Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Aspirasi penyewa flat sewa untuk memiliki rumah sendiri perlu disokong dan diberi dorongan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sepanjang hampir dua tahun saya berkhidmat di Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan juga selama bertahun-tahun sebagai seorang Anggota Parlimen, saya berpeluang bertemu dengan ramai keluarga, termasuk mereka yang menetap di flat-flat sewa.

Keluarga-keluarga ini berkongsi impian dan aspirasi yang sama dengan keluarga-keluarga yang tidak menetap di flat-flat sewa iaitu untuk menyara keluarga dan memberikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak mereka.

Mereka juga sedang berusaha gigih untuk merealisasikannya.

Dalam kehidupan, kita semua menghadapi cabaran dan halangan, ada yang lebih sengit daripada yang lain.

Bagi mereka yang berpendapatan rendah atau lebih mudah terdedah, menyediakan tempat tinggal adalah langkah pertama yang penting untuk membantu mereka.

Dengan ruang yang selamat untuk pulang ke rumah, keluarga dan individu boleh mendapat ketenangan fikiran dan juga asas di mana mereka boleh menstabilkan dan memikirkan semula kedudukan dan masa depan mereka. Itulah sebabnya mengapa kami menyediakan subsidi yang tinggi dan rumah sewa bagi mereka yang benar-benar memerlukan sokongan tersebut.

Tetapi kami melakukan lebih daripada sekadar menyediakan perlindungan.

Kami ingin membantu para penyewa dan keluarga-keluarga ini mengatasi cabaran mereka, di samping memperoleh sifat berdikari dan mengecapi mobiliti sosial.

Flat Sewa Dilengkapi Dengan Sistem Sokongan Sosial

Dengan mengambil kira objektif ini, flat-flat sewa kami menyediakan rumah yang dilengkapi dengan sistem sokongan sosial.

Sebagai contoh, di bawah Community Link atau ComLink, iaitu sebuah projek utama yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), para pegawai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan bekerja rapat dengan rakan-rakan sejawatan mereka daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan agensi-agensi relevan yang lain untuk menyokong keluarga dengan anak-anak yang menetap di flat-flat sewa.

Para pegawai dan relawan secara proaktif mendekati keluarga-keluarga ini untuk memahami cabaran dan aspirasi mereka.

Ini di samping memberikan sokongan kukuh melalui pendampingan dan perancangan tindakan dan bekerjasama dengan pelbagai rakan masyarakat untuk menawarkan program-program dan khidmat-khidmat yang memenuhi keperluan mereka.

Kami ingin menunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak bersendirian.

Agensi-agensi pemerintah dan rakan-rakan masyarakat akan sentiasa menyokong mereka, selain bekerja rapat dengan mereka untuk mencapai matlamat bagi meraih kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan keluarga mereka.

Membantu Keluarga Mengorak Langkah Memiliki Rumah Mereka Sendiri

Apabila keluarga mencapai kestabilan dan bersedia untuk membeli flat, mereka juga akan menerima bantuan yang mereka perlukan.

Ramai keluarga yang saya temui berkongsi harapan mereka untuk memiliki rumah mereka sendiri. Kami memahami harapan mereka dan akan cuba sedaya upaya untuk menyokong mereka.

Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah HDB (HST) ditubuhkan dua tahun lalu bagi membimbing keluarga yang menetap di flat sewa dalam perjalanan mereka untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Bagi keluarga-keluarga yang belum bersedia untuk membeli rumah mereka sendiri, para pegawai HST akan membantu mereka merancang dan mengatur belanjawan untuk membeli rumah mereka sendiri.

Bagi mereka yang sudah bersedia untuk membeli flat mereka sendiri, para pegawai HST akan membimbing mereka selangkah demi selangkah melalui proses-proses memohon flat, mendapatkan geran dan pinjaman perumahan; merangka perbelanjaan dan akhir sekali untuk mengambil kunci dan membuat persiapan untuk menetap di rumah baru mereka.

Ramai keluarga telah berkongsi dengan saya penghargaan mereka atas sokongan daripada para pegawai HST.

Penyewa Digalak Supaya Memanfaatkan Skim Perumahan Permulaan Baru

Seperti semua pemilik rumah yang beraspirasi, keluarga-keluarga yang menetap di flat-flat sewa juga boleh mendapat manfaat daripada geran perumahan pemerintah yang murah hati apabila mereka membeli flat.

Selain itu, mereka juga boleh mendapat manfaat daripada keutamaan yang diberikan di bawah Skim Keutamaan Penyewa.

Bagi keluarga flat sewa kali kedua dengan kanak-kanak khususnya, kami telah memperkenalkan Skim Perumahan Permulaan Baru pada 2016 untuk membantu keluarga-keluarga sedemikian memiliki rumah semula.

Seperti yang telah dikongsikan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong, kami akan mempertingkatkan skim tersebut pada tahun ini.

Saya berharap penambahbaikan ini akan membantu dan menggalak lebih ramai keluarga berusaha ke arah matlamat untuk memiliki rumah mereka sendiri.

Usaha kami semakin membuahkan hasil dan kita dapat menyaksikan jumlah keluarga yang dulu menetap di flat sewa kini semakin ramai sudah berjaya memiliki rumah mereka sendiri.

Pemerintah dan masyarakat akan terus menyokong dan melengkapkan usaha keluarga-keluarga ini, sedang mereka berusaha ke arah membina kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka dan anak-anak mereka.

MENGENAI PENULIS:
 

Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim adalah Menteri Negara, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa