kata serapan) yang kemudian ‘dimelayukan’.

BM juga beraneka atau punya variasi atau laras (language register) sebagai bahasa ilmu. Ia dapat digunakan dalam pelbagai peringkat – kanak-kanak, dewasa, di pasar, secara rasmi seperti dalam kalangan cendekiawan dan juga golongan atasan/diraja.

Tumbuhnya BM dikatakan bermula di sebuah Kerajaan Melayu di Jambi, Sumatera. Kerajaan ini ditakluki Empayar Sriwijaya yang mengangkat BM sebagai bahasa utamanya. Sekali gus ini menjadikan BM sebagai lingua franca atau bahasa pengantar rentas sempadan di rantau Asia Tenggara. Mentelah Sriwijaya (670-1078M) mempunyai daerah takluk yang luas di selatan Siam (Thailand), pesisir Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan barat Pulau Jawa. Ada kalangan sejarawan mendakwa Sriwijaya diwarisi kerajaan Singapura dan Sailendara di barat Pulau Jawa sehingga abad ke-13M. Sekali gus ini membolehkan BM tertebar di pesisir utara Pulau Jawa sehingga ke Sulawesi dan Borneo.

‘Srivijaya’ (dimelayukan menjadi Sriwijaya) dari dua kekata bahasa Sanskerta yang bermakna ‘kerajaan (sri) cemerlang (wijaya)’. Kegemilangannya pudar kerana sedikit sekali bekas sejarahnya. Mujurlah sarjana Perancis, George Coedes, membicarakannya melalui eseinya pada 1918M, barulah melimpah kajian mengenainya oleh para sarjana Belanda dan Indonesia.

Sriwijaya yang makmur dan gagah bertindak bak ‘jambatan’ antara rantau Arab dan India dengan China (Dinasti Tang dan Dinasti Song). Selain itu, Sriwijaya berperanan sebagai pusat penyebaran agama Buddha. Para pelajarnya datang sejauh China seperti pengembara terkenal, I-Tsing (Yiching) dalam rangka menuntut ilmu di Universiti Nalanda, India.

Menurut kalangan sarjana bahasa dan budaya Melayu termasuk Prof Mohd Taib Osman (kelahiran Siglap, Singapura: 1934-2017), sekitar 800 kekata Sanskrit atau Sanskerta diserap ke dalam BM dan malar segar sehingga kini seperti saya, syurga, suria, agama, neraka, puasa, merdeka dan sebagainya.

KEMASUKAN ISLAM

BM menampung banyak kekata Arab, terutama daripada Al-Quran dan Hadis. Sekitar lima peratus kosa kata Melayu merupakan kata serapan daripada Bahasa Arab. Bagaimana ini berlaku?

Sarjana Pakistan, Dr S.Q. Fatimi dalam eseinya, ‘Two Letters from Maharaja to the Khalifah: A Study in the Early History of Islam in the East’ (jurnal Islamic Studies 2, No. 1, Mac 1963), penguasa Sriwijaya yang bernama Sri Indravarman, telah mengutus dua warkah pada 680M (surat pertama kepada Khalifah Muawiyyah) dan 718M kepada kerajaan Islam di Baghdad.

Dalam surat keduanya kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dari Kerajaan Bani Umayyah, Raja Sriwijaya itu meminta agar diutuskan seorang alim ke negaranya.

Kedua-dua surat ditulis dalam tulisan dan Bahasa Arab. Pada akhir hayatnya, Indravarman dikatakan memeluk Islam.

Sarjana Filipina, Dr Cesar Adib Majul (1931-2012) menampilkan beberapa teori tentang kemasukan Islam di rantau yang umumnya berlaku secara damai iaitu melalui perdagangan, peranan ulama sufi dan persaingan siasah untuk mendapatkan ‘iktiraf’ daripada kerajaan-kerajaan Islam di Timur Tengah.

Dalam catatan pengembara Itali, Marco Polo, ketika singgah di Pasai pada 1292M, didapati Islam tertebar luas di kawasan Selat Melaka.

Asia Tenggara atau Dunia Melayu sudah mesra kepada pedagang Arab sekitar 200 tahun sebelum munculnya Islam di Semenanjung Arab. Orang Melayu digelar ‘Bani Jawi’ oleh perantau Arab. Dari sinilah bermula BM dalam aksara Arab atau tulisan Jawi. Namun ada kekata Melayu juga dikatakan terselit dalam Al-Quran iaitu ‘kafura’ (camphor) - sejenis bahan minuman dari kapur barus yang dibawa pedagang Arab (Yaman) dari Barus, Sumatera. Minuman ini tersedia di syurga!

(Gambar: iStock)

KESULTANAN MELAKA

Zaman Kesultanan Melaka (1400-1511M) boleh dikatakan paling gigih dalam menterjemahkan kitab-kitab Bahasa Arab ke Bahasa Melayu. Ketika inilah banyak kekata Arab diserap ke dalam Bahasa Melayu.

Namun ada sedikit perkembangan ‘aneh’ iaitu walaupun orang Melayu amat menghormati Bahasa Arab-Quran, namun tidak semua kekata seiras dari Bahasa Sanskrit digugurkan. Misalnya, agama (adakala disebut ‘igama’ atau ‘ugama) masih lagi dikekalkan. Begitu juga dengan syurga (bukan ‘jannah’ dari Al-Quran), neraka (bukan ‘nar’) dan sebagainya.

Yang paling menonjolkan ialah istilah ‘sembahyang’ yang dari dua kekata Bahasa Sanskerta iaitu ‘sembah’ (memuja atau mengabdikan) kepada ‘Hyang’ (Yang Esa). Istilah ini dikekalkan sebagai seiras makna kekata ‘solat’ daripada Bahasa Al-Quran menurut tafsir Turjuman Al Mustafii tulisan Syekh Abdurrauf bin Syekh Ali Al Fanshuri pada sekitar tahun 1620M.

Mutakhir, terdapat kajian yang mendapati bahawa konsep ‘sembahyang’ sudah lama diamalkan sebelum masuknya agama Hindu dan Buddha, iaitu kalangan rumpun Melayu silam mempercayainya adanya Satu Tuhan (Yang Esa) atau kuasa tunggal luar biasa yang agung.

Menurut sejarawan, pada zaman Wali Songo (Majlis Sembilan Ulama Utama di Jawa) pada abad ke-15 dan 16M, telah ada kesepakatan bahawa aspek ‘budaya’ setempat perlu dihormati selagi selari dengan Islam. Maka itu, istilah-istilah lama dikekalkan.

PENJAJAHAN BARAT

Tertuangnya kekata Portugis (menyumbang lebih 300 perkataan dalam Kamus Melayu), Belanda (sekitar 1,800 perkataan) dan Inggeris (membentuk 3% kekata dalam Kamus Dewan) pula berlaku sejak rantau ini dijajah oleh kuasa-kuasa Eropah. Misalnya penjajahan Belanda di Jawa berlaku selama 350 tahun. Oleh itu, berlaku penyerapan bahasa-bahasa Eropah ke dalam Bahasa Melayu.

Setelah merdeka, rantau Melayu Asia Tenggara telah cuba menonjolkan penggunaan Bahasa Melayu demi menyatukan jati diri rakyat dan mengejar kemajuan. Di Hindia Timur Belanda, berlaku peristiwa Sumpah Pemuda pada 1928 yang mengisytiharkan bangsa, bahasa dan tanah air yang bernama Indonesia. Sejak itu, bah perubahan pesat telah mengangkat Bahasa Indonesia sebagai bahasa penyatu (pemersatu).

Memandangkan rencamnya penduduk rumpun Melayu, terutama di Indonesia yang berbilang agama, maka Bahasa Indonesia digunakan dalam penyebaran ilmu, termasuk dalam penulisan kitab pelbagai agama. Akibatnya, istilah dari Al-Quran telah digunakan dalam kitab agama bukan Islam seperti kekata ‘Allah’ sebagai maksud Tuhan. Hal ini sudah lama menimbulkan rasa tidak senang bagi majoriti penduduk Muslim di rantau ini sehingga mengheret kepada perbicaraan di mahkamah seperti berlaku di Malaysia pada 1986.

Kini kekata serapan asing iaitu daripada Bahasa Inggeris kian mengisi wadah BM. Hal ini sudah dimaklumi kerana banyak sumber ilmu semasa berwahana Bahasa Inggeris. Namun dalam pada itu BM terus berkembang dari segi kosa katanya – kini sekitar setengah juta kekata – antara lain, ia hasil rekayasa (engineering) dan kesepakatan para bahasawan yang menyertai Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Yang wajar dapat disimpulkan bahawa BM akan tetap mekar dan bersifat wahana jagat atau media antarabangsa termasuk dalam penyebaran apa jua agama.

MENGENAI PENULIS:


Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan