Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Aidilfitri, peranan ayah dan nilai-nilai murni dalam keluarga

Peranan seorang ayah sebagai ketua keluarga memang penting bukan sahaja dalam menyambut Hari Raya tetapi dalam apa sahaja keadaan yang boleh mengukuhkan hubungan dengan anak-anak.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Aidilfitri, peranan ayah dan nilai-nilai murni dalam keluarga

(Gambar hiasan: BERNAMA)

BERITAmediacorp: Peranan seorang ayah sebagai ketua keluarga memang penting bukan sahaja dalam menyambut Hari Raya tetapi dalam apa sahaja keadaan yang boleh mengukuhkan hubungan dengan anak-anak.

Baru-baru ini, PUB telah menghasilkan sebuah filem singkat Hari Raya Aidilfitri yang mengemukakan peri pentingnya sumber air dan ini dicapai melalui naratif yang menyentuh hati sanubari kita… iaitu perihal pertalian kekeluargaan.

Proses kreatif ini amat berbeza dengan cara-cara sebelumnya. Begitu juga dengan satu filem pendek lain yang dihasilkan oleh badan pemerintah Persatuan Rakyat.

Ia mengambil jalan cerita yang menumpukan usaha membina dan mengukuhkan ikatan kemasyarakatan melalui aktiviti-aktiviti yang memupuk semangat gotong-royong dan memberi.

Di sini, inisiatif mengumpulkan baju kurung terpakai yang diterajui oleh Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 5 Tampines Changkat dengan kerjasama Kelab Masyarakat Tampines Changkat dan MESRA telah menjadi kenderaan untuk mencapai matlamat itu.

TARIK PERHATIAN

Idea baru ini menarik perhatian umum, termasuk pihak bukan Melayu kerana ia menonjolkan kehidupan seharian yang tidak asing bagi masyarakat jelata.

Tidak hairanlah kedua-dua filem ini mendapat sambutan luar biasa dan telah mencapai jumlah kongsi begitu manggalakkan sekali sehinggakan melebihi 400,000 tontonan bagi “Air Dicincang Tidak Akan Putus” dan lebih 130,000 tontonan bagi “Baju”. Saya yakin jumlah ini akan terus meningkat hingga ke penghujung tarikh.

Apabila saya tonton kedua-dua filem pendek tersebut, saya amat tertarik dengan gambaran silatulrahim yang dipaparkan oleh penulis skrip itu antara seorang ayah dengan anaknya.

Ternyata dalam filem “Air Dicincang Tidak Akan Putus”, watak Din telah banyak menceritakan tentang kehidupannya bersama adiknya Zul semasa mereka berdua berada di rumah anak yatim.

Mungkin disebabkan cerita-cerita yang telah dikongsi oleh Din kepada anaknya yang mendorong anaknya untuk mencari tempat-tempat bersejarah ayahnya bersama bapa saudaranya walaupun sudah 50 tahun berlalu.

MERASA BERSYUKUR

Dalam filem pendek “Baju” pula, watak Aiman sedang menjalani cabaran hidup yang semakin sulit sejak kematian ayahnya.

Sedang dia bertelagah dengan ibunya, dia dengan tidak sengaja telah berlaku kurang sopan terhadap ibunya dan menuduh ibunya tidak menyayanginya.

Di saat-saat Aiman sedang duduk sendirian mengenang nasib dan merenungkan perkara yang telah berlaku, dia teringat satu detik di mana dia mendengar pesanan ayahnya yang menerangkan bahawa Hari Raya bukan hanya tentang berpakaian baru, tetapi tentang merasa bersyukur dan mengeratkan silatulrahim antara satu sama lain.

Detik yang mentakrifkan itu telah membuat Aiman sedar akan kesilapannya terhadap ibunya dan dia kembali ke rumah untuk meminta maaf.

PERANAN AYAH

Peranan seorang ayah dalam keluarga pada masa kini telah melalui banyak perubahan. Pada awalnya ia hanya setakat sebagai pencari nafkah tetapi tahap demi tahap telah berkembang melingkungi membina dan mencorak hidup anak-anaknya.

Semakin ramai sang ayah yang sudah mula melibatkan diri dalam usaha-usaha membentuk akhlak dan sebagai pemberi kestabilan dalam sesebuah keluarga.

Kesedaran ini amat penting kerana ia akan membantu seorang ayah untuk mengatur langkah dan menumpukan ikhtiarnya yang relevan bagi meningkatkan lagi kemahiran keibubapaannya.

Terdapat banyak penyelidikan yang telah dijalankan oleh pelbagai pusat pembangunan keibubapaan, institut-institut pengajian psikologi dan perubatan mental untuk menentukan pentingnya penglibatan seorang ayah dalam membentuk seseorang anak.

Kajian-kajian ini tersedia dan boleh digunakan oleh sesiapa saja sebagai bahan rujukan untuk merekabentuk program-program bantu diri yang ditujukan khas untuk kaum bapa.

NILAI-NILAI MURNI

Banyak aktiviti dianjurkan oleh badan-badan pemerintah dan persatuan-persatuan sosial serta sekolah-sekolah untuk mengeratkan lagi ikatan antara seorang ayah dengan anaknya.

Malangnya, hanya segelintir kaum bapa yang mampu mengambil bahagian dalam rancangan-rancangan yang dianjurkan, disebabkan waktu yang tidak bersesuaian demi menunaikan tanggungjawab untuk menampung keperluan seharian.

Tetapi, hakikat sebenarnya jika kita merenungi dengan lebih mendalam lagi sebagaimana yang dicontohkan dalam filem-filem pendek itu yang sudah menjadi viral; penglibatan seorang ayah dalam hidup anaknya tidak hanya boleh terlaksana di suatu tempat khas atau dengan melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Malah ia boleh berlaku di mana-mana; seperti semasa mencuci pinggan mangkuk atau di meja makan ketika makan bersama atau ketika sebelum masuk tidur.

Di saat-saat tersebut, banyak pelajaran dan pengajaran yang berdasarkan nilai-nilai murni boleh disampaikan kepada anaknya.

PERANAN BESAR

Sungguhpun kandungan nasihat itu penting, tidak kurang pentingnya, cara nasihat-nasihat itu disampaikan.

(Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Ini juga akan membantu usaha seorang ayah untuk membina hubungan yang interaktif dan sihat dengan anaknya.

Ini kerana dengan cara sebegini, anak itu akan berasa bebas untuk membincangkan hal-hal yang dianggap penting olehnya dan akan selesa untuk meluahkan perasaan yang terpendam akibat liku-liku hidup yang sedang ditempuhi.

Di sini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa seorang ayah memainkan peranan besar dalam menstabilkan sesebuah keluarga.

Ia juga penting untuk membentuk akhlak seseorang anak dan peluang untuk mendampingi kehidupan anak sebenarnya tidak terhad.

Kita juga mendapati bahawa mesej penting yang kita ingin sampaikan tidak semestinya hanya dengan cara langsung.

Projek PUB dan Persatuan Raykat untuk mendidik masyarakat secara halus nampaknya lebih berkesan kerana ia melibatkan naratif-naratif yang menyentuh isu-isu yang dekat di hati.

Buktinya, filem “Air Dicincang Tidak Akan Putus” dan filem “Baju” dengan ribuan tontonannya sudah dikongsi oleh para penonton sehingga menjadi viral.

MENGENAI PENULIS
Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads For Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan