Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Asal Nama Si Anak Melayu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sehingga kini masih terdapat pelbagai sumber nama bagi orang Melayu – dari alam, bahasa Sanskerta, bahasa Arab dan bahkan juga bahasa Inggeris/Eropah.

Adakah evolusi ini mencerminkan tamadun orang Melayu? Pasti ada erti tertentu pada nama seseorang?

Mutakhir ini, kian ramai ibu bapa muda Melayu di Singapura memberikan nama bayi mereka selepas merujuk kepada asatizah, ibu bapa/datuk nenek, buku mengenai pilihan nama, internet atau ikut hikmah sendiri.

Lazimnya ada ‘upacara’ di rumah atau masjid untuk menamakan bayi yang dipanggil ‘tahnik’ (memberikan setitis air zamzam dan madu/kurma) yang dicalitkan pada bibir bayi oleh datuk atau ustaz yang mendoakan agar nama bayi tadi membawa tuah iaitu menjadi anak soleh atau insan berguna.

Tahnik menurut sunnah Nabi Muhammad saw. Ia sebagai ganti istiadat silam yang dipanggil ‘belah mulut’ iaitu membuka mulut bayi dengan manisan agar fasih bertutur dan bijak.

(Gambar: iStock)

PERLU SERASI

Rumpun Melayu yakin peri pentingnya ‘nama’ yang sesuai. Antara lain, ia terpapar pada makna perbilangan (sejenis peribahasa dari kaum Minang):

Gajah mati meninggalkan tulang,
harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama.

Umumnya, takrif ‘nama’ ialah panggilan yang diberikan kepada orang, barang, tempat dan sebagainya. Menurut Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (1924-2016), lazimnya nama orang mestilah dipilih dengan hati-hati agar serasi (sesuai lagi seimbang) kerana nama mencerminkan ‘keberhasilan’ seorang insan, keluarga dan masyarakatnya.

Erti ‘keberhasilan’ ialah cara berfikir dan bertindak insan yang matang dan membawa manfaat pada masa akan datang.

DARI ANIMISME KE ISLAM

Menurut Prof Hamka dalam bukunya, Sejarah Umat Islam, rumpun Melayu silam dikatakan pada mulanya menganut fahaman animisme iaitu kepercayaan terhadap roh dan pemujaan alam semula jadi. Oleh itu, lazimnya mereka memilih nama anak berpandukan alam sekitar.

Antara nama anak lelaki ialah Jalak (berani), Lenteng (indah), Komeng (kecil), Awang (sulong atau tinggi) dan sebagainya.
 
(Gambar: iStock)


Nama anak perempuan pula lazimnya bernilai ‘lemah lembut’ seperti Nila (buah nila yang berwarna ungu), Bulan sehingga nama bunga seperti Kenanga, Melati, Melur, Cempaka dan sebagainya.

Ada kepercayaan lama bahawa nama anak yang indah dan sedap disebut digemari roh jahat (hantu jembalang). Andai si anak sering sakit, maka ibu bapa dahulu bubuhkan nama hodoh sebagai namanya atau diberikan nama timangan pada anaknya seperti Lembik, Labuh, Busuk, Buruk, Buang dan sebagainya. Amalan ini masih berlaku sehingga 1950-an di Singapura.

Penyebaran agama Hindu dan Buddha sekitar abad ke-4 Masihi mengalir menerusi bahasa Sanskerta. Nama orang Melayu, terutama kerabat diraja dan bangsawan, turut berubah. Maka muncullah nama yang tercatat dalam kitab Sulalatus Salatin (@Sejarah Melayu) seperti Sri Tribuana (tokoh hebat tiga buana iaitu langit, laut dan darat), Sang Nila Utama, Sang Rajuna Tapa dan sebagainya.

Adakalanya nama asal Sanskerta ini digabungkan dengan nama asli Melayu misalnya Dewi Melati (perempuan) dan Awang Satria (lelaki). Pengaruh agama Hindu dan Buddha agak lama di rantau ini – terpapar pada peninggalan candi di Lembah Bujang Kedah sehinggalah Borubudur di Jawa. Ini berlaku sekitar seribu tahun sehingga abad ketujuh Masihi apabila Islam mula tersebar menerusi jalan perdagangan dan dakwah.

Penyebaran Islam dari Semenanjung Arab, khususnya Yaman, menerusi jalan laut ke rantau ini dipercayai berlaku seawal abad ke-7 Masihi. Terdapat catatan silam bahawa para pedagang Arab telah mengenali rantau ini seperti Kelah (Kedah) 200 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad (571 Masihi).

DARI NAMA ILAHI KE TOKOH

Pilihan nama menurut Islam ternyata begitu luas yang antara lain meliputi Nama Indah Allah tetapi perlu dibubuh kekata ‘Abdul’ (hamba) seperti Abdul Rahman sehingga Abdul Wahab.

Nama para nabi juga sering digunakan oleh orang Islam terutama nama Nabi Muhammad s.a.w . Ini diikuti dengan nama-nama para Sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali (empat khalifah termulia), para isteri Rasulullah dan pejuang Islam juga dipakai oleh umat Islam sehingga nama wali seperti Rabiatul Adawiyah. Nama isteri Rasulullah iaitu Khadijah, Aisyah, Saudah, Zainab, Safiah dan Maimunah sering digunakan untuk nama perempuan Melayu.

Ada pula orang Melayu yang menamakan anak sempena hari kelahiran iaitu Ahad, Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu tetapi jarang dipilih Selasa. Begitu juga nama-nama bulan Islam seperti Muharram, Safar, Rejab, Syaaban dan Syawal juga terpapar pada nama orang Melayu.

Nama para tokoh Islam termasuk ulama juga diambil oleh ibu bapa Melayu untuk menamakan anak mereka – antara yang popular ialah Hamka (Hj Abdul Malek Karim Amrullah, 1908-1981).

Memberi nama memerlukan ilmu yang dikaitkan dengan waktu lahir atau tarikh.

(Gambar: Unsplash)



Pernah orang Melayu menggunakan khidmat ‘pawang rasik’ dalam mencari nama sesuai untuk anak mereka sehinggalah dalam menentukan jodoh. Amalan ini telah pudar akibat kesedaran mengenai ajaran Islam.

Dalam zaman berkeluarga besar iaitu bagi pasangan yang mempunyai anak hingga berbelas orang, sering amalan memberikan nama anak tidak diambil berat. Akibatnya dalam sesebuah kampung, mungkin ada sebilangan orang yang senama misalnya, Ahmad. Untuk membezakan Ahmad yang mana, maka timbullah gelar seperti ‘Ahmad Tinggi’ (kerana tubuhnya tinggi) sehingga Ahmad Stokin (kebetulan nama pelawak Singapura).

TREND NAMA

Mutakhir jarang sekali ibu bapa muda memberikan bayi mereka dengan nama lazim seperti Salma, Zawiyah, Yusuf, Salim dan sebagainya. Seorang guru sekolah rendah pernah memberitahu saya sejumlah nama muridnya yang susah disebut dan terkadang ejaannya juga amat mengelirukan dan adakalanya ‘berjela’ kerana menampung sehingga empat perkataan seperti Muhammad Hadi Luqman Hakim bin ......!

(Gambar: iStock)


Pernah seorang kenalan memberitahu dengan senyum panjang akan erti nama anaknya adalah sedutan suku kata daripada namanya sendiri dengan nama isterinya. Hal ini memang suatu trend sehingga hari ini. Misalnya, si bapa bernama Ismail dan ibunya Farah, maka nama puteri mereka ialah Mairah yang menimbulkan tanda tanya tentang maknanya. Seeloknya si puteri dinamakan ‘Maisarah’ yang bererti ‘ketenangan’ dalam bahasa Arab.

Hakikatnya, kalangan ibu bapa Melayu yang muda kurang prihatin akan seruan Rasulullah agar menamakan anak dengan nama yang baik maknanya kerana nama itu akan dipanggil di akhirat kelak.

Dalam pada itu, nama-nama lama sudah dilupakan langsung kecuali beberapa perkataan yang enak disebut seperti Adi, Ayu dan Maya. Ini mungkin pengaruh penyejagatan atau globalisasi yang mendorong kalangan muda-mudi Melayu berbangga dengan panggilan “Ray”, “Bob”, “Danny”, “Rudy” atau “Jef”.

Yang perempuan pula tersengih ketika disapa “Ruby” (mungkin namanya Rubiah), “Kate’ (mungkin namanya Khadijah atau Khatijah) atau “Marie” (Mariam?). Tetapi ada juga nama ala Barat ini dianggap ‘pasport’ untuk melindungi identiti Melayu agar mudah berurusan dengan kaum lain.
 
(Gambar: iStock)

Menggunakan nama ‘samaran’ atau nama glamor bukanlah perkara baru bagi rumpun Melayu sejak zaman hiburan moden (muzik dan filem). P Ramlee (1929-1973), tokoh besar perfileman dan muzik Melayu, sebenarnya bernama Teuke Nyak Zakaria bin Teuke Nyak Puteh. Dikatakan P Ramlee “menghadiahkan” nama-nama seni untuk sebilangan seniman/seniwati termasuklah Neng Yatimah (aktres ‘air mata’ yang nama asalnya Bulat) dan juga isteri ketiganya, Saloma (Salmah Ismail, 1935-1983).

Demi memburu nilai komersial, biasanya artis memilih nama yang mudah lagi memikat peminat. Segelintir saja yang menggunakan nama asal seperti Rahimah Rahim, Siti Nurhaliza, Fauziah Ahmad Daud dan Ramli Sarip.

Di Indonesia, sering terdapat nama tunggal sejak zaman Presiden pertamanya, Sukarno (Koesno Sosrodihardjo, 1901-1970).

Adakah trend ini akan berlaku di Singapura pula?

Hakikatnya orang Melayu hanya menggunakan nama berbin/berbinti (anak lelaki kepada atau anak perempuan kepada) ayah mereka. Sebenarnya, memiliki nama kabilah atau marga seperti orang Arab atau Cina adalah lebih terasa ‘lengkap’ kerana memelihara salasilah atau zuriat.

Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)



 

MENGENAI PENULIS:
Mohd Raman Daud adalah mantan wartawan kanan Berita Harian, penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), ahli pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura, ahli seumur hidup Angkatan Sasterawan ’50 dan penyunting sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, ‘NILAM’, pengarang dan aktivis masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan