Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Apabila PRN Dijadikan Referendum dan Lebih Diutamakan Daripada Reformasi

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Apabila PRN Dijadikan Referendum dan Lebih Diutamakan Daripada Reformasi

Mantan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin. (Gambar: Facebook/Muhyiddin Yassin)

SINGAPURA: Sebahagian besar ulasan media mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Malaysia menggambarkan keadaan "status quo". Pada satu sisi, ini memang benar. Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) — yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan — menang dan bertahan di kubu mereka di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Pihak pembangkang, Perikatan Nasional (PN) pula menang dan mengekalkan kubu kuat mereka di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dengan itu, naratif "status quo" tidak menggambarkan keadaan sebenar keadaan dari segi bagaimana percaturan politik sudah beralih di bawah kerajaan PH-BN. Jika kita mengambil kira retorik mengutamakan orang Melayu semasa berkempen bagi PRN, dan jajaran baharu di enam negeri, nampaknya naratif PN mengenai “referendum” terhadap kerajaan PH-BN telah mendapat perhatian rakyat. Ini mungkin akan mengubah gabungan politik menjelang Pilihan Raya Umum akan datang iaitu PRU16.

Sebaik sahaja keputusan PRN diumumkan, kedua-dua gabungan berusaha untuk mengukuhkan pengaruh masing-masing terhadap keputusan itu. Suasana sidang media pasca pilihan raya PH-BN tidak sekecoh berbanding PN. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa para pemimpin PH-BN supaya menerima keputusan itu, sambil menyeru kepada mereka agar terus bersatu dan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaannya akan terus berkhidmat sehingga akhir penggal pada 2027.

anwar
(Gambar: BERNAMA)

Ucapan PM Anwar lebih banyak menyentuh tentang status kerajaan persekutuan dan kurang mengenai status kerajaan negeri. Ia bukan ucapan yang berapi-api, tidak seperti yang PM Anwar sampaikan sepanjang tempoh kempen PRN. Ucapannya itu juga tidak diiringi dengan tepukan atau sorakan yang bergemuruh.

Sebaliknya, ucapan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin seolah-olah ia adalah satu kemenangan yang sangat besar bagi pihak pembangkang. Ucapannya selama sepuluh minit turut diiringi dengan tepukan yang kuat dan laungan "referendum". Sebagai konteks, PN menyamakan pilihan raya ini dengan referendum terhadap kerajaan perpaduan yang baru berusia lapan bulan. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 telah menyaksikan Parlimen tergantung yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PH dan BN, penentang lama, dan gabungan parti yang menyokong PH dan BN di Sarawak dan Sabah.

ISTILAH REFERENDUM MELAYU PN

PN juga menyemat istilah "referendum" ke dalam benak fikiran para penyokongnya berbanding slogan 'reformasi' PH. Sebenarnya, taktik PN merujuk kepada referendum Melayu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan PM Anwar. Di mata para penyokong PN, gabungan PH-BN telah meminggirkan kepentingan orang Melayu dengan bekerjasama bersama golongan sekular dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dianggap anti-Melayu, iaitu parti dalam PH dan musuh ketat kepada PN (dan sebelum ini, BN).

Keputusan awal PRN 2023: Muhyiddin menang lebih banyak kerusi di kubu kuat Anwar di Selangor & Pulau Pinang(Gambar: BERNAMA)

PN juga terus mengukuhkan imej bahawa ia telah menggantikan UMNO sebagai wakil orang Melayu. Mengelakkan keputusan "3-3" atau keadaan "status quo", penyokong PN lebih suka membandingkan jumlah kerusi yang dimenanginya berbanding PH dan BN dan pencapaian PN merebut kerusi majoriti Melayu. Ini selari dengan naratif referendum Melayunya. Prestasi PN jauh lebih baik: daripada 245 kerusi yang dipertandingkan di enam negeri, PN menang 146 berbanding PH 80 dan BN 19. PN kekal di hadapan sekalipun PH dan BN bersatu.

PN malah mencatatkan prestasi yang jauh lebih baik daripada BN, yang hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya. Dalam pilihan raya kali ini, hanya UMNO yang bertanding bagi pihak BN; dengan Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) masing-masing tidak bertanding dalam PRN baru-baru ini.

Kemenangan kukuh di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah mengukuhkan naratif referendum Melayu PN. Tanda-tanda kemajuan PN sudah kelihatan pada PRU15 apabila PN menyapu bersih semua kerusi parlimen Kelantan dan Terengganu dan memenangi 14 daripada 15 kerusi di Kedah. Secara tradisinya, pertandingan di negeri-negeri yang didominasi Melayu ini adalah antara UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan UMNO masih boleh memenangi beberapa kerusi, atau membentuk kerajaan di Terengganu dan Kedah. Dalam PRN kali ini, PH kehilangan kesemua 32 kerusi yang ditandinginya di Terengganu, hanya memenangi dua daripada 45 kerusi di Kelantan, dan tiga daripada 36 kerusi di Kedah. Senjata besar UMNO telah dikalahkan dalam proses itu. Mesej perpaduan Melayu PN dimainkan semasa kempen PRN yang menyatukan Dr Mahathir Mohamad, Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin. Ini mengukuhkan lagi kedudukan PN.

PN umum calon PRN bagi 3 negeri terakhir(Gambar: BERNAMA)

Naratif referendum Melayu juga mendapat perhatian dan sokongan pengundi Melayu di kubu kuat PH-BN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. PN menambah kerusinya di Selangor daripada lima kepada 22, dan peningkatan itu dirangsang oleh kawasan-kawasan yang majoriti Melayu. Ia juga menafikan PH-BN majoriti dua pertiga di negeri itu.

PN juga mencatatkan kemajuan di Pulau Pinang, kubu kuat PH (DAP), dengan memperoleh 11 kerusi. Ini ibarat satu rampasan kuasa, memandangkan PAS (kini dalam PN) hanya berjaya memperoleh satu kerusi pada 2018. BN hanya mampu memenangi dua kerusi di Pulau Pinang. Encik Muhyiddin turut menegaskan bahawa PN memenangi ketiga-tiga kerusi di kawasan parlimen Permatang Pauh, secara tradisinya adalah kerusi PM Anwar dan keluarganya sehingga pilihan raya umum yang lalu.

BELUM CUKUP UNTUK JATUHKAN KERAJAAN PERPADUAN

Kejayaan PN bagaimana belum cukup untuk menjejaskan kerajaan persekutuan. Sekiranya PN memenangi pilihan raya di Selangor atau Negeri Sembilan, mesej referendumnya akan menjadi lebih lantang, dan merumitkan lagi kerjasama antara PH dan BN.

PN akan kemuka nama calon MB dalam masa terdekat, kata Muhyiddin(Gambar: BERNAMA)

PN dijangka akan terus menggunakan naratif referendum Melayu untuk mencabar Kerajaan Perpaduan. Encik Muhyiddin secara terang-terangan menggesa PM Anwar supaya berundur sebagai perdana menteri. Keputusan PRN ini mungkin akan mendorong para anggota UMNO untuk menggesa presidennya Encik Ahmad Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri Anwar, untuk melepaskan jawatan tersebut.

Sekalipun sekutu utama PM Anwar, penyingkiran Ahmad Zahid boleh mencetuskan pengunduran UMNO daripada Kerajaan Perpaduan. PH mungkin merasakan bahawa UMNO tidak lagi berupaya menambat hati pengundi Melayu, maka PH mungkin perlu melakukannya sendiri. Tindakan sedemikian mungkin akan meminggirkan penyokong tegar DAP dan Parti Keadilan Rakyat (satu lagi parti dalam PH) yang menentang politik perkauman.

Akhirnya, ia mungkin "status quo" seperti yang digambarkan oleh PH-BN. Tetapi berdasarkan keputusan PRN baru-baru ini, ia akan menjadi satu tugas yang berat untuk PH-BN (dan UMNO) memenangi naratif referendum Melayu yang telah diperjuangkan oleh PN.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk "Malaysia’s State Elections: When “Referendum” Takes Precedence over Reformasi".

MENGENAI PENULIS:

shahril

Dr Norshahril Saat ialah Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, ISEAS - Institut Yusof Ishak.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan