Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Badan-badan Melayu/Islam berperanan persiap pekerja Melayu kekal relevan

Amanat Hari Buruh baru-baru ini memperingatkan lagi tentang peri pentingnya pekerja warga Singapura untuk mengambil berat mengenai latihan dan latihan semula.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Badan-badan Melayu/Islam berperanan persiap pekerja Melayu kekal relevan

Encik Ramli Puteh pernah berkhidmat sebagai pemimpin gerakan buruh nasional. (Gambar: Ramli Puteh)

Diterbitkan : 06 May 2018 10:24PM Dikemas Kini : 07 May 2018 03:59PM

BERITAMediacorp: Dalam amanat Hari Buruhnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyeru para pekerja supaya menitikberatkan latihan dan latihan semula. Para pekerja Melayu khususnya, perlu terus menajamkan kemahiran di tengah-tengah gangguan teknologi yang merubah pekerjaan dan landskap ekonomi global. Aktivis masyarakat, Encik Ramli Puteh mengajak pekerja Melayu menyahut seruan untuk menjalani latihan dan latihan semula supaya terus kekal relevan dalam mengharungi cabaran ekonomi baru.

Related article image
Gambar fail sektor pengilangan di Singapura. (Gambar: TODAY)

AMANAT Hari Buruh tempoh hari memperingatkan lagi tentang peri pentingnya pekerja warga Singapura untuk mengambil berat mengenai latihan dan latihan semula.

Berlatarbelakangkan perubahan ekonomi dan peralihan teknologi, latihan dan latihan semula menjadi tunggak tema penting bagi Singapura mengharungi perubahan dunia. Kepentingannya sangat dirasai.

Dalam masa yang singkat, dunia teknologi membangun pantas, membuka banyak peluang, mereka pasaran-pasaran baru serta membawa pertumbuhan ekonomi yang berbeza-beza.

Pengaruh Inovasi seperti kecerdasan tiruan (AI) dan automasi menyebabkan sesetengah pekerjaan tidak lagi diperlukan dan relevan. Ia juga berupaya mengubah tahap kemahiran yang diperlukan bagi sesetengah bidang pekerjaan.

Dalam banyak situasi, pekerjaan yang dulunya dilakukan oleh manusia kini telah diganti oleh mesin.

MESEJ UTAMA

Cabaran ini menjadi mesej utama dalam Rapat Hari Buruh Selasa lalu. Dalam mesejnya, Setiausaha Agung NTUC, Encik Chan Chun Sing, menekankan mandat Gerakan Buruh untuk kekal relevan, melatih dan melatih semula kemahiran para pekerja Singapura.

Related article image
Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing di acara tahunan jamuan tengah hari EuroCham. (Gambar: Tang See Kit)

Gambar-gambar fail. 

Beliau juga mengumumkan tentang Dana Pendidikan dan Latihan NTUC bernilai $200 juta. Dana ini dalam bentuk subsidi bagi model latihan baru akan diperkenalkan bagi menyokong latihan kemahiran khusus untuk anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan NTUC. Langkah ini adalah satu lagi suntikan semangat bagi para pekerja.

Ia diharap akan merangsang lebih ramai anggota kesatuan mengikuti kursus latihan mempertingkatkan diri, menyahut cabaran mempersiapkan diri bagi menghadapi tuntutan perubahan untuk kekal relevan dan berdaya saing.

SERUAN PERLU DISAHUT

Gesaan tersebut juga relevan dan perlu disahut oleh anggota masyarakat Melayu/Islam. Rasionalnya adalah tahap kemahiran dalam bidang khusus yang dimiliki oleh pekerja Melayu/Islam masih jauh ketinggalan berbanding dengan komuniti lain.

Related article image
Dr Yaacob Ibrahim di majlis penyampaian dermasiswa antara Mendaki SENSE dan syarikat Absolute Kinetics Consultancy (AKC) pada 30 Oktober 2015. (Gambar: Nurul Khasanah Agost)

Salah satu ukurannya adalah dari segi penglibatan pekerja Melayu/Islam dalam program peningkatan kemahiran diri.

Berpandukan pada penglibatan pada SkillsFuture Credit sejak diperkenalkan dua tahun lalu, lebih dari 285,000 warga Singapura telah meraih faedah dari SkillsFuture Credit. Namun, hanya segelintir peratusan kecil 8.4 peratusa pekerja Melayu/Islam mengikuti tersebut.

Peratusan ini adalah lebih rendah dari peratusan nasional. Ia bagai ‘tip of the iceberg’ dengan sebahagian besar pekerja Melayu/Islam masih belum lagi memanfaatkan dana ini.

Profil pekerja Melayu/Islam yang mengikuti program SkillsFuture Credits sebahagian besar mengikuti program pemahaman komputer asas saperti ICDL, program kulinari membuat kek, dan kemahiran asas pekerjaan.

MENELAN PIL PAHIT

Kurangnya penglibatan pekerja Melayu/Islam mengikuti kursus dalam bidang latihan teknikal, antaranya adalah: kepada individu, kursus latihan dan latihan semula bersifat teknikal perlukan masa, pengorbanan dan komitmen yang lebih tinggi. Ia lebih payah. Laksana ‘pahit dahulu, manis kemudian’. Kekadang pekerja Melayu/Islam perlu menelan pil pahit demi untuk baik pulihkan kesegaran diri.

Related article image
Para peserta program E.L.L.Y@SENSE. (Gambar: BERITAMediacorp)

Fahaman budaya dan minda berupaya menjadi penghadang bagi individu untuk terus maju. Kekadang ‘minda’ pekerja kita dihalangi oleh pemikiran sempit bak ‘katak dalam tempurung’. Dengan percampuran sosial yang terhad, ramai pekerja Melayu/Islam tidak sedar dan tidak dapat melihat perubahan pesat yang berlaku di sekitaran. Ia mengingatkan kita tentang mitos Inggeris mengenai ‘katak rebus’.

Sebaliknya, individu perlu punyai keinginan yang gigih laksana ‘berguru ke padang datar, dapat rusa belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi’. Ertinya, komitmen bersungguh-sungguh agar tidak tersandung di tengah jalan. Walaupun susah pada awalnya, namun dengan berkat kesungguhan laksana ‘berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian’, usaha individu tersebut akan capai destinasi terakhirnya.

KURANG ‘PEMAIN’ DALAM MASYARAKAT

Bagi badan-badan Melayu/Islam, antara situasi kurang rancak disebabkan beberapa perkara. Antaranya, kurangnya ‘pemain’ di kalangan badan Melayu/Islam dalam bidang ini. Bilangan mereka boleh dihitung dengan jari.

Related article image
Gambar fail seminar SME Bijak anjuran Pusat SME Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS). (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Di kalangan segelintir badan-badan itu pula yang memainkan langkah memadankan peluang pekerjaan, dengan fokus mereka lebih tertumpu pada pekerjaan berkemahiran rendah antaranya pegawai keselamatan, pekerja pembersihan, pekerja perkilangan dan penjagaan kesihatan. Yakni, pekerjaan-pekerjaan yang akan pupus kerana tidak relevan disebabkan oleh arus perubahan dan pembaharuan ekoran gangguan digital baru.

Pengendalian kes-kes sebegini oleh badan Melayu/Islam memerlukan modal pendahuluan yang tinggi. Selain dari itu, ia tidak menghasilkan ‘pulangan’ bersifat material yang setimpal dengan usaha. Tak berbaloi. Terutama badan-badan yang baru ingin berjinak-jinak dalam usaha ini.

KURANG SUMBER DAN KEPAKARAN

Badan-badan baru perlu memperuntukkan sumber kewangan, sumber kepakaran spesifik seperti kaunselor perunding pekerjaan, pakar motivasi, infrastruktur untuk latihan dan kaunseling serta merangsang pekerja yang kehilangan pekerjaan. Begitu juga dengan penggunaan sistem pengolahan data, sistem maklumat untuk bantu pekerja mencari kursus yang relevan serta memperoleh skim-skim bantuan yang bersesuaian.

Sesetengah badan yang peka dan berminat untuk mainkan peranan ini, terhalang kerana keperluan kos penyelenggaraan yang agak tinggi. Hanya segelintir sahaja, di antaranya yang mampu berbuat sedemikian. Antaranya, Yayasan Mendaki, AMP, anak syarikat Yayasan Mendaki iaitu Mendaki Sense.

Related article image

Badan-badan ini punya kantong yang besar dengan sumber kewangan menerusi pendermaan dan geran dari agensi pemerintah dan bukan pemerintah.

PERANAN PEMERINTAH DAN BADAN INDUK

Pemerintah atau badan induk Melayu/Islam boleh bantu beri bantuan dana dan kepakaran pada badan-badan lain untuk bersama-sama berkecimpung dalam bidang ini. Dengan lebih ramai lagi pemain, ia dapat pertingkat kesedaran, pengolahan yang berkesan dan demi mendapat hasil yang lebih memberangsangkan.

Related article image
Para pekerja di sebuah pusat pengilangan makanan di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Dengan pengurusan yang teliti, satu sistem jaringan dan rangkaian dapat diusahakan, perkongsian maklumat boleh menyegerakan keputusan yang mantap dan lebih menyeluruh. Sistem pengolahan maklumat yang lebih menyeluruh boleh memudahkan proses pencarian kursus, pekerjaan dan skim bantuan yang boleh diikhtiarkan secara kelompok dan bersama.

Agensi pemerintah boleh turut tambah segarkan usaha masyarakat Melayu/Islam dengan menyalur sumber kewangan dan bukan kewangan kepada badan bantu Melayu/Islam. Dana Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) boleh gandakan peruntukan modal kewangan dan modal kepakaran kepada badan-badan Melayu/Islam.

PELANGI SELEPAS HUJAN

Dengan kerjasama dan gandingan badan Melayu/Islam, lebih ramai pembimbing (mentor) yang mencukupi boleh diusahakan untuk mendampingi anggota masyarakat yang muda. Isu-isu besar dan rumit seperti seperti diskriminasi oleh para majikan dapat ditangani dengan lebih bijak.

Related article image
Gambar: WOO YIMING/REUTERS

Di sebalik titik-titik hitam ini, kelihatan ada pelangi selepas hujan. Sebelum menamatkan khidmat selaku Pengerusi Yayasan Mendaki, Dr Yaacob Ibrahim mendedahkan bahawa Mendaki sudahpun mengumpulkan pelbagai skim pembiayaan dan geran untuk membantu badan-badan Melayu/Islam dalam projek pendigitalan ini.

Harapan hari muka untuk menggalak pekerja Melayu/Islam melalui latihan dan latihan semula agar terus kekal relevan, kelihatannya cerah.

MENGENAI PENULIS:
Penulis adalah seorang aktivis sosial yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan di peringkat akar umbi dan badan-badan amal Melayu/Islam. Penulis juga seorang pemimpin masyarakat yang pernah berkhidmat dalam gerakan buruh setempat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita