Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Agama, Politik dan Bola Sepak

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Agama, Politik dan Bola Sepak

Piala Dunia FIFA 2026 terpalit perang naratif dan perebutan kuasa. (Gambar: REUTERS dan AFP)

Diterbitkan : 02 Jul 2026 10:58PM Dikemas Kini : 02 Jul 2026 11:00PM
SINGAPURA: Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Piala Dunia FIFA dijual kepada kita sebagai pesta perpaduan. Slogan rasminya jelas: Bola Sepak Menyatukan Dunia (Football Unites the World). Tetapi di sebalik ketenangan dan slogan berinspirasi itu, ada arus yang deras. Ada perebutan kuasa. Ada perang naratif. Mohammad Hannan Hassan mengupas naratif ini.
Related article image
Gelang yang memaparkan slogan rasmi Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). (Gambar: REUTERS)
Agama Peribadi dan Naratif Politik

Hujah saya ialah ritual dan amalan agama itu mungkin peribadi. Ia menzahirkan kepuasan rohani seorang hamba. Tetapi apabila dilakukan di khalayak ramai, oleh figura yang berpengaruh, ia tidak lagi kekal peribadi. Piala Dunia FIFA adalah acara sukan terbesar dunia dengan berbilion penonton dunia. Ia dirampas. Ia menjadi senjata untuk kuasa, untuk politik, untuk identiti. Niat asalnya tenggelam. Yang tinggal hanyalah naratif.

Ambil contoh Lamine Yamal, pemain muda Sepanyol. Beliau menjaringkan gol pertamanya di Piala Dunia FIFA 2026. Lalu beliau sujud. Bagi beliau, itu tanda syukur. Menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan. Tidak lebih.

Bagi Yamal, agama sudah lama menjadi medan pertikaian. Sebelum Piala Dunia FIFA 2026, dalam satu perlawanan persahabatan menentang Mesir di Barcelona, sebahagian penonton melaungkan cacian anti-Islam. Polis membuka siasatan. Yamal, seorang Muslim, membalas di Instagram. Dia menyifatkan laungan itu sebagai “jahil dan rasis”.
Related article image
Pemain Sepanyol, Lamine Yamal, sujud selepas mejaringkan gol pertamanya dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2026. (Gambar: REUTERS/Claudia Greco)
Perhatikan apa yang berlaku selepas itu. Sesuatu yang ‘kecil’ dan peribadi bertukar menjadi pertengkaran negara. Perdana Menteri Sepanyol mengecam laungan tersebut. Pemimpin parti sayap kanan Vox pula membela pelaungnya. Dalam sekelip mata, agama seorang pemain menjadi bahan politik. Sujud yang tulus tidak lagi dilihat sebagai ibadah semata-mata.

Agama dan Konteks Pengamalannya

Namun lihat pula yang sebaliknya. Mohamed Salah juga sujud. Seluruh pasukan Maghribi sujud selepas menewaskan Belanda baru-baru ini. Mereka diraikan, bukan dikecam. Mengapa berbeza?
Related article image
Pemain Mohamed Salah sujud selepas menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Ivory Coast. (Gambar: AP/Mosa'ab Elshamy)
Related article image
Para pemain pasukan Maghribi sujud selepas mengalahkan Belanda pada 29 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Daniel Becerril)
Jawapannya bukan pada sujud itu. Sujudnya sama. Syukurnya sama. Yang berbeza ialah siapa yang sujud, dan di mana. Yamal mewakili Sepanyol, negara yang dianggap “Eropah” dan “Kristian”. Maka sujudnya dilihat seperti satu pencerobohan. Maghribi dan Mesir pula negara Islam. Maka sujud mereka tidak asing dan bukan ‘pencerobohan’.

Reaksi manusia ditentukan oleh identiti dan politik pelakunya. Tidak kurang juga agenda dan naratif pemerhati. Bukan oleh ibadah itu sendiri.

Dan ini berlaku di dua arah. Bukan hanya pihak lawan yang merampas. Pihak sendiri pun begitu. Sujud seorang pemain diangkat menjadi “kemenangan” umat. Syukur peribadi bertukar menjadi papan markah. Noktah positif pada naratif yang ingin diajukan. Ini juga perlu kita secara jujur mengakuinya.

Agama lain tidak terkecuali. Selepas satu perlawanan, pemain Jerman dan Curaçao membentuk bulatan doa Kristian bersama. ‘Ketika bermain, kami berlawanan, tetapi selepas perlawanan, kami semua penganut Kristian, kami semua bersaudara, dan kami memanjatkan doa ringkas kerana kami percaya Yesus dimuliakan melalui perlawanan ini," jelas pemain tengah Jerman, Felix Nmecha. Gambar itu turut tersebar dan dijadikan simbol. Setiap pihak mahu naratifnya menang.
Related article image
Para pemain Jerman dan Curaçao membentuk bulatan doa Kristian. (Gambar: AFP/dpa/Christian Charisius)
Politik dan Bola Sepak

Politik pula lebih terang lagi. Slogan 'Football Unites the World' itu indah. Tetapi realitinya sebaliknya. Presiden FIFA menyampaikan “Hadiah Keamanan FIFA” kepada Presiden Donald Trump pada 5 Disember 2025 semasa Undian Piala Dunia FIFA 2026 di Washington. Sukan dan kuasa politik bertaut rapat.
Related article image
Presiden FIFA Gianni Infantino (kanan) menyampaikan Hadiah Keamanan FIFA kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump,di Pusat Kennedy, Washington pada 5 Disember 2025. (Gambar: AP/Chris Carlson)
Related article image
Para pemain Iran bergambar sebelum perlawanan di Stadium Los Angeles, Inglewood, California, Amerika Syarikat pada 21 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Matthew Childs)
Lihat nasib Iran. Belasan anggota rombongan mereka ditolak visa. Mereka hanya dibenarkan masuk pada hari perlawanan. Mereka dilarang bermalam di Amerika Syarikat. Selesai bermain, mereka pulang ke kem di Tijuana, Mexico. Adakah ini semata-mata soal “keselamatan”? Atau satu penyataan politik?

Bandingkan pula dua kes berikut. Ketika Rusia menyerang Ukraine, FIFA dan UEFA bertindak pantas. Dalam masa empat hari, Rusia digantung. Tetapi terhadap Israel, sikap FIFA berbeza. Walaupun ada seruan lantang daripada Perdana Menteri Sepanyol, daripada bekas pemain Eric Cantona, daripada beberapa persatuan bola sepak, FIFA enggan menggantungnya. Ia hanya mengenakan denda.

Di mesyuarat Majlis FIFA di Zurich pada 2 Oktober 2025, Presiden FIFA berkata, “FIFA tidak mampu menyelesaikan masalah geopolitik, tetapi ia boleh dan mesti memajukan bola sepak di seluruh dunia dengan memanfaatkan nilai-nilainya yang menyatukan, mendidik, membudaya dan berperikemanusiaan.”

Mujur Israel tidak bermain di Piala Dunia FIFA 2026 ini. Bukan kerana diharamkan. Tetapi gagal melayakkan diri. Jika tidak, Piala Dunia FIFA 2026 ini akan lebih menjadi medan “pertarungan sengit” agama, politik dan naratif kuasa. Jadi persoalannya bukan “mengapa Israel dibenarkan bermain”. Persoalannya lebih halus: mengapa Rusia digantung dengan pantas, tetapi Israel tidak, sedangkan tuntutan terhadapnya serupa?

Menariknya, kedua-dua pihak berhujah atas nama nilai yang sama. Pengkritik berkata sukan mesti adil dan konsisten.

Penyokong Israel pula berkata memencilkan Israel merosakkan semangat sukan yang menyatukan manusia. Ironinya, kedua-dua pihak menggunakan kata “menyatukan” untuk tujuan dan naratif yang bertentangan.

Umat Islam pun tidak terlepas daripada pergelutan ini. Persatuan Bola Sepak Mesir dan Iran menulis surat kepada FIFA. Mereka membantah acara Pride di Seattle atas alasan nilai agama. Di sini, agama menjadi alat naratif sebuah negara. Bukan lagi soal ibadah semata-mata.

Apa Pengajarannya?

Jadi, apa pengajarannya buat kita?

Pertama, belajar membezakan. Bezakan niat seseorang daripada penyebaran gambarnya. Yamal sujud kerana Tuhan. Tetapi video yang tersebar itu bukan lagi tentang Tuhan. Ia tentang kuasa. Jangan campurkan kedua-duanya.

Kedua, jangan mudah menjadi bahan bakar. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Setiap kali kita marah membuta, kita menambah minyak kepada api yang sama. Kemarahan satu pihak menyuburkan kemarahan pihak lawan. Lingkaran itu tidak berkesudahan.

Ketiga, jaga maruah kita sendiri. Janganlah kita gantungkan kehormatan umat pada sebuah gol atau sebuah sujud di padang. Itu tempat yang rapuh. Iman kita jauh lebih besar daripada papan markah.
Related article image
Tindakan bersujud tidak memerlukan kemenangan naratif. (Gambar: AP/Martin Meissner)
Sujud itu indah kerana ia antara hamba dan Tuhannya. Niat itu milik peribadi. Ia tidak perlukan tepukan dunia. Ia tidak perlukan kemenangan naratif.

Kehidupan beragama kita harus berdiri atas prinsip jelas dan nilai luhur. Bukan hanya pada ritual, bentuk, dan hukum-hakam semata.

Marilah kita menonton dengan hati yang celik. Raikan yang tulus. Tolak yang dirampas. Dan ingatlah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Keharmonian kita terlalu berharga untuk dijadikan bola politik sesiapa.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Mohammad Hannan Hassan ialah Zamil Kanan, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita