KOMENTAR: Antara hak peribadi dan kepentingan kolektif di tengah-tengah penularan Omicron
Gambar: AFP/ David Gray
BERITAmediacorp: Kata orang, lain padang, lain belalang … peribahasa ini memang tidak jauh dari kebenaran. Ini walaupun pada asasnya kita bergelar manusia tetapi setiap tingkah laku kita dipengaruhi oleh budaya dan tradisi sesuatu bangsa atau kaum dan juga daerah.
Ini amat ketara jika kita bandingkan antara orang Barat dengan mereka yang telah lama bermastautin di Asia. Walhal, secara amnya di Asia juga mempunyai perbezaan dalam kalangan Asia Tenggara dengan Asia Selatan.
ANTARA HAK INDIVIDU DENGAN KEPENTINGAN KOLEKTIF
Satu hak yang sangat dipertahankan bermati-matian di negara-negara Barat adalah hak individu atau "individual rights".
Hak ini sebagai hak asas amat diutamakan dan memberi seseorang individu kuasa peribadi untuk menentang sebarang perkara atau undang-undang yang dipandang atau sekadar dianggap melanggar kebebasan mereka untuk membuat pilihan, walaupun ia adalah satu perkara yang perlu demi keselamatan dan kesejahteraan awam.
Jauh berbeza sekali jika kita membandingkannya dengan pandangan di Asia Tenggara di mana sikap membelakangkan keperluan sendiri dan semangat bergotong-royong menjadi sebahagian daripada gaya hidup kita.
Maka itu, tidak hairanlah jika sesuatu usaha yang disasarkan untuk menangani masalah teras penularan COVID-19 yang tempiasnya menjejas hak peribadi akan menghadapi tentangan sengit di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan sebagainya berbanding dengan reaksi yang lebih tenang dan aman di sebelah dunia di sini.

ANTARA SIKAP KONFRONTASI DENGAN SIKAP BERMUSYAWARAH
Jarang sekali kita terdengar atau terserempak dengan sebarang tunjuk perasaan secara beramai-ramai dan bantahan agresif terhadap sesuatu perkara di negara kita ini.
Sejauh ini respons yang diberikan oleh masyarakat kita terhadap sesuatu perkara demi kepentingan kolektif amat menggalakkan seperti langkah-langkah untuk membendung penularan COVID-19 yang dilaksanakan ke atas peniaga-peniaga F&B dan saiz kumpulan yang dibenarkan untuk menghadiri sesuatu aktiviti.
Larangan yang ketat di hari perayaan dan perintah wajib memakai pelitup setiap kali keluar rumah tetap terus dipatuhi walaupun langkah-langkah yang dikenakan pihak pemerintah amat merumitkan keadaan orang ramai.
Malah, masyarakat secara umum akan berasa kurang senang sekiranya ada segelintir dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
Banyak contoh yang boleh kita tonjolkan di mana masyarakat kita dengan sepakat akan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelakuan-kelakuan sesetengah individu yang engkar terhadap pemakaian pelitup di luar rumah, misalnya.
Dengan bersenjatakan media sosial, mereka akan mendedahkan perbuatan-perbuatan tersebut dan ia berhasil mengheret mereka yang melanggar peraturan dibawa ke muka pengadilan.
Disebabkan oleh kewaspadaan orang ramai yang saling bekerjasama untuk melaporkan setiap kesalahan melanggar peraturan COVID-19, ada di antara pesalah yang dikenakan denda, ada juga yang dihukum penjara dan bagi mereka yang berada di sini atas pas kerja, ada juga yang telah dibatalkan permit kerja mereka dan dihantar pulang ke negara asal mereka.
Pendek kata, “tiada maaf bagi mu” adalah pendirian pemerintah kita terhadap mereka yang sengaja mengengkarinya. Ini kerana peraturan-peraturan COVID-19 di negara kita telah dijelaskan dengan terang dan pelaksanaan yang ketat amat diperlukan untuk memastikan penularan wabak ini dapat kita kawal dengan segera dan berkesan.

KEADAAN DI NEGARA-NEGARA BARAT PULA BERTENTANGAN
Terdapat beberapa kumpulan yang begitu bersemangat membantah setiap usaha pemerintah negara mereka untuk menguatkuasakan langkah-langkah kritikal bagi mengawal penularan COVID-19.
Mereka sebaliknya menganjurkan tunjuk perasaan secara besar-besaran atau “take to the street” dengan berkumpul secara beramai-ramai tanpa memakai pelitup. Jarak selamat 1 meter yang dikuatkuasakan juga tidak diendahkan.
Pernah berlaku di depan mata saya sendiri semasa saya berada di United Kingdom pada Disember tahun lalu di mana kumpulan antivaksin mengadakan tunjuk perasaan yang agresif dan dengan pantas bertukar ganas menjadi rusuhan sehingga mengakibatkan kecederaan pada seorang pegawai polis yang terpaksa dikejarkan ke rumah sakit
Malangnya, begitu juga di Perancis dan di Brussels, Belgium di mana sikap konfrontasi dan keghairahan kumpulan-kumpulan yang menentang pelaksanaan usaha melawan penularan COVID-19 telah bertindak ganas ketika mengadakan tunjuk perasaan yang mengakibatkan kerosakan pada bangunan-bangunan pemerintah dan juga pembinasaan apa sahaja yang berada di sepanjang jalan termasuk gerai-gerai dan harta benda peribadi.
Amat mengejutkan apabila Perdana Menteri Britain Boris Johnson baru-baru ini mengumumkan keputusan untuk menarik balik arahan memakai pelitup dan menggugurkan pasport COVID-19 terhadap penduduk di England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.
Beliau membuat keputusan untuk menarik balik sekatan-sekatan yang bermatlamat menjadi pelindung di tengah-tengah pandemik ini di mana penularan dan kes jangkitan semakin meningkat. Ramai yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu langkah yang bermotif politik kerana Encik Johnson sedang menghadapi tekanan terhadap pentadbirannya yang mengancam jawatan dan kedudukannya.
Ternyata ia adalah satu langkah yang popular tetapi akan mendatangkan kemudaratan yang tidak terhingga kepada penduduk United Kingdom dan tekanan yang lebih berat ke atas sistem penjagaan kesihatan mereka.

DARI PANDEMIK KE ENDEMIK, APAKAH KUNCI KEJAYAAN KITA?
Tentu sekali jika kita renungkan, terdapat beberapa faktor yang perlu ada bagi memastikan keberkesanan pengurusan penularan COVID-19.
Ini kerana walaupun masyarakat kita amat bekerjasama dan sangat menyokong usaha-usaha bagi menewaskan penularan wabak ini, kita tidak akan dapat bertahan memerangi virus tersebut sekiranya langkah-langkah yang disusun dan dilaksanakan oleh pihak pemerintah tidak dapat menangani isu sebenar.
Kepintaran dalam pelaksanaannya sangat-sangat dialu-alukan; ini yang dikatakan memilih antara mengambil langkah yang betul dan melaksanakannya dengan baik atau “doing the right thing versus doing things right”.
Situasi di Amerika Syarikat dan Eropah misalnya masih membimbangkan meskipun mereka mempunyai peraturan yang tersurat dan strategi yang sistematik.
Ini kerana satu-satunya pautan kritikal yang wajib wujud bagi menjamin kejayaan strategi adalah penguatkuasaan.
Dan penguatkuasaan memerlukan kecekalan, ketegasan dan juga komitmen. Malangnya, penguatkuasaan ternyata adalah di antara kelemahan mereka di Barat. Disertakan pula dengan budaya yang mendahulukan hak peribadi yang keterlaluan, maka tidak hairanlah mereka seolah-olah maju satu langkah ke hadapan dan mundur dua langkah ke belakang.
Negara kita secara bertahap-tahap berjaya mengorak langkah ke peringkat endemik. Ini bukan bermakna kita sudah boleh berpeluk tubuh. Sebaliknya, amat penting untuk kita terus melindungi sistem penjagaan kesihatan kita agar tidak terbeban.
Ini kerana pasukan-pasukan perubatan kita bukan hanya merawat pesakit COVID-19 saja tetapi juga melayani pesakit-pesakit bukan COVID-19. Dan sekiranya sistem penjagaan kesihatan kita tidak dapat memenuhi keperluan perubatan harian disebabkan oleh perancangan kita yang kurang praktikal dan terperinci, ia akan melumpuhkan negara kita dari setiap aspek.
Kesimpulannya, pastikan maklumat mengenai dasar dan peraturan disampaikan dengan jelas dan sahih, pantau sebarang tekanan terhadap infrastruktur kita, pastikan peraturan dikuatkuasakan dengan tegas dan konsisten dan bekerja keras untuk memenangi kepercayaan rakyat … inilah yang telah dicapai oleh tampuk kepimpinan negara kita dalam perjuangan melawan wabak ini.
Jika ada yang bertanya di manakah yang saya akan berasa selamat dan tenang terutama sekali di tengah-tengah penularan COVID-19, berdasarkan pengalaman saya melakukan lawatan ke luar negara baru-baru ini, maka dengan penuh keyakinan saya akan mengatakan di Singapura!

MENGENAI PENULIS:
Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.