KOMENTAR: Adat Berpatut, Kemanusiaan Dituntut

Gambar hiasan: iStock
SINGAPURA: Adat adalah ungkapan leluhur dari nenek moyang Melayu terdahulu. Adat diwariskan dari satu generasi ke generasi. Terkandung dalam adat ialah gagasan nilai yang dianjurkan, dimuliakan, disepakati dan disanjungi.
Adat mencerminkan idealisme etika, intelektual dan estetika bangsa dan peradaban Melayu. Sebagai pedoman yang sayugia diteladani, adat menjadi sebahagian daripada falsafah hidup masyarakat Melayu.
Ungkapan dan amalan adat adalah sumber moral etika dan intelektual dalam kehidupan berbudaya bagi masyarakat Melayu, selain daripada tradisi agama Islam. Malah adat dan agama itu sangat bersenyawa dari nilai-nilai utama yang dianjurkan.
Dalam memahami pesan-pesan adat, adalah baiknya kita melihat cakerawala adat secara keseluruhan, yakni bersangkutan gagasan, paradigma atau pandangan dunia yang terkandung dalam adat. Selain itu kita boleh mengenali dan mengapresiasi 'local wisdom' yang terkandung di dalam nilai-nilai adat ini.

Adat membawa maksud yang berbagai juga. Namun ada beberapa ciri utama yang memberi makna kepada takrif adat itu sendiri.
Pertama adat itu bukan berbentuk hukuman berdasarkan undang-undang, tetapi ketertiban yang umum.
Kedua, ia bukan ketetapan mutlak, jauh lagi mahu menggugah tetapi menasihati dan berpesan dengan berhemah. Sebagai lafaz anjuran, pesanan dan peringatan, ia terungkap dengan nada perumpamaan dan kiasan, menjadikan ia lembut dan beralun.
Pastinya bidalan-bidalan adat diperturunkan secara lisan, diingat secara kolektif, sebelum ia terkumpul dan tercatat.
KENAPA SISTEM ADAT TERPAKAI?
Dalam sejarah, masyarakat pertanian yang strukturnya tidak kompleks, belum ada institusi perundangan yang ketat. Yang wujud adalah aturan atau konvensi yang disepakati untuk menyusun masyarakat. Dalam struktur masyarakat sebegini yang saling bergantungan antara satu sama lain, sistem adatlah menjadi aturan paling cocok.
Apabila struktur sosial berevolusi menjadi sebuah negeri yang berkerajaan, maka perundangannya digubal oleh penguasa feudal dengan hukum kanun serta adat istiadat istana yang menegakkan aturan yang hierarkikal.
Walaubagaimanapun di peringkat kehidupan sosial orang-orang Melayu di kampung, adat masih lagi menjadi konvensi sosial yang mengikat mereka. Yang paling jelas semua ranah kehidupan ini akan ada “adatnya” masing-masing, sebagaimana digambarkan sebegini:
“Adat kanun raja di darat
Adat lembaga ada istiadat
Adat undang datuk muafakat
Adat nakhoda berjanji surat
Adat berkampung hidupnya rakyat
Adat beriman dipandu syariat”
Dalam pandangan hidup masyarakat Melayu, kesempurnaan dalam menjalankan adat akan menjadikan kita seorang yang bersifat budiman. Yang budiman itu tahu adat. Yang budiman itu adalah orang yang tersanjung berbudi pekerti, berhemah fikiran, bertutur kata, dan berperilaku.
Adat yang dijalankan itu pula terbahagi dengan dua perihal.
Pertama, adat istiadat merujuk kepada peraturan dalam majlis di istana yang harus diakur tempat dan darjat si pemakainya.
Kedua adalah adat resam yang membawa pengertian tradisi atau kelaziman yang terpakai sejak sekian lamanya, dianggap patut dipakai, dan janggal atau tak beradat kalau ditinggalkan.
Kalau istana memiliki sejumlah adat yang harus dijalankan, begitu juga rakyat terbanyak dengan ragam masing-masing. Namun sekiranya adat itu merujuk kepada nilai-nilai yang mengusung makna kesempurnaan peribadi, ia merentasi kelas sosial. Ertinya terdapat adat yang spesifik pada sesuatu kelompok, ada juga adat yang harus terpakai kepada semua.
Menarik kalau diperhatikan ungkapan adat yang menakrifkannya sendiri. Sebagaimana disebut:
“Adat yang kawi,
Shara yang lazim.”
“Pada adat,
Menghilangkan yang buruk,
Menimbulkan yang baik;
Kata shara,
Menyuruhkan berbuat baik,
Menegahkan berbuat jahat.”
Yang berpatut, yang elok, yang manis, yang sepadan itulah menjadi nilai idaman dalam adat, sehingga disebut “Adat Berkata Jadi Manis, Adat Diamal Tambah Majlis.” Berbuat sesuatu di luar adat menjadikan majlis tidak manis atau tak patut.
Bayangkan sebuah kenduri kahwin yang tiada memberikan “berkat kahwin,” entah ia telur pulut kuning mahupun sekotak coklat yang diberikan sebagai berkat kahwin sebelum tetamu pulang. Berbagi berkat itulah suatu adat. Jika tidak berbuat, kenduri kahwin itu tidak akan lengkap, malah bersalahan dengan adat.
Begitu juga dengan akad nikah, sebaiknya juga mengikut adat bersanding. Kalau ada yang tidak mahu bersanding atas alasan tertentu, maka boleh saja menyinggung perasaan ahli keluarga yang lain. Mengikuti adat makanya dianjur agar rukun damai terjaga, malah majlis menjadi manis.
Sangat diberatkan dalam masyarakat Melayu dalam menjalankan perintah Tuhan dan Rasul. Maka adat Melayu sangat akrab dengan pesan-pesan agama. Adat itu seharusnya seganding atau selari dengan hukum syarak, yakni prinsip asas dalam penggubalan hukum hakam Islam.
“Adat memakai syarak mengatakan
Wujud satu jalan berlainan.”
Adat yang terpakai itu boleh juga dianggap sebagai manifestasi nilai-nilai Islam yang difahami dan diamalkan dalam konteks setempat. Sekiranya diperhatikan dengan mendalam inti utama dalam adat adalah perakuan kepada keseimbangan dan keadilan.
Menegakkan keadilan, dan menjalankan sesuatu dengan seimbang pastinya juga antara nilai-nilai utama yang dianjur dalam Islam. Adat yang terpakai, namun jangan sampai ia kepentingan masyarakat yang lebih besar:
“Yang adat tidak membunuh
Yang syarak tidak mematikan.”
Sehinggakan ditambah:
“Adat berpijak pada yang benar
Hukum berpijak pada yang adil.”
ADAT & KEMANUSIAAN MELAYU
Nilai-nilai universal sama ada dari pesan agama atau etika kemanusiaan yang sejagat menjadi pengisi yang asasi dalam gagasan adat. Nilai-nilai universal ini sering berkumandang dalam bidalan-bidalan adat.
Antara nilai-nilai yang dianjur ini ialah: (a) memperaku martabat manusia; (b) akur kepada kesamarataan; (c) menyanjung usaha dan kerja manusia; (d) menegakkan akal dalam kehidupan; (e) bahawa keadilan itu wajib didirikan; (f) tiada undang-undang yang arbitrari, bahawa semua di bawah undang-undang; (g) menghormati nyawa semua makhluk termasuk alam sekitar; (h) ilmu menjadi pandu untuk mengatur diri dan masyarakat.
Dalam kehidupan seharian orang Melayu, nilai-nilai yang tersebut di atas wajar terjelma. Namun ini belum cukup, sekiranya orang Melayu itu belum sedar akan dirinya yang hidup dalam linkungan masyarakat.
Perilaku hidup yang harus mengikut adat. Antaranya: (a) beradat tahu diri, tahu malu, tahu tempat; (b) berbuat sesuatu dengan “manis,” agar tambah majlis; (c) bersopan dan santun; (d) sepakat bermuafakat; (e) bergotong-royong; (f) menanam budi, rela berbagi; (g) berbahasa dan berbangsa; (h) berhemah dan beramanah; (i) akur pada adat istiadat dan dibuat dengan berpatut.
TIGA RANAH ADAT
Ranah Adat terbahagi tiga, yakni: “Adat yang sebenar adat”, “Adat yang diadatkan”, dan “Adat yang teradat.” Terdapat tiga jenis adat yang diberikan sifat, kegunaan dan asal muasalnya.
Pertama adalah adat yang sebenar adat. Itulah adat yang semula jadi, sepertinya hukum alam, atau hukum Tuhan yang seadanya, yang berlaku pada sepanjang waktu, yakni abadi
“Adat tak lekang oleh panas
Adat tak lapuk oleh hujan
Adat berwaris kepada Nabi
Adat berkhalifah kepada Adam
Adat berinduk ke ulama
Adat dianjak layu diumbut mati
Adat ditanam tumbuh dikubur hidup
Adat terconteng di lawang
Adat tersurat di kertas
Adat tersirat dalam Sunnah
…
Adat yang turun dan berkembang
Adat turun dari Datuk Temenggung
Adat turun dari Tuk Perpatih Pinang Sebatang
Adat yang diikat oleh syarak
Adat bertalikan Kitabullah
…..
Yang keras tak tertakik
Yang lunak tak tersudu
Dibunal ia singkat
Direntang ia panjang
Kalau kendurnya berdenting-denting
Bila tegang berjela-jela
Itulah adat sebenar adat”
Kedua ialah adat yang digubal, dikuatkuasakan, dan disepakati antara raja dan rakyat. Sebegini disebut:
“Adat yang diadatkan
Adat yang turun dari raja
Adat yang tumbuh dari datuk
Adat yang cucur dari penghulu
Adat yang dibuat kemudian
Putus muafakat ia berubah
Bulat kata ia berganti
Beralih musim ia layu
Bertukar angin ia melayang
Bersalin baju ia tercampak
Berkisar duduk ia beralih
Berpaling tegak ia lepas
Adat yang dapat dibuat-buat
Adat yang dapat ditukar salin.”
Ketiga adalah adat yang teradat. Ia adalah adat yang digubal menjadi pegangan oleh masyarakat tetapi ia sesuatu yang tidak kekal sifatnya, yakni boleh berubah dari masa ke masa, mengikut peredaran zaman:
“Adat yang teradat
Datangnya tidak berberita
Perginya tidak berkhabar
Kecilnya teranja-anja
Besarnya terbawa-bawa
Adat yang disarung tidak berjahit
Adat yang berelindal tidak bersimpul
Yang dibawa burung lalu
Yang tumbuh tidak ditanam
Yang berkembang tidak berkuntum
Yang bertunas tidak beranting
Adat yang datang kemudian
Yang diseret jalan panjang
Yang bertenggek di sampan lalu
Yang berlabuh di atas tangan
Yang tidak berurat tunggang
Datang angin ia terbuang
Datang panas ia lekang
Datang hujan ia rerak.”
Begitulah ranah adat yang telah diperturunkan kepada kita, dan tokoh budaya seperti Tenas Effendy sangat tekun mengumpul dan menjelaskan ungkapan atau bidalan adat.
Antara yang pernah beliau paparkan adalah bidalan adat sebagai pakaian diri “orang beradat”, yang miliki sifat dan sikap merendah diri:
“Sifat merendah menjunjung tuah
Rendahnya tidak membuang marwah
Rendahnya tidak mengambil muka
Rendahnya tidak mengada-ada
Rendah menurut alur patutnya
Rendah mengikut pada adatnya
Rendah berpunca pada adabnya
Rendah mengangkat tuah diri
Rendah menjaga budi pekerti
Rendah tak dapat diperjual beli
Pantang merendah kepala dilapah
Pantang merendah minta sedekah
Pantang merendah dimakan sumpah
Pantang merendah aib terdedah”
Begitu juga dengan sifat tahu malu sangat diperhatikan dalam kehidupan orang Melayu. Bidalan adat menyeru begini:
“Yang disebut sifat malu
Malu membuka aib orang
Malu menyingkap baju dibadan
Malu mencoreng arang dikening
Malu melanggar pada syarak
Malu terlanda pada adat
Malu tertarung pada lembaga
Malu merusak nama baik
Malu memutus tali darah
Malu hidup menanggung malu
Malu mati tidak bermalu”
Bahawa yang seimbang, setara, dan sepatut adalah sebahagian daripada nilai adil yang harus terjelma. Dibayangkan seperti berikut:
“Bila menimbang sama beratnya
Bila menyukat sama penuhnya
Bila membelah sama baginya
Bila mengukur sama panjangnya
Sesuai sukat dengan timbangnya
Sesuai belah dengan ukurnya
Sesuai peluh dengan upahnya
Sesuai penat dengan dapatnya
Sesuai hukum dengan salahnya
Sesuai alur dengan patutnya
Tingginya tidak menimpa
Kuatnya tidak mematah
Besarnya tidak melendan
Menangnya tidak melenjin
Duduknya pada yang hak
Teganya pada yang benar
Kasihnya tidak memilih
Sayangnya tidak berbilang”
Dalam kehidupan bermasyarakat, manusia mesti cukup sifat, di mana adat memandu umat menjadi muafakat dan menjamin maslahat. Itulah adat yang membawa selamat:
“Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Ke bukit sama mendaki
Ke lurah sama menurun
Hati gajah sama dilapah
Hati tungau sama dicecah
Hidup jelang-menjelang
Sakit jenguk-menjenguk”
“Lapang sama berlegar
Sempit sama berhimpit
Lebih beri-memberi
Kalau berjalan beriringan
Yang dulu jangan menunjang
Yang tengah jangan membelok
Yang di belakang jangan menumit
Yang lupa diingatkan
Yang bengkok diluruskan
Yang tidur dijagakan
Yang salah tegur-menegur
Yang rendah angkat-mengangkat
Yang tinggi junjung-menjunjung
Yang tua memberi wasiat
Yang alim memberi amanat
Yang berani memberi kuat
Yang berkuasa memberi daulat
Kuat lidi karena diikat
Kuat hati karena muafakat”
Dalam pergaulan, harus diperhatikan lafaz dan tindak-tanduk kita, tahu tempat dan tahu diri, tidak melebih, tidak terhegeh, namun tak sampai pula menjadi kerdil dan terkepil.
“Berseloroh sama sebaya
Berunding sama setara
Bergelut di halaman
Berunding di rumah
Berbuat baik berpada-pada
Berbuat jahat jangan sekali
Yang patut dipatutkan
Yang tua dituakan
Yang berbangsa dibangsakan
Yang berbahasa dibahasakan
Kalau lepas ke halaman orang
Berkata duli agak sepatah
Memberi tahu orang di rumah
Entah orang salah duduk
Entah orang salah tegak
Entah orang salah kain”
KESIMPULAN
Adat bukanlah barang lama yang sudah lapuk dek zaman. Pasti ada adat yang kuno dan mundur sudah ditinggalkan dalam pengalaman sejarah. Ada adat yang bertahan disebabkan kecenderungan pemikiran yang tertentu, Tetapi adat yang terkandung nilai universal akan menjadi pelita nilai yang akan menjadi kandil dalam peradaban dan kehidupan kita.


Sayugia kita mendalami bidalan adat dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh agar nilai-nilai yang terkandung dalam bidalan adat dapat kita fahami, hargai, dan pastinya diteladani.
Untuk mengenali kemanusiaan Melayu, perhatikanlah dari bidalan adatnya. Saya akhiri dengan sebuah gubahan saya yang menyimpulkan kepentingan hidup beradat:
Beradat Memancar Syariat
Beradat Meningkat Martabat
Beradat Melafaz Hikmat
Beradat Membawa Manfaat
Beradat Menjamin Maslahat
Beradat Membuka Sepakat
Beradat Mengikat Masyarakat
Beradat Meneguh Umat
Beradat Menguat Kudrat
Beradat Mencari Berkat
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.