Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Antara rukyah & hisab: Pembayang masa depan masyarakat majmuk Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Antara rukyah & hisab: Pembayang masa depan masyarakat majmuk Indonesia

Umat Islam di Yogyakarta berbuka beramai-ramai di masjid pada 7 April 2022. (Gambar: Devi Rahman/AFP)

BERITAmediacorp: Ramadan tahun ini menyaksikan pertelingkahan yang berkurangan dalam kalangan umat Islam Indonesia mengenai tarikh permulaan bulan yang penuh keberkatan itu. Pendekatan 'setuju untuk tidak bersetuju' perlu diambil dalam aspek-aspek lain kehidupan sosio-agama Indonesia.

Umat Islam seantero dunia lazimnya menyambut Ramadan dengan penuh keceriaan dan melaksanakan ibadah puasa dalam bulan yang penuh keberkatan. 

Namun, di Indonesia, penentuan tarikh permulaan Ramadan sebaliknya menjadi punca ketegangan. 

Penetapan tarikh itu penting kerana ia menentukan permulaan sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Lebaran. Umat Islam Indonesia berpuasa pada hari yang sama sepanjang tujuh tahun lalu, tetapi bukan pada tahun ini. 

Namun, perselisihan pendapat yang sengit dan kutukan secara terang-terangan hampir tidak kelihatan sama sekali, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Ini mengisyaratkan pluralisme Indonesia sedang maju ke arah yang tepat, tetapi hanya jika prinsip 'setuju untuk tidak bersetuju' turut diambil kira dalam persoalan-persoalan lain.

<p>(Gambar:&nbsp;Adek Berry/AFP)</p>

PERTUBUHAN ISLAM BERBALAH

Perbalahan masa lalu mengenai awal Ramadan paling dahsyat berlaku antara dua pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) dan Muhammadiyah.

NU menggunakan kaedah ikmanur rukyah untuk menentukan tarikh dengan melihat anak bulan. Muhammadiyah sebaliknya menggunakan hisab moden atau kaedah matematik. Apabila tercetusnya perselisihan antara NU dan Muhammadiyah, pertengkaran sering menjadi jelik dan bercanggah dengan semangat bulan Ramadan. 

Para pengikut pertubuhan-pertubuhan yang berbalah itu mengejek satu sama lain semasa khutbah di masjid. Ada yang tampil di media sosial untuk mempertahankan kedudukan masing-masing. 

Kajian Zufriani yang diterbitkan dalam jurnal Al-Qishthu pada 2016 merakamkan ketegangan tersebut. 

Bagaimanapun, sepanjang tujuh tahun yang lalu, sama ada pasukan NU dan umat Islam lain tidak dapat melihat anak bulan (hilal) atau formula matematik dapat meramalkan penampakan bulan secara tepat, sehinggakan NU, Muhammadiyah, dan umat Islam Indonesia yang lain akhirnya menyambut awal Ramadan pada hari yang sama.

Kementerian Agama Indonesia enggan campur tangan meskipun ia boleh mengambil panduan daripada negara-negara jiran Singapura, Brunei dan Malaysia, di mana pihak penguasa agama di bawah naungan pemerintah memutuskan tarikh mutlak. 

Kementerian Agama Indonesia setakat menganjurkan mesyuarat itsbat (penentuan tarikh) tahunan untuk mendengarkan pandangan-pandangan berbeza dan kemudian memutuskan tarikh yang sama, sungguhpun para peserta mesyuarat tidak terikat dengan tarikh itu. 

Dari segi sejarah, ketegangan antara NU dan Muhammadiyah sudah diperluaskan ke arena politik. Pada 2013, Muhammadiyah enggan menghantar wakil ke mesyuarat itsbat tersebut. Pemimpin Muhammadiyah Yunahar Ilyas berhujah bahawa pertubuhannya sudahpun memutuskan satu tarikh sebelum mesyuarat itu. Beliau menambah mesyuarat sedemikian “tidak menampung aspirasi Muhammadiyah dan cenderung mengolok-olok”.

Maka tahun ini, umat Islam Indonesia mula berpuasa pada tiga hari berbeza. Selain NU dan Muhammadiyah, Tarekat Naqsyabandiyah, sebuah tarekat sufi, mengeruhkan lagi keadaan. Tarekat Naqsabandiyah mendakwa Ramadan bermula pada 1 April tahun ini, manakala Muhammadiyah menetapkan 2 April sementara NU pula, 3 April. 

<p>(Gambar: Adek Berry/AFP)</p>

Namun kali ini, tidak berlaku perbalahan besar.

Pada mulanya, media arus perdana mensensasikan perbezaan itu dan ia mencetuskan perbualan di media sosial. 

Contohnya, media nasional melaporkan Kementerian Agama Indonesia mengundang seorang pemimpin Muhammadiyah ke mesyuarat itsbat sekalipun beliau tidak mendapat restu pertubuhan itu. 

Dalam kes berasingan, rakaman video tersebar menunjukkan seseorang mendakwa NU dan Kementerian Agama Indonesia mencapai persetujuan bagi tarikh awal Ramadan, mendahului mesyuarat itsbat. Individu berkenaan, yang mengaku diri sebagai ahli NU, mendakwa terdapat pakatan sulit antara dua institusi itu yang meminggirkan pertubuhan lain, termasuk Muhammadiyah. 

Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak benar dan sumber-sumber provokasi cepat luput dari ingatan.

USULKAN TOLERANSI & PERPADUAN

Pada tahun ini, peranan yang dimainkan oleh pelbagai entiti — ulama Islam bebas, pemimpin pertubuhan Islam, pegawai pemerintah dan pemimpin parti-parti pembangkang — membantu untuk meredakan ketegangan. 

Mereka menyeru agar semua pihak bersikap bertolak ansur, bersatu padu, dan menghormati perbezaan antara satu sama lain. 

Mesej mereka disebarkan secara meluas melalui media sosial dan media arus perdana. Malah ulama-ulama kontroversial dan berpengaruh seperti Abdul Somad dan Felix Siauw bersetuju dengan pilihan yang dikemukakan oleh NU dan Muhammadiyah. 

Ada juga kritikan, seperti yang dijangkakan, tetapi ia tidak terlalu radikal. 

Misalnya, pendakwah terkemuka Khalid Basalamah, Buya Yahya Al-Bahjah dan M Cholil Nafis tidak mempertikaikan perkara itu, tetapi setakat menegaskan bahawa umat Islam perlu mengikut keputusan pemerintah.

Sambutan sederhana tahun ini terhadap isu yang boleh memecahbelahkan umat Islam adalah petanda positif bagi pluralisme Indonesia. 

Ia boleh dijadikan sebagai contoh kepada dunia Islam bahawa rakyat Indonesia mampu menyelesaikan perselisihan sesama sendiri tanpa campur tangan pemerintah. 

Sesetengah pemerhati memandang isu itu dengan unsur jenaka. Seorang netizen berseloroh di Twitter: "Berharap semua umat Islam Indonesia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tarikh yang sama. Jika tidak, saya akan mula berpuasa mengikut keputusan Muhammadiyah dan menyambut Hari Raya Aidilfitri mengikut tarikh pemerintah — bermakna beliau dapat berpuasa kurang sehari.

MENGHURAIKAN PERBEZAAN SECARA DAMAI

Sebaik-baiknya, umat Islam Indonesia boleh mengambil iktibar daripada perkembangan tersebut dan menerapkannya ke dalam aspek-aspek lain dalam kehidupan sosio-agama masing-masing, dalam persoalan yang masih dipertikaikan seperti pemerintahan, peranan jantina dan ideologi negara Pancasila. 

Sungguhpun mereka mampu membincangkan perbezaan antara umat Islam secara damai, sikap mereka terhadap isu antara agama masih lemah. 

<p>(Gambar: Andi/AFP)</p>

Kita masih melihat ketegangan yang timbul antara umat aliran perdana dengan golongan agama minoriti di beberapa kawasan sehingga ia kadangkala mengakibatkan keganasan. 

Dari semasa ke semasa, pihak berkuasa mengeluarkan fatwa tanpa memahami sepenuhnya akibatnya, seperti dengan menyifatkan sesebuah golongan sebagai sesat. Ahmadiyah, sebuah mazhab minoriti di Indonesia, menjadi sasaran penganiayaan yang berterusan di merata negara. 

Pada 2005, Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan semula fatwa bahawa Ahmadiyah adalah ajaran sesat. 

Baru-baru ini pada September 2021, beratus-ratus penduduk Sunni merosakkan masjid Ahmadiyah di Sintang, wilayah Kalimantan Barat selepas pemerintah tempatan tidak menghiraukan tuntutan mereka agar kumpulan Ahmadiyah di kawasan mereka dibubarkan. 

Lima bulan kemudian, pemerintah tempatan terpaksa menukar masjid berkenaan menjadi sebuah rumah kediaman dan sekali gus merampas hak golongan Ahmadiyah untuk mengamalkan kepercayaan mereka.

Pokoknya, Indonesia mampu menjadi model kepada dunia Islam untuk belajar tentang pluralisme dan kebebasan beragama. 

Namun, masih terdapat langkah yang perlu diambil sebelum ia mampu menangani isu-isu kontroversial seperti status Ahmadiyah secara tenang dan waras.

MENGENAI PENULIS:

Dr A’an Suryana adalah Zamil Pelawat ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku The State and Religious Violence in Indonesia: Minority Faiths and Vigilantism (Routledge, 2020)

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau penulis buku The State, Ulama and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press, 2018)  

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan