Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Antara tangani krisis dengan perubahan yang semakin mencabar

Belanjawan 2021 bukan sahaja untuk membantu S’pura menangani krisis pandemik tetapi juga meneruskan perubahan yang perlu dilaksanakan. Dapatkah ia menjamin S’pura bangkit lebih kukuh lagi?  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Antara tangani krisis dengan perubahan yang semakin mencabar

Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa pembentangan Belanjawan 2021 (Selasa, 16 Feb 21)

Tahun lepas Singapura perlu melalui sehingga lima belanjawan (termasuk empat belanjawan tambahan, berjumlah $100 bilion), untuk menangkis kesan-kesan pandemik COVID-19.

Namun Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini  agak ‘sederhana’ dengan Pakej Daya Tahan COVID-19 membentuk $11 bilion atau sebelas peratus daripada keseluruhan pakej yang sama tahun lepas.

Ia mencerminkan keyakinan Pemerintah bahawa dibandingkan tahun lalu, ekonomi tahun ini besar kemungkinan menunjukkan pemulihan yang lebih baik.

Tahun lalu kesan-kesan mendadak dari segi kesihatan dan ekonomi akibat COVID-19, perlu diatasi dengan pelbagai pakej bantuan dan sokongan kewangan yang ditumpukan kepada semua sektor ekonomi.  

Dengan ekonomi terus merudum sehingga mencatat penguncupan 5.4% di bawah sifar, jumlah  pembuangan kerja juga meningkat dengan sekitar 26,000 orang hilang pekerjaan.

Lantaran itu tumpuan Pakej Daya Tahan tahun lepas yang melibatkan peruntukan sebanyak $25 bilion adalah bagi Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) yang berupa bantuan subsidi gaji pekerja yang diberikan kepada 150,000 majikan. 

Menerusi Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited pula sekitar 75,000 orang pula berjaya diberikan pekerjaan baru atau mendapat peluang-peluang latihan.

BANTUAN TERTUMPU

Seperti yang dibentangkan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, Belanjawan 2021, tidak bertujuan menyediakan pakej bantuan dan sokongan yang terlalu meluas kepada semua.

Bantuan dan sokongan tetap disediakan untuk golongan pekerja dan sektor ekonomi tertentu, terutama sektor penerbangan dan pelancongan, yang masih banyak terjejas dengan pandemik COVID.

Related article image

Keprihatinan bahawa kesan krisis COVID masih boleh menjejas ekonomi dan pekerjaan, mendorong Pemerintah memperuntuk tambahan $5.4 bilion dalam Belanjawan 2021 untuk menggalak pengambilan pekerja dan penyediaan tempat-tempat latihan bagi mereka yang mencari kemahiran baru.

Kesemua langkah ini dijangka dapat menyokong pengambilan sekitar 200,000 orang pekerja tempatan.

MENCATAT PEMULIHAN

Selain memberikan bantuan dan sokongan kepada sektor-sektor khusus, Belanjawan 2021 juga memberikan lebih  banyak tumpuan kepada usaha-usaha memastikan syarikat dan pekerja dapat bangkit dengan lebih kukuh lagi.

Ia menunjukkan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya bagi Singapura, pandemik COVID akan terus terkawal dan ini membolehkan ekonominya pulih dan kembali bertenaga.

Dengan keyakinan bahawa ekonomi dunia akan turut mencatat pertumbuhan lebih baik daripada tahun lalu, ekonomi Singapura perlulah dipersiapkan untuk memanfaatkan peluang-peluang baru yang bakal tercipta dengan pemulihan tersebut.

Usaha membantu para pekerja dan syarikat menyesuaikan diri, membuat inovasi dan terus berkembang jelas merupakan antara penekanan utama belanjawan tahun ini.

DPM Heng pernah menegaskan bahawa COVID-19 telah mempercepat inovasi dan  meletakkan nilai tinggi kepada daya tahan dan daya mampan para pekerja dan syarikat Singapura.

INOVATIF DAN MENGGALAKKAN

Beberapa langkah yang beliau umumkan Selasa lalu boleh disifatkan sebagai inovatif dan cukup menggalakkan dalam menyokong transformasi ekonomi Singapura.

Antaranya skim Pencetus Usaha Inovasi Korporat dan pendanaan bersama untuk menggalakkan syarikat-syarikat terus berinovasi dan berkembang maju.

Related article image
(Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Usaha seperti Platform Pendanaan Perusahaan Tempatan di mana Pemerintah memperuntukkan setengah bilion dolar menerusi pelaburan bersama dengan Temasek Holdings, bertujuan menggalak syarikat-syarikat besar tempatan (LLE) menceburi bidang-bidang pertumbuhan yang baru.

Kejayaan syarikat-syarikat ini di peringkat global boleh menjadi pemangkin bagi lebih banyak syarikat tempatan turut berani dalam menceburi bidang-bidang baru yang boleh mengukuhkan daya saing masing-masing.

Related article image
Workers at a manufacturing facility in Singapore. (File photo: TODAY)

Ini semua akan memastikan bahawa syarikat-syarikat tempatan tidak akan ketinggalan dalam transformasi ekonomi Singapura keseluruhannya.

Pada jangka panjang ia bermakna terjaminnya  lebih banyak pekerjaan dengan paras gaji yang lebih baik kepada lebih ramai pekerja Singapura.

SENTIASA PEKA

Sebagai belanjawan yang realistik dan sentiasa peka terhadap kebajikan rakyat umumnya, Pemerintah juga menyedari bahawa tidak semua lapisan masyarakat boleh menceburi dengan mudah setiap perubahan yang berlaku.

Hakikatnya agak sukar bagi golongan berkemahiran rendah  untuk menikmati setiap hasil pertumbuhan memandangkan  pekerjaan mereka tidak menjanjikan pendapatan yang setimpalnya.

Bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan di belakang apabila jurang pendapatan terus meluas, usaha seperti bantuan di bawah inisiatif Comlink akan disediakan kepada lebih banyak keluarga.

Comlink yang kini menyediakan bantuan sepadu kepada sekitar 1,000 keluarga berpendapatan rendah dengan anak-anak kecil, yang tinggal di flat-flat sewa satu bilik, bakal diperluaskan kepada 14,000 keluarga dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dengan menggembleng lebih banyak aset masyarakat dan usaha-usaha relawan, ia diharapkan dapat membantu keluarga-keluarga sedemikian turut sama dalam membaiki kehidupan mereka dan anak-anak mereka, sedang negara terus mengharungi perubahan.

BANGKIT LEBIH TEGUH

Related article image
DPM Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan 2021 pada 16 Feb 2021.

Belanjawan 2021 disifatkan DPM Heng sebagai usaha pelbagai langkah untuk membolehkan Singapura bangkit semula dengan lebih teguh lagi daripada krisis COVID-19.

Apakah semua inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan tersebut mencukupi untuk mencapai matlamat yang digariskan? Inilah yang bakal hangat dibahaskan para Anggota Parlimen apabila Dewan kembali bersidang.

Dalam pada itu,  adalah juga masih lagi terlalu awal untuk menyatakan dengan pasti bagaimana dan bilakah krisis COVID ini akan terhurai dengan muktamadnya; mungkin dalam setahun dua ini atau mungkin juga lebih lama daripada itu.

Tetapi seperti yang ditegaskan oleh DPM Heng sendiri, walau sekiranya krisis ini  bertambah buruk semula, Singapura harus terus melabur dalam bidang-bidang baru untuk berubah dan bangkit dengan lebih teguh lagi.

Kesediaan rakyat dan Pemerintah terus membuat persiapan untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan, kerap membezakan Singapura dengan negara-negara lain ketika berhadapan dengan krisis.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita