Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bagaimana orang S'pura terjerumus menjadi anggota Jemaah Islamiyah?

"Di hati saya yang paling dalam, saya selalu berasa bersalah pernah menjadi bahagian dari kelompok pengganas Jemaah Islamiyah (JI). Saya tidak mahu ada lagi orang Singapura menjadi seperti saya." - penulis komentar ini yang pernah menjadi anggota JI.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bagaimana orang S'pura terjerumus menjadi anggota Jemaah Islamiyah?

Anggota polis dikerah dalam usaha memburu Mas Selamat pada 2008. (Gambar fail: TODAYonline)

BERITAmediacorp: Saya pernah tinggal di Singapura. Sampai hari ini pun, banyak saudara-mara saya yang masih tinggal di Singapura. Meskipun sudah lama tidak ke Singapura, saya masih fikir tentang laksa Singapura - masih "the best”.

Di hati saya yang paling dalam, saya selalu berasa bersalah pernah menjadi bahagian dari kelompok pengganas Jemaah Islamiyah (JI). Saya tidak mahu ada lagi orang Singapura menjadi seperti saya.

Ada rasa tanggungjawab bagi saya untuk mencegah, khususnya warga Singapura agar tidak mudah percaya dengan janji syurga para pengganas yang membawa nama agama. Hingga hari ini terus saja bermunculan baik itu lewat lembaga pendidikan, ceramah-ceramah agama baik offline ataupun online.

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Berdasarkan pengalaman, menjadi bahagian dari JI adalah sebuah proses panjang. Ironinya, rata-rata orang-orang Singapura ini, termasuk saya sendiri, awal kenal dengan JI kerana ingin belajar agama. Mula menjadi bahagian dari kumpulan, tidak pernah berfikir untuk melawan negara dan tidak pernah ada niat untuk membentuk negara baru atau menegakkan hukum Islam ataupun memperjuangkan negara Islam.

Tidak pula ikut dalam parti politik, tidak mahu memikirkan urusan politik dan tidak punya cita-cita untuk duduk di pemerintahan.

Hanya ingin berbuat baik untuk diri sendiri, keluarga dan umat Islam di Singapura. Jadi, tidak ada niat awal di antara kita ini ingin menjadi pengganas.

Jangankan membunuh orang; membunuh cicak saja di antara kita itu ada yang takut.

Jadi, bagaimana proses warga Singapura menjadi bahagian dari kelompok pengganas ini? Bukankah JI ini adalah kumpulan orang Indonesia? Ia didirikan oleh dua orang da'i warga Indonesia - Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Ba'asyir.

MEMBANTU MUSLIM DI INDONESIA

Kedua-dua ustaz Indonesia tersebut - Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Ba'asyir datang ke Malaysia pada awal 1985 dan tinggal di Negeri Sembilan. Mereka berceramah di berbagai tempat di Semenanjung Malaysia.

Abu Bakar Bashir meninggalkan penjara Gunung Sindur di Bogor di pinggir Jakarta selepas tamat menjalani hukuman penjara 15 tahun pada 8 Jan 2021. (Gambar: Aditya Aji / AFP)

(Abu Bakar Ba'asyir meninggalkan penjara Gunung Sindur di Bogor di pinggir Jakarta selepas tamat menjalani hukuman penjara 15 tahun pada 8 Jan 2021. Gambar: Aditya Aji / AFP)

Pangkal perubahan bermula sekitar tahun 1986 apabila mereka mula berceramah di Johor Bahru. Orang-orang dari jemaah Ahlul Sunnah Wal Jamaah di Johor Bahru mengajak teman-teman dan keluarga dari Singapura untuk ikut hadir di setiap ceramah kedua-dua ustaz tersebut.

Rasa takut melakukan pengganasan itu perlahan-perlahan hilang ketika kita belajar daripada orang-orang yang salah; mereka menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik.

Mereka ingin mendapatkan sokongan seluas-luasnya daripada sesiapa saja yang mengikuti ceramah mereka. Salah satu caranya adalah dengan menceritakan tentang keadaan umat Islam di Indonesia yang kononnya dizalimi oleh pemerintah Indonesia.

Gambar hiasan.

Cerita-cerita itu, apalagi jika dibumbui dengan bacaan fasih dalil-dalil dari Al-Quran dan juga hadis Nabi; membuat orang Singapura berasa terpanggil untuk membantu dan menjadi anggota jemaah pengajian. Setelah orang Singapura ini masuk dalam jemaah pengajian, mereka perlahan-perlahan diyakinkan bahawa salah satu cara membantu jemaah ini adalah siap melakukaan pengganasan yang diertikan sebagai bentuk pembelaan kepada Islam.

Jelas, yang mereka fahami itu adalah salah. Proses pembelokan pemahaman ini dapat berjalan dengan efektif jika ada sosok karismatik yang mampu mempengaruhi anggota pengajian.

JEMAAH ISLAMIYAH DAN AL-QAEDA

Hambali - pria asal Ciamis, Jawa Barat merupakan anggota kanan JI. Hari ini, Hambali berada di tahanan Guantanamo. Hambali pernah ke Afghanistan untuk latihan militer. Di sana, dia membangun hubungan peribadi dengan jaringan Al- Qaeda - terutama dengan Osama Bin Laden.

Ketua Detektif Polis Indonesia pada 21 Ogos 2003 memegang gambar dan maklumat mengenai Hambali yang dibuat oleh polis selepas letupan bom di Medan, Sumatera Utara, pada Disember 2000. (Gambar: ADEK BERRY/AFP)

(Ketua Detektif Polis Indonesia pada 21 Ogos 2003 memegang gambar dan maklumat mengenai Hambali yang dibuat oleh polis selepas letupan bom di Medan, Sumatera Utara, pada Disember 2000. Gambar: ADEK BERRY/AFP)

Ketika pulang ke Indonesia dari Afghanistan, Hambali mengajak anggota JI untuk melaksanakan seruan Osama Bin Laden yang diisytiharkan pada tahun 1999.

Dalam seruan itu, para anggota JI diminta melakukan operasi pembunuhan dan serangan terhadap orang Amerika dan sekutunya di mana saja.

Hambali menggerakkan anggota JI dan anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) untuk melakukan operasi Al-Qaeda.

Singapura dianggap sebagai sekutu Amerika yang akan menjadi sasaran operasi Al-Qaeda. Perencanaan dilakukan dengan mengumpulkan dokumentasi foto dan video tempat yang akan dijadikan sasaran serangan seperti Lapangan Terbang Changi, stesen MRT Johor dan lainnya. Ia akan diserahkan kepada Osama Bin Laden untuk mendapatkan persetujuan dan permohonan bajet.

Gambar-gambar yang diambil semasa pengintipan di Stesen PUB Woodlands, Kolam Air Bukit Panjang dan paip saluran air dan Hutan Simpanan Bukit Timah.

(Gambar-gambar yang diambil semasa pengintipan di Stesen PUB Woodlands, Kolam Air Bukit Panjang dan paip saluran air dan Hutan Simpanan Bukit Timah. Gambar: ISD)

Namun pada pertengahan tahun 2001, operasi Hambali di Malaysia gagal dengan tertangkapnya anggota KMM dan terbongkar gerakan JI di Malaysia.

Pihak polis Malaysia dan Singapura bekerjasama untuk membongkar gerakan JI di bandar Kabul, Afghanistan di mana tentera Amerika menemui di bandar Kabul sebuah kaset rakaman video tentang sasaran serangan di Singapura.

Selanjutnya anggota-anggota JI di Singapura dan Malaysia ditangkap. Ada yang sempat melarikan diri ke Indonesia.

IDEOLOGI JI YANG TIDAK MUDAH MATI

Gerakan JI di Singapura lumpuh menyusuli penangkapan yang bermula pada 2001.

Hambali ditangkap di Bangkok pada tahun 2003.

Anggota JI diberkas di Indonesia. (Gambar: AP)

(Anggota JI diberkas di Indonesia. Gambar: AP)

Namun ini bukan bererti ideologi JI telah mati. Apalagi hari ini, ideologi JI ini sudah disebarluaskan dalam buku seperti MTI - Materi Taklimat Islamiyah. Ia diajarkan di ratusan pesantren di Indonesia.

Tidak hanya itu, beberapa ideologi JI ini terus diguna pakai di Internet melalui laman web, YouTube dan media sosial. Ini bererti, ideologi JI terus hidup.

Baru-baru ini, pihak polis Indonesia membongkar jaringan JI yang berstruktur baru di Indonesia. Ketua JI (Amir JI) selalu berganti di kala ada amir JI yang ditangkap.

JI Indonesia masih mengirim orang ke kawasan konflik di Timur Tengah seperti di Iraq dan Syria. Ia juga masih ada kontak dengan kelompok pengganas di selatan Filipina. Dengan kemenangan Taliban di Afghanistan, orang-orang JI berasa mendapatkan suntikan semangat untuk terus memperjuangkan cita-cita mereka.

PERANAN MASYARAKAT

(Gambar hiasan: Rami Al-zayat/Unsplash) 

Dengan adanya Internet dan media sosial, ideologi JI boleh merentas sempadan dengan mudah dan cepat; mempengaruhi orang Islam yang kurang mengerti tentang diayah mereka.

Saya adalah antara orang yang sangat mengerti dengan tipu helah JI. Kita sebagai anggota masyarakat - ibu bapa, pendidik - harus sedar akan bahaya ideologi pengganas ini.

Saya gembira melihat Singapura aman dan makmur walaupun hanya melihat dari jauh.

MENGENAI PENULIS:

Nasir Abas adalah bekas Ketua Mantiqi 3 Jemaah Islamiyah.

Jemaah Islamiyah dibahagikan kepada empat wilayah atau mantiqi:

  • Mantiqi 1 - Singapura, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand
  • Mantiqi 2 - Indonesia (kebanyakan daerah)
  • Mantiqi 3 - Timur Indonesia (Sulawesi), Selatan Filipina dan Timur Malaysia (Sabah)
  • Mantiqi 4 - Papua, Indonesia dan Australia
Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan