KOMENTAR: Apabila Kanak-Kanak dan Remaja Jadi Sasaran Kumpulan Pelampau
Kanak-kanak dan remaja kian terdedah kepada kandungan berbahaya di ruang siber. (Gambar hiasan: Unsplash/Jonas Leupe)
Kes baru-baru ini yang melibatkan seorang pelajar Menengah 3 berusia 14 tahun di Singapura amat menarik perhatian ramai.
Menurut para pegawai keselamatan, remaja lelaki itu terpengaruh dengan pelbagai fahaman pelampau - berhaluan kanan, ideologi sayap kiri, propaganda ISIS dan berpegang kepada fahaman “incel”.
Seperti anak bongsu saya, serta berjuta-juta remaja yang lain, mereka biasanya meluangkan masa berjam-jam untuk permainan online, media sosial dan masyarakat online yang secara senyap-senyap membentuk identiti diri, semangat kekitaan dan kompas moral mereka yang tersendiri.
CABARAN REMAJA MENCARI IDENTITI DIRI
Ramai remaja lelaki hari ini bergelut untuk membentuk identiti mereka sendiri dalam dunia di mana penanda aras kejayaan bagi seseorang lelaki ialah kestabilan kewangan, pengiktirafan sosial, hubungan dengan wanita menjadi semakin tidak menentu dan bercelaru. Sesetengah wadah online memburukkan lagi keadaan tersebut dengan mewujudkan ruang di mana penghinaan dan kemarahan dianggap wajar, yang boleh berubah menjadi kebencian terhadap kaum wanita atau malah mencetuskan keganasan.
Kes di Singapura baru-baru ini menggambarkan bagaimana radikalisasi sebegini boleh menjadi kompleks dan bersifat hibrid.
Kandungan fahaman pelampau tidak lagi merujuk atau diklasifikasikan sebagai satu kategori sahaja. Sebaliknya, kebencian politik, naratif agama dan rungutan berasaskan jantina digabungkan sehingga menjadi satu wadah yang boleh digunakan untuk menarik minat golongan remaja yang lebih cenderung dan condong kepada dunia digital.
Mesej hibrid ini mengeksploitasi kelemahan identiti diri dan ia sebaliknya menawarkan peluang untuk memperolehi pengiktirafan, semangat kekitaan dan matlamat hidup -perkara yang diburu oleh ramai remaja.
Indonesia menghadapi cabaran yang sama. Di Pemalang, Jawa Tengah, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun terlibat dalam rangkaian fahaman pelampau online yang terkait dengan suspek yang diberkas di Tolitoli, Sulawesi Tengah.
Apa yang bermula sebagai sembang santai di Facebook bertukar menjadi penyertaan aktif dalam kumpulan sulit WhatsApp, di mana dia juga menjadi pentadbir yang turut menyebarkan propaganda ISIS. Dia juga salah seorang daripada 14 kanak-kanak bawah umur yang dikenal pasti pada 2024 sebagai orang yang terlibat dalam kegiatan ekstremis. Dua sedang didakwa atas pelibatan serius, termasuk percubaan untuk membuat bom, manakala yang lain sedang disokong melalui campur tangan keluarga, sekolah dan masyarakat sekeliling mereka.
Anak-Anak Adalah Mangsa Siber
Pertama ialah kerentanan digital kanak-kanak bawah umur. Ruang siber bukan lagi sekadar hiburan sahaja; ia kini persekitaran formatif di mana remaja membincangkan soal identiti diri, nilai, dan kedudukan sosial mereka.
Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) menekankan bahawa perlindungan kanak-kanak mesti melibatkan semua persekitaran, termasuk alam siber. Kumpulan-kumpulan pelampau mengeksploitasi ruang ini, menawarkan pengiktirafan,semangat kekitaan, dan matlamat hidup kepada golongan remaja, yang diubah suai seolah-olah untuk memenuhi keperluan pembangunan dan menangani keprihatinan dan kegusaran golongan remaja.
Kedua ialah respons masyarakat. Sering kali, kanak-kanak bawah umur yang terjerat dengan rangkaian fahaman pelampau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan masyarakat dan negara, sedangkan mereka sebenarnya memerlukan bimbingan untuk pulang ke pangkal jalan.
Panduan bagi melindungi kanak-kanak di bawah CRC dan UNICEF menekankan bahawa kanak-kanak yang terperangkap dalam rangkaian fahaman pelampau adalah mangsa eksploitasi dan memerlukan pemulihan, bukan hukuman.
Ini termasuk khidmat kaunseling, program celik digital, pendampingan keluarga dan integrasi sosial, yang membantu kanak-kanak mendapatkan semula perspektif dan mencegah diri daripada bahaya selanjutnya.
Dimensi psikologi juga kritikal. Golongan remaja dan belia muda terdedah kepada naratif yang memudahkan realiti yang kompleks dan menawarkan huraian segera. Sama ada melalui ideologi pelampau, forum 'incel', ataupun ekstremisme politik, radikalisasi dipaparkan oleh kumpulan-kumpulan pelampau sebagai laluan yang kononnya jelas dan bernas untuk membentuk identiti diri dan mengukuhkan semangat kekitaan.
Ini membawa saya kepada pengalaman saya sebagai seorang bapa. Anak lelaki saya sendiri ialah seorang 'digital native' (warga natif digital). Cara mereka berkawan dan mencari peran contoh serta pegangan kompas moral mereka semakin dipengaruhi oleh skrin peranti digital mereka. Yang menjadi keprihatinan saya bukanlah seandainya mereka terpengaruh dengan kandungan fahaman pelampau, sebaliknya yang membimbangkan saya sebagai seorang bapa ialah jika anak saya sendiri berasa lebih selesa berinteraksi dengan orang lain yang tidak dikenali.
MANIPULASI ASPIRASI DAN CITA RASA REMAJA
Jika kanak-kanak atau remaja merasakan seolah-olah orang luar berupaya menawarkan lebih banyak pengiktirafan atau bimbingan berbanding ibu bapa atau guru mereka, maka jurang itu dikhuatiri akan diambil alih oleh ideologi yang mengeksploitasi kemarahan, ketakutan atau kegusaran mereka.
Itulah sebabnya mengapa kita perlu terus mengukuhkan hubungan kita dengan anak-anak kita dan ini sangat penting. Melindungi anak-anak kita dalam era digital bukan setakat memantau mereka secara berterusan atau melarang sesetengah aktiviti online mereka. Sebagai ibu bapa, kita mestilah 'menyelami' dan mengambil peduli tentang dunia mereka dengan rasa ingin tahu dan bukan hanya menghukum mereka.
Sila ambil tahu tentang permainan yang menjadi kegemaran mereka, 'YouTuber' yang mereka kagumi, atau akaun TikTok yang mana satu yang menarik perhatian mereka. Dengar secara terbuka apa yang menggembirakan, membimbangkan atau mengecewakan mereka. Perbualan yang bermakna dan aktiviti yang dilakukan secara bersama akan membantu anak-anak kita membina kepercayaan, empati dan daya bingkas mereka.
Kajian dan temu bual saya dengan bekas anggota kumpulan pelampau mendapati bahawa apabila golongan remaja tidak diiktiraf sewajarnya dan tidak diterapkan dengan semangat kekitaan yang betul, ia boleh menjadi faktor utama yang dieksploitasi oleh kumpulan-kumpulan pelampau.
Dari sudut dasar, huraiannya menjangkaui sokongan keluarga. Menjadi radikal online tidak boleh diatasi semata-mata dengan mengawal kandungan atau penguatkuasaan undang-undang. Ia memerlukan strategi pelbagai serampang yang menggabungkan pelibatan keluarga, program pendidikan, sokongan psikososial dan pencegahan berteraskan masyarakat.
Sekolah, institusi agama dan ibu bapa semuanya memainkan peranan penting dalam menyediakan kanak-kanak dengan naratif alternatif, sokongan emosi dan ruang selamat untuk meneroka idea-idea baharu.
Mengenal pasti risiko lebih awal, disokong dengan campur tangan yang membina, ia boleh mencegah golongan remaja daripada terjerat dan terpengaruh dengan ideologi pelampau termasuk yang mengeksploitasi atau mengambil kesempatan daripada kelemahan atau kekecewaan sesetengah remaja.
Dari segi psikologi, remaja memerlukan bimbingan untuk membina identiti sendiri dan mengukuhkan semangat kekitaan mereka dalam dunia yang didominasi oleh pempengaruh online. Kanak-kanak lelaki, khususnya, harus digalakkan untuk memupuk emosi, empati, dan pemahaman yang sihat dalam diri masing-masing.
Kemahiran sosial dan emosi, yang dipupuk dalam persekitaran keluarga dan sekolah yang saling menyokong, boleh menjadikan golongan muda kurang terdedah kepada naratif bersifat manipulatif yang memanipulasi kemarahan atau perasaan diri dipandang hina.
KERJASAMA ANTARA MASYARAKAT DAN INSTITUSI PENDIKAN PENTING
Pihak keluarga mungkin tidak dapat menanganinya sendirian, dan tindakan untuk melaporkan anggota keluarga yang menjadi radikal, walaupun sukar dari segi emosi, boleh mencegah bahaya jangka panjang.
Hakikatnya, perlindungan dalam era digital bukan setakat membina tembok di sekeliling anak-anak kita; ia adalah mengenai membina jambatan. Ia memerlukan kita sebagai ibu bapa untuk mendengar, memahami dan membimbing mereka sebelum mereka mencari identiti mereka dalam ruang yang berbahaya.
Perjuangan menentang radikalisasi online bermula di rumah tetapi diperkukuhkan apabila keluarga, masyarakat sekeliling dan institusi pendidikan saling bekerjasama.
Sebagai bapa dan penyelidik radikalisasi di Asia Tenggara, mesej saya kepada ibu bapa lain sangat jelas: kelemahan kanak-kanak bawah umur adalah tanggungjawab kita bersama. Kita mesti berusaha untuk membina hubungan yang bermakna dengan anak-anak kita, sambil memupuk emosi dan mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan.
Pendekatan Singapura - dengan penekanannya kepada pemulihan, melaporkan awal sebarang kes radikalisasi dan perlindungan kanak-kanak - menunjukkan bahawa walaupun terdapat kes yang rumit, masih ada harapan untuk memulihkan mereka.
Kanak-kanak dan remaja, terpengaruh sekalipun, masih mempunyai potensi yang besar. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah untuk memastikan mereka menyedarinya dengan selamat, dan tiada kanak-kanak atau remaja yang terjerat dengan bahaya dunia digital yang penuh dengan pengaruh negatif di luar kawalan kita.
Ini kerana melindungi imaginasi, sikap ingin tahu, dan masa depan anak-anak kita bermula bukan dengan ketakutan atau hukuman, tetapi dengan kehadiran kita dan bimbingan yang berstruktur dari rumah, sekolah dan masyarakat.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.