Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ariff Nan Pendeta - 100 Tahun Hayat Bakti Muhammad Ariff Ahmad

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Ariff Nan Pendeta - 100 Tahun Hayat Bakti Muhammad Ariff Ahmad

Allahyarham Dr Hj Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: NAC)

SINGAPURA:

Tulisan pendeta bukan sembarangan
Diriwayatkan ketua dan rakyat jelataan
Barang lama bersama kenangan
Dari warisan terolahlah harapan


Tahun ini kita meraikan dan mengenang jasa bakti dan karya ilham beberapa penulis dari negara kita dan serantau.

Mereka semua sudah berpulang tetapi menjadi adat kita untuk mengenang tokoh-tokoh hebat ini setelah mereka cukup 100 tahun.

Dalam Bahasa Inggeris sambutan sebegini disebut 'centennial celebration'.

RAIKAN KARYA 4 TOKOH HEBAT

Tahun 2024 ini, kita meraikan seabad riwayat dan bakti karya empat tokoh yang tidak asing dalam dunia kesusasteraan Melayu-Indonesia. Dari Singapura ialah A Samad Ismail dan Muhammad Ariff Ahmad.
Pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Laman ifonlysingaporeans.blogspot.sg)
Dari Indonesia, A A Navis dan Sitor Sitomurang. Tokoh-tokoh besar ini menjadi warisan sastera dan budaya di Nusantara, pastinya.

Cikgu Muhammad Ariff Ahmad, dengan gelaran Pendeta Ariff adalah tokoh besar yang dibangga dan dihargai dalam masyarakat Melayu Singapura. Nama beliau terpahat dalam sejarah sebagai antara pendiri Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS'50) yang ditubuhkan di Singapura. Pertubuhan ini menjadi pendorong utama dalam perkembangan sastera Melayu moden, dengan cogan kata sastera untuk masyarakat, suatu tekad sastera yang masih berkumandang dan berkibar dalam dunia kesusasteraan Melayu, baik di Singapura mahupun Semenanjung Malaysia.

Cikgu Ariff, sapaan akrab bagi beliau, yang bekerjaya sebagai guru sekolah, sedari usia mudanya sudah aktif dalam kegiatan sastera. Maka tidak menghairankan apabila beliau aktif pula dalam pergerakan sastera, di mana peranan beliau dalam ASAS’50 telah memberi bukan sahaja kepada kepimpinan dalam kalangan penulis tetapi sebagai teladan kepada cerdik pandai Melayu bahawa keterlibatan dalam hal-ehwal masyarakat adalah amanah, pertanggungjawaban yang tidak boleh mereka tangguhkan.

Selepas Perpisahan dari Malaysia, beberapa cerdik pandai Melayu yang dahulu bermastautin di Singapura, meninggalkan pulau ini. Cikgu Ariff dengan beberapa guru Melayu yang lain, seperti Masuri SN, dan Suratman Markasan, Suradi Parjo, Aliman Hassan mengisi ruang kepimpinan, khasnya dalam bidang kebudayaan dan kesusasteraan. Di ASAS’50 lah Cikgu Ariff menyumbang bakti kepada masyarakat dengan penuh dedikasi. Di saat sibuk bergerak menyusun pembentukan ASAS'50, Ckgu Ariff sempat menulis

“Dalam bicara diperkukuh
Gagasan Bersatu teguh bercerai rapuh
Idea sastera baru dipupuk, sastera alama diperwutuh
Cita-cita karya sastera jadi pencapai kemerdekaan penuh
Slogan: seni sastera untuk masyarakat rakyat seluruh
Tindakan: sendiri-sendiri dalam satu persatuan yang teguh
Angkatan Sasterawan’50 – ASAS’50.”


Itulah puisi “Bersatu Digerhayu” yang menjadi harapan Cikgu Ariff, dan rasanya inilah yang menjadi pedoman beliau dalam menggerakkan usaha sastera, bahasa dan budaya di Singapura. Pastinya suatu amanah dari beliau bahawa ASAS’50 harus terus memainkan peranan ini juga.
Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Raman Daud)
Di era pembangunan Singapura sejak 1970-an, kepimpinan yang mewakili masyarakat Melayu juga harus diisi, selain yang terdapat dalam perwakilan politik dalam Parlimen dan pemerintahan. Di sini cerdik pandai Melayu seperti Cikgu Ariff harus mengembangkan tugas dalam beberapa jawatankuasa kerja agar kepentingan masyarakat Melayu diwakili. Perhatikan sahaja senarai kerja kesukarelawanan mahupun perlantikan yang dipercayakan kepada beliau.

SUMBANGAN BESAR ALLAHYARHAM

Atas jasa besar beliau kepada dunia sastera tanah air, beliau telah dianugerahi Pingat Budaya pada 1987. Nama beliau juga tersenarai sebagai antara salah seorang perintis sastera (Literary Pioneer) di Perpustakaan Negara Singapura. Di NIE-NTU pula, tersergam sudut koleksi khas mengenang jasa Cikgu Ariff. Malah ada biasiswa Pengajian Melayu, yang dinamakan sempena nama beliau.

Perpustakaan Negara juga telah menerbitkan bibliografi khas yang mengumpulkan senarai karya beliau sejak tahun 1947 sehinggalah ke hari senja beliau. Dengan usaha gigih Encik Mohd Raman Daud, tersusun memoir Cikgu Arif, berjudul Perjalanan MAS: Memoir Muhammad Ariff Ahmad diterbitkan oleh ASAS’50 pada 2003. Temu ramah dengan beliau yang dihasilkan oleh Pusat Bahasa Melayu Singapura, juga suatu rujukan yang berharga.

Selain Masuri dan Suratman, Cikgu Ariff juga dipandang sebagai guru mapan Bahasa Melayu yang banyak dirujuk tentang persoalan budaya, bahasa dan kemasyarakatan. Beliau amat disegani malah oleh kepimpinan politik Melayu kerana beliau bukan sahaja banyak berjasa, tetapi juga disanjungi oleh kelompok pendidik Melayu di merata Singapura.

Beliau juga aktif menulis dalam ruangan akhbar, dan tidak terlepas menghadiri banyak majlis kebudayaan Melayu demi memberi galakan dan sokongan. Beliau juga menggalas tugas sebagai ahli penasihat atau ahli lembaga dalam pelbagai pertubuhan seperti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), SBC dan MENDAKI.

Sebegitulah kepakaran beliau sering dirujuk, maka sudah wajar beliau dikalungkan gelaran Pendeta Muhammad Ariff Ahmad, sepertimana gelaran yang pernah disandangkan pada Za’ba dan Ismail Hussien di Malaysia. Namun gelaran bukanlah yang dicari oleh tokoh seperti Cikgu Ariff kerana memimpin masyarakat dengan bakti tenaga, masa dan fikiran itulah kebesaran amanah yang harus dipikul.

Pengetahuan beliau tentang adat resam, pepatah dan petitih, pantun, kepercayaan dan seni budaya juga sangat luas, seolah-olah seperti ensiklopedia bergerak. Tentulah beliau menjadi aset bagi masyarakat dan negara, kerana bukan sahaja menjadi “guardian” kebudayaan, tetapi juga terkedepan untuk menyeru kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat Melayu. Beliau sesungguhnya tidak canggung berdepan dengan konteks masyarakat dan negara yang sedang membangun, di mana proses modenisasi yang cepat bergerak memerlukan masyarakat yang beretos kreatif dan pembina struktur.
DETIK Dialog | Legasi Tak Akan Mati, Pendata Almarhum Ariff Ahmad
Novel Syarifah (1998) membingkis cerita perakuan derajat yang dipertahankan, namun ia adalah sesuatu yang sebenarnya tidak sejalan dengan nilai kesaksamaan dan maruah manusia. Pastinya ia lahir dari pemerhatian tajam tentang hal yang berlaku dalam masyarakat. Juga dari beberapa puisi karangan beliau, akan terjelma pemikiran dan nilai yang beliau yakini. Sedang novel-novel remaja yang beliau tulis Sarah Pengarang Kechil (1957) membawa mesej betapa pentingnya pendidikan untuk golongan anak muda.

Dari gaya pemikiran, Cikgu Ariff bukanlah yang jenis berlantang suara, jauh lagi berposisi radikal, dan bergempita dengan kritikannya. Sebaliknya beliau, dengan kerjaya sebagai guru, mengambil sikap yang tidak bersifat kontroversial, berpandukan pertimbangan politik yang berhaluan sederhana dan pragmatik. Pastinya ini bukanlah suatu kelemahan atau kekurangan. Setiap gaya kepimpinan pasti memiliki kecenderungan masing-masing.

Beliau selalunya tenang malah suka berseloroh orangnya. Beliau bukan 'ideologue' yang mahu mempersoalkan idea dan pemikiran yang sudah melembaga. Maka jarang kita mendengar lantunan kritis dari beliau, walaupun kadangkala akan kita kesani dari pelbagai karya beliau, khasnya puisi, yang terdapat sudut mengajar kita berfikiran mendalam tentang keadaan kita hari ini.

Perhatian puisi bertajuk “Jangan Tak Ada” yang nadanya sinis sambil mengingatkan bahawa masyarakat Melayu yang celik harus mengambil peluang, wajar hadir dalam sejarah, jangan sampai tertinggal dalam peredaran masa:

“Hidup dalam masyarakat majmuk, kita
Hak punya tiap kelompok sama rata


Tapi
Sama pada hak, pada bagiannya tidak
Jika kelompok lain bisa punya 100 benda
Punyaku satu cuma, sudah pada –
“jangan tak ada,” kata orang.
Itu kan “adil”, namanya!

Toleran, toleran!”


“Jangan tak ada” itu samalah dengan bahasa basahan yang sering kita pakai. Di saat ada peluang, kita harus rebut. Di saat pengagihan sumber dan peluang tidak seimbang, kita tetap harus mengambil apa yang kita berhak, agar kita tidak terlepas peluang. Cukup atau tidak, yang penting mesti bergerak mendapat apa yang sedia ada, daripada langsung tertinggal tidak punya apa-apa. Malah puisi ini juga boleh dibaca sebagai teguran agar apa yang diagihkan dalam masyarakat jangan hanya sekadar agihan simbolik yang boleh disebut sebagai “token.” Pesanan seperti ini sungguh tajam, dan inilah puisi beliau yang antaranya bertaring.

Satu lagi puisi menarik berjudul “Pura-Pura” yang ditulis pada tahun 1964, terlantun pertanyaan beliau, seraya merenungnya sendiri:

“Kutanya pula pada pendeta
Apakah namanya orang yang pura-pura!
Pengambil muka
Penjual bangsa
Manusia tidak bijaksana

Tahulah aku sekarang
Si pura-pura itu orang curang

Pemimpin tiada jujur
Yang bikin pengikutnya hancur
….”


Berjela panjang sekiranya kita mahu membutirkan jasa bakti dan merakam peranan dan sumbangannya. Tahun ini di Singapura terdapat dua acara bagi mengenang 100 Tahun hayat bakti Cikgu Ariff. Pada 18 Oktober 2024, buku kenang-kenangan dalam bentuk e-buku “Demi Bahasa” telah dilancarkan di Perpustakaan Negara Singapura.
Kesemua 15 esei diterbitkan dalam e-buku ini. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Pada Sabtu 23 Nov ini pula, akan diadakan Syarahan Perdana Memperingati MAS. Syarahan ini akan disampaikan oleh Prof Awang Sariyan, dengan judul: “Muhammad Ariff Ahmad Permata Cendekia di Tanah Pura.” Ia dianjurkan oleh NIE-NTU. Ia juga akan diadakan di lokasi yang sama.

Semoga hari peringatan sebegini menjadi perangsang dan teladan, membakar obor berbudi pada anak negeri, menyemat kasih pada sastera, menjadi fasih pada bahasa, sebagaimana Cikgu Ariff telah memberi tunjuk ajar dan menitipkan contoh-contoh bernas kepada kita. Kepada Cikgu Ariff, kita tabik dengan doa, semoga keberkatan ilmu beliau berpanjangan dalam masyarakat kita.

Khasnya kepada sasterawan, kelompok yang paling dipeduli oleh Cikgu Ariff, beliau menitip pesan:

“Sasterawan tidak dapat memerintah masyarakat, tetapi dapat menuliskan keadaan masyarakat untuk masyarakat mengambil tindakan.”

Itulah Ariff nan Pendeta, yang berdiri untuk bahasa, sastera dan kemajuan bangsanya.

MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau juga Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan anggota Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Sahabat Sastera.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan