Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Bagaimana ibu bapa boleh main peranan cegah keganasan remaja dalam era media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Bagaimana ibu bapa boleh main peranan cegah keganasan remaja dalam era media sosial

Tangkap Layar gambar rakaman video remaja perempuan bergaduh di tempat letak kereta

BERITAmediacorp: Rakaman video yang menunjukkan beberapa pelajar perempuan bergaduh menjadi tular di media sosial baru-baru ini. Namun keganasan remaja terbabit bukanlah sesuatu yang berlaku sekali saja. Hakikatnya ia berlaku dari semasa ke semasa. Lantaran itu, apakah peranan ibu bapa dan guru dalam mencegah keganasan dalam kalangan remaja?

Video yang dimuat naik menunjukkan seorang pelajar perempuan dibelasah dan ia membuat saya mengimbau kembali insiden-insiden yang kita semua lalui semasa di bangku sekolah: Pergaduhan main-main yang melibatkan tendakan atau perbuatan menarik pakaian seragam, hingga ke kegiatan “ragging” dan tindakan membuli emosi yang bertukar menjadi ganas.

Setiap kali kita menonton rakaman video yang menunjukkan seseorang menumbuk atau menendang orang lain, kita mungkin berasa terkejut.

Tingkah laku sedemikian adalah di luar jangkaan, lebih-lebih lagi apabila kita melihat betapa ganas atau memalukan perbuatan atau tingkah laku seumpama itu.

Dari semasa ke semasa, perbuatan sedemikian akan muncul. Pada Mei tahun lalu, 28 penuntut Politeknik Ngee Ann dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah kerana berkelakuan tidak senonoh.

Insiden yang dirakam dan menjadi tular itu melibatkan dua pelajar lelaki melutut sementara tiga pelajar lain bergilir-gilir membuang air kecil ke arah mereka.

Insiden itu menggemparkan para ibu bapa yang mungkin tidak menyangka sama sekali bahawa anak-anak kesayangan mereka mampu bertindak ganas sedemikian. Sekiranya mereka berdepan dengan kelakuan anak mereka sendiri, mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk menanganinya.

KEGANASAN BELIA DALAM ERA MEDIA SOSIAL

Ia adalah suatu perkara biasa untuk anak muda untuk merakam satu sama lain melakukan perkara tidak senonoh - seperti menendang tong sampah atau menampal nota di belakang seragam rakan sedarjah untuk menyakatnya. Kita perlu membezakan antara perbuatan-perbuatan nakal yang sebahagian besarnya tidak berbahaya dengan perbuatan-perbuatan yang lebih berbahaya.

Walaupun kita harus membiarkan pihak sekolah untuk menangani dan menguruskan situasi, kes melibatkan remaja-remaja perempuan tersebut nampaknya bukan pertemuan yang bersifat bergurau senda di pekarangan sekolah.

Terdapat nuansa halus dalam video itu yang menggambarkan kekejaman dan memburukkan lagi penghinaan terhadap mangsa kerana apa yang berlaku dalam video tersebut amat jelas dan boleh dilihat oleh semua yang menyaksikannya, terutama sekali apabila ia disebarkan dan menjadi tular.

Malangnya, bagi setiap rakaman video perbuatan membuli yang disebarkan, kita melihat banyak lagi video yang dikongsikan secara senyap-senyap, menjadikannya sukar untuk mendapatkan gambaran betapa serius isu buli di sini.

Jadi, sejauh manakah berleluasanya isu membuli ini?

Menurut kenyataan Menteri Negara Pendidikan Sun Xueling pada Mei 2021, ada dua insiden buli dalam setiap seribu murid sekolah rendah dan lima insiden buli dalam setiap seribu pelajar sekolah menengah.

Tindakan ganas dan agresif biasanya tidak berlaku sekelip mata. Tingkah laku sedemikian bertambah buruk secara bertahap-tahap dan ia semakin menebal berkali-kali melakukannya.

Hakikat itu juga benar bagi perbuatan merakam adegan-adegan bergurau senda, seperti menyakat atau mengusik seorang rakan sedarjah untuk menakut-nakutkannya, yang kemudian akan meningkat kepada tindakan yang lebih berunsur kebencian seperti menuang air ke dalam beg sekolah atau mencuri kerja rumah dan membiarkan mangsa menanggung padahnya.

Perhatian yang diterima boleh dianggap sebagai sesuatu ganjaran sebaik saja video-video yang bertujuan untuk menghina mangsa menjadi tular atau menerima banyak komen.

Pakar psikologi B F Skinner menyifatkannya sebagai 'peneguhan positif'. Beliau berkata sebarang tingkah laku yang diberi ganjaran adalah digalakkan dan diulang.

Ia mungkin bermula dengan perbuatan menyakat atau mengusik, diikuti dengan ugutan dalam insiden-insiden menghina secara lisan, kelakuan tidak senonoh, atau kelakuan kasar secara beramai-ramai terhadap seorang mangsa. Penyerangnya mungkin tidak menganggap perbuatannya sebagai ganas dan sebaliknya menganggapnya sebagai sesuatu yang menyeronokkan atau “cool”.

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Wajah mangsa yang terkejut atau ketakutan, kedudukan seolah-olah lebih berkuasa daripada mangsa, dan hakikat bahawa seseorang itu mungkin dapat mengelak hukuman selepas melakukan tindakan-tindakan sedemikian boleh mewujudkan satu lingkaran ganas.

Individu berkenaan lambat laun mungkin akan menguji sejauh mana dia boleh terus bertindak agresif tanpa menanggung padahnya. Tidak lama kemudian, keganasan itu akan menjadi suatu kebiasaan, dan ia akan memberanikan pelaku untuk bertindak lebih agresif lagi.

Menurut pakar-pakar sosiologi Gresham Sykes dan David Matza, golongan remaja menggunakan lima teknik sebagai alasan di sebalik perbuatan salah mahupun keganasan: Menolak tanggungjawab (semua orang bersetuju dengannya), menafikan sebarang kecederaan (ia hanya sesuatu yang menyeronokkan dan tidak mendatangkan bahaya), menafikan kedudukan mangsa (merendahkan maruah mangsa dengan menyatakan mengapa mangsa harus dilayan sedemikian rupa. Atau mendakwa mangsa rela diperlakukan sedemikian), kesetiaan kepada sesebuah kumpulan atau pemimpin mereka, dan akhir sekali "mengecam mereka yang mengecam" (menunjukkan kepura-puraan atau kelemahan mereka yang hanya tahu mengkritik perbuatan mereka saja).

Gambar Hiasan

MEMBANTU BELIA YANG BERKELAKUAN GANAS

Apakah yang boleh dilakukan untuk mencegah tingkah laku sedemikian?

Saya berpendapat pencegahan tingkah laku sedemikian mesti bermula di rumah.

Ia mungkin bermula dengan ibu bapa mengakui bahawa anak-anak mereka mungkin mempunyai kehidupan yang jauh berbeza di luar pangkuan keluarga.

Mereka mungkin menunjukkan senyuman manis di rumah, tetapi dalam persekitaran sosial lain, mereka menunjukkan keperibadian yang amat berbeza sekali. Para belia mempunyai bilangan identiti dan sebagai warga digital, mereka cenderung mempunyai kehidupan berbeza di luar halaman rumah.

Para guru boleh menjadi rakan yang boleh menawarkan sudut pandangan yang berbeza tentang prestasi anak remaja dan pendapat mereka wajar diambil kira dan diberikan perhatian.

Mereka mesti diberikan kepercayaan untuk melaporkan tanda-tanda awal dan menarik perhatian ibu bapa sekiranya perbuatan-perbuatan kecil mula menunjukkan corak tingkah laku yang perlu ditangani.

Intervensi yang tepat pada masanya boleh membantu menghuraikan masalah pada peringkat awal sebelum seseorang anak remaja itu semakin hanyut.

Namun, adakah anak-anak kita akan mendengar kata? Ia benar-benar bergantung kepada cara ibu bapa menangani keadaan. Robert Havighurst dalam bukunya, 'Human Development and Education' mengusulkan konsep "detik yang boleh diajar" ketika anak-anak mungkin lebih cenderung mendengar kata.

Seorang kanak-kanak cenderung menunjukkan kemarahan dengan menolak, menendang atau menumbuk.

Apa yang mampu dilakukan oleh ibu bapa pada ketika itu adalah untuk menjaga keselamatan mereka dan orang-orang di sekeliling mereka, memindahkan mereka atau mengurung mereka sehingga mereka 'kehabisan tenaga'. Tidak banyak "pengajaran" tentang tingkah laku dapat ditimba dalam situasi sedemikian.

Namun nantikan peluang untuk menjelaskan mengapa tingkah laku sedemikian adalah salah. Mungkin babak-babak filem yang menunjukkan tingkah laku mencederakan seseorang atau kanak-kanak yang berkelakuan sedemikian boleh dijadikan sebagai pengajaran yang baik - dan ibu bapa harus melakukannya jauh dari pandangan orang luar supaya anak kita tidak berasa malu.

Lazimnya, keburukan tingkah laku mereka hanya disedari dari perspektif orang luar. Ini memerlukan usaha dan kesabaran.

Ibu bapa mesti campur tangan sekiranya terdapat tanda-tanda awal masalah keganasan dan tidak menganggapnya sekadar insiden sekali saja. Perbincangan pada masa yang tepat untuk cuba memahami mengapa mereka memilih untuk bertindak sedemikian rupa dari sudut pandangan mangsa boleh menjadi suatu titik tolak.

Di sekolah, idea itu boleh disesuaikan untuk mendidik remaja yang mungkin menganggap perbuatan membuli dan keganasan sebagai tingkah laku yang boleh diterima dan sekadar sesuatu yang menyeronokkan. Mereka perlu diingatkan bahawa perbuatan membuli atau menghina adalah "keganasan".

Pakar sosiologi Johan Galtung menawarkan pemahaman yang lebih luas tentang bentuk keganasan yang merangkumi intimidasi (menakut-nakutkan), diskriminasi dan penghinaan.

Ketika menghubungi ibu bapa, adalah penting bagi guru-guru untuk mereka tidak mengelak daripada memperkecilkan syak wasangka mereka dan menganggap pergaduhan sebagai perbuatan nakal semata-mata yang tidak wajar dikenakan sebarang tindakan yang dianggap keterlaluan. Ada juga yang takut jika mendisiplinkan anak-anak mereka akan menyebabkan hubungan mereka dengan anak-anak semakin renggang.

Atau bertindak keterlaluan sehingga tidak lagi dapat mengawal kemarahan mereka dan menyebabkan anak-anak berasa semakin terpinggir.

(Gambar: iStock)

TANGANI SIKAP NAKAL MENERUSI PERBINCANGAN

Untuk menentang pengaruh sedemikian, terdapat banyak sumber pengaruh baik yang boleh membantu untuk melenturkan sikap dan nilai pegangan seseorang remaja - melalui seseorang yang mereka percaya dan hormati tetapi yang turut menggalak nilai-nilai positif. Ini boleh didatangkan dalam bentuk rakan sebaya, teman atau mana-mana orang dewasa yang dihormati dan disegani oleh seseorang pelajar.

Kecelikan media juga perlu menangani semua bentuk keganasan – kata-kata dan perbuatan baik secara fizikal mahupun emosi. Saya berharap peristiwa-peristiwa yang berlaku baru-baru ini dapat dijadikan pengajaran tentang perbincangan yang boleh diadakan oleh ibu bapa dan guru dengan pelajar untuk menerangkan bagaimana membuli dan merakam perbuatan yang menghina atau menjatuhkan maruah seseorang juga merupakan satu tindakan ganas atau keganasan.

Gambar: Sumber Web

MENGENAI PENULIS:
Dr Omer Ali Saifudeen adalah pakar sosiologi dan Pensyarah Kanan, Program Keselamatan Awam di Sekolah Ilmu Kemanusiaan dan Sains Tingkah Laku, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Sumber : BERITA Mediacorp//fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa