Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Aneka gabungan parti mungkin rumitkan pembentukan kerajaan susuli PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Baru-baru ini, empat gabungan politik di Malaysia — Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) — mengadakan siri mesyuarat masing-masing sebagai persiapan seandainya pilihan raya umum diadakan lebih awal.

Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mesti diadakan sebelum September 2023.

Sungguhpun demikian, sesetengah pihak dalam parti Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, UMNO, bertegas ia mesti diadakan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob. (Gambar: BERNAMA)
Bagaimanapun PM Ismail Sabri berpendirian bahawa kerajaan gabungannya memerlukan lebih banyak masa.
PRU akan datang mungkin bakal menyaksikan pertarungan tiga dan empat penjuru di banyak kawasan undi, dengan kemungkinan besar tiada satu pun gabungan yang mampu membentuk kerajaan dengan berdiri di atas kaki sendiri.

Jika tiada gabungan yang mampu meraih kemenangan mutlak dalam pilihan raya akan datang, maka pembentukan kerajaan seterusnya mungkin akan diputuskan selepas PRU menyusuli tawar-menawar dalam kalangan parti-parti politik.

PERIKATAN CANGGUNG

Sejak 2008, sistem satu gabungan dominan di Malaysia sudahpun beralih secara beransur-ansur kepada sistem dua gabungan parti apabila parti-parti pembangkang utama dalam Pakatan Rakyat (PR) mula menghakis penguasaan BN.

Pada 2018, PH menamatkan kemenangan BN berturut-turut dan memegang kuasa buat julung-julung kalinya.
Para penyokong parti pembakang, Pakatan Harapan meraikan kemenangan keputusan pilihan raya umum pada 10 Mei 2018. (Gambar: Manan Vatsyayana / AFP)

Bagaimanapun, kerajaan PH tumbang dalam tempoh dua tahun selepas kemenangan berperistiwa itu dan digantikan oleh PN pimpinan mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Namun, sistem dua gabungan itu kekal utuh sepanjang beberapa bulan BN menganggotai PN.

Kerajaan Malaysia sekarang paling tepat digambarkan sebagai perikatan canggung antara dua gabungan: PN dan BN.

Menjelang Ogos 2021, keretakan dalam sistem dua gabungan itu menjadi nyata.

PN dan BN bertanding secara berasingan dan bersemuka antara satu sama lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor baru-baru ini meskipun kedua-dua gabungan membentuk kerajaan gabungan di peringkat persekutuan.

PM Ismail Sabri berkempen bagi BN dan bukan kerajaan PN yang dipimpinnya.

Gabungan pembangkang PH juga memainkan peranan dalam menegakkan kerajaan PN/BN sedia ada.

Di Parlimen, sungguhpun PH terus menyemak dan mengkritik kerajaan PM Ismail Sabri, ia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan untuk menyokong kesemua rang undang-undang berhubung dengan isu keyakinan dan perbekalan.

Meskipun PM Ismail Sabri hanya memegang majoriti tipis dua kerusi di Parlimen, MoU itu sepatutnya mencegah kejatuhan kerajaan seperti mana kerajaan pimpinan Muhyiddin digulingkan.

Bagi PRU akan datang, rakyat Malaysia tidak akan menyaksikan kestabilan berupa persaingan antara satu atau dua gabungan yang dominan seperti dahulu.

Para pengundi sebaliknya boleh menjangkakan kemelut politik sebelum kerajaan sekarang menyerahkan tampuk kepimpinan kepada kerajaan seterusnya.

Undang-undang anti lompat parti yang diluluskan baru-baru ini tidak menghalang pembentukan gabungan antara parti.

(Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia/ Nazri Rapaai/AFP)
Meskipun setiap Ahli Parlimen tidak dibenarkan berpaling ke parti lain selain parti yang tertera pada kertas undi, setiap parti masih boleh melompat antara gabungan kerajaan dengan pembangkang.

Ini mewujudkan lebih banyak pergolakan politik berbanding masa dahulu dan menimbulkan ketidaktentuan.

CABARAN DALAM GABUNGAN MASING-MASING

Sesetengah rakyat Malaysia bersikap optimis dan yakin negara mereka akan kembali ke sistem satu gabungan dominan menyusuli kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Johor dan Melaka sungguhpun berdepan dengan pertarungan berbilang penjuru.

Kedua-dua pilihan raya itu bagaimanapun diadakan sebelum Mahkamah Persekutuan menegakkan sabitan kesalahan Najib Razak pada pertengahan Ogos 2022.

Pendedahan skandal baru berkisar pada tempahan kapal-kapal tempur luar pesisir (LCS) yang tidak dipenuhi dan perbicaraan-perbicaraan kes rasuah lain yang belum selesai dan ia boleh membawa kesan negatif kepada UMNO, sekali gus menjejas peluang BN untuk meraih kemenangan besar dalam PRU.

UMNO juga perlu menyatupadukan puak-puak yang bersengketa agar sebarang kerapuhan dalam parti tidak menghambat prestasinya semasa pilihan raya.
Pesaing-pesaing BN, iaitu PN dan PH, juga berdepan dengan tentangan masing-masing untuk mengambil alih kerajaan sebagai satu-satunya gabungan yang berkuasa.

Nama baik PN tercemar gara-gara kelemahannya menguruskan pandemik COVID-19 dan para pengundi menyalahkan gabungan itu atas kesulitan yang dialami disebabkan oleh Perintah-Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan.
PN juga tidak mampu menamakan calon perdana menteri selain Muhyiddin Yassin yang menerajui gabungan itu ketika ia kecundang dalam Pilihan Raya Melaka dan Johor.

Kekalahan di Johor lebih memalukan bagi Muhyiddin kerana beliau merupakan mantan Menteri Besar negeri itu dan “bintang utama” PN.
Muhyiddin Mohd Yassin. (Gambar: Bernama)
Sebaliknya PH tidak mampu membentuk tentangan hebat kepada BN dan PN. Ia kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor baru-baru ini.

Gabungan itu tidak dapat mengutarakan calon untuk menggantikan Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim. (Gambar: BERNAMA)

Meskipun PH kekal popular di kawasan-kawasan undi di bandar, ia belum cukup untuk menawan Putrajaya kerana dalam sistem pilihan raya yang tidak seimbang di Malaysia, setiap undi di kawasan luar bandar lebih sarat berbanding undi di kawasan bandar (juga dikenali sebagai kawasan pilihan raya mega).

Gabungan GTA pimpinan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad adalah pendatang terbaru dalam arena politik Malaysia.

Gabungan itu, yang merangkumi parti Pejuang diketuai Dr Mahathir, parti-parti Melayu yang kecil dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bermatlamat untuk melindungi kepentingan masyarakat Melayu dan masyarakat-masyarakat pribumi yang lain.

Strategi GTA mencerminkan matlamatnya untuk memikat undi ‘tunjuk perasaan’ dengan menyasarkan para pengundi yang kecewa dengan BN dan PN tetapi tidak ingin mengundi PH yang berbilang kaum.

GTA berkemungkinan akan menyasarkan para pengundi di kawasan-kawasan undi majoriti Melayu.

Kemungkinan kerajaan Malaysia tidak akan dibentuk pada malam keputusan pilihan raya diumumkan adalah sesuatu yang boleh menjadi nyata.

Ketidaktentuan itu mendorong gabungan-gabungan parti untuk mempergiatkan lagi naratif populis semasa berkempen, memandangkan pendekatan mereka dalam pilihan raya adalah untuk “mengaup seberapa banyak kerusi yang mampu dan berunding kemudian”.

Rundingannya dijangka rumit disebabkan oleh agenda keempat-keempat gabungan yang bertindih-tindih.

Parti mana yang akan mendapat jawatan Kabinet yang mana satu dan siapa yang akan mengisi jawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri kewangan yang menjadi rebutan akan menentukan pembentukan gabungan.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Malaysia’s Multi-coalition Platter Spices Up Talk of Fragmented Parliament”.

MENGENAI PENULIS:
Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan dan Penyelaras Program Kajian Kemasyarakatan dan Budaya Serantau ISEAS – Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Indonesia, Malaysia dan Singapura di institusi tersebut.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan